Wednesday, December 9, 2009

KUASA PENGETUA DAN GURU BESAR

Pengetua dan guru besar mungkin diberi kuasa untuk mengambil dan memecat mana-mana guru pada masa akan datang. Demikian dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia 9 Disember 2009.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi ketika membayangkan perkara itu berkata, kuasa berkenaan boleh 'diperturunkan' kepada pengetua dan guru besar memandangkan mereka lebih mengenali prestasi setiap guru.

"Kemungkinan suatu hari nanti mereka (pengetua dan guru besar) boleh mengambil dan memecat. Ia bagi membantu mereka mengenal pasti guru yang berdedikasi dalam membantu mewujudkan sekolah yang cemerlang," katanya.

Menurut Dr Mohd. Puad, langkah luar biasa itu adalah sebahagian daripada usaha kementerian tersebut untuk melakukan revolusi dalam bidang pendidikan negara.

Apabila kuasa itu diperturunkan, sudah pasti segala-galanya akan dikaji berdasarkan peruntukan sedia ada dalam undang-undang dan juga beberapa peruntukan atau proviso yang akan diperkenalkan atau digubal bagi meningkatkan tahap professionalisme guru-guru Malaysia.

Pengetua dan Guru Besar yang diberi kuasa itu juga boleh dicabar keputusan mereka. Mereka boleh didakwa dan mungkin juga boleh di saman sekiranya melakukan perkara yang tidak sepatutnya mereka lakukan. Pengetua dan Guru Besar yang demikian sifat dan kuasanya juga mesti dipilih dari kalangan mereka yang cemerlang dan bukan sekadar melihat kepada kekananan atau senioriti semata. Ramai pengetua kini yang dilantik adalah pemegang Ijazah Sarjana Kepengetuaan IAB ada di antaranya berada pada Gred 52 iaitu hampir setaraf dengan sebahagian Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Persekutuan.

Kita masih ingat bagaimana seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota, Jalan Gambang mengemukakan saman RM228,000 terhadap pengetua sekolah terbabit kerana didakwa menjejaskan reputasinya. Guru tersebut Rozilah Abdullah, 37, yang memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen melalui Tetuan Balkhis Alias & Co pada 12 Ogos lepas menamakan pengetua, Aluwiyah Osman sebagai defendan. Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada hari sebelumnya, namun Hakim Hassan Abdul Ghani kemudian menetapkan 5 November ini sebagai sebutan semula selepas wakil Pejabat Peguam Negara memohon tempoh masa untuk memfailkan pernyataan balas terhadap tuntutan saman berkenaan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Rozilah mendakwa pada 24 Julai tahun lepas, defendan memalukannya di hadapan guru lain dengan menuding jari ke arahnya serta menyatakan beliau enggan mematuhi perintah defendan. Rozilah mendakwa defendan telah membuat satu laporan terhadapnya dan berikutan itu seorang kaunselor daripada Pejabat Pelajaran Daerah Kuantan memanggilnya ketika beliau sedang mengajar memaklumkan satu laporan telah dibuat terhadapnya. Rozilah, yang telah bertugas selama 13 tahun sebagai guru, mendakwa akibat laporan defendan, beliau telah menerima surat bertarikh 13 Februari 2009 yang menyatakan tiada pergerakan gaji bagi beliau untuk tahun 2009

Oleh itu, sebarang kuasa yang diperturunkan adalah untuk memartabatkan profession perguruan dan harus digunakan secara bijaksana.

No comments:

Post a Comment