Monday, June 29, 2009

ULAMAK OH ULAMAK

Saya amat meminati golongan ulamak. Mereka memiliki keistimewaan tersendiri. Ulamak yang saya maksudkan di sini ialah mereka yang alim dalam bidang pengajian Agama Islam dan saya tidak menolak mereka yang alim dalam bidang lain juga disebut ulamak.

Kata-kata ulamak didengar oleh masyarakat. Tingkahlaku mereka menjadi ikutan. Mereka menjadi sandaran dan rujukan masyarakat.

Ulamak boleh berperanan dalam pelbagai bidang. Ada ulamak yang berkecimpung dalam bidang akademik. Mereka mengajar dan menulis bagi menyebarkan ilmu. Ada ulamak terlibat dalam politik. Rasulullah s.a.w. seorang negarawan dan siasah baginda sangat hebat dan pastinya selaras dengan syarak.

Ulamak yang masuk dalam pilihanraya terlibat dengan kempen. Tujuan kempen ialah untuk meraih sokongan pengundi. Bolehkah ulamak berkempen dengan tidak menggelar parti lawan dengan gelaran yang tidak baik seperti mengamalkan ajaran sesat, sama dengan orang yang memang jelas bercanggah dengan aqidah, bekerjasama dengan orang kafir lebih baik dari bekerja dengan sesama umat Islam? Mungkin akhbar tersilap lapor akan kata-kata ulamak yang tidak selaras dengan Islam.

Ulamak yang menasihatkan supaya bersatu demi kecemerlangan ummah dikatakan ada kepentingan diri untuk pangkat serta kemewahan dunia. Kasihan ummah yang perlukan bimbingan ulamak.

Islam mengajar supaya manusia mengikut wahyu dan menggunakan kaedah menyelesaikan masalah, membuat pilihan yang tepat dan mempunyai kemahiran berfikir.

Thursday, June 25, 2009

KURSUS BIRO TATANEGARA

Biro Tatanegara (BTN) sebuah agensi kerajaan yang melaksanakan program perubahan sikap kepada rakyat Malaysia. BTN telah melaksanakan banyak kursus sejak tahun 80an lagi.

Segalanya bermula dari Unit Belia di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Unit Belia mengendalikan latihan kepada golongan belia sebagai pemimpin masa hadapan.Apabila Dato' Sri Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, beliau berpendapat unit ini sangat penting lantas Unit Belia diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan diberi nama Biro Tatanegara.

Pada tahun 1992, BTN mula melaksanakan Program Bina Negara. Program utama BTN pada masa itu ialah Kursus Bina Negara (KBN), Seminar Wawasan 2020 dan Kursus Bina Negara Kecemerlangan Pelajar (KBNKP).

Kursus Bina Negara (KBN) selama 5 hari 4 malam. Antara tajuk ceramah:

1. Pembinaan bangsa yang maju melalui perubahan sikap berteraskan sistem nilai
2. Dasar-dasar negara ke arah kecemerlangan bangsa
3. Perjuangan dan ketahanan bangsa ke arah pembinaan negara yang bermaruah
4. Pembangunan manusia menurut perspektif Islam
4. Wawasan 2020
6. Ceramah motivasi

Ceramah-ceramah tersebut diselangi oleh aktiviti Latihan Dinamika Kumpulan (LDK) sebagai pengukuhan terhadap isi kandungan ceramah.

Pada tahun 1999, BTN mula menggunakan modul yang dirasakan oleh sesetengah pihak sebagai bersifat 'perkauman', 'racist', chauvinis Melayu dan sebagainmya. Mungkin kerana mereka melihat kepada data-data yang membandingkan pencapaian antara kaum.

Empat tajuk ceramah dalam modul ini:

1. Tanahair
2. Kerajaan
3. Rakyat
4. Kedaulatan

Ceramah tanahair berkisar sejarah. Asas-asas pembinaan negara ditekankan. Negara terjajah selama 446 tahun 7 hari. Kita baharu merdeka lebihkurang 50 tahun. Apa yang penting dalam ceramah ini ialah kefahaman bahawa masa yang diperlukan untuk membina negara hingga menjadi seperti yang ada sekarang in begitui panjang berbanding dengan untuk menghancurkannya kita hanya perlu masa satu hari atau mungkin lebih singkat dari itu. Sudah tentulah sejarah menyebut latarbelakang negara, mengapa Melayu disebut bumiputera, siapa membawa kaum pendatang dan apa yang dilakukan oleh pemerintah supaya ketiga-tiga kaum ini dapat hdup dengan aman. Kefahaman terhadap latarbelakang kaum sepatutnya lebih memudahkan untuk mencapai 1 Malaysia. Kontrak sosial yang dipersetujui sebagai langkah pertama untuk mencapai 1 Malaysia sesuai dengan keadaan semasa.

Ceramah kerajaan mengajak peserta memahami sistem pemerintahan negara. Pilihanraya sebagai cara untuk memilih kerajaan. Setiap rakyat mempunyai hak satu undi bagi menentukan kerajaan. Undi sebagai kuasa rakyat mesti diterjemahkan supaya semua rakyat dapat hidup dengan harmoni. Hak undi bukan milik satu-satu kaum. Kebijaksanaan memilih dipentingkan supaya dapat menjaga hak dan kepentingan semua kaum.

Ceramah rakyat mengajak peserta melihat dan memahami status dan kedudukan semua kaum di Malaysia. Bagi mencapai 1 Malaysia, semua kaum harus mengambiltahu nasib rakan-rakan warganegara Malaysia. Bagaimana cara untuk mengurangkan bilangan penagih dadah Melayu, mengurangkan bilangan pengedar dadah bukan Melayu, kaedah terbaik mengurangkan penerima rasuah Melayu, mengajak bukan Melayu supaya tidak memberi rasuah walaupun diminta oleh Melayu, Melayu harus mengambil contoh bagaimana kaum Cina bersatu menyelesaikan masalah penagihan pil ecstasy anak-anak mereka dengan mengenepikan ideologi politik. Tan Sri Mufti Perak telah menyebut hal ini seperti dilaporkan dalam akhbar harian.

Ceramah kedaulatan menarik konsentrasi peserta supaya mengekalkan kemerdekaan negara. Negara mesti selamat dari ancaman dalaman dan luaran untuk mengekalkan kemerdekaan. Jangan sampai negara kembali ke kancah penjajahan. Kaum Cina pasti tidak dapat melupakan penderitaan nenek moyang mereka sewaktu penjajahan Jepun, orang Melayu pasti serik dengan siri penjajahan termasuk oleh penjajah Siam. Orang India pasti tidak mahu nasib buruk seperti yang dialami oleh nenek moyang mereka dahulu di India (mungkin sekarang). Oleh tu, semua kaum bertanggungjawab menjaga kedaulatan negara dari ancaman musuh.

Tunku Abd Rahman Putra al-Haj mengatakan bagi mengisi kemerdekaan kita memilih buku dan bukan peluru. Kenapa Hindraf memilih kekerasan? Kenapa ada pihak cuba menguji kesabaran dengan cuba membawa Chin Peng kembali semula ke Malaysia? Maka kursus BTN kalau difahami dengan baik akan dapat memberi jawapan kepada persoalan tersebut. Itupun bagi mereka yang mahu berfikir dengan rasional.

Ini adalah pandangan peribadi saya sebagai peminat ceramah dan kursus BTN. Sebarang cadangan amat di alu-alukan.

Tuesday, June 23, 2009

TUAH ATAU JEBAT

Filem Tuah memaparkan pertikaman antara Tuah (P Ramlee) dan Jebat (Ahmad Mahmood). Tuah bersedih atas kematian sahabatnya Jebat tetapi apatah dayaku demikian kehendak baginda Sultan Melaka. Kesetiaan aku kepada baginda adalah segala-galanya kata Tuah. Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah kata Jebat.

Akhir cerita, Tuah termenung lantas berkata,"Siapakah yang benar? Akukah yang benar atau Jebatkah yang benar?"

Sehingga hari ini, polemik orang Melayu tentang siapakah yang benar tidak berkesudahan.

Kita diajar dari sekolah hingga ke universiti sesuatu pegangan mesti berlandas fakta bukan pendapat. Mesti rasional bukan emosional. Mesti guna kepala yang dingin bukan kepala yang panas. Fakta mesti tepat. Kata-kata orang dahulu seperti: kalau mati mana kuburnya? kalau tak percaya ambil kapak belahlah dada. Takkan tempua bersarang rendah. Mungkin hari ini mati dalam kemalangan kapalterbang tiada kuburnya....tidak perlu belah dada kerana ada teknologi canggih, manusia hari ini tidak sempat memerhati burung kerana asyik dengan ICT.

Kalau Tuah bertanya siapakah yang benar, anak cucu Tuah bertanya kamu tidak sedarkah aku lah yang benar. Watak Tuah dan Jebat ada di sepanjang zaman. Maksudnya ada pertentangan, perlawanan, perebutan yang semestinya mahukan kemenangan. Akan diajak supaya musuh leka, kadangkala mengaku saudara, Tuah menghikayat kisah lama sewaktu bersama, dalam leka Jebat dijerat lantas keris Taming Sari menamat riwayat. Apakah perlawanan bermaksud kematian sebelah lawan. Mulanya fitnah orang perantauan akibatnya dua saudara bertikaman. Tuah setia kerana pegangan, Jebat melawan akibat perasaan. Siapakah yang benar?

Mungkinkah itu sudah suratan? Melayu sudah tidak keruan. Tidak berkesudahan....

P RAMLEE PEMIKIR MELAYU

Sehingga ke hari ini,filem-filem lakonan Allahyarham P Ramlee masih diminati. Anak saya yang lahir pada tahun 2000 ketawa terkekeh-kekeh menonton adegan pergaduhan di jeti dalam filem Pendekar Bujang Lapok. Mungkin pembikinan filem tersebut disempurnakan sebelum ayahnya lahir tetapi lawaknya masih relevan hingga kini. Apabila watak Benggali tidak larat mengangkat Sarip Dol untuk dicampakkan ke dalam air kerana sangat berat, Benggali itu pula yang terjun ke dalam air. Sungguh dalam maknanya yang tersirat d sebalik adegan itu bagi mereka yang mahu berfikir.

Allahyarham Tan Sri P Ramlee sememangnya insan seni yang 'gifted' kehebatannya anugerah Allah s.w.t. kepadanya. Mungkin kerja Allahyarham Tan Sri sebagai cara untuk mendapatkan kepuasan seni tetapi kita sebagai peminat lakonan beliau harus melihat kepada mesej dan pengajaran daripadanya. Teguran diberi, kritikan dilempar, nasihat dalam berjenaka, pemilihan kata-kata bagi menggambarkan kebencian terhadap sikap orang Melayu memberi kesan kepada kalbu, ayat yang mungkin sedikit baku (?) masih utuh diucapkan bagi menghantar mesej menegur sikap Melayu yang tidak senang melihat orang lain senang digambarkan melalui tiga orang 'Bujang Lapok' minta kerja di Malay Film Productions

"Lu pun satu orang baru mau minta kerja lu sudah macam-macam cakap apa macam lu punya bangsa mau maju?"

"Bukan bahasa...lu dapat lu makan dia dapat dia makan..apa salah makan sama-sama?"

Watak 'Bai' memberi nasihat kepada orang Melayu. Apakah watak ini masih perlu wujud bagi menyedarkan orang Melayu?

KISAH TIGA LELAKI BANI ISRAEL

Ini adalah sebuah kisah benar. Pada satu hari, Allah s.w.t. telah memerintahkan malaikat untuk bertemu dengan tiga orang lelaki Bani Israel. Ketiga-tiga mereka mempunyai kecacatan masing-masing.Lelaki pertama berpenyakit sopak, lelaki kedua botak dan lelaki ketiga seorang yang buta.

Malaikat yang menyamar seperti manusia bertanya kepada lelaki yang sopak,"Sekiranya Allah ingin menawarkan sesuatu kepada kamu,apakah yang akan kamu pohon kepada Allah?"Lelaki yang sopak menjawab,"Saya ingin kulit saya sembuh dari sopak dan diberi rezeki yang banyak." Dengan kehendak Allah s.w.t., penyakitnya sembuh serta mendapat rezeki yang banyak.

Malaikat tersebut kemudiannya bertanya soalan yang sama kepada lelaki yang botak. Lelaki itu menjawab,"Saya ingin rambut saya lebat supaya kelihatan kacak serta diberikan rezeki yang banyak. Dengan izin Allah s.w.t., lelaki tersebut menjadi kacak kerana tumbuh rambut serta dikurniakan rezeki yang banyak.

Malaikat berkenaan bertanya pula kepada lelaki yang buta juga dengan soalan yang sama. Lelaki buta tersebut sudah pastilahinginkan supaya matanya celik boleh melihat serta diberikan rezeki yang banyak. Allah s.w.t. juga memperkenankan permintaannya kembali celik serta juga diberikan rezeki yang melimpah ruah.

Selang beberapa bulan, Allah memerintahkan semula malaikat untuk berjumpa dengan ketiga-tiga lelaki tersebut. Pada kali ini, malaikat menyamar sebagai peminta sedekah. Dia berjumpa dengan lelaki pertama yang dahulunya sopak dan meminta sedikit wang. Lelaki itu tidak menghulurkan sebarang bantuan sebaliknya mengherdik malaikat. Malaikat pun berkata,"Saya rasa saya kenal kamu. Dahulu kamu sopak dan miskin. Allah telah menolong kamu."Lelaki yang pernah sopak itu tidak mengaku. Allah tarik semula nikmat hingga dia kembali sopak dan miskin.

Kemudian malaikat berjumpa dengan lelaki botak yang telah menjadi kaya dan berambut lebat. Apabila malaikat meminta bantuan, dia juga enggan membantu malahan dia tidak mengaku bahawa dia dahulunya botak. Oleh sebab sombong dan lupa diri, Allah tarik semula nikmat hingga dia kembali botak dan miskin.

Malaikat telah berjumpa dengan orang buta yang telah diberikan penglihatan. Apabila malaikat meminta bantuan, lelaki tersebut memberikan kesluruhan hartanya dan berkata,"Ini semua harta pemberian Allah. Ambillah kesemuanya. Mata saya yang telah celik ini adalah lebih berharga daripada kesemua harta ini." Malaikat tidak mengambil pemberian itu dan memberitahu bahawa dia adalah malaikat yang pernah datang sebelumnya. Kedatangannya pada kali ini ialah untuk menguji siapakah di antara mereka bertiga yang bersyukur kepada Allah s.w.t.

Lelaki buta yang bersyukur itu terus dapat menikmati kekayaan dan penglihatannya. Manakala si sopak dan si botak kekal dengan keadaan asalnya lantaran keangkuhan mereka.



KISAH ABDULLAH BIN UMAR

Pada satu ketika, Rasulullah s.a.w. mengajar para sahabat. Dalam pengajaran tersebut, baginda Rasulullah s.a.w. telah memberi satu teka-teki. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tahukah kamu nama sebatang pokok yang mempunyai seribu kegunaan?" Para sahabat menjawab tidak tahu. Baginda seterusnya menerangkan kegunaan-kegunaan pokok tersebut dan memberi jawaban bahawa pokok yang dimaksudkan tersebut ialah pokok khurma. Setiap bahagian daripada pokok tersebut dapat digunakan oleh manusia. Di dalam majlis ilmu tersebut, Abdullah bin Umar iaitu anak kepada Saidina Umar bin al-Khattab yang pada ketika itu masih kanak-kanak juga berada dalam kalangan sahabat-sahabat yang lain. Kemudian daripada itu, Abdullah bin Umar mengatakan bahawa sebenarnya beliau tahu jawapan kepada teka-teki yang diberi oleh Rasulullah s.a.w. Namun beliau tidak mahu menjawab meskipun tahu jawapannya bagi menjaga perasaan sahabat-sahabat yang lebih tua daripadanya. Ini adalah contoh sikap mulia seorang kanak-kanak yang tidak mahu menjatuhkan airmuka orang-orang yang lebih dewasa keana soalan tersebut boleh dijawab oleh seorang kanak-kanak sahaja. Alangkah moleknya sekiranya sikap mengormati orang yang lebih tuan juga diamal serta dihayati oleh anak-anak zaman millenium ini. Wllahu a'lam.