Friday, January 19, 2018

FARHANI DAN STAM


Seusai peperiksaan SPM pada tahun 2016, sekeluarga bersama ke Ipoh meraikan saat-saat kekeluargaan dan singgah di Akademi al-Hidayah, Ipoh. Gunung Rapat sememangnya indah pandangan dan mendamaikan. Di hujung kawasan perumahan, kelihatan bangunan akademi berhampiran dengan kawasan lombong tempat memancing.

Farhani ditemuduga oleh Pengarah Akademi, Tuan Hj Noh pesara guru yang pernah menjawat jawatan pengetua beberapa sekolah dan mantan PPD sebuah daerah. Dengan bacaan kitab dalam Bahasa Arab dan maknanya maka diterima untuk menjadi pelajar pra universiti Pengajian Islam.
Tanggal  Januari 2016, sessi melapor diri diiringi tangisan berpisah buat sementara demi menuntut ilmu Islam, Farhani ditempatkan di banglo asrama bersama pelajar-pelajar lain.

Kebimbangan pasti terasa lantaran seorang pelajar aliran sains dikehendakki mengadap buku-buku berbahasa Arab yang tebal dan sarat dengan ilmu Islam yang berada pada tahap tinggi.
Setahun berlalu pada tanggal 18 Januari 2017, Alhamdulillah hanya dalam jangkamasa 10 bulan, keputusan STAM berpihak kepada kami. Kegusaran berakhir dengan keputusan yang memberangsangkan. Hanya 10 bulan untuk mengejar STAM dan hasilnya Jayyid Jiddan.  Syukur padaMu Ilahi dan tahniah kepada Farhani binti Abd Mun’em atas kejayaan yang memberangsangkan ayah dan umi.

Ini adalah satu permulaan ke bumi para Nabi iaitu Mesir..gedung ilmu sedunia. Manfaatkanlah peluang menimba ilmu Islam bagi kebaikan dunia dan akhirat.
    


Sunday, January 14, 2018

CADANGAN MENGHARMONIKAN ANTARA BIDANGKUASA MAHKAMAH SYARIAH DENGAN MAHKAMAH SIVIL


1. Mengharmonikan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah

Konflik bidangkuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah merupakan dilema yang dihadapi antara orang Islam dan orang bukan Islam di Malaysia. Isu ini menjadi semakin parah apabila sentimen agama dan perkauman ditambah dengan emosi an sikap prasangka sesama rakyat. Isu orang bukan Islam dan orang bukan Islam perlu ditangani dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan bagi mencari kaedah penyelesaian terbaik.


Mahkamah Sivil kini tidak membicarakan pembubaran perkahwinan kepada penganut Islam sementara Mahkamah Syariah tidak mengambil kes dalam kalangan penganut bukan Islam.

Walaupun begitu, Mahkamah Sivil bukan sahaja membicarakan kes bersangkutan dengan hal ehwal kekeluargaan malahan juga dalam hal-hal yang memerlukan kepada pertimbangan hukum syara’. Wujudlah monopoli Mahkamah Sivil dalam perbicaraan kes atas alasan ia melibatkan orang bukan Islam. Ini menyebabkan keputusan-keputusan hakim tidak bersesuaian dengan hukum Islam lantaran mereka tidak terlatih dalam undang-undang Islam dan berpandukan kepada undang-undang keterangan yang tidak berlandaskan syariah.

Dalam kes anak tidak sah taraf, seseorang anak boleh dikatakan sebagai anak yang tidak sah taraf hasil daripada tiga bentuk perkahwinan:

a.     Perkahwinan sindiket

b.     Perkahwinan di Thailand atau mana-mana luarnegara yang tidak didaftarkan

c.     Perkahwinan selepas mengandung.

Kes-kes tersebut perlulah diselesaikan di Mahkamah Syariah dan bukan di Mahkamah Sivil lantaran wujudnya Akta 303 dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri. 
   

Semua enakmen pentadbiran agama Islam negeri meletakkan peruntukan bahawa Mahkamah Syariah berkuasa mendengar dan menghakimi yang melibatkan kedua-dua pihak (plaintif dan defendan) beragama Islam.

Penulis mencadangkan supaya kes-kes tertentu termasuk kes anak tidak sah taraf dibicarakan di Mahkamah Syariah dan sekiranya permohonan dikemukakan kepada Mahkamah Sivil maka hendaklah dinasihatkan kepada pemohon supaya dibawa ke Mahkamah Syariah.



2) Hakim Muslim di mahkamah sivil perlu menghormati institusi fatwa, walaupun fawa tidak mempunyai kuasa perundangan terhadap mahkamah sivil

Mahkamah Sivil perlu mendapatkan rujukan substantif di mana dalam kes anak yang tidak sah taraf ialah Undang-undang Keluarga Islam serta merujuk kepad berkenaan dengan isu pendaftaran semata-mataa pandangan ulama bagi menghormati institusi fatwa. Walaupun fatwa tidak mempunyai kuasa perundangan terhadap Mahkamah Sivil, hakim dalam membuat keputusan boleh mengambilkira hukum-hukum adat dan sensitiviti masyarakat dan apa sahaja bentuk pertimbangan bagi memastikan sistem keadilan dapat ditegakkan dengan merujuk kepada sumber-sumber selain daripada provisions atau peruntukan dalam peruntukan undang-undang.

Dalam menjalankan tugas kehakiman, seseorang hakim yang beragama Islam sewajarnya merujuk kepada Akta Undang-undang Keluarga Islam sebagai panduan kerana ia adalah perundangan spesifik untuk orang Islam sedangkan Akta 299 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 lebih kepada undang-undang umum.


Mahkamah Sivil sepatutnya memperaku keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan negeri di samping merujuk kepada Mahkamah Syariah dalam hal berkaitan dengan agama Islam.

Penulis mencadangkan agar satu akta dicadangkan di Parlimen untuk memberi kuasa perundangan terhadap fatwa yang diwartakan di setiap negeri. Tindakan tersebut bagi menjadikan fatwa sebagai rujukan yang mengikat ketetapan Mahkamah Sivil dalam isu berkaitan orang Islam. Peruntukan undang-undang negeri sepatutnya menjadi rujukan utama Mahkamah Sivil dalam menentukan penghakiman namun seksyen berkenaan tidak diberi pertimbangan sewajarnya dalam penghakiman Mahkamah Rayuan. Dalam kes yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan, mahkamah membataskan isu anak yang tidak sah taraf kepada isu pendaftaran semata-mata dan tidak melihat kepada implikasinya terhadap umat Islam di negara ini.

3. Mengharmonikan institusi fatwa negeri-negeri – seharusnya semua mufti sepakat terhdap isu nasional seperti isu nasab anak tak sah taraf – apabila fatwa perlis membenarkan, maka ia menjadi polemik

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis memuji keputusan Mahkamah Rayuan Persekutuan yang seiring dengan keputusan fatwa Perlis yang membolehkan anak yang lahir kurang dari enam bulan, dibin atau dibintikan kepada bapa biologinya. Beliau mendakwa keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan menzalimi anak tersebut terbabit dan ibubapanya sepanjang hayat mereka.

Penulis optimis bahawa isu melibatkan hal ehwal umat Islam seluruh negara boleh diseragamkan tanpa mengikut pengasingan fatwa dan mufti negeri-negeri. Keseragaman patut dilaksanakan di peringkat persekutuan meliputi kerjasama pelbagai agensi antaranya Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri. Islam negeri serta fahaman politik pentedbir negeri.

Walaubagaimanapun terdapat beberapa hambatan kerana bidangkuasa hal ehwal Islam termaktub di bawah kuasa negeri menyebabkan Muzakarah Fatwa Kebangsaan tidak dapat menyeragamlan fatwa antara mufti negeri-negeri.

Perkara ini wujud antaranya beberapa sentimen dalaman antara pentadbiran negeri dan persekutuan berkaitan peruntukan undang-undang. Namun usaha positif ke arah merealisasikan penyeragaman telah wujud di kalangan pihak yang terlibat.

Selepas ini, penulis berharap agar sesuatu fatwa baru yang ingin dikeluarkan mestilah diselaraskan terlebih dahulu di peringkat persekutuan kerana fatwa yang berbeza antara negeri akan mengelirukan umat Islam. Fatwa yang menampakkan perbezaan ialah fatwa mengenai pengharaman rokok dan vape, hukum tarian poco-poco dan sebagainya.

Ketidakseragaman fatwa antara negeri-negeri akan menjejaskan kredibiliti institusi agama an menyukarkan tindakan penguatkuasaan. 

4. Memperkasakan peranan mahkamah syariah dan fatwa

Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara. Peruntukan mengenainya diletakkan pada Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan Islam sebagai agama persekutuan diletakkan pada Perkara 3 perlembagaan. Kedudukannya lebih tinggi dari segi turutan berbanding dengan Perkara 4. Secara logiknya, setiap keputusan dalam negara mestilah berteraskan agama Islam sebagai agama persekutuan. Peruntukan meletakkan agama Islam di awal bahagian memberi makna yang besar dari segi peranan agama dan kedudukannya. Agama Islam dan undang-undang Islam adalah sebahagian dari undang-undang yang diliputi dan diiktiraf oleh perlembagaan itu sendiri. Secara ringkasnya, undang-undang Islam adalah sebahagian daripada kandungan Perlembagaan Persekutuan.

Penghakiman oleh Mahkamah Rayuan Persekutuan seolah-olah menghina sumpah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong eperti yang terdapat dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan iaitu memelihara kedaulatan Agama Islam pada setiap masa.sekiranya perana baginda dinafikan sebegini, maka peruntukan ini sekadar menjadi hiasan dan tidak memberi kesan terhadap undang-undang negara.

Mahkamah juga mempunyai tanggungjawab undang-undang, agama dan moral untuk merujuk kepada fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan.

Penulis mencadangkan agar kerajaan melalui Parlimen mengubah peruntukan ini bagi menjaga kedudukan Islam sebagai agama persekutuan seperti dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Bagi tujuan ini, Butiran 1 kepada Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda. Semua peruntukan undang-undang yang melibatkan pendaftaran dan sahtaraf anak di dalam Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957(Akta 299) yang bertentangan dengan hukum syara’ iaitu Seksyen 110 hingga 120 juga diubah serta diperhalusi untuk menyediakan pendekatan menyeluruh dalam menangani isu anak tidak sah taraf.

Kerajaan juga perlu meminda mana-mana undang-undang yang menghalang orang bukan Islam daripada diadili di Mahkamah Syariah. Peranan Mahkamah Syariah yang menegakkan keadilan serta mempertahankan kedudukan Islam dalam perlembagaan boleh mendengar daripada orang Islam dan bukan Islam. Skop keadilan tidak seharusnya dikecilkan kepada orang beragama Islam sahaja.  

Cadangan ini bukan bermaksud untuk mengislamkan orang bukan Islam tetapi untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah mentadbir perkara-perkara tertentu yang melibatkan orang Islam dan hukum syara’.

Dalam hal penjagaan anak, rujukan hakim sering dibuat kepada Seksyen 5 Akta Penjagaan Kanak-kanak 1961 yang memberi peruntukan kepada persamaan hak ibubapa ke atas anak mereka. Sedangkan dalam Seksyen 1(3)(b) akta tersebut dengan jelas menyebutkan emenganai larangan penggunaan akta tersebut kepada orang yang memeluk agama Islam. Konflik ini boleh diselesaikan dengan cara memberi ruang kepada orang bukan Islam di Mahkamah Syariah.

Bagi memartabatkan kedudukan Islam seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, kerajaan perlu meminda mana-mana undang-undang yang menjadi penghalang kepada usaha memartabatkan undang-undang Islam serta kedudukan Mahkamah Syariah.


5. Peranan jabatan kerajaan dalam melaksanakan tugasan rasmi

Dalam melaksanakan tugas, pihak jabatan kerajaan persekutuan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh menggunapakai undang-undang syariah negeri bagi menentukan hak orang Islam.

Jadual Kesembilan Senarai 2 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan undang-undang syariah negeri yang mempunyai kuasa keatas orang Islam termasuk hukum syara’ berhubung dengan soal pewarisan, perceraian, mahar dan kesahtarafan anak. Jadual tersebut turut memberi kuasa antaranya dalam isu penjagaan, amanah serta institusi khairat dalam sesebuah negeri.

Peranan ketua jabatan dalam memahami situasi serta peruntukan undang-undang perlu dalam memastikan semua amanah dapat dilaksanakan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.


6. Keputusan Mahkamah Sivil yang tidak seragam dalam kes yang serupa

Terdapat kes yang serupa dengan kes anak yang tidak sah taraf yang telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Persekutuan. Sebelum ini, Teo Beng Hock yang ditemui mati berdekatan dengan Plaza Masalam, Shah Alam mempunyai anak yang sedang dalam kandungan kekasih beliau iaitu seorang guru di Semenyih, Selangor. Keluarga mendiang Teo telah memohon supaya anak di dalam kandungan tersebut diiktiraf sebagai anak yang sah taraf. Setelah permohonan gagal daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan juga pihak berwajib lainnya, mereka telah memohon kepada YAB Perdana Menteri supaya anak berkenaan mendapat taraf anak yang sah. Jawapan daripada YAB bahawa permohonan tidak dapat diluluskan kerana ianya bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Fakta ini menunjukkan bahawa keputusan Mahkamah Sivil bercanggah sesama mereka dalam kes yang serupa. Bagaimana dengan prinsip binding precedent yang seharusnya diikuti oleh para hakim di Mahkamah Sivil.


Saturday, January 13, 2018

KEPERCAYAAN BERAGAMA MASYARAKAT MALAYSIA





1. PENDAHULUAN




1.1 Masyarakat Malaysia yang berbilang agama




Tiga komuniti etnik di Malaysia yang utama ialah kaum Melayu, Cina dan India. Sepertimana yang dilaporkan oleh akhbar The Star, jumlah rakyat Malaysia bagi kelompok Bumiputera ialah 67.4% daripada keseluruhan rakyat diikuti kaum Cina 24.6% sementara kaum India sebanyak 7.3% dan lain-lain kaum 0.7%. Tidak ada satupun daripada kumpulan ini bersifat homogen iaitu setiap kumpulan dibezakan lagi oleh identiti subetnik mereka berdasarkan bahasa dan agama yang berbeza. Majoriti orang Melayu beragama Islam manakala masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak mengamalkan agama yang berbeza dan mempunyai bahasa kaum atau etnik mereka sediri. Kebanyakan orang India beragama Hindu dan bertutur dalam Bahasa Tamil. Latarbelakang agama dan bahasa kaum Cina berbeza. Perbezaa agama dan bahasa di Malaysia berlaku dalam lingkungan etnik dan antara kumpulan etnik. (Mohamed Mustafa Ishak, 2014)



Agama membentuk fenomena penting dalam kehidupan manusia. Peranan agama bukan sahaja membantu manusia mengenal Tuhan tetapi juga bagi menuju kesejahteraan hidup. Dalam konteks Malaysia, agama dan etnik telah menjadi identity kelompok yang saling lengkap melengkapi sehinggakan sejak dahulu, kelompok etnik diidentikkan dengan kelompok agama. Orang Melayu dikenali sebagai orang Islam, orang India dikenali sebagai penganut Hindu, orang Cina dan Siam sebagai pengamal ajaran Buddha.  Masyarakat orang Asli dan suku kaum Bumiputera di pedalaman Sabah dan Sarawak hidup sebagai pengikut faham Animisme. Dengan kerana itu, adalah menjadi kebiasaan pandangan bahawa mereka yang bertukar agama dianggap telah keluar daripada kelompok etnik. (Shamsul Amri Baharudin, 2012)



1.2 Kepercayaan kepada Tuhan dalam Rukunegara




Rukunegara merupakan ideologi negara yang mengandungi prinsip-prinsip hidup bermasyarakat, nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang meliputi aspek keagamaan, kebudayaan, ekonomi, politik dan perundangan. Berikutan rusuhan perkauman pada 13 Mei 1969, maka Rukunegara digubal bagi mengelakkan keamanan dan keutuhan negara tergugat. (Anuar Rafie, 2007). Ia digubal sewaktu negara berada di bawah pentadbiran MAGERAN dan badan yang bertanggungjawab di atas penggubalannya ialah Majlis Perundingan Negara (MPN). Mula tercetusnya idea penggubalan Rukunegara ialah dalam mesyuarat pertama MPN iaitu pada  27 Januari 1970.



Ideologi negara ini dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama dengan digariskan lima prinsip yang lahir daripada aspirasi masyarakat. Lima prinsip Rukunegara ialah Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan. Penulis akan memberi fokus kepada “Kepercayaan kepada Tuhan” dalam penulisan ini.

Ciri penting dalam kehidupan manusia ialah kehidupan beragama. Agama membentuk keperibadian individu, bangsa dan negara. Semua kaum dalam negara kita dibentuk dengan asas kepercayaan kepada Tuhan yang kukuh. Kaum-kaum di Malaysia yang menganut pelbagai agama seperti Islam, Kristian, Buddhisme, Taoisme, Sikhisme dan sebagainya dapat menjadi satu bangsa Malaysia yang berdaulat melalui sistem kepercayaan beragama. Kepercayaan kepada Tuhan mampu membimbing manusia untuk berbuat baik dan menghindari kejahatan serta mengenali pahala dan dosa. (Mardiana Nordin dan Hasnah Hussin, 2014).  Prinsip ini mengingatkan rakyat Malaysia agar sentiasa mengingati Tuhan dan kepada Hari Pembalasan dalam setiap tindakan mereka.



Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan mana-mana agama lain boleh diamalkan dengan bebas secara aman dan harmoni dalam negara. Rakyat Malaysia boleh mengamalkan ajaran agama masing-masing dan patuh kepadanya dan tindakan membeza-bezakan rakyat berdasarkan agama adalah dilarang. Ini bermakna setiap warganegara mesti mempunyai kepercayaan beragama masing-masing. Kepentingan hidup beragama menyebabkan prinsip Kepercayaan kepada Tuhan diletakkan sebagai prinsip pertama dalam Rukunegara. (Ayu Nor Azilah, 2013).              



2. SEBAB-SEBAB PEMILIHAN AGAMA YANG DIKAJI


2.1 Fakta-fakta menarik mengenai agama Hindu


2.1.1 Agama Hindu adalah agama tertua di dunia yang masih wujud sehingga ke hari ini.


Ia berasal daripada Tamadun Vedic India.

2.1.2 Asal usul agama Hindu tidak diketahui


Agama Hindu tidak mempunyai pengasas agama mahupun Nabi. Sebaliknya ia merupakan warisan pengajaran, undang-undang spiritualdan amanaln yang diturunkan oleh pendeta zaman berzaman.

2.1.3 Gelaran Hindu tidak wujud dalam kitab-kitab Hindu


 Hindu merupakan gelaran yang diberi oleh orang-orang Arab kepada masyarakat di Sungai Indus.



2.1.4 Agama Hindu merupakan satu cara hidup


Hindu tidak diasaskan sebagai sebuah “agama” tetapi merupakan satu cara hidup berdasarkan pengajaran kitab-kitab Hindu. Hindu tidak mempunyai sistem yang seragam ataupun badan autoriti keagamaan kerana falsafah ketuhanannya dan kehidupan yang dinamik.



2.1.5 Agama Hindu dikatakan hanya mempercayai satu Tuhan sahaja


Tuhan ini adalah roh segala alam yang bernama Brahman. Brahman ialah satu realiti agung yang tidak berubah di dalam dan di luar dunia ini dan tidak mampu untuk difahami sepenuhnya. Roh  Brahman ini berada dalam semua benda.



2.1.6 Dewa Hindu tidak berbagai-bagai.


Tuhan berada di mana-mana dan tidak mempunyai satu identiti utama. Manusia tidak dapat memahami Tuhan sebagai satu bentuk sebenar maka terdapat variasi berbeza dalam bentuk Tuhan. Kesemua ini merupakan penzahiran kepada sifat-sifat Brahman yang berlainan. Pembezaan dewa-dewa ini membantu manusia menumpukan doa mengikut keadaan yang sesuai.



2.1.7 Agama Hindu mempunyai dewa-dewa utama


Tiga dewa utama Hindu ialah Brahma (pencipta), Vishnu (pemelihara) dan Siva (pemusnah)

2.1.8 Agama Hindu tidak menyembah berhala


Penganut Hindu mendakwa tidak menyembah patung berhala tetapi menjadikannya sebagai wakil fizikal Tuhan. Ia dilakukan bagi memudahkan mereka melakukan ibadat kepada Tuhan.



Berdasarkan fakta-fakta ini maka agama Hindu dipilih oleh penulis untuk dijadikan bahan kajian. 





2.2 Fakta unik mengenai agama Sikh




2.2.1 Kelahiran agama Sikh kerana konflik Islam-Hindu




Perkataan “Sikh” berasal daripada perkataan Punjabi yang bermaksud pengikut atau pelajar. Sikhism mula muncul pada abad ke enambelas semasa berlakunya konflik di antara golongan Islam dan penganut Hindu. Pengasasnya Guru Nanak bergelut dengan realiti kehidupan beragama itu sendiri, bagaimana kaum, agama dan status social yang berbeza berjaya memisahkan masyarakat. Ianya dipengaruhi oleh pergerakan reformasi agama Hindu dan pergerakan Sufi di India.



2.2.2 Latarbelakang Guru Nanak




Pengasas agama Sikhisme dilahirkan pada tahun 1469 di perkampungan Rai Bhoi  di Talwandi sekarang dikenali sebagai Nankara Sahib di Pakistan. Sepanjang kehidupan beliau, Guru Nanak telah melakukan empat pengembaraan besar iaitu ke arah Timur menghala ke Bengal dan Assam, ke selatan menghala ke Andhra dan Tamil Nadu, ke arah utara menghala ke Kashmir, Ladakh dan Tibet serta ke Barat menghala ke Baghdad dan Mekah.

Pada usianya tigapuluh tahun, Guru Nanak telah hilang dan dikatakan mati lemas sewaktu mandi pagi di Sungai Kali Bein. Selepas tiga hari, beliau muncul  an membuat pengisytiharan bahawa “Tiada Hindu dan tiada Muslim, jadi jalan milik siapa yang harus aku ikuti? Aku bakal mengikuti jalan Tuhan.     

2.2.3 Konsep Tuhan agama Sikh yang unik




Konsep asas agama Sikh adalah berasaskan monotheisme. Namun, konsep Tuhan agama Sikh berbeza dengan agama lain. Ia dikenali sebagai “Ik Oknar” yang bermaksud “Satu Realiti Tertinggi.” Menurut Guru Nanak, proses memahami Tuhan menjangkaui kebolehan manusia tetapi pada masa yang sama, Tuhan dapat dikenali. Ada yang mengatakan seperti fahaman Sufisme, Tuhan wujud dan dapat dikenali melalui kesemua benda yang wujud an dapat dilihat oleh manusia yang telah mencapai kemuncak pencerahan. Guru Nanak mengajarkan bahawa penebusan dosa tidak bermaksud memasuki syurga setelah penghakiman yang terakhir etapi melalui persatuan dan penyerapan ke dalam Tuhan. Penganut Sikh tidak percaya syurga atau neraka.



2.2.4 Keunikan sistem Langar




Konsep “Langar” merupakan konsep makanan percuma yang terbuka kepada  semua orang secara adil dan saksama, menjangkaui batasan kaum, agama atau status sosial. Pada abad ke enambelas di India, ia merupakan konsep yang revolusioner di mana masyarakat pada masa itu masih bersendikan tahap kasta yang berbeza. Melalui aktiviti Langar, hanya sayuran sahaja yang diberikan untuk memastikan bahawa kesemuanya dapat makan secara adil an saksama.



Latarbelakang kemunculan ajaran Sikh telah menarik minat penulis untuk membuat kajian perbandingan mengenai konsep ketuhanan.









3. PERBANDINGAN KONSEP TUHAN ANTARA AGAMA




3.1 Keperluan kepada kepercayaan ketuhanan




Para pengkaji sejarah agama menyatakan bahawa kepercayaan beragama merupakan keperluan kepada semua manusia. Hampir semua kelompok masyarakat mempunyai agama. Samada masyarakat moden mahupun primitif, kepercayaan beragama merupakan  nilai sejagat yang dimiliki oleh mereka. Pemikiran mengenai agama sudah lahir bersama dengan kewujudan manusia itu sendiri. Penemuan arkeologi membuktikan bahawa kehidupan manusia terawal dipengaruhi oleh kehidupan beragama. Selain dari faktor fitrah atau naluri semulajadi manusia yang percaya wujud kuasa di sebalik kejadian alam ini, manusia mengamalkan kehidupan beragama lantaran warisan kebudayaan, factor keselamatan, kesejahteraan, pengukuhan ikatan persaudaraan serta mencari jawapan kepada persoalan mengenai alam dan kehidupan yang sukar dijawab oleh akal manusia. (Shamsul Amri Baharudin, 2012)



Antara faktor menentukan agama seseorang manusia ialah warisan kebudayaan.  Secara kebiasaannya, agama akan diwarisi oleh keluarga, suku kaum atau etnik yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi berikutnya. Sebagai contohnya, etnik Melayu di Malaysia mewarisi agama Islam kerana nenek moyang mereka beragama Islam.



Faktor lain penganutan agama ialah faktor keselamatan. Apabila memeluk sesuatu agama, seseorang akan berasa selamat serta yakin bahawa kuasa agama yang dianutinya akan menjaga keselamatannya, mendapatkan pertolongan dan memberinya perlindungan. Faktor keselamatan ini bukan sahaja setakat di dunia malah juga membawa kepada kesejahteraan di akhirat kerana kebanyakan agama menjanjikan keselamatan hidup di alam yang lain yakni akhirat kepada penganut yang patuh kepada ajaran.



Persoalan mengenai manusia dan hakikat diri, alam sekitar dan perkara-perkara ghaib  yang sukar utnuk dijawab oleh akal manusia yang terbatas menyebabkan manusia bergantung kepada agama bagi memecahkan persoalan dalam kehidupan.  Jelasnya, agama mampu memberikan jawapan kbepada persoalan manusia. Minat kepada kehidupan beragama dalam kalangan manusia juga disebabkan oleh elemen ikatan persaudaraan. Persamaan dalam kepercayaan dan pengamalan sesebuah masyarakat mengikat mereka dalam satu komuniti bermoral. (Shamsul Amri Baharudin, 2012)



3.2 Konsep Tuhan mengikut agama Hindu




Agama Hindu yang dianuti oleh etnik India di Malaysia berasal dari India Selatan. 80% daripada orang India di Malaysia menjalani kehidupan sebagai penganut Hindu. Konsep Tuhan menurut ajaran Hindu berdasarkan kepada kitab-kitab suci mereka. Berasaskan kepada dua mazhab utama agama Hindu iaitu Saivisme dan Vainavisme maka kita akan mengetahui mengenai konsep Tuhan memandangkan kedua-dua mazhab ini yang diamalkan secara berleluasa di negara kita. (Singaravelu Sacithnantham, 2006)



Menurut teks agama Hindu, Tuhan ialah satu kuasa yang abstrak. Tuhan tidak mempunyai bentuk tertentu. Konsep ketuhanan ini ditandakan dengan istilah Brahman. Perkataan Brahman ini boleh disamaertikan dengan istilah Tuhan dalam Bahasa Melayu atau God dalam Bahasa Inggeris. Brahman dikenali sebagai Nirquna Brahman bererti konsep ketuhanan yang abstrak yang juga disebut Nirkara Brahman. Konsep ketuhanan abstrak ini adalah di luar persepsi manusia biasa. Konsep abstrak ketuhanan Hindu ini perlu diperjelaskan agar dapat difahami oleh penganutnya. Bagi mencapai tujuan tersebut, Tuhan diberi nama, rupa dan sifat. Dengan itu, Tuhan yang abstrak dapat dipersepsikan oleh manusia. Dalam tahap ni, Brahman dikenali sebagai Sakuna Brahman yang juga disebut Sakara Brahman. Sifat-sifat unggul seperti Yang Maha Kuasa, Yang Maha Tahu, Yang Maha Besar, Yang Maha Kasih dan sebagainya adalah antara sifat-sifat yang diberikan kepada Sakuna Brahman. Terdapat banyak simbol yang menerangkan konsep ketuhanan dalam agama Hindu. Antara simbol-simbol tersebut ialah patung suci, gambar, lakaran dewa dewi, simbol binatang, tumbuhan, senjata, struktur kuil dan sebagainya. (Sacithnantham, 2006)



Orang Hindu percaya kepada banyak Tuhan. Mereka percaya bahawa setiap kekuatan alam semulajadi samada mendatangkan faedah ataupun membahayakan manusia merupakan Tuhan yang diharapkan pertolongannya.  Sewaktu dilanda kesusahan, orang Hindu akan menyeru nama-nama Tuhan supaya merestui keturunan, harta benda dan menolong mereka menentang musuh. Penyembahan kepada alam tabii ini secara berperingkat-peringkat. Pada mulanya bentuk-bentuk alam yang indah dan menarik perhatian menimbulkan kesedaran beragama kepada mereka. Kekaguman kepada bentuk-bentuk ini menyebabkan mereka bersyukur dan memuji-muji dan menyangka bahawa bentuk-bentuk ini mempunyai roh. Roh-roh ini kemudiaannya diangap mempunyai kekuatan yang tersembunyi di sebalik bentuk yang kelihatan lalu mendekatinya melalui perbuatan ibadat. Mereka mempersembahkan korban dan menganggapnya sebagai Tuhan yang diseru bagi mendapatkan sesuatu hajat. Ini menyebabkan bilangan Tuhan semakin bertambah banyak dalam kalangan mereka. Apabila mereka menyembah mana-mana Tuhan maka ibadat korban akan dipersembahkan. (Sacithnantham, 2006)



Dalam kalangan Tuhan Hindu yang banyak itu, ada di antara mereka yang menjadi ketua dan ada yang diketuai. Maksudnya ada Tuhan yang memerintah dan ada yang diperintah. Tuhan dan dewa yang menjadi ketua merupakan Tuhan segala Tuhan atau dewa kepada segala dewa. Semua Tuhan dan dewa berada di bawah perintahnya. Mereka menamakan Tuhan-tuhan ini sebagai Brahma, Vishnu dan Siva yang disebut tiga dalam satu dan satu dalam tiga. Lima prinsip utama dalam agama Hindu ialah:

1.     Kewujudan Tuhan yang unggul

2.     Manusia itu suci

3.     Perpaduan melalui percintaan

4.     Harmoni agama dan pengetahuan tentang sungai yang suci

5.     Kitab yang suci dan mantera yang suci

Terdapat juga sepuluh disiplin yang bersifat sejagat iaitu:

1.     Kejujuran (satya)

2.     Kesederhanaan (ahimsa)

3.     Tidak berzina (brahmacharya)

4.     Tidak merompak (shaucha)

5.     Kepuasan (shantosh)

6.     Mengaji kitab (swadhyaya)

7.     Penjimatan (tapas)

8.     Doa (pooja)

Sistem kasta terbahagi kepada empat golongan manusia:

1.     Brahman

2.     Kshathriya

3.     Vaisya

4.     Shudra

Dalam Peraturan Manu, tugas golongan di atas adalah seperti berikut:

1.     Brahman menjadi Ketua Agama.

2.     Ksathriya menjadi perajurit

3.     Vaisya golongan petani dan peniaga

4.     Shudra pemberi khidmat kepada ketuga-tiga golongan.

Seorang Brahman mendapat penghormatan daripada semua Tuhan kerana keturunannya. Dia berhak memiliki harta benda Shudra. Seseorang Brahman tidak berdosa sekalipun dia membunuh ketiga-tiga golongan ini. Raja dilantik daripada golongan Kshatriya. Raja mesti dihormati walaupun masih kanak-kanak kerana dipercayai sifat ketuhanan mereseap masuk ke dalam tubuh raja yang menyerupai manusia. Golongan Shudra tidak boleh mengumpul harta sehingga melebihi harta golongan Brahman. (Osman Bakar et.al, 2015)



Bukti kehadiran awal agama Hindu di Tanah Melayu ialah kesan pembinaan Hindu lama di Lembah Bujang, Kedah. Pengaruh Hindu telah bertapak di Tanah Melayu sejak kurun ketujuh lagi. Kesan pengaruh Hindu terhadap orang Melayu dapat dilihat dengan jelas dalam adat resam masyarakat Melayu  seperti dalam upacara perkahwinan, adat bersanding, memakai inai dan menepung tawar. Institusi agama dan pusat ibadat agama Hindu yang terkenal ialah kuil Murugan di Batu Caves, Kuala Lumpur. Terdapat patung Tuhan Murugan di hadapan pintu masuk ke kuil tersebut. Sami ialah ketua agama yang akan mengetuai ritual keagamaan dalam semua upacara keagamaan. Tanda warna pada dahi penganut Hindu disebut pottu. Pottu terdiri daripada pelbagai warna dan dipakai secara berbeza oleh penganut lelaki dan wanita yang belum berkahwin serta wanita yang sudah berkahwin. Antara simbol suci yang banyak digunakan dalam upacara penyembahan dewa ialah susu dan bunga. Tidak menghairankan apabila kita dapati terdapat penjual bunga di sekitar kawasan kuil yang digunakan untuk penganut Hindu bersembahyang. Upacara mandi minyak dengan cara menyapukan seluruh tubuh dengan sejenis minyak pada Hari Deepavali dinamakan Ganga Snanam. Upacara mandi dipercayai dapat menghapuskan dosa penganutnya.  Deretan pelita lampu yang dipasang pada Hari Deepavali melambangkan kejahilan telah diterangi dengan cahaya kebenaran. Thaipusam pula dirayakan oleh mereka dengan pelbagai nazar ditujukan kepada Dewa Murugan. (Shamsul Amri Baharudin. 2012)



3.3 Konsep Tuhan mengikut agama Buddha




Agama Buddha muncul sebagai reaksi terhadap penindasan yang dilakukan oleh golongan Brahman yang menyebabkan golongan lain bangkit menentang terutama daripada golongan Kshatriya terdiri dari anak-anak raja dan perajurit. Pengasas ajaran Buddha ialah Siddharta Gautama yang selalu berfikir mengenai sebab-sebab penderitaan hidup dan kemelaratan. Seorang anak raja yang tidak berpuashati dengan apa yang dilihatnya dan percaya bahawa ada rahsia di sebalik kehidupan mewah beliau di dalam istana. Dalam usianya 29 tahun, Siddharta meninggalkan istana dan hidup dalam keadaan zuhud bagi mencapai maksud mengetahui rahsia alam. Kemewahan hidup ditinggalkan dan memakai pakaian yang koyak rabak, tidur di tempat-tempat yang berduri dan berbatu serta tidak menjamah makanan yang enak. Akhirnya setelah berteduh di bawah sebatang pokok, di hutan Urvella, beliau mendapat pertunjuk yang dicarinya selama itu. Gelaran Buddha bermaksud seorang arif yang bercahaya dan Gautama bererti pendeta diberikan kepadanya oleh pengikutnya. (Ahmad Zaki Abd Latiff, 2012)



Ajaran Buddha tidak mementingkan mengenai konsep ketuhanan dan metafizik kerana berpendapat bahawa manusia bergantung kepada diri sendiri dan bukan Tuhan. Buddha dikatakan tidak pernah mengajar pengikutnya mengenai keimanan kepada Tuhan.  Ada pengikut yang menyebutkan bahawa Buddha bukannya manusia tetapi roh Tuhan telah meresap ke dalam tubuhnya.  Peribadi ketuhanan telah meresap ke dalam peribadi kemanusiaannya sebab itu Buddha tidak bercakap tentang Tuhan kerana dia sendiri adalah Tuhan. (Ahmad Zaki Abd Latiff, 2012)

Agama Buddha merupakan ajaran psikologi dan etika dalam kehidupan manusia dan tidak mengajar mengenai konsep ketuhanan dan metafizik. Tahap pertama untuk membebaskan diri daripada pusingan kelahiran ialah dengan mengamalkan sila atau moral yang tinggi seperti mengawal nafsu, mengelakkan dosa besar dan pengorbanan berdarah. Ini seharusnya diikuti dengan renungan (Samadhi), kesedaran (prajna) mencapai sambodhi iaitu mengetahui kebenaran sepenuhnya dan akhirnya mencapai nirvana iaitu terlepas daripada pusingan kelahiran. Ahimsa bererti menolak penyiksaan (himsa) dan pembunuhan kerana semua makhluk tidak boleh dibunuh. Konsep-konsep tersebut menjadi konsep yang penting dalam agama Hindu. Penganut Buddha juga menggunakan istilah Tri-Ratna bagi merujuk kepada Buddha, Buddha Dhamma dan Sangha. Dhamma merujuk kepada ajaran-ajaran dasar Buddha. Isi kandungan penting ajaran Dhamma dirangkumkan ke dalam empat kebenaran iaitu Dukka, Samudaya, Nirodha dan Marga. (Ahmad Zaki Abd Latiff, 2012)



Dukka ialah penderitaan, kesengsaraan atau perasaan duka. Kehidupan ini adalah satu penderitaan. Kelahiran, usia tua, mendapat penyakit kematian dan kelahiran semula merupakan satu penderitaan. Samudaya pula merupakan punca atau penyebab yang membawa kepada penderitaan. Contohnya, api keinginan cinta, nafsu, gila kekayaan dan lain-lain lagi. Nirodha ialah penghapusan atau pemadaman nafsu. Marga pula ialah jalan atau cara untuk memadamkan nafsu. Menurut Buddha, proses mengawal nafsu boleh dilakukan dengan mengamalkan lapan prinsip seperti berikut:

i.               Kepercayaan yang benar

ii.              Tujuan yang benar

iii.            Pertuturan yang benar

iv.            Perbuatan yang benar

v.              Hidup yang benar

vi.            Usaha yang benar

vii.           Fikiran yang benar

viii.         Renungan yang benar

Lapan prinsip hidup ini boleh dirungkaikan kepada tiga bahagian. Pertama, kepercayaan kepada Buddha Dharma untuk mencapai Nirvana. Kedua, berkelakuan seperti yang telah dilakukan oleh Sangha. Ketiga, melakukan renungan yang baik mengikut Dharma untuk mencapai Nirvana. Menurut Hukum Karma, perbuatan yang baik akan membawa kesan baik manakala perbuatan jahat akan membawa padah. Ketenangan rohani dan kasih sayang terhadap semua yang bernyawa itu yang diajarkan oleh Buddha. Buddha menyeru kepada pembasmian kasta. Bukan semua etnik Cina di Malaysia menganut Buddha kerana sebahagian lagi berpegang kepada ajaran Taoisme, Konfusianisme, Kristian dan Islam. Terdapat juga dalam kalangan orang Cina yang mengamalkan lebih dari dua ajaran seperti Buddha, Taoisme dan Konfusianisme dalam masa yang sama. (Ahmad Zaki Abd Latiff, 2012)



3.4 Konsep Tuhan mengikut agama Sikh




Agama Sikh membentuk kelompok minoriti agama di Malaysia. Penganutnya ialah sebahagian besar etnik India berketurunan Punjabi. Mereka lebih mudah dikenali dengan pemakaian serban dan berjanggut panjang bagi lelaki. Nama akhir lelaki pada kebiasaannya menggunakan perkataan Singh yang membawa maksud singa sementara kaum wanita menggunakan nama Kaur yang bermakna puteri. Guru Nanak telah mengasaskan ajaran Sikh pada tahun 1469. Ajaran ini diteruskan oleh Sembilan orang guru lain. Agama yang percaya kepada satu Tuhan ni mempunyai kitab suci yang bernama Sri Guru Granth Sahib Ji. Kitab setebal 1430 mukasurat ini ditulis dan disempurnakan oleh Guru Sikh serta terdapat di semua Gurdwara iaitu pusat ibadat orang Sikh. Isi kandungan kitab ini ialah ajaran agama Sikh dan mazmur termasuk nasihat untuk kehidupan. Granthi Sahib membaca kitab suci dan menyanyikan kirtan (mazmur) serta menyampaikan katha (syarahan) mengenai ajaran Sikh dalam Bahasa Punjabi. Upavara keagaman biasanya diakhiri dengan bacaan ardas (doa) dengan cara penganut Sikh berdiri sambil merapatkan kedua-dua belah tapak tangan bertujuan memanjatkan kesyukuran, meminta maaf atau meminta sesuatu hajat daripada Waheguru dengan penuh keikhlasan. Guru ka langgar iaitu makanan berupa sayuran dimasak oleh orang Sikh di gurdwara untuk disediakan kepada pengunjung tanpa mengira agama. Symbol keimanan mereka ialah berambut panjang disebut sebagai kesh. Penganut Sikh tidak dibenarkan memotong atau mencukur rambut dan bulu di tubuh mereka. Keingkaran memotong rambut dan bulu dianggap telah melanggar perintah Tuhan. Kangha atau sikat berkait dengan penjagaan kebersihan rambut. Gelang besi yang dipakai di tangan kanan iaitu kara adalah untuk mengingatkan agar tidak melakukan kejahatan  dan melambangkan kepatuhan kepada agama. Mereka memakai kirpan atau pedang kecil sebagai lambang teguh pegangan agama. Seluar khas atau kacha sebagai simbol bersedia pada setiap masa dan ketangkasan pergerakan.  Tujuan semua perkara tersebut ialah supaya penganut Sikh menjaga diri dan tidak melakukan perbuatan yang tidak bermoral seperti berzina. (Shamsul Amri Baharudin, 2012)



Perayaan terpenting orang Sikh ialah Vaisakhi. Perayaan yang disambut pada bulan April setiap tahun ini, orang Sikh mengunjungi gurdwara bersama keluarga dan sanak saudara. Mereka berkumpul di darbar sahib iaitu dewan sembahyang yang menyimpan kitab. Aktiviti keagamaan yang utama ialah amrit sanskar iaitu upacara pembaptisan.  Penganut Sikh memohon amrit iaitu air suci bagi mendekatkan diri kepada Waheguru. Penganut Sikh samada lelaki mahupun wanita boleh menjalani upacara ini pada bila-bila masa tanpa sekatan umur namun perlu kepada persiapan mintal dan fizikal bagi menjalaninya. (Shamsul Amri Baharudin, 2012)



3.5 Konsep Tuhan mengikut agama Kristian




Pada asalnya, ajaran Kristian merupakan mazhab daripada kepercayaan Yahudi yang menerima Jesus daripada Nazareth sebagai Messiah atau Kristus. Sebahagian pengikut Kristian menggelarkanJesus sebagai penyelamat orang Yahudi seperti yang dijanjikan dalam Perjanjian Lama. Pengikut Kristian samada Roman Katholik, Ortodok Timur ataupun Gereja Protestan menerima Doktrin Triniti atau Tritunggal sebagai ajaran utama agama Kristian. Penganut Kristian percaya bahawa selepas berakhirnya kehidupan Jesus Christ di dunia, wujud Tuhan kekal di dunia dalam bentuk Roh Suci atau Roh Kudus yang terdiri daripada tiga makhluk iaitu Bapa, Anak dan Roh Suci. Orang Kristian menganggap Jesus sebagai jelmaan Tuhan iaitu Tuhan yang mengambil rupa manusia dan mempunyai sifat-sifat manusia. Bagi orang Kristian, Jesus meninggal dunia demi menyelamatkan manusia daripada dosa. Jelasnya, Jesus mati untuk menyelamatkan manusia daripada dosa warisan. Doktrin Kristian mengajar pengikutnya bahawa Tuhan menurunkan anaknya, Jesus ke dunia sebagai hamba pilihannya ang dinamakan al-Masih. Tujuannya ialah untuk membantu manusia melakukan tugas keagamaan mereka.   





3.6 Ulasan dan perbincangan




 3.6.1 Perbandingan nama Tuhan




Konsep Tuhan dalam agama Hindu tidak pasti. Ada penganut Hindu yang percaya konsep pantheisme, monotheisme, politheisme bahkan atheism. Ada penganut Hindu yang menyebutkan nama Tuhan mereka sebagai Brahma, Visynu dan Siva. Konsep ini dinamakan sebagai Trimurthi iaitu satu dalam tiga dan tiga dalam satu. Konsep ini menyamai konsep Triniti dalam agama Kristian.



Dalam agama Buddha, Tuhan tidak bernama. Ajaran Buddha tidak pernah menyatakan nama Tuhan dengan mana-mana sebutan tertentu tetapi percaya bahawa Tuhan adalah tidak dilahirkan, tidak dijelmakan, Tuhan Yang Satu dan tidak dapat digambarkan dengan sesuatu apa pun.



Ajaran Kristian menamakan Tuhan dengan pelbagai nama mengikut penganut tempatan. Sebagai contohnya di negara-negara Timur Tengah, mereka menyebutkan nama Tuhan sebagai Allah. Istilah seperti Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Yang Suci namun di negara-negara Barat mereka menyebut sebagai God.



3.6.2 Bilangan Tuhan mengikut agama-agama




Agama Hindu percaya bahawa Tuhan itu satu tetapi terbahagi kepada tiga iaitu Tuhan Brahma, Visynu dan Siva. Nama Tuhan tiga tetapi tetap satu. Ianya merujuk kepada sifat-sifat Tuhan Hindu yang terdiri daripada sifat pencipta dan juga pemusnah. Penganut Hindu percaya kepada banyak dewa yang mewakili kuasa-kuasa alam yang tertentu. Kepercayaan kepada banyak Tuhan dan juga dewa merupakan kepercayaan politheisme iaitu kepercayaan kepada banyak Tuhan.



Ajaran Buddha percaya kepada Tuhan yang satu namun Tuhan tidak bernama dan mempunyai sifat-sifat yang tidak sama dengan sifat-sifat makhluk. Kepercayaan penganut Sikh juga kepada Tuhan yang satu namun konsepnya juga tidak jelas lebih-lebih lagi dikatakan ajaran Sikh merupakan campuran antara ajaran Islam dan Hindu sebagai jalan penyelesaian konflik yang berlaku di negara India pada zaman berkenaan.



Agama Kristian yang memanggil nama Tuhan mereka mengikut tempat-tempat tertentu seperti Allah dan God mendakwa menyembah Tuhan yang satu terdiri daripada tiga oknum. Konsep  Tritunggal merupakan ajaran asas dalam kepercayaan Kristian.



3.6.3 Penjelmaan Tuhan dan perantaraan melakukan penyembahan




Persoalan samada Tuhan menjelma dalam bentuk manusia atau tidak juga merupakan persoalan yang menarik untuk dibincangkan. Sebagai contohnya, apakah wujud Tuhan dalam agama Hindu. Ini adalah kerana penganut Hindu membuat bangunan-bangunan suci, membuat arca atau patung yang melambangkan seolah-olah penganut Hindu menyembah berhala.



Tuhan dalam agama Hindu di dalam Kitab Veda yang digambarkan sebagai Personal God dapat dibahagikan kepada tiga kategori:

1. Penggambaran Antrophomorpic

Tuhan digambarkan sebagai manusia dengan berbagai kelebihan seperti bermata seribu, berkaki tiga, bertangan enpat dan sebagainya.

2. Penggambaran Semianthrophomorphic

Tuhan digambarkan sebagai setengah manusia dan setengah binatang. Hal ini lebih menonjol dalam kitab Purana seperti Ganesha (manusia berkepala gajah), Hayagriwa (manusia berkepala kuda) dan sebagainya.

3. Penggambaran Unantrophomorpic

Tuhan tidak digambarkan sebagai manusia bahkan binatang semata-mata seperti Garutman (Garuda).



Dalam ajaran Buddha, asal usul alam bukan dicipta oleh Tuhan tetapi kerana hukum sebab dan akibat. Dalam ertikata lain, tidak ada kuasa sakti yang menjadi pencipta segalanya. Gautama Buddha mengatakan bahawa pemikiran kita manusia yang menjadikan dunia ini. Buddha   menganggap buah fikiran sebagai pencipta.



Penganut Kristian percaya bahawa Tuhan menghantar anaknya ke dunia untuk menebuskan dosa manusia. Tuhan Jesus disalib dalam bentuk manusia yang dihukum dengan kaedah hukuman orang Rom iaitu tangan dipaku pada salib dan dibakar. Kehendak Tuhan ialah supaya semua manusia diselamatkan daripada konsep dosa warisan yang menyebabkan manusia tercampak ke dunia melalui Nabi Adam akibat godaan Iblis (serpeant) kerana memakan buah terlarang. Islam menjelaskan bahawa seseorang manusia tidak akan menanggung dosa yang dilakukan oleh orang lain. Konsep penjelmaan atau Tuhan mempunyai anak seperti manusia bukan sahaja dipercayai oleh golongan politheisme tetapi juga golongan monotheisme seperti Yahudi dan Kristian. Dewa dan Dewi bercinta, merajuk dan berulang-alik ke kayangan sebagai unsur manusiawi dalam konsep ketuhanan.



4. KONSEP TUHAN AGAMA YANG DIKAJI DENGAN ISLAM




Agama Islam adalah mempunyai konsep kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa. Ini berbeza dengan penganut agama Hindu yang percaya kepada banyak Tuhan atau dewa-dewa, ajaran Kristian yang percaya dengan konsep Triniti atau Tritunggal, ajaran Buddha yang tidak jelas bahkan dikatakan Siddharta Gautama sendiri sendiri tidak pernah menyebutkan mengenai Tuhan walaupun Mazhab Mahayana mengatakan bahawa Gautama tidak menyebut mengenai Tuhan kerana beliau sendiri adalah Tuhan. Agama Sikh dikatakan percaya kepada satu Tuhan namun bukan Tuhan sepertimana yang sepatutnya disembah.

4.1 Tauhid Rububiyyah




Beriman kepada Allah merupakan intipati kepercayaan dalam ajaran Islam. Keimanan kepada  Allah swt dari aspek Rububiyyah iaitu Allah sebagai pencipta, pemilik dan pentadbir alam ini. Aspek Rububiyyah ini diakui oleh orang-orang Arab Jahiliyyah dan juga orang-orang agama samawi namun konsep ketuhanan itu telah disyirikkan. Allah tidak beranak dan diperanakkan sebagaimana pengikut Yahudi mengatakan bahawa Uzair adalah anak Allah dan penganut Kristian menyebutkan Isa bin Maryam sebagai Tuhan Anak yang diturunkan ke dunia bagi menyelamatkan dosa manusia. Allah tidak berkongsi dalam mentadbir alam dan Allah Maha Esa yang tidak serupa dengan makhluk ciptaanNya. Amalan masyarakat Jahiliyyah yang menyembah berhala sebagai perantaraan penyembahan merupakan penyelewengan terhadap konsep ketuhanan yang dibawa oleh Nabi Ibrahim sebelumnya.

 




4.2 Tauhid Uluhiyyah




Keimanan kepada Allah swt melalui konsep Uluhiyyah berpaksikan kepada konsep dua kalimah syahadah jelas menuntut umat Islam agar melakukan penyembahan kepada Allah sahaja yang bukan sahaja dimanifestasikan dalam ibadat khusus semata-mata tetapi juga dalam seluruh aspek kehidupan seperti dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan lain-lain urusan pemerintahan negara.

4.3 Tauhid Asma’ Wa Sifat




Keimanan kepada Allah swt melalui tauhid Asma’ wa Sifat merupakan tauhid yang mengenali Allah melalui 99 nama-nama yang indah dan mulia serta sifat-sifat Allah Yang Maha Suci daripada segala sifat-sifat kekurangan malahan Allah swt Maha Sempurna yang tidak ada cacat cela dengan konsep “al-Kamal lillahi wahdah.” Allah tiada awal dan kesudahan, tidak akan musnah bahkan kekal buat selama-lamanya. Tidak dapat digambarkan dengan aqal manusia sebagaimana titah perintah Allah agar tidak memikirkan akan zat Sllah tetapi manusia digalakkan menggunalkan aqal mereka untuk memikirkan mengenai tanda-tanda kekuasaan Allah melalui ciptaanNya di mukabumi ini.    





5. PENDAPAT PENULIS MENGENAI KONSEP TUHAN AGAMA YANG DIKAJI




5.1 Agama menyembah roh nenek moyang orang Cina.




Selain daripada melawat tokong, orang-orang Cina juga menyembah dewa-dewi dan roh nenek moyang di rumah masing-masing.



Di rumah orang Cina, mungkin terdapat gambar Dewi Guanyin di altar ruang tamu, gambar Dewa Bumi di bawah altar dan satu lagi altar untuk nenek moyang di sebelah kanan altar utama. Selain Dewa Utama, terdapat juga patung berhala yang lebih kecil daripada pelbagai tradisi di atas altar utama. Di dapur pula, terdapat satu altar untuk Dewa Dapur. Dalam upacara penyembahan seharian, penganut akan mula menyembah Tiangong dengan berdiri di serambi sambil menghala ke arah langit, menaikkan colok bernyala yang dipegang untuk beberapa kali sambil bersembahyang. Satu atau tiga batang colok yang dipegang penganut kemudiannya diletakkan di hadapan plak yang bertanda Tianguan Cifu yang lazimnya terletak di bahagian kiri hadapan rumah. Colok-colok itu disembahkan kepada Dewa Syurga dan pegawai-pegawai syurga.

Ternyata bahawa agama tradisional orang Cina Malaysia secara keseluruhannya adalah sinkretik. Ia adalah satu sistem yang bersatu sekalipun tidak dikawal dengan rapimaka merupakan hasil campuran pelbagai agama berkurun-kurun lamanya. Pada asasnya, agama ini merangkumi kultus orang asli Cina dengan kepercayaan dan amalan agama Buddha. Kultus orang Cina merangkumi kedua-dua kepercayaan dan adat agama Taoisme dan kultus lain yang popular.



Sifat agama Cina sinkretik dapat dilihat dalam manifestasi material dan sosialnya. Misalnya, tokong Cina pada umumnya mencerminkan agama Taoisme, Buddha dan tradisi agama Cina yang lain. Oleh sebab agama Buddha di Cina berasal dari India, kebanyakan dewa dan ritual Buddhisme tetap berbeza dengan komponen agama Cina yang lain. Patung-patung Buddha yang terdapat di tokong Cina langsung bukan tokong agama Buddha. Kebanyakan tokong Cina menjadi tempat penyembahan dewa yang boleh disusur kembali pelbagai tradisi yang kini telah digabungkan ke dalam agama Cina.



5.2 Tuhan menurut ajaran Taoisme




Dalam Taoisme, sumber-sumber ketuhanan adalah Tao. Pada dasarnya, Tao diertikan sebagai jalan sebagaimana dijelaskan dalam Tao Te Ching dan buku-buku filsafat Cina. Dewa-dewa diertikan sebagai pentadbir yang dapat berbuat sesuatu kehendak.



Dalam Taoisme, Tao adalah yang menjadikan sesuatu yang tiada menjadi ada. Engadaan ini tidak terlrepas kaitannya antara Tao dengan Te. Te adalah sesuatu yang menyebabkan segala sesuatu yang berupa seperti itu (keadaan). Tao dan Te saling bertalian, keduanya tidak dapat terpisah. Tao ada sebelum adanya langit dan bumi. Tao merupakan sumber segala sesuatu tetapi Tao bukan objek seperti objek-objek lainnya. Segala-galanya berasal darinya tetapi dirinya tidak diasalkan. Tao berpedoman pada spontan (Tzu Jan) . Semua yang terjadi di alam ini, terjadi dengan sendirinya tanpa ada campurtangan dari manapun. Terjadi sesuai dengan kudratnya.