Sunday, December 6, 2009

BENGKEL MATEMATIK KAEDAH MOKHDAR

Hari ini 6 Disember 2009, saya ke Kluang untuk menghantar dan menunggu anak saya Farhani mengikuti Kursus Kaedah Mokhdar di Sekolah Rendah Agama Bersepadu. Sessi pendaftaran bermula pada jam 2.30 petang.tetapi kami sampai awal lebihkurang jam 12.00 tengahari. Tujuan pergi awal supaya dapat mengenalpasti lokasi tempat kursus dan dapat mengetahui tempoh masa yang diambil untuk berulang-alik dari Pekan Nanas, Pontian ke Bandar Kluang. Saya akan berulang-alik dari rumah ke Kluang dari 6 hingga 12 Disember 2009. Kerja rumah Tuisyen Kumon di Taman Universiti bagi kelas Hari Isnin dan Khamis minggu selepasnya telah pun kita ambil.

Bayarannya hanya RM400.00 sahaja. Ini kos pengajiannya sahaja tidak termasuk petrol dan tol. Beginilah senario zaman ini di mana terdapat banyak peluang untuk kita menimba ilmu selain di sekolah. Malam sebelumnya saya membuat carian di internet mengenai Kursus Penulisan Ilmiah. Walaupun saya pemegang Ijazah Pertama, kerja-kerja penulisan ilmiah telah lama saya tinggalkan. Entah macam mana, timbul pula minat untuk mencuba menulis artikel-artikel ilmiah bermula dengan yang pendek-pendek dahulu.

Bila saya search Kursus Penulisan Ilmiah, saya terjumpa iklan bagi mengikuti kursus tersebut di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur yang menelan kos sebanyak RM1280 (tanpa penginapan) dan kalau ada kemudahan penginapan berjumlah lebihkurang RM1780.00. saya pun berkata dalam hati, itulah harga yang mesti dibayar bagi memperoleh sesuatu ilmu atau kemahiran. Betullah kata yang selalu didengar, ”Knowledge is power.” Bukan sedikit pengorbanan yang diperlukan untuk menuntut ilmu.

Kalau saya ada wang nanti saya akan ikuti kursus itu mungkin di tempat dan masa yang lain. Cuba kita bayangkan, bagaimana pula harga pakej latihan yang harus dilalui oleh mereka yang ingin menjadi pelakon, penari, kursus nyanyian dan lain-lain kursus seni. Tidak ada yang percuma sekarang ini, pengorbanan masa, tenaga dan pastinya wang ringgit sangat dituntut kepada ibubapa yang inginkan kejayaan anak-anak.

Pengorbanan untuk menuntut ilmu memang sangat perlu dari dulu hingga kini.Kalau kita melihat kepada sejarah Imam Syafie, salah satu sifat yang perlu kita contohi ialah kegigihan menuntut ilmu dan kesanggupan beliau mengembara mencari guru bagi memantapkan ilmu sedia ada.

Sekadar contoh, Napoleon Bonaparte ketika zaman remaja, lantaran kemiskinan hidup pernah terpaksa membuat pilihan samada untuk membeli makanan atau membeli buku Ketabahan menghadapi semua itu menjadikannya seorang yang lasak dan mampu bertahan untuk terus memacu kejayaan dalam hidup.

Apa yang penting juga sekarang ialah kaedah belajar, kaedah mengajar dan pembinaan modul yang dapat memantapkan kefahaman pelajar. Jangan ibubapa lupa sesungguhnya sessi pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas tidak boleh langsung ditinggalkan. Kursus-kursus anjuran swasta hanya sebagai supplement kepada aktiviti di sekolah.

Sekadar renungan, seorang bekas rakan sekelas isteri saya memberitahu isteri saya, “Sekarang ini kalau tak hantar anak-anak ke tuisyen tak boleh nanti tak cemerlang.” Dan wanita itu isteri kepada seorang kontraktor. Kadang-kadang berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya yang cetek ini, kontraktor lahir dari kalangan pelajar yang tidak cemerlang sewaktu di sekolah namun syukur kerana mereka dapat menjadi orang. Program tambahan seperti ini memang perlu terutama di waktu cuti persekolahan panjang bagi mengisi ruang waktu secara bijaksana.

Jangan nanti kelas tuisyen yang dianjur oleh pihak sekolah dipandang sepi sebab yang mengajarnya hanya CIKGU dan bayarannya hanya RM10 sahaja tetapi bukan “pakar motivasi” atau “pakar kaedah” yang bayarannya ratusan malah mungkin mencecah ribuan ringgit.

Apa yang jelas, masing-masing ada peranan tersendiri. Sekian catatan dari Kluang sementara menunggu Farhani menamatkan sessinya pada petang ini. Wassalam.

No comments:

Post a Comment