Sunday, December 27, 2009

NIKMAT AKAL

Saidina Ali karramallahu wajhah telah berpesan kepada anak baginda iaitu Hasan bin Ali. Kata baginda, "Akal adalah kekayaan yang paling besar diberikan oleh Allah kepada manusia."

Manusia dilantik oleh Allah Taala sebagai khalifah di atas mukabumi ini. Perlantikan sebagai khalifah ini bersesuaian dengan fitrah penciptaan manusia itu sendiri. Allah menghendakki insan menjadi khalifah lantaran itu Allah Taala mempersiapkan manusia dengan segala sifat-sifat yang melayakkan insan melaksanakan tugas sebagai khalifah.

Di dalam Surah al-Baqarah, Allah Taala telah menjelaskan bahawa Dia akan menciptakan insan sebagai khalifah di atas mukabumi. Para malaikat yang inginkan penjelasan lanjut bertanya kepada Allah apakah akan dijadikan sejenis makhluk yang nantinya melakukan kerosakan di atas mukabumi dan menumpahkan darah. Allah Taala menjawab bahawa Dia Maha Mengetahui apa yang tidak diketahui oleh semua makhlukNya.

Kemudiannya, Allah Taala telah memerintahkan Adam supaya mengajar kepada para malaikat nama-nama kesemuanya (al-asma'a kullaha). Kemampuan insan memberikan nama atau memberikan makna inilah yang melayakkannya menanggung tugas sebagai khalifah.

Antara tugas utama kekhalifahan insan ialah memakmurkan alam. Bagi melaksanakan tugas memakmurkan alam, insan diberikan akal. Dengan akal, insan mempunyai sudut pandangan (world view), mampu mentafsir, boleh menjangka dan meramal, membuat kesimpulan, mempunyai sifat ingin tahu bagi mencari jawapan kepada setiap persoalan yang wujud di alam nyata. Dengan kekuatan akal juga, insan bisa mencipta idea mahupun alat sebagai memenuhi fungsi kreativiti, berkeupayaan untuk melakukan penambahbaikan agar dapat melakukan inovasi dan kemampuan imaginasi menjadikan mimpi sebagai realiti.

Apa yang pada suatu ketika dahulu hanya mimpi seperti angan-angan manusia untuk terbang setelah melalui proses kreativiti dan inovasi telah membawa kepada penciptaan pesawat terbang. Angan-angan untuk berjalan meneroka alam di dalam lautan seperti yang diimpikan dalam buku Round The World In Eighty Days telah menjadi kenyataan pada hari ini.

Sekiranya insan tidak diberikan akal oleh Allah Taala maka kesemuanya ini tidak akan berlaku.

Dalam konteks ibadah khusus pula, akal berperanan dalam menentukan samada seseorang hamba wajib melaksanakan ibadah atau tidak. Muslim yang tidak berakal tidak diwajibkan untuk melakukan ibadat-ibadat tertentu. Solat tidak wajib ditunaikan oleh mereka yang hilang akal atau tidak siuman sementara ibadat haji terangkat kefarduannya kepada mereka yang tidak cukup akalnya.

Insan terbeza dengan haiwan kerana kemampuan akal, malaikat tidak diberi peluang memakmurkan alam kerana diciptakan bukan untuk berfikir bahkan untuk menurut sahaja tanpa bantahan, iblis tidak layak lantaran diciptakan daripada api yang panas membakar pastinya tidak setanding dengan kemampuan akal insan.

Islam juga mengharamkan pengambilan makanan dan pengamalan aktiviti yang bole merosakkan kehebatan akal.

Di dalam al-Qur'an, banyak ayat-ayat yang mencabar insan supaya menggunakan fakulti akal mereka dengan ayat-ayat seperti,"Apakah kamu tidak berfikir?" "Apakah kamu tidak berakal?""Ambillah pengajaran wahai orang-orang yang mempunyai pandangan""Ambillah iktibar wahai orang-orang yang mempunyai pengetahuan."

Di antara kebijaksanaan akal ialah mengetahui batas kemampuan akal yang dijadikan Allah s.w.t. dan wahyu mesti memandu perjalanan akal. Wallahu a'lam.










No comments:

Post a Comment