Sunday, June 5, 2011
NEGARA ISLAM
Selamat bermuktamar kepada PAS dan tahniah kepada yang diberikan amanah.
Apa yang disebut oleh Presiden PAS dalam muktamar baru-baru ini: “Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam Al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan”.
Berbagai tafsiran boleh kita buat terhadap kenyataan ketua parti yang menggunakan jenama Islam iaitu PAS.
Sewaktu saya masih menuntut di universiti pada tahun 80an, istilsh Negara Islam begitu popular dalam kalangan mahasiswa. Sudah pasti yang menjadi rujukan ialah Negara Islam Madinah, dulunya disebut sebagai Negara Islam Madinah kini ianya tinggal Kerajaan Arab Saudi di mana Madinah hanya menjadi sebuah "bandar" yang menjadi tempat ziarah umat Islam samada sewaktu mengerjakan ibadat haji atau umrah.
Saya pernah berdebat dengan seorang mahasiswa penyokong al-Arqam pada waktu itu yang dengan tegas menyebutkan bahawa keluasan wilayah tidak penting. Apa yang penting ialah samada negara berkenaan melaksanakan syariat Islam atau tidak. Keluasan Madinah pada masa itu katanya lebih kurang sama dengan keluasan perkampungan al-Arqam di Sungai Pencala. Malangnya al-Arqam kemudiannya didakwa terlibat dengan perkara yang tidak serasi dengan aqidah Islam.
Istilah Negara Islam sememangnya di sebut. Dan pada masa itu dinyatakan bahawa istilah Negara Islam membawa maksud negara berkenaan mestilah pertamanya mempunyai Perlembagaan Islam. Saya mendengar ceramah PAS yang menyebutkan bahawa banyak Negara Islam yang telah pun wujud di dunia ini walaupun pemimpinnya fasiq. Bahkan tidak timbul istilah fasiq, zalim, bughah (penderhaka) dan lain-lain istilah selagi tidak tertegaknya sebuah Negara yang meletakkan perlembagaannya sebagai paksi walaupun selepas itu nantinya tidak mampu untuk melaksnakan hukum Islam seluruhnya atas pelbagai sebab dan alasan.
Maka saling tuduh menuduh pun berlaku kononnya sesiapa yang tidak menyokong doktrin Negara Islam maka sia-sia sahajalah segala amalannya lantaran tidak mempunyai aqidah yang mantap kerana menentang konsep Negara Islam. UMNO dikatakan tidak pernah bercita-cita untuk menubuhkan sebuah Negara Islam sebaliknya bermati-matian untuk mempertahankan negara sekular yang diwarisinya dari penajajah. Oleh itu solatnya tidak diterima, puasanya sia-sia dan amalannya penat belaka. Hj Hadi Awang saya perhatikan tidak pula berceramah membetulkan fahaman sedemikian sedangkan isu kafir mengkafir juga melibatkan isu tidak setuju dengan gagasan Negara Islam PAS.
Sedangkan PAS mempunyai cita-cita yang jelas untuk menubuhkan Negara Islam. akibat itulah Karpal Singh mencabar supaya melangkah mayatnya terlebih dahulu kalau nak tubuhkan Negara Islam tajaan PAS.
Berkaitan dengan isu ini juga, ada cadangan supaya kerajaan menghapuskan atau mengharamkan semua parti politik yang menggunakan label Islam. Tun Dr Mahathir Perdana Menteri pada masa itu menegaskan: Tidak perlu haramkan nama parti Islam. Kalau dah neraka tukar nama lain pun ianya tetap neraka. Maksudnya biarlan masyarakat menilai sendiri berdasarkan amalan dan perbuatan. Tun Dr Mahathir nampaknya telah mendahului ucapan Presiden PAS sekarang dari segi idea dan penggunaan label.
Mungkin PAS juga mengalamai transformasi dalaman sekarang ini. Bila YB Datuk Tajol Rosli bertanya kepada Nizar Jamaluddin dalam DUN Perak mengenai di mana janji PAS unnutk menegakkan Negara Islam sedangkan pelaksanaan di Perak semakin menguntungkan DAP serta tidak begitu Islamik, jawab Nizar: Mana ada satu dokumen yang menunjukkan bahawa PAS ingin menegakkan Negara Islam di Malaysia. Samada PAS sudah berubah sebelum rebah atau penjelasan mengenai isu tersebut menunggu masa yang sesuai.
Tentulah kenyataan Nizar ini menggembirakan DAP. Lim Kit Siang dan Karpal lega kerana koalisi Pakatan Rakyat dapat diteruskan. Sedangkan menentang konsep Negara Islam anjuran PAS dihukumkan sama dengan menentang ajaran Islam secara keseluruhannya. Namun ini hanya ditujukan kepada parti UMNO sahaja sebelum ini.
Maka DAP dan PKR yang ahlinya ramai dari penyokong Hindraf akan lebih percaya untuk bersekongkol dengan PAS demi menjatuhkan UMNO dan BN kerana tidak perlu lagi takut dengan kabinet bayangan sebuah Negara Islam di Malaysia sekiranya PR membentuk Kerajaan Persekutuan nanti. Na'uzubillah min zalik....
Sama-samalah kita nantikan kenyataan seterusnya daripada pucuk pimpinan PAS dan istilah-istilah yang mereka gunakan sudah tidak sama seperti yang pernah mereka gunakan sewaktu zaman Anwar masih dalam kerajaan UMNO dan Barisan Nasional.
Salam perjuangan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment