Friday, May 20, 2011

JAWABAN KEPADA PROF ABD AZIZ BARI



Profesor Dr Abdul Aziz telah membentangkan kertas bertajuk ‘Tahap-Tahap Kritikal dalam Sejarah Perlembagaan Malaysia’ pada Bengkel Asas Perlembagaan anjuran bersama Persatuan Ulama Malaysia dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia di Shah Alam.

Prof: Orang Melayu akan terus mundur dan terpinggir jika mereka enggan berubah, malah akan terus menjadi peminta serta dipergunakan parti pemerintah sekarang.

Jawab saya: Orang Melayu akan terus mundur sekiranya tidak ada pembelaan yang mampu dilakukan. Sedangkan negara ini diperintah oleh kerajaan yang berteraskan UMNO , nasib orang Melayu masih ketinggalan berbanding kaum lain apa jaminan kita bahawa penukaran kerajaan akan dapat menjamin orang Melayu akan berubah nasib ke arah yang lebih baik? Tun Dr Mahathir telah cuba mengubah sikap orang Melayu selama 22 tahun namun sikap “berpuashati” mereka melekakan bangsa. Dapat tanah, mereka jual untuk mendapat keuntungan jangka pendek. Masihkah salah kerajaan lagi?

Prof: Umno masih lagi bercakap soal peruntukan perlembagaan mengenai Islam dan Melayu selepas lebih 50 tahun merdeka adalah bukti yang menunjukkan mereka gagal menjalankan amanah yang diberi selama ini.

Jawab saya: Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang selama ini menyebabkan kita mempunyai kekuatan untuk mempertahankan aqidah umat Islam di negara kita. Cuba bayangkan sekiranya tiada peruntukan yang mengaitkan taraf Melayu sebagai beragama Islam maka sudah ramai yang “murtad” secara terang-terangan. Persatuan Melayu Kristian akan wujud tanpa ada sekatan mana-mana pihak lantaran Melayu “dibenarkan” menganut agama lain. Kita tidak nafikan soal penghayatan Islam sebenar masih belum meresap jauh ke dalam akar amalan umat Melayu namun pihak kerajaan sejak dari awal-awal lagi telah menyediakan peruntukan yang dapat menghalang murtad secara terang-terangan dan beramai-ramai. Usaha selanjut dan seterusnya adalah tugas dakwah kita semua dalam kadar kemampuan kita.

Melalui kuasa yang ada dalam Perkara 3, orang Melayu boleh berdakwah kepada bukan Melayu sebaliknya adalah menjadi kesalahan besar kepada orang yang cuba mengajar ajaran agama lain kepada orang Melayu. Gerakan dakyah Kristian melakukan uasaha pengkristinian secara senyap, tersusun dan membayar dengan harga yang tinggi bagi mereka yang berjaya mengeluarkan seorang Melayu dari agama Islam walaupun diakui umat Melayu juga semakin jauh daripada pengamalan dan penghayatan Islam.
perlembagaan juga menyebutkan bahawa orang Melayu itun tidak boleh ditukar iktiqad mereka kepada yang selain daripada Islam.

Sesungguhnya Islam adalah agama bagi Persekutuan maknanya bagi negara ini, kalau dulu Persekutuan Tanah Melayu kini Malaysia, konsepnya masih sama iaitu agama bagi persekutuan (federalism) dan Ketua Agama bagi negeri-negeri adalah Raja-raja Melayu.

Perkara 3 ini juga kemudiannya telah menaiktaraf Mahkamah Syariah. Kalau sebelumnya keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah boleh dibatalkan oleh Mahkamah Sivil kini sebarang kes yang dibicarakan di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah tidak boleh dibawa ke Mahkamah Sivil.

Bila Ahli Parlimen tidak cukup 2/3 untuk menyokong, bagaimana kita mampu bercakap mengenai apa sahaja cadangan pelaksanaan Islam yang kita hajatkan?

Kalau dulu, sebarang rancangan kerajaan untuk membantu Melayu disokong dengan secara angkat tangan oleh Ahli Parlimen dari kalangan bukan Melayu kini siapakah yang akan menyokong dasar kerajaan membantu Melayu/Bumiputera dalamm keadaan perpecahan serta persengketaan bangsa sendiri? Sepatutnya kita fikirkan bersama bagaimana menggunakan ruang yang ada dalam Perlembagaan setakat mana kita masih ada kuasa, untuk memperbaiki keadaan lantaran inilah sistem yang kita ada sekarang. Kecuali lah kita tidak mahu menggunakan demokrasi dalam mendaulatkan Islam. Saya teringat seorang sahabat baik saya yang kini bertugas sebagai GPK di sebuah sekolah di Perak menanyakan soalan kepada pensyarah sewaktu zaman muda dulu: Bolehkah kita menegakkan Negara Islam dengan cara pilihanraya atau kita ikut Pakistan yang melakukan rampasan kuasa dan mengaku menegakkan Negara Islam era Zia ul Haq. Sepatutnya dalam negara yang perlu kepada suara ramai tugas kita ialah mengajak kepada perpaduan ummah pasti atas dasar ukhuwwah Islamiyyah.

Prof: Orang Melayu perlu nekad dan berani berubah kerana mereka sudah terlalu lama dikecewakan. Dan sekarang mereka diancam dengan pelbagai jenis ugutan dan kebimbangan yang tidak pun wujud seperti kononnya Kristian akan dijadikan agama rasmi Malaysia.
Jalan di hadapan, tambahnya, ialah orang Melayu perlu membuat perubahan kerana selama ini mereka jelas tidak ke mana-mana.


Jawab saya: Siapa yang mengecewakan orang Melayu? Bukankah lahirnya tycoon Melayu atas bantuan kerajaan? Bukankah Prof menjadi pensyarah kerana wujudnya universiti yang ditubuhkan oleh kerajaan? Kita pasti pernah melihat bagaimana kanak-kanak Palestin yang ditahan daripada pergi ke sekolah oleh tentera Yahudi dan akhirnya belajar di kawasan mereka ditahan tersebut. Kegigihan menuntut ilmu telah menyenaraikan bangsa Palestin antara yang paling ramai memiliki ijazah Ph.D di dunia. Namun kemudahan yang diberi kerajaan kepada bangsa Melayu tidak dihargai sekurang-kurangnya menghadiahkan kejayaan mereka kepada pihak penaja yang menanggung pengajian mereka.

Mengenai agenda Kristian menjadikan Malaysia sebagai pusat Kristian yang kebetulan berada pada Garisan Khatulistiwa telah banyak dibincangkan dalam seminar gerakan tersebut dan diketahui ramai. Pairin Kitingan bertaraf paderi dan kini adakah Lim Guan Eng pula meneruskan kesinambungan itu?

Prof: Sekarang ini wujud pula satu aliran yang kononnya hendak mempertahankan perlembagaan, termasuk Perkara 153 yang memperuntukkan kedudukan istimewa Melayu.
Kita jangan menganggap peruntukan perlembagaan itu semacam tangkal dan azimat yang digantung di muka pintu dengan harapan membawa faedah dan berkat.
Peruntukan itu akan tinggal peruntukan yang tidak mempunyai makna apa-apa sekiranya orang Melayu tidak bekerja kuat dan bebas berfikir.

Jawab saya: Menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mempertahankan kebaikan, keamanan yang kita nikmati hari ini hasil permuafakatan hingga melahirkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukunegara. Kerajaan sejak dari dulu melalui agensinya menyediakan latihan semangat sepasukan dan latihan perubahan sikap maka rakyat mesti memanfaatkan segala ilmu dan maklumat bagi meningkatkan kualiti diri.

Sepatutnya sebagai pakar Perlembagaan di samping mahir dalam menghurai proses penggubalan dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, kita juga sepatutnya faham akan agenda orang yang ingin melumpuhkan kestabilan politik, ekonomi dan segala-galanya.

No comments:

Post a Comment