Friday, December 4, 2009

KISAH ABU NAWAS

Pada satu hari, Khalifah Harun al-Rasyid ingin mengenakan Abu Nawas. Ini adalah kerana baginda sudah banyak kali terkena dengan orang yang bijaksana ini.

Khalifah telah memanggil beberapa orang pemuda dan memberi mereka sebiji telur setiap seorang.

Baginda pun kemudian memerintahkan agarAbu Nawas datang mengadap ke istana khaiifah.

Setelah Abu Nawas sampai, baginda pun memerintahkan Abu Nawas bersama-sama dengan beberapa orang tadi supaya menyelam ke dalam kolam dan apabila keluar dari kolam tersebut membawa bersama sebiji telur ayam setiap seorang.

Semua pemuda yang menyelam telah keluar dengan menunjukkan telur ayam kepada khalifah. Namun Abu Nawas gagal menunjukkan telur ayam kepada baginda.

Sebagai seorang yang bijaksana, Abu Nawas pun terus bertenggek di atas sebuah batu besar sambil berkokok.

Berasa pelik dengan perbuatan Abu Nawas itu, khalifah pun bertanya, "Wahai Abu Nawas, apakah yang kamu lakukan itu?"

Abu Nawas menjawab, "Wahai khalifah! Patik adalah ayam jantan sementara pemuda-pemuda yang menyelam bersama-sama patik tadi merupakan ayam betina. Sebab itulah mereka ada telur sementara patik tidak ada telur kerana patik ayam jantan."

Mendengar kata-kata Abu Nawas itu, baginda khalifah pun tertawa.

No comments:

Post a Comment