Saturday, June 18, 2011

AKU JADI SAKSI..



Marilah kita melihat kepada peristiwa dalam Surah Yusuf.

“Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tiada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya”.

Yusuf pula berkata: “Dialah yang menggoda diriku”. (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata: ”Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang berdusta. Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah daripada orang-orang yang benar. Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, dia berkata: “Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya” (Surah Yusuf: ayat 25-28).

Persoalan:

Adakah saksi di dalam kes ini?

Sudah pasti sukar untuk menemukan kebenaran sekiranya tiada pertunjuk dari Allah s,.w.t. ketika itu. Pembuktiannya ialah dengan kuasa Allah s.w.t. seorang bayi yang pada adat kebiasaannya masih belum boleh berbicara dengan izin Allah s.w.t. maka bayi tersebut boleh bercakap dengan memberikan cadangan supaya melihat kepada baju Nabi Yusuf. Sekiranya baju baginda koyak di depan maka Yusuf bersalah kerana wanita tersebut mengoyak bajunya yang datang untuk menggodanya. Namun kalau baju Yusuf koyak di belakang maka wanita itu lah yang mengejarnya lantaran ingin mengajaknya dan menarik baju dari arah belakang.

Bagaimanakah Nabi Yusuf dapat mempertahankan diri baginda daripada tuduhan wanita yang telah menggodanya?
Dengan keperibadian Nabi Yusuf yang memang diakui ramai akan kebaikan baginda serta qarinah (bukti) yang dipercayai oleh suami wanita itu sendiri bahawa fitnah wanita begitu bahaya.

Adakah suami perempuan tersebut termakan dengan pengakuan isterinya yang mengatakan bahawa dia digoda oleh Nabi Yusuf?
Nabi Yusuf dimasukkan ke dalam penjara bukan atas kesalahan baginda namun demi menyelamatkan baginda daripada terus disakiti oleh mereka yang dengki.

Jelas, Al-Quran menceritakan peristiwa dengan teliti bagaimana qarinah digunakan dalam kes Nabi Allah usuf a.s.

Islam tidak mewajibkan seseorang yang menuduh isterinya berzina (Li’an) supaya mendatangkan empat orang saksi. Ini dihukumkan samada si suami benar-benar nampak isterinya melakukan zina atau pun sekadar menuduh. Hancurnya hati seorang suami apabila melihat isterinya berzina namun bagaimana untuk mencari empat orang saksi melainkan dirinya sendiri sahajalah yang “menyaksikan” kecurangan isterinya. Maka dia dibenarkan untuk bersumpah sebanyak empat kali selain daripada mengelakkan dirinya daripada dikenakan hukuman qazaf juga sebagai kesungguhannya bahawa dia tidak dapat menerima hakikat isterinya berzina dan mengkhianati rumahtangganya.

Jelas dalam al-Qur’an:
“Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya dia dari orang-orang yang benar; Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata): “bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia dari orang- orang yang dusta. Dan bagi menghindarkan hukuman seksa terhadap isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah dia (isteri) bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu benar-benar daripada orang-orang yang berdusta; - Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang- orang yang benar. (Surah al-Nur ayat 6-9).

Selepas proses Li’an tersebut maka pasangan suami iateri dipisahkan buat selama-lamanya dan tiada apa-apa hukuman dikenakan hanya diserahkan kepada Allah s.w.t. bagi mengadili dengan sebenarnya pada hari akhirat kelak.

Maka kini terdapat beberapa pandangan yang semakin merugikan ummah. Mereka meletakkan keperluan bersumpah hanya kepada pihak yang mendakwa (plaintif) sedangkan pihak yang dituduh (defendan) tidak perlu bersumpah (tidak perlu melayan) desakan atau permintaan kerana ianya bukan kes li”an tetapi pertuduhan meliwat.

Dan dalam kes wanita yang menggoda Nabi Yusuf, akhirnya beliau membuat pengakuan dengan mengadakan majlis menjemput wanita-wanita serta memperlihatkan “ketampanan” Nabi Yusuf yang akhirnya tanpa disedari mereka telah terpotong dan melukakan jari mereka. Paku buah keras dipulangkan kepada wanita-wanita tersebut yang selama ini mencacinya apabila mereka mengatakan bahawa ketampanan Nabi Yusuf bukan ketampanan manusia biasa.

Maka tanpa saksi juga sesuatu kesalahan boleh disabitkan walaupun mungkin tanpa “hukuman” daripada mahkamah seperti hukum hudud. Oleh itu, bukan soal dihukum oleh mahkamah atau tidak tetapi boleh juga melibatkan soal moral, maruah dan juga kepercayaan untuk diberikan amanah bagi memimpin ummah. Wallahu a’lam..

No comments:

Post a Comment