Sunday, December 27, 2009

DOA IBU UNTUK ANAKNYA

Al-Rubai binti An-Nadhr ialah seorang wanita yang solehah. Adik-beradik beliau ialah Anas dan Ummu Hakim. Bapa saudaranya ialah Anas bin Malik iaitu seorang perawi hadis. Beliau adalah pembantu kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Ar-Rubai merupakan antara wanita yang awal memeluk Islam. Beliau berkahwin dengan Suraqah bin al-Haris an-Najjari. Hasil perkahwinan mereka lahir seorang anak lelaki yang diberi nama Harisah.

Ar-Rubai atau dikenali dengan panggilan Ummu Harisah adalah seorang ibu yang bijak dalam mendidik anaknya. Beliau selalu mendoakan agar anak lelakinya itu menjadi seorang pahlawan Islam yang handal apabila dewasa nanti.

"Harisah, sekarang kamu sudah besar. Ibu mahu kamu ikut Nabi Muhammad berperang," kata Ummu Harisah kepada anaknya.

"Ibu, saya belum biasa memegang pedang. Apatah lagi menunggang kuda atau memanah," balas Harisah pula.

"Itu tidak menjadi masalah wahai anakku. Nabi Muhammad s.a.wuu. boleh menolong kamu. Ibu percaya Nabi Muhammad boleh menyelesaikan masalah kamu ini," kata Ummu Harisah.

"Baik ibu. Saya akan belajar bersungguh-sungguh teknik dan cara peperangan yang betul," jelas Harisah dengan bersemangat.

Harisah seorang anak yang soleh dan taat kepada ibunya. Berkat nasihat dan doa dari ibunya, Harisah akhirnya menjadi seorang pemuda yang gagah berani.

Anaknya itu tidak gentar menghadapi musuh. Bahkan dia sering mengharapkan untuk mati syahid di medan perang.

Pada suatu hari Nabi Muhammad berjumpa dengan Harisah lalu bertanya, "Apa khabar sekarang?"

Lalu Harisah menjawab, "Saya sihat dan sejahtera ya Rasulullah. Saya kini sudah benar-benar merasakan betapa agungnya nikmat yang Allah berikan kepada saya. Hidup dan mati saya hanya kerana Allah," kata Harisah.

Nabi Muhammad pun berkata lagi, "Hati awak kini sudah dipenuhi dengan keimanan kepada Allah".

Harisah bertambah semangat mendengar kata-kata Nabi Muhammad lalu dia menyambung lagi, "Wahai Rasulullah! Tolong doakan semoga saya berjaya mengalahkan musuh di medan perang. Sekiranya saya gugur di medan perang, doakan saya gugur sebagai seorang pahlawan Islam yang syahid".

Nabi Muhammad pun mendoakan semoga Harisah menjadi seorang yang syahid dalam peperangan melawan musuh Islam. Tiba masanya tentera Islam menghadapi musuh di Perang Badar iaitu pada tahun 2 Hijrah. Ummu Harisah tidak mahu anaknya melepaskan peluang keemasan itu untuk berperang bersama Nabi s.a.w. dan para sahabat baginda.

"Wahai Harisah, pergilah ikut Nabi Muhammad dan tentera Islam yang lain ke medan perang Badar. Berjuang sehabis-habisan demi menegakkan agama Islam," kata Ummu Harisah kepada anaknya.

"Doakan semoga tentera Islam berjaya di medan perang Badar wahai ibu," kata Harisah sambil berjabat tangan lalu mencium tangan ibunya.

Harisah pun berangkat bersama angkatan tentera Islam ke medan Perang Badar.

Berkat doa Nabi Muhammad akhirnya Harisah mati syahid di medan Perang. Berita kematian anaknya sampai kepadanya. Ummu Harisah menerima berita itu dengan tenang. Dia berdoa semoga anaknya dimasukkan ke syurga.

Ummu Harisah terus berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w. lalu berkata, "Ya Rasulullah! Bagaimana keadaan Harisah sekarang? Sekiranya dia kini berada di syurga alangkah gembiranya saya. Tetapi jika sebaliknya saya amat sedih mendengar kematiannya".

Rasulullah s.a.w. tersenyum lalu baginda bersabda, "Wahai Ummu Harisah, anak kamu kini sedang berseronok di dalam syurga Firdaus".

Alangkah gembiranya hati si ibu apabila mendengar Rasulullah s.a.w. menyebutkan demikian mengenai anaknya itu.

"Alhamdulillah. Cita-cita Harisah untuk mati syahid akhirnya tercapai. Harisah kini bahagia di syurga yang paling tinggi," kata Ummu Harisah sendirian.

Ummu Harisah juga meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w. sepertimana juga Anas bin Malik r.a.

Sepanjang hidupnya Ummu Harisah banyak menghabiskan masa dengan melakukan amal ibadah kepada Allah.

Alangkah berbahagia ibu dan anaknya ini yang berada di dalam keredhaan Allah s.w.t. Kasih ibu membawa ke syurga.

No comments:

Post a Comment