Tuesday, December 29, 2009

DOA MESYUARAT GURU PERTAMA 2010

Ya Allah kami merafakkan kesyukuran di atas keizinan-Mu untuk kami meneruskan perjuangan hidup pada tahun 2010 dengan penuh kenikmatan dan kesejahteraan . Segala puji dan puja pada Mu Ya Allah Engkau izinkan kami menghadirkan diri , emosi dan roh kami supaya kami dapat menyempurnakan tugasan dan amanah dengan jaya.

Justeru itu, kurniakanlah kami kecintaan, keinginan dan kecenderungan bekerja dengan penuh iltizam dan dedikasi untuk mencapai kecemerlangan sepanjang tahun. Kurniakanlah kepada kami kesatuan hati dan perasaan dalam mengurus dan mengemudi organisasi kami ke arah memberikan kualiti pendidikan terbaik sepertimana hasrat kerajaan yang didokong bersama tanpa mengira latarbelakang dan kepercayaan anak murid kam

Jadikanlah kami para guru sentiasa ikhlas sewaktu melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran, sentiasa memberi galakan dan pengharapan kepada anak didik kami, bersaing ke arah kecemerlangan secara sihat tanpa meninggalkan perasaan sentiasa ingin menghulurkan bantuan demi merealisasikan institusi pendidikan kami sebagai sebuah institsi kemasyarakatan yang disegani.

Jadikanlah kami pada awal tahun kebaikan, di pertengahannya keberkatan, dan disudahi dengan keampunan-Mu . Dan juga jadikanlah hari-hari yang kami lalui sepanjang tahun 2010 permulaannya hidayah, pertengahannya kemenangan dan diakhiri dengan kecemerlangan .

Ya Allah, kurniakanlah kami kekuatan kesatuan ashabul kahfi, sehingga kami mampu menunaikan segala tanggungjawab dan amanah menerusi kerja berpasukan , Suburkanlah hati-hati kami dengan berbaik sangka ,berlapang dada, bantu membantu, sokong mendokong rakan seperjuangan kami sehingga kami dapat menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul.

Ya Allah, jadikanlah tahun ini lebih baik dari tahun-tahun lepas dan jadikanlah hari-hari yang mendatang lebih baik daripada hari-hari yang telah berlalu. Amin Ya Rabbal Alamin.


No comments:

Post a Comment