Tuesday, June 28, 2011

POLITIK MELAYU ADALAH POLITIK PERPECAHAN


Perpaduan orang Melayu buat pertama kalinya dalam sejarah ialah apabila orang Melayu dengan melupakan sempadan kenegerian dan dailek telah bersatu bagi menentang gagasan Malayan Union yang hendak direalisasikan oleh penjajah British.

Sebab penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union ialah:

1. Agama Kristian akan dijadikan agama rasmi Malayan Union
2. Raja-raja Melayu akan hilang kuasa kerana terpaksa menyerahkannya kepada British
3. Hak dan kuasa orang Melayu akan terhakis
4. Orang Melayu akan ketinggalan kerana bilangan orang bukan Melayu yang terpelajar dan kaya lebih ramai berbanding orang Melayu sendiri
5. Sesiapa sahaja dibenarkan menjadi warganegara Tanah Melayu dengan begitu mudah sekali

Jelasnya, orang Melayu menentang Gagasan Malayan Union atas faktor mempertahankan agama Islam, kedaulatan Raja-raja Melayu, kedudukan orang Melayu di tempat kelahiran sendiri serta pemberian taraf warganegara kepada kaum pendatang dengan mudah tanpa mengira perasaan penduduk asal Tanah Melayu.

Bagi British, segala rancangan adalah untuk mengukuhkan kedudukan dan menjaga kepentingan ekonomi mereka.

Bila orang Melayu berjaya menggagalkan Malayan Union, persekutuan yang menggantikannya secara rasmi dinamakan Persekutuan Tanah Melayu. Dalam Persekutuan ini lebih 80 peratus rakyatnya terdiri daripada orang Melayu. Peratusan yang tinggi ini meyakinkan orang Melayu yang nasib mereka akan terbela.

Pada pilihanraya pra-kemerdekaan tahun 1955 orang Melayu bersedia untuk memberi kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu kepada calon kaum-kaum lain daripada parti-parti komponen dalam Perikatan. Dengan kuasa undi yang ada pada mereka, mereka tentukan pastikan supaya calon-calon bukan Melayu ini mendapat kemenangan.

Pengorbanan ini bertujuan meyakinkan penjajah British bahawa orang Melayu tidak akan menindas kaum lain apabila mendapat kuasa setelah kemerdekaan.

Selepas merdeka, Sir Tan Cheng Lok memohon kepada orang Melayu agar bilangan orang bukan Melayu ditambah, Tunku Abdul Rahman bersetuju untuk mengurangkan peratusan rakyat Melayu daripada 80 peratus kepada 60 peratus apabila memberi kerakyatan tanpa syarat kepada penduduk bukan Melayu.

Sehubungan dengan itu, satu kontrak sosial telah dipersetujui supaya pengurangan ini diimbang pula dengan agihan kekayaan yang lebih saksama kepada orang Melayu.

Pemimpin Melayu pada masa itu berpendapat dengan 60 peratus daripada warga negara terdiri daripada Melayu, mereka masih menjadi majoriti dan masa depan orang Melayu terjamin. Angka 60% ini tidak banyak berubah apabila tertubuhnya Malaysia.

Angka 60% masih majoriti kerana perpecahan Melayu masih belum ketara pada waktu itu.
Mungkin pemimpin Melayu sanggup “menurunkan” peratusan orang Melayu sehingga 60% daripada 80% kerana tidak menyangka akan berlaku perpecahan yang ketara selepas itu atau pada masa yang terkemudian.

Perpecahan pertama bermula apabila sebilangan ulama UMNO memisahkan diri mereka dan menubuhkan Parti PMIP (Pan-Malayan Islamic Party).

Parti serpihan Semangat 46 ditubuhkan akibat perebutan kuasa dalam pucuk pimpinan UMNO pada tahun 80an.

Percantuman semula Semangat 46 ke dalam UMNO setelah pembubaran tidak dapat mengembalikan semangat perpaduan yang kental. Maka UMNO semakin hilang penyokong.

Pemecatan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1998 turut sama mengheret keluar ahli UMNO untuk menyertai satu lagi parti serpihan Melayu.

Akibatnya, orang Melayu terbahagi kepada tiga buah parti, iaitu UMNO, PAS dan PKR.

Orang Melayu yang 60% dulunya daripada seluruh rakyat Malaysia sudah berpecah kepada tiga kumpulan. Tidak ada satu pun daripada kumpulan ini yang disokong oleh majoriti rakyat. Setiap satu parti mendapat sokongan tidak melebihi 30 peratus pun daripada rakyat. Orang Melayu sudah jadi puak minoriti dalam Negara kita sekarang

Walaupun orang Melayu mengetuai kerajaan samada di peringkat Persekutauan ataupun kerajaan Negeri, mereka tidak berkuasa penuh dan terpaksa akur dengan kehendak kaum bukan Melayu. Realiti di Perak sebelum BN mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri membuktikan keadaan ini.

Pilihan terletak di tangan orang Melayu sendiri. Apakah mereka mahu teruskan perpecahan atau pun bersatu. Pisau di tangan anda. Gunakan dengan sebaik-baiknya. Wassalam.

No comments:

Post a Comment