Saturday, December 5, 2009

UMNO LAGI

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir menulis dalam blognya mengenai UMNO.

Tun terkejut kerana seorang bekas pemimpin UMNO yang kanan (tetapi tidak disebutkan namanya) telah meluahkan perasaannya dengan berkata "UMNO is rotten to the core" (UMNO busuk hingga ke ususnya).

Sebagai alternatifnya, bekas pemimpin kanan tersebut ingin menyertai parti PAS. Rakan-rakannya juga bersetuju dengan pilihan itu. Sebelum ini, ada penceramah yang saya dengar menyebutkan pegawai kerajaan apabila sudah bersara beralih menyokong parti lain dan menentang parti memerintah yang telah memberi gaji dan wang pencen kepada mereka. Kini bagaimana pula apabila ada bekas pemimpin UMNO sudah menyatakan hilang kepercayaan kepada parti mereka dahulu.

"UMNO busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi katanya. Di cawangan, ketua cawangan hanya berjuang untuk mengekal dirinya sebagai ketua sahaja. Kenapa? Sebabnya majoriti ketua cawangan dapat jadi pengerusi Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dengan elaun tertentu dan kuasa untuk mengagih peruntukan. Berpeluang juga untuk jadi kontraktor Kelas F untuk projek kecil di luar bandar."

Apakah bekas pemimpin kanan tersebut tidak pernah melakukan seperti itu sewaktu zaman kekuasaan beliau dahulu?

"Untuk menentukan dirinya tidak dicabar ketua cawangan tidak akan benarkan sesiapa yang lebih terpelajar daripadanya masuk UMNO cawangannya. Lebih daripada itu kebanyakan peruntukan untuk jadi ahli UMNO, yang mana dia mesti melalui cawangan, tidak akan dilayan. Tujuannya ialah supaya cawangannya tidak mempunyai banyak ahli kerana mereka tetap akan menimbulkan masalah dan sukar dikawal, bahkan sukar disogok pun."

Saya juga pernah mendengar permohonan seorang Ketua Jabatan Persekutuan untuk masuk salah sebuah cawangan UMNO di Perak dilengahkan hingga akhirnya sampai pegawai tersebut pencen borang permohonannya entah ke mana.

"Sebab itu tidak ramai ahli profesional yang dapat menjadi ahli UMNO. Sebaliknya semakin ramai daripada pemimpin PAS terdiri daripada doktor, peguam, jurutera dan lain-lain profesyen."

Perjuangan UMNO semenjak merdeka telah berjaya melahirkan ramai professional Melayu dan selalu penceramah UMNO mengatakan mereka tidak bersyukur kerana mendapat wang biasiswa kerajaan tetapi menyokong parti yang tidak dapat memberi biasiswa kepada mereka.

"Oleh kerana ketua cawangan biasanya tidak memiliki pelajaran yang tinggi dan beliau menentukan ahli lain dalam cawangannya mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih rendah daripadanya, maka apabila ketua terpaksa berhenti kerana sebab-sebab tertentu, maka penggantinya akan terdiri daripada yang kurang berkebolehan daripadanya. Dengan itu kualiti kepimpinan akan merosot sepanjang masa."

Mengenai integriti dalam UMNO, Tun menulis:

"UMNO, kata bekas pemimpin kanan ini sekarang dipimpin oleh perasuah. Mereka menjadi ahli Majlis Tertinggi kerana sogokan wang. Orang ramai tidak akan serah nasib mereka kepada perasuah."

Pindaan Perlembagaan UMNO telah dibuat namun apakah dapat dipastikan nilai dan sikap ahli-ahli UMNO turut berubah atau sekadar pantun sahaja yang indah dari segi nilai puitisnya menghiasi ucapan-ucapan retorik di PWTC?

"Penempatan perasuah dalam Kerajaan dan badan-badan lain juga memburukkan lagi imej UMNO. Sudah tentu perasuah akan dipilih sebagai calon UMNO dalam Pilihanraya Umum ke-13. Jika mereka diberi kemenangan maka negara akan dapat Kerajaan perasuah. Sebab itu beliau tidak akan sokong UMNO sebaliknya akan menyertai dan menyokong parti lawan. Katanya lagi hingga kini separuh daripada orang Melayu tidak merasai nikmat kerana Kerajaan-Kerajaan pimpinan UMNO menidakkan hak mereka sedangkan mereka juga orang Melayu walaupun mereka menyokong parti lawan."

Kenyataan Tun ini menarik untuk direnungi:

"Mereka yang menyokong parti lawan bertambah sejak (Tun) Abdullah kerana ramai daripada ahli UMNO sendiri sudah tidak percaya kepada UMNO."

Apakah sekiranya bukan Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, keadaan akan berubah iaitu tidak menjadi seperti apa yang ada pada hari ini?

"Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong UMNO. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan."

Mungkin Tun ada hujjah yang kuat untuk menulis kenyataan ini:

"Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli UMNO juga."

Saya amat bersetuju dengan Tun bahawa masa semakin singkat untuk memperbaiki keadaan ini. Harapan semua yang sayangkan UMNO termasuk saya ialah kerja mesti kuat sebelum Pilihan Raya Umum ke 13, lebihkurang 2 tahun sahaja lagi.

Saya teringat kata-kata Tan Dri Dr Nordin Kardi sewaktu masih menjawat jawatan Ketua Pengarah BTN:

"Biarlah kita kalah berhujjah tetapi menang pilihanraya daripada kita menang berhujjah tetapi kalah dalam pilihanraya."

Semoga menjadi renungan kita bersama atas ingatan orang-orang tua kita. Wassalam.



No comments:

Post a Comment