Wednesday, May 18, 2011
SEJARAH NEGARA BANGSA
Wujudnya Nusantara Melayu atau kelompok Melayu sememangnya tidak dapat dinafikan samada melalui bukti geografi mahupun dari aspek pensejarahannya. Gugusan Kepulauan Melayu atau nusantara juga disebut Malay Archipelago dapat dilihat menerusi dokumen yang dihasilkan oleh bekas penjajah seperti Portugis, Belanda dan Inggeris.
Ahli arkeologi telah pun memberitahu kita akan penemuan-penemuan yang mempunyai nilai yang tinggi dalam mengesahkan kewujudan bangsa serta tamadun Melayu di rantau ini. Tertubuhnya kerajaan-kerajaan besar Melayu sezaman dengan zaman Jahiliyyah di negara Arab dan Kesultanan Melayu Melaka mempunyai asas yang kukuh dari perspektif kajian ilmiah dan sumber yang sahih.
Namun Gugusan Kepulauan Melayu atau Nusantara ini telah dibuat persempadanan bermula dengan kehadiran golongan pedagang dan peniaga dari Timur (China) dan Barat (Belanda, Inggeris dan Perancis). Dengan jatuhnya Kerajaan atau Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511, sempadan politik dan budaya mengalami perubahan yang ketara. Penjajah melaksanakan agenda ekonomi mereka dengan membawa kaum pendatang iaitu kaum Cina dan India ke Alam Melayu.
Penjajah melaksanakan dasar "pecah dan perintah" demi kepentingan mereka. Lantas ia telah mengubah landskap budaya, sosioekonomi dan sosiopolitik. Maka identiti kaum dikenali melalui aktiviti ekonomi yang dikhususkan iaitu orang Melayu di luarbandar sebagai petani dan nelayan tradisional, orang Cina berniaga di bandar dan kaum India sebagai pekerja ladang.
Kebijaksanaan pemimpin negara, wujudnya Perlembagaan Persekutuan dan Rukunegara, rakyat pelbagai etnik menerima dengan baik segala dasar dan rancangan kerajaan telah meletakkan negara dalam keadaan yang stabil hingga hari ini. Cuma ada pihak yang cuba "mengeruhkan" hubungan yang jernih ini dengan ancaman demonstrasi yang diimport dari luar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment