Tuesday, June 7, 2011

PANDANGAN PAKAR



Saya cukup tertarik dengan tulisan Tan Sri Nordin Kardi mengenai diri beliau seperti yang dipaparkan di bawah ini. Sewaktu saya berceramah kepada ahli-ahli Kelab Rukunegara peringkat jabatan Pelajaran Negeri Johor, saya dimaklumkan bahawa penganjur di Negeri Sembilan suka menjemput TS Nordin yang rajin bercerita mengenai pengalaman peribadi beliau mengharungi liku-liku hidup hingga menjadi seorang "orang besar" dalam negara..

TIDAK MUDAH MENGISI KEBEBASAN

Oleh NORDIN KARDI

SAYA ingin bercerita tentang kebebasan yang saya alami secara peribadi. Antara peristiwa yang sangat berkesan kepada diri saya ialah apabila saya membuat keputusan menyara hidup sendiri sebaik berumur 17 tahun.

Saya meninggalkan kampung. Dengan berbekalkan tulang empat kerat dan bermandi peluh saya mampu mengumpul kira-kira RM60 seminggu. Sebulan, jika saya tidak cuti mandatori iaitu sakit, saya sudah boleh mendapat lebih RM200. Itu sudah menyamai gaji permulaan kerani di pejabat.

Suatu tengahari, selepas makan, tatkala saya sedang membetul-betulkan urat dan tulang belakang sebagai persediaan turun semula membanting tulang beberapa minit lagi, arwah ayah saya datang. Jauh beliau datang berbasikal daripada kampung mencari saya. Tentu beliau telah bertanya banyak orang untuk mengesan tempat saya itu. Beliau menghulurkan satu surat kepada saya: ''Nah, engkau kena sekolah balik''.

Surat itu ialah surat tawaran saya belajar ke tingkatan enam. Rupanya kakak saya Rokiah telah menguruskan semua urusan itu yang saya sendiri tidak ambil pusing kerana sudah nekad tidak mahu bersekolah lagi. Saya memberitahu arwah ayah tentang keputusan saya untuk tidak mahu bersekolah lagi. Arwah ayah saya terkenal sebagai bapa yang sangat demokratik.

Saya boleh bergusti dengan ayah saya, sedangkan kepada rakan-rakan sezaman saya itu jika mereka mahu turun dari rumah dan ayah mereka duduk di pintu hadapan rumah, mereka akan turun mengikut pintu belakang oleh takut dan hormatnya mereka kepada ketua keluarga mereka itu.

Oleh sifat arwah ayah saya demikian tentulah jawapan kepada kehendak saya itu ialah, 'ayah setuju sahaja'. Cuma, ayah saya menambah lagi sebelum dia pergi, 'selepas ini kamu bersendirian ya, bukan tanggungjawab ayah lagi - susah atau senang'. Mendengar penghujung pesanan ayah saya itu, saya terus berkemas barang-barang mengikutnya pulang dan hasil pendapatan saya untuk minggu itu dapat dijadikan modal sewa kereta membawa tikar bantal untuk ke asrama di Ipoh.

Cerita peribadi saya ini tidaklah terlalu istimewa tetapi pengajaran daripada kisah itu sengaja ingin saya kongsi bagi mentafsir keadaan semasa negara di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kisah peribadi saya itu digambarkan oleh keadaan ketika ini. Selama ini rakyat menuntut kebebasan yang lebih tetapi, seperti yang saya alami apabila arwah ayah enar-benar memutuskan tali yang saya anggap sebelumnya sebagai belenggu, rupanya kebebasan yang dituntut itu apabila diberi dan diterima amat menakutkan. Saya telah membatalkan hasrat saya dan merasa belum bersedia bersendirian.

Demikianlah Perdana Menteri dituntut oleh kaumnya sendiri supaya segera mengenakan hukuman itu dan ini apabila kebebasan yang baru sebentar diberi itu membawa natijah yang menakutkan mereka.

Rupanya mereka belum mampu membela nasib sendiri tanpa kuasa pemimpin, dan tidak mengapalah jika pemimpin itu harus menjadi tidak demokratik atau menarik kembali kebebasan yang telah diisytiharkannya. Juga tidak mengapa jika pemimpin itu akan terpaksa tumpas bagi memenuhi kehendak mereka yang tak berupaya itu. Keberanian Abdullah memberi kebebasan kepada rakyat mereka katakan sebagai ketakutan Abdullah menggunakan kuasa.

Golongan kedua pula, apabila kebebasan diberi, menjadi seperti orang mengandung dan mengidam hendak makan sesuatu yang tidak pernah dirasainya walaupun jika kehendaknya itu di luar batas munasabah. Ia seolah-olah cerita dongeng lama menyebut wanita hendak makan 'kijang jantan bunting suluh'.

Golongan itu jadi 'kemaruk' melakukan apa saja asalkan dapat kepuasan. Benar atau salah sudah bukan lagi jadi pedoman. Fitnah dan cercaan menjadi halal atas nama kebebasan. Medium yang halal digunakan untuk kerja-kerja tidak halal. Itu semua terjadi atas nama kebebasan.

Masyarakat menjadi buta, tuli dan akhirnya jadilah mereka tidak melihat dan tidak mendengar lagi yang mana benar sememangnya benar dan yang mana batil sememangnya batil. Masyarakat menjadi keliru sampai ke satu tahap yang tidak pernah dialami dalam mana-mana sejarah negara ini sebelumnya.

Peristiwa kedua terjadi beberapa belas tahun yang lalu apabila saya didatangi oleh seorang rakan bernama Zaidi dari Universiti Sains Malaysia (USM). Rakan saya ini seorang pemimpin mahasiswa di USM pada ketika itu. Beliau dan rakan-rakannya cuba menemui seorang pemimpin tertinggi di Kementerian Pelajaran untuk membawa usul mengenai pelantikan seorang Timbalan Naib Canselor di universiti tersebut.

Beliau memberitahu saya bahawa belum sempat bercerita mengenai isu itu, beliau telah diherdik oleh pemimpin tersebut. Bertempiaranlah Zaidi dan rakan-rakannya membawa diri selepas diherdik oleh pemimpin itu. Maklumlah, bagi Zaidi, AUKU 71 masih ada di tangan pemimpin itu.

Peristiwa ketiga, saya teringat kisah Kasim Ahmad menulis sesuatu berkaitan dengan hadis yang dikatakan kontraversi. Kasim telah meminta debat diadakan dengan Pusat Islam. Difahamkan debat itu sudah hampir disetujui tetapi orang yang sama, yang menghalau rakan saya Zaidi, itu juga instrumental untuk Pusat Islam mesti membatalkan debat itu.

Maka terkonteng-kontenglah Kasim berseorangan tidak diberi peluang menjelaskan pendiriannya dan teruslah dia dilabel oleh rakan-rakan pemimpin itu sebagai anti-hadis, Islam sosialis dan sebagainya.

Kasim sebagai golongan minoriti tidak pun diberi kesempatan oleh pemimpin itu untuk mempertahankan dirinya. Sehingga sekarang pun pemimpin yang sama itu tetap melaungkan bahawa orang lain, kecuali dirinya, tidak demokratik, bacul dan banyak lagi panggilan lain tetapi belum ada lagi bahan bukti mencukupi bahawa apabila dia dalam keadaan berkuasa melaksanakan idealismenya itu.

Rumusan peristiwa kedua dan ketiga itu ialah Malaysia bukan kerap kali mendapat pemimpin demokratik seperti Abdullah. Abdullah sedang merealisasikan idealismenya tentang demokrasi dan kebebasan.

Abdullah seperti amat percaya bahawa Malaysia akan hanya menjadi lebih kukuh dan keamanan negara akan lebih abadi jika rakyatnya diajar berdiri sendiri, bertanggungjawab terhadap buruk baik masa depannya. Diistilahkan hal ini sebagai pembangunan modal insan.

Abdullah sedang berada di persimpangan. Dia sedang menghadapi sekelompok rakyat yang belum bersedia bersamanya, atau tidak memahami hasratnya. Beliau amat memerlukan rakan-rakan sejati. Amat berat tanggungan Abdullah apabila ada rakan-rakan terhampir, yang dulu pernah mengangkat tangan membaiahnya, juga tidak berkongsi idealisme dengannya dalam mentadbir negara yang amat dicintainya ini.

Namun yang lebih berat ialah untuknya menghadapi golongan yang menjadikan kebebasan yang diberikannya dengan menganjurkan pesta anarki.

Rupanya, kebebasan itu sememangnya dituntut. Namun apabila kebebasan itu diperolehi, ia amat menakutkan pihak yang menerimanya.

Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menyebut merdeka itu sangat susah untuk diperolehi, tetapi mengisi kemerdekaan itu jauh lebih payah daripada mencapainya. Demikianlah demokrasi dan kebebasan itu amat menghiburkan untuk dikhayalkan namun amat menggerunkan untuk direalisasikan.

No comments:

Post a Comment