Friday, December 25, 2009

CARA MENETAPKAN MATLAMAT

Kita akan menyambut kedatangan tahun baru 2010 dalam masa beberapa hari lagi. Tahun 2009 sudah pasti meninggalkan kenangan manis mahupun pahit yang barangtentunya menjadi pengajaran dan suri teladan dalam meneruskan sisa-sisa kehidupan walau masih lama ataupun tidak saki-baki nafas kita. Nabi s.a.w. mengingatkan kita supaya membuat perancangan seolah kita akan hidup seribu tahun lagi.

Bersempena dengan terbitnya fajar tahun baru 2010 ini, marilah kita merenung apakah matlamat yang kita tetapkan supaya masa-masa yang akan datang tdak akan berlalu begitu sahaja tanpa perancangan yang rapi.

Saidina Ali menyebutkan selepas berakhirnya Peperangan Siffin dan Majlis Tahkim, “Kebenaran yang tidak terancang akan dikalahkan oleh kebatilan yang terancang.” Demikianlah pentingnya perancangan menurut Islam.

Sebagai permulaan, marilah anak-anak kita merenung kepada matlamat kita. Bagaimanakah cara untuk kita menetapkan matlamat?

1. Tuliskan matlamat anda

Menurut pakar-pakar pengurusan, sesuatu matlamat mesti ditulis. Antara sebabnya ialah supaya kita dapat melihat dengan mata kita yang akan sentiasa mengingatkan kita akan matlamat tersebut. Walaupun kita dapat mengingatkan dalam hati, namun kajian mendapati tulisan kita akan menjadi lebih bermakna dan memberi kesan kepada minda dan jiwa kita. Ini tidak menghairankan kita kerana jelas dapat kita lihat organisasi-organisasi besar menulis dengan cantik akan logo dan “mission statement” mereka dan diletakkan di tempat yang strategic agar dapat dilihat oleh sesiapa sahaja. Oleh itu, matlamat anak-anak jangan disimpan di dalam hati sahaja malah hendaklah ditulis. Bukankah TOV (take off value) dan ETR (expected targeted result) diminta ditulis di kulit hadapan buku nota dan buku kerja supaya sentiasa dapat dilihat? Fikirkanlah matlamat anda dan cuba mula menulis matlamat anda tersebut.

2. Gunakan ayat yang positif.

Matlamat anak-anak hendaklah ditulis dengan menggunakan ayat yang positif. Sebagai contohnya, jangan gunakan ayat atau pernyataan seperti: “Saya tidak akan melepak lagi.” Sebaliknya gunakan ayat seperti:”Saya akan mula membaca buku,” Saya akan membuat semua kerja rumah yang ckgu berikan.”

3. Matlamat mestilah tepat dan mempunyai kerangka masa.

Apa yang dimaksudkan dengan matlamat yang tepat ialah matlamat msti terperinci seperti tarikh, masa dan kuantiti supaya anak-anak boleh membuat penilaian terhadap pencapaian sendiri. Contohnya: “Saya akan melengkapkan tajuk Haji pada 30 April 2010.”

4. Tentukan keutamaan.

Jika anak-anak mempunyai lebih daripada satu matlamat, pastikan anak-anak mengagihkan mengikut keutamaan. Ini membantu anak-anak meringankan beban dan memberi focus kepada matlamat yang paling penting.

5. Matlamat anda mesti realistik.

Matlamat yang anak-anak gariskan mesti realistik maksudnya apa yang anak-anak sasarkan mesti dapat dicapai berdasarkan kemampuan dan realiti serta persekitaran anak-anak.

6. Berdoa minta Allah berikan petunjuk.

Akhir sekali sebagai hamba Allah yang sangat memerlukan pertolongan Allah s.w.t., banyakkan berdoa kepada Allah semoga Allah memberikan ilham kepada kita semua bagaimana menetapkan sasaran atau matlamat dan kaedah terbaik mencapai kejayaan.

Wallahu a’lam bi al-sawab.


No comments:

Post a Comment