Saturday, May 14, 2011
NABI YUSUF DENGAN KEPELBAGAIAN PERANAN DAKWAH
Nabi Yusuf a.s. merupakan antara contoh seorang Nabi dan Rasul yang berperanan dalam pelbagai tugasan daripada pentafsir mimpi, Menteri Kewangan, perancang dan peramal serta penganalisis ekonomi dunia, kepakaran baginda yang multi dimensional tidak pernah melupakannya sebagai pendakwah dalam segenap masa dan serata ruanglingkup kehidupan..saya kongsikan penulisan Prof Madya Dato Dr Siddiq Fadhil seorang pendakwah terkenal bekas Presiden ABIM mengenai Nabi Yusuf a.s.
Ahsana ‘l-qasas (Kisah Terindah)
Oleh: Y.Bhg. Dato' Dr. Siddiq Fadzil, Presiden Kolej Dar al-Hikmah.
Dari sekian banyak kisah-kisah yang termuat dalam al-Qur’an, surah Yusuf diistimewakan dengan sebutan ahsana ‘l-qasas atau kisah terindah (surah Yusuf:3). Penamaan tersebut tentu ada justifikasinya. Ia adalah kisah paling lengkap dari segi l...iputannya. Pemerian tentang tokohnya (Yusuf `a.s.) menggenapi seluruh babak-babak penting sepanjang usia dari masa kanak-kanaknya hingga masa puncaknya ketika menjadi `Azizu Misr.
Setiap babak dipaparkan secara rinci - adegan-adegan dan dialog-dialognya. Kisah Yusuf `a.s. adalah kisah yang paling sarat dengan mesej iktibar dan hikmah, di samping padat dengan nilai dan prinsip keilmuan yang cukup pelbagai: tauhid, fiqh, sirah, ta`bir mimpi, politik, ekonomi, pengurusan dan lain-lain.
Demikian pula dari segi aktornya yang juga cukup pelbagai, mewakili makhluk dari pelbagai jenis, sektor dan golongan: manusia (lelaki dan perempuan), nabi, jin, syaitan, malaikat, haiwan, raja, peniaga, ilmuwan dan orang awam. Kisah terindah dengan segala babak dan adegannya itu membawa pesan induk: maslahah kehidupan duniawi-ukhrawi, sabar menanggung derita dan sifat pemaaf ketika kuat.
Keindahan kisah Yusuf `a.s. dapat dinikmati dari segi gaya pengungkapan yang tepat dan padat, kata-kata yang singkat membawa makna yang luas, mendalam dan penuh hikmah. Juga dari segi olahan seni tentang pelbagai aspek kehidupan insani yang diungkapkan lewat paparan peristiwa-peristiwa nyata, tetapi sekaligus mengisyaratkan implikasi-implikasi kejiwaan-kerohanian: kasih ayah terhadap anak tersayang, kedengkian saudara-saudara kandung, derita batin orang tua yang kehilangan anak kesayangan, cinta, nafsu, fitnah, maruah, integriti moral dan lain-lain yang semuanya membawa pesan tentang kehidupan mulia dan bermaruah berasaskan nilai nilai taqwa dan kebenaran.
Kisah ini menampilkan Yusuf `a.s. dengan citra makhluk istimewa, lelaki paling kacak dengan daya pesona luar biasa sehingga wanita-wanita Mesir pengagumnya mengeksprasikannya lewat kata malakun karim (malaikat mulia). Tetapi mesej sebenarnya tidak sebatas keindahan fizikal lahiriah, tetapi lebih jauh daripada itu keindahan rohaniah yang disimbol dan dilambangkan dengan keindahan lahiriah itu.
Surah Yusuf - Penawar Lara Tahun Duka
Sebagai salah satu surah Makkaiyyah yang turun pada tahun kesepuluh bi`thah, tahun yang dicatat sebagai `am al-huzn atau tahun duka, surah Yusuf membawa nada tersendiri, sesuai dengan suasana murung ketika itu. Pada tahun tersebut Rasulullah s.`a.w. kehilangan dua orang pendamping utama dalam perjuangannya iaitu Abu Talib (bapa saudaranya) dan Sayyidatina Khadijah r.`a. (isteri tersayang).
Kehilangan besar itu diikuti pula dengan bertambahnya keleluasaan penentangan ganas dan teror Quraysh terhadap Islam dan umatnya. Tidak seperti surah-surah Makkiyyah lainnya yang rata-rata bernada tegang dan kadang-kadang konfrontatif-kombatif, surah Yusuf lebih mengesankan rasa damai, tenang dan menyejukkan.
Kisah Yusuf `a.s. memang kisah terindah (ahsana ‘l-qasas) yang cukup mengesankan kerana ia bukan karya fiksyen, cereka imaginasi seniman; tetapi peristiwa nyata dalam sejarah yang diungkapkan lewat wahyu Ilahi. Pengkisahan Qur’ani pada hakikatnya adalah pengungkapan sunnatu ‘Llah, hukum sejarah ketetapan Ilahi yang tidak berubah. Derita adalah bahagian daripada kehidupan Yusuf `a.s., pewaris martabat kenabian. Seolah-olah derita adalah harga yang harus dibayar untuk martabat mulia bernama nubuwwah.
Demikianlah kehidupan yang dijalani oleh Yusuf `a.s., sebuah perjalanan hidup yang tidak putus-putus dirundung malang, mulai dari korban konspirasi kedengkian saudara-saudara sendiri yang mencampakkannya jauh ke pedalaman gaung perigi bagaikan sampah, dijual kepada pengembara bagaikan barangan murah, difitnah sebagai lelaki penggoda bermata keranjang dan akibatnya ia dipenjara sebagai banduan tak bermaruah. Tetapi kesudahannya, sikap tabah selalu membawa barakah, sabar menanggung musibah akan berakhir menuai tuah. Segalanya adalah rencana Ilahi untuk membina watak pejuang kebenaran di samping berkompetensi menempati posisi `Azizu Misr, orang kuat dan terhormat di Mesir.
Surah Yusuf yang mengungkapkan hakikat pahitnya hidup berprinsip dan getirnya istiqamah dalam perjuangan demi kemuliaan hakiki, meniupkan angin segar dalam kehidupan Nabi s.`a.w. yang kebetulan sedang menjalani hari-hari duka. Dari kisah Yusuf `a.s. Junjungan mendapat kekuatan menghadapi keganasan bapa saudaranya sendiri Abu Lahab dan Abu Jahl. Ternyata junjungan s.`a.w. tidak sendirian mengalami nasib dianiaya oleh anggota keluarga sendiri, Nabi Yusuf `a.s. juga telah lebih dahulu menjadi mangsa penderaan angkara saudara-saudara kandungnya sendiri.
Demikianlah kenyataan yang harus diterima bahawa yang namanya hasad, dengki, dendam, benci, angkuh dan lain-lain sejenisnya memang tidak mengenal mangsa, ia boleh berlaku terhadap siapa sahaja: saudara atau keluarga, kerabat atau sahabat. Junjungan s.`a.w. juga mendapat suntikan optimisme dan keyakinan baru bahawa apabila sampai masanya kegetiran yang sedang dialaminnya akan berlalu dan berkesudahan dengan kejayaan. Demikianlah sebuah surah penawar duka, pengubat derita. Penurunannya pada tahun murung `am al-huzn sungguh amat bererti. Ia terasa sebagai siraman kasih Ilahi yang menyejukkan dan pancaran cahaya yang menyinarkan harapan.
Pakej Penyelamat Ekonomi Mesir
Menerusi perjalanan hidup hamba-Nya Yusuf al-Siddiq `a.s. Tuhan menyerlahkan kekuasaan-Nya merubah nasib seseorang - dari penjara ke tampuk kuasa, melalui proses yang di luar perkiraan politik manusia. Segalanya bermula dengan mimpi raja yang tidak ditanggapi secara serius oleh para pembesar di sekelilingnya. Mereka hanya menganggapnya sebagai adghathu ahlam, mimpi karut yang membingungkan.
Tetapi rupa-rupanya mimpi itulah yang menjadi titik mula rangkaian peristiwa yang akhirnya menampilkan Yusuf `a.s. di pentas dunia, menghadirkannya di panggung sejarah, dan lebih daripada itu mengabadikan namanya dalam kitab mulia wahyu Ilahi sebagai tokoh misali, wira Qur’ani ahsana ‘l-qasas, kisah terindah. Kisah bagaimana berlakunya perubahan nasib dari penjara ke tampuk kuasa itu terpapar indah dalam surah Yusuf ayat 43-57 (lihat lampiran).
Mimpi tersebut tampaknya cukup meresahkan raja, tetapi tidak seorang pun dari kalangan pembesar-pembesar negeri yang tahu tentang mimpi. Mereka juga tampaknya tidak mahu mengambil tanggungjawab terhadap risiko pemaknaan mimpi (salah benarnya) dan langkah-langkah susulannya. Menerusi usaha seorang pembantunya yang dahulu pernah berkenalan dengan Yusuf `a.s. sewaktu sama-sama di penjara akhirnya raja mendapat ta`bir dan makna yang cukup meyakinkan tentang mimpinya dari Yusuf `a.s., malah yang diberikan bukan cuma makna tetapi juga saranan langkah-langkah yang harus diambil.
Memang wajar jika raja ingin sekali bertemu dengan orang yang berjasa menta`birkan mimpinya, bahkan bukan hanya ingin bertemu, ia juga ingin menyerahkan tugas pelaksanaan langkah-langkah mengatasi krisis ekonomi yang diramalkan akan berlaku. Baginya tidak ada orang lain lagi. Orang yang tahu menta`bir mimpinya dan tahu pula langkah-langkah susulannya, dialah yang paling layak melaksanakannya kerana hanya dia yang memahaminya, yang punya wawasan, punya konsep, punya formula dan punya strategi. Untuk itu diperintahkannya agar Yusuf `a.s. dikeluarkan dari penjara dan langsung dibawa ke istana.
Demikian sikap raja, lalu bagaimana pula pendirian Yusuf `a.s.? Di sinilah terserlahnya kebesaran jiwa dan keagungan peribadi Yusuf `a.s., nabi da`i-murabbi yang mendapat kurnia hukman wa ` ilman, kebijaksanaan dan keilmuan dari Tuhan. Dengan ikhlas beliau telah memberikan khidmat tafsiran mimpi dan saranan langkah-langkah menghadapi musim kegawatan ekonomi, khidmat yang diberikan tanpa syarat. Sekalipun dirinya sendiri teraniaya dalam penjara gara-gara fitnah jahat, tetapi beliau tetap siap menyumbangkan khidmat demi tanggungjawab kemanusiaan. Beliau tidak mengambil kesempatan menjadikan kepakarannya menta`bir mimpi sebagai kekuatan tawar-menawar bagi mendapatkan pembebasan, walhal beliau tahu bahawa kepakarannya sangat diperlukan.
Sekali lagi Yusuf `a.s. mengambil sikap yang mencengangkan semua orang ketika perintah pembebasan disampaikan kepadanya. Nabi Allah itu tidak mahu keluar dari penjara, sebaliknya beliau meminta utusan raja itu pulang untuk menanyakan kepada rajanya tentang wanita-wanita yang memfitnahkan dahulu. Maksudnya Yusuf `a.s. hanya akan keluar dari penjara setelah namanya dibersihkan. Baginya yang penting bukan keluar penjara, tetapi pemulihan maruah dan kehormatannya.
Tidak ada gunanya kebebasan tanpa kehormatan. Apa lagi apabila nanti beliau melaksanakan tugas mengurus ekonomi negara, tanpa integriti moral yang tinggi tugas tersebut tidak akan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Yusuf `a.s. perlu mendapat kepercayaan dari semua pihak, kerana beliau amat menyedari bahawa tahap tahap kepercayaan yang rendah (low trust) akan menjadi kendala kelancaran tugas.
Yusuf `a.s. Berjaya memperjuangkan pemulihan maruah dan kehormatan dirinya apabila wanita-wanita yang memfitnahnya dahulu membuat pengakuan bahawa beliau tidak bersalah. Isteri al-`Aziz sendiri mengaku beliaulah yang telah menggoda Yusuf `a.s., bukan sebaliknya. Hanya setelah itu Yusuf `a.s. keluar meninggalkan penjara untuk menyanggupi tugas mengurus ekonomi negara yang sedang diancam krisis gawat, dengan mendapat dukungan dan kepercayaan penuh raja yang memberinya kedudukan makinun amin, kukuh dan terpercaya.
Nabi Yusuf `a.s. tidak tampil dengan citra hamba setia yang siap menjunjung titah, tetapi dengan kewibawaan peribadi termasuk kridential kelayakan hafizun `alim, pengurusan yang kompeten dan berkesan serta ilmu yang relevan, cukup layak mengendalikan portfolio khazanah negara khususnya ekonomi pertanian. Rancangan ekonomi empat belas tahunnya ternyata berjaya menyelamatkan rakyat Mesir dari landaan krisis ekonomi akibat kemarau panjang.
Kejayaan tersebut antara lain kerana kebijaksanaan dasar ekonomi yang berasaskan keseimbangan pelaburan, perbelanjaan dan penabungan; di samping pelaksanaannya yang cekap dan berkesan. Nabi Yusuf `a.s. sendiri turun padang melakukan pemantauan dari dekat dan secara langsung (yatabawwa’u minha haythu yasha’). Demikianlah terlaksananya sebuah model pakej ekonomi penyelamat yang meliputi kebijaksanaan perancangan, kewibawaan pengurusan dan keberkesanan pelaksanaannya.
Ternyata, model pembangunan ekonomi yang dipromosikan oleh Nabi Yusuf `a.s. tidak hanya bersifat kuantitatif dan kebendaan. Ia juga berdimensi kemanusiaan yang kental dengan nilai-nilai moral dan sosial. Dengan kata lain, ia mungkin dapat disebut sebagai dasar ekonomi rahmatan li ‘l-`alamin, ekonomi yang merahmati umat sejagat, bukan ekonomi kapitalistik yang rakus dan mementingkan diri. Dimensi kemanusiaan ini tampak jelas apabila daerah-daerah sekitar Mesir yang juga ditimpa musibah kelaparan turut mendapat limpahan bantuan ekonomi (bahan makanan) dari `Azizu Misr Yusuf (`a.s.).
Mereka berdatangan ke Mesir setelah tersebarnya berita bahawa ekonomi negara itu stabil dan mampu melaksanakan skim bantuan kemanusiaan. Ternyata Nabi Yusuf `a.s. tidak hanya berfikir dalam konteks ekonomi nasional, tetapi juga ekonomi regional, malah telah meletakkan asas-asas penting pembinaan order ekonomi global yang yang kukuh dan manusiawi. Nabi Yusuf `a.s. telah meninggalkan legacy moral kemanusiaan yang cukup inspiring: bahawa pada saat paling susah, masih ada sifat pemurah; bahawa ketika meratanya kesengsaraan, masih ada kemanusiaan. Kesusahan bukan alasan untuk meninggalkan kepedulian.
Penutup
Demikianlah sebahagian daripada sorotan terhadap ahsana ‘l-qasas yang menampilkan kisah Sayyidina Yusuf al-Siddiq `a.s., nabi-da’i-murabbi multi dimesi dengan kepakaran yang pelbagai, dari penta`bir mimpi hingga ahli ekonomi. Yang jelas apa pun bidang keahliannya, profesi apa pun kerjayanya, tidak pernah walau sesaat Yusuf `a.s. melupakan misi asasinya: dakwah dan tarbiah membina ummah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment