Sunday, October 25, 2009

SAAT-SAAT TERAKHIR BERSAMA ABAH

Pagi 24 Oktober 2009 kira-kira jam 5.30 sebelum azan Subuh, aku menerima sms dari adik perempuanku Busyra. Sms yang begitu pendek namun mengesankan iaitu abah tenat..aku tidak membalas lantas terus memadamkan handset supaya lebih cepat bateri dicas sebagai persediaan untuk pulang ke Shah Alam bersama seluruh ahli keluargaku termasuk bibik yang akan menemani di sepanjang perjalanan. Pesanan suara memperdengarkan suara adikku memaklumkan abah tenat dan meminta pulang segera sambil teresak-esak.

Kira-kira jam 6.30 pagi, kami bertolak dari rumah. Perjalanan ke Shah Alam hanya berhenti di R & R Machap kerana anak-anak tidak sempat bersarapan di rumah. Berhenti sekali lagi di Restoran Jejantas Ayer Keroh untuk berehat dan menenangkan fikiran sambil menunaikan hajat.

Kami sampai di Selangor Medical Centre (kini KPJ Selangor), Seksyen 20, Shah Alam kira-kira jam 12 tengahari. Abah terlantar di Wad 2A iaitu wad kanak-kanak dan dia ditempatkan di situ kerana wad kanak-kanak mempunyai lebih banyak bilik untuk seorang pesakit sahaja berbanding wad-wad yang lain di hospital swasta itu.

Aku bersalam mencium tangan seperti biasa dengan abah yang terlantar di atas katil diikuti oleh isteri dan tiga orang anak-anakku. Abah masih sedar dan menyebut hilang rasa rindu pada cucu-cucunya. Selepas itu, ada sahabat-sahabat dan jiran-jiran yang menziarahi. Aku dan adik-adik yang lain berada di sekeliling abah dan sesekali kami menunggu di lobi Aras 2 untuk memberi laluan kepada mereka yang datang menziarah.

Kira-kira jam 6.30 petang, doktor yang merawat melakukan pemeriksaan. Setelah doktor keluar, aku disuruh oleh ibu untuk bertanyakan doktor perkembangan semasa dan bagaimana rawatan berikutnya.

Tanya doktor berapa orang adik beradik. Aku jawab empat orang. Kata doktor, this is the time to tell everyone. Aku jawab we are all here. Abah akan dibawa semula ke ICU dan kemudiannya adik perempuanku memberitahu sebelum ini abah dibawa keluar dari ICU dan dibawa ke wad 2A hanyalah semata-mata untuk memberi peluang kepada kami anak-anaknya yang sangat dikasihinya dan isterinya menghabiskan masa bersamanya di saat-saat akhir. Tapi sepanjang waktu itu, abah masih sedar, masih ingat cucunya dan selalu menanyakan bila masuk waktu solat. Ingatannya kepada solat sangat kuat hinggakan saban waktu asyik bertanyakan waktu solat dan keinginannya untuk solat. Apa yang disedari jari-jari tangan kanannya seperti memegang tasbih dan sesekali mengangkat tangannya seolah-olah membetulkan tasbih.

Kami menunggu di ruang menunggu ICU Aras 1 dan masuk ke bilik ICU bersilihganti. Aku membaca Yasin bersama adik-adikku tanpa jemu dan bagaikan ada kekuatan untuk terus membaca surah tersebut berulangkali walaupun ada tamu yang datang menziarahi. Perkara yang lain tidak penting, hanya bacaan Yasin sahaja yang mampu aku lakukan selain berserah kepada Allah Yang Maha Kuasa.

Kira-kira jam 10.00 malam, aku keluar ke ruang menunggu ICU untuk melihat isteri dan anak-anakku. Anak-anakku sedang tidur keletihan dan isteriku memberitahu mereka lapar dan akhirnya tertidur. Aku menyuruh isteriku mengejutkan mereka dan membawa mereka makan malam di Restoran Syedina, Seksyen 9, Shah Alam berhampiran rumah kami. Kasihankan anak-anakku yang kelaparan, kami memesan makanan segera maggi sup mengalas perut anak-anak yang tidak tahan seperti kami orang dewasa.

Sedang kami makan, telefon bimbit berdering dari adikku Busyra menyuruh masuk ke bilik ICU. Aku menghantar anak-anak ke rumah dan meninggalkan mereka di sana bersama nenek saudara mereka dengan ditemani bibik..

Aku dan isteri terus ke hospital dan sesampainya sahaja di sana, aku dan isteriku tanpa membuang masa masuk ke bilik ICU. Kami membaca Yasin bersama adik-adik dan bersilihganti membisikkan ke telinga abah: "Allah! Allah!" Sambil mata kami memantau monitor yang memberitahu denyut jantung, nadi, oksigen, tekanan darah dan sebagainya.

Aku turun ke bawah Aras G akibat keletihan dan terlena seketika di sofa. Pak Guard turut bersimpati tidak menegur kerana itu adalah kawasan larangan untuk tidur. Kakitangan hospital seakan turut berkongsi kesedihan dengan kami.

Jam 3.30 pagi, telefon bimbit berdering, adik perempuanku menyuruh naik. Aku terus hilang mengantuk dan terus menaiki tangga ke Aras 1 ICU. Bacaan Yasin dan bisikan kalimah Allah ke telinga abah silihberganti. Keadaan abah nampaknya semakin tenat. Sejak saat itu, kami semua tidak berganjak dari katil abah. Apabila aku sedari adikku Fakhruzzaman tidak ada di bilik ICU, aku terus menghubungi telefon bimbitnya. Aku mahu pastikan semua anak-anak abah berada di sisinya. Pada ketika itu, dua orang sepupuku masih berada di situ.

Masuk jam 4.00 pagi, nampaknya keadaan abah semakin tenat. Kami terus dengan bacaan Yasin dan bisikan kalimah Allah ke telinganya. Masa terus berlalu, kami menahan airmata kerana angka-angka di monitor abah semakin menampakkan abah semakin uzur. Bacaan tekanan darah di monitor semakin lemah.

Bacaan oksigen sudah dari tadi memaparkan tanda soal. Kadang-kadang menunjukkan nombor bertukarganti 96, 97, 101 tidak menentu.. Selalunya tanda soal. Kira-kira 4.30 pagi, bacaan di bawah sekali menunjukkan angka 0 berkelip-kelip. Adik perempuanku menangis sambil menyebut abah, adik lelaki bongsu terus membisikkan kalimah Allah, adik yang satu lagi membaca Yasin. Apabila monitor menayangkan yang paling akhir berkelip ialah bacaan yang paling atas menandakan hanya jantung sahaja berfungsi sementara yang lain-lain tidak, kami semakin tidak dapat menahan rasa sebak yang amat sangat. Jam 4.45 pagi, 25 Oktober 2009, abah menghembuskan nafas terakhir. Kembalinya seorang ulamak Negeri Selangor. Perjuangannya memartabatkan dan memperkasakan sekolah-sekolah agama Negeri Selangor juga dirakamkan dalam Wikipedia, ensaiklopedia terkenal di internet. Tangisan semakin tidak dapat ditahan-tahan. Doktor memeriksa abah dan memaklumkan,"Dia dah tak ada ya.." Ibu hampir rebah. Adik perempuan menahan dan mendudukkannya di atas kerusi. Aku mengambil Surah Yasin dari tangannya. Sebagaimana hajat abah, rupanya hanya kami empat orang anak-anaknya, seorang menantu dan isterinya, seramai enam orang semuanya berada di sisinya hingga ke saat-saat akhir.

Kami keluar kerana urusan pihak bilik ICU. Tak lama kemudian, azan Subuh berkumandang memecah keheningan pagi. Aku terus menaiki tangga ke Aras 2 menunaikan solat sunat sebelum Suboh dan Solat Suboh bersama dua orang lagi di surau itu.

Adik bongsuku menghubungi van jenazah Surau Seksyen 9. Kami mengiringi jenazah abah. Selain aku dan adik bongsu mengangkat jenazah abah ke dalam kereta jenazah, turut membantu ialah seorang jururawat, seorang attendant dan pak guard. Dato' Bakar sebelum itu menghubungi ku menanyakan di mana jenazah samada sudah keluar dari ICU atau belum.

Ramai orang sudah menunggu di rumah Seksyen 9, antaranya Dato' Nahwari anak murid abah yang juga bekas Pengarah JAIS dan Dato' Tamyez Wahid, Mufti Kerajaan Negeri Selangor. Jenazah diangkat turun dari van dan diletakkan di atas katil di dalam rumah. Van menuju ke surau seksyen 9 untuk mengambil tempat serta peralatan mandi. Tidak lama kemudian, van Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, Masjid Negeri Selangor pula sampai.

Setelah segalanya tersedia, jenazah abah dimandikan dan kami tiga orang anak lelakinya bersama-sama memandikannya. Jenazah abah kelihatan tenang seolah-olah sedang tidur sahaja. Setelah selesai mandi, jenazah diangkat ke dalam rumah untuk dikapankan.

Hanya tinggal muka jenazah abah sahaja yang belum ditutup. Pada saat itu, adik perempuanku Busyra mencuit dan memberi isyarat ke arah jenazah, aku memujuknya yang menangis tidak dapat menahan kepiluan.

Tibalah masa untuk menatap wajah abah buat kali terakhir. Ibu mencium dahi abah. Saudara-mara menyabarkan. Aku yang telah dari tadi tidak menangis kini tidak dapat menahan sebak di dada mengenangkan selepas ini tiada lagi kesempatan untuk menatap wajah abah. Aku mengambil kain mengelap airmata dan setelah reda terus mengucup dahi abah buat kali terakhir. Isteri dan anak-anak mencium dahi atuk mereka. Kami semua dapat mencium dahi abah alhamdulillah tidak ada yang ketinggalan seorang pun.

Jenazah disolatkan dengan diimamkan oleh adik bongsu kami, Imam Basyiruddin al-Hafiz. Terdengar suara Ustaz Basyiruddin al-Hafiz yang teresak-esak sewaktu mengimamkan solat. Tercapailah hasrat abah untuk anaknya sendiri mengimamkan solat jenazahnya. Ruang yang luas dipenuhi dengan tetamu yang menyembahyangkan. Doa dibacakan oleh Dato' Hj Hashim Yahya, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, sahabat abah ketika menuntut di Mesir lagi.

Tibalah waktu jenazah abah dibawa ke tempat persemadiannya di Seksyen 21, Shah Alam. Saat jenazah diusung ke dalam van Masjid Negeri, aku berucap mengucapkan terima kasih kepada sekelian yang hadir, mohon kemaafan sekiranya ada kesilapan abah, halalkan makan minumnya, kalau ada hutang kalau boleh dihalalkan atau kalau ingin menuntut boleh menuntut kepada waris dan mohon turut mendoakan kesejahteraan abah dalam perjalanan alam yang berikutnya. Suaraku juga teresak-esak tidak dapat membendung kesedihan.

Aku menaiki van jenazah Masjid Negeri di kerusi hadapan sementara adikku Fakhruzzaman bersama jenazah abah di belakang dengan seorang lagi sepupu kami, Ibnu Zakuan.

Sampai sahaja di perkuburan, kami mengangkat jenazah abah turun dari van menuju ke tempat persemadian. Adikku Fakhruzzaman menyambut jenazah abah dari bawah dan bersemadilah abah dengan aman di sana. Cuaca begitu baik dan sejuk tidak panas membakar menandakan segalanya aman dan sejahtera.

Talqin dibaca oleh Imam Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, Masjid Negeri Selangor dengan penuh adab. Suara imam dan sebutan nama abah dibacakan sebagai 'saudaraku' begitu menusuk perasaan. Kami sudah tidak menangis lagi merelakan pertemuan abah dengan Allah Penciptanya yang sangat abah kasihi dan rindui. Disaat-saat akhir, abah selalu menyebut Rasulullah s.a.w. membuktikan kecintaannya kepada Rasul. Demikian disebutkan oleh Ustaz Rizal seorang ustaz tariqat yang menziarahi abah semasa di wad 2A. Kami anak-anaknya berbahagia kerana abah kami amat taat kepada perintah Allah semasa hayatnya. Kami amat lega kerana abah sangat kuat kecintaannya kepada syariat tanpa takut kepada sesiapa termasuk dalam memberikan pendapat berdasarkan wahyu Ilahi dan sunnah Rasul. Allah Yang Maha Pengasih telah menunjukkan buktinya kepada kami semua.

Talqin dan tahlil telah sempurna. Imam Masjid Negeri yang duduk di hadapanku mengucapkan takziah dan minta bersabar. Kami taburi pusara abah dengan bunga dan siraman air mawar. Selepas itu, empat orang pemuda berjubah putih setelah bersalaman dengan kami dan adikku Fakhruzzaman mengenalinya sebagai bekas pelajar Sekolah Agama Hishamuddin, Klang akan melakukan solat jenazah di atas kubur. Ustaz itu berkata,"Memang dia rindu". Aku bertanya "Rindu Apa?" Dia menjawab". "Dia (abah) rindu Allah. Sakitnya selama ini pun kerana rindunya kepada Allah." Sekali lagi aku lega kerana ustaz berjubah putih itu mengatakan begitu mengenai abah kami.

Kami berjalan menuju ke van untuk pulang ke rumah. Kelihatan Tuan Haji Mohd Uda bin Kassim, seorang pendakwah bebas terkenal di Selangor dan seluruh negara bersama isteri dan anaknya berjalan menuju ke pusara abah. Aku dan adikku Fakhruzzaman bersalam dengan Ustaz Uda. Jenazah abah telah selamat disemadikan namun masih ada orang yang menyembahyangkan serta mendoakannya. Syukur Ya Allah! Segala perjalanannya menemui Mu, Engkau telah mudahkan dan kami lihat dengan matakepala kami sendiri ramai orang-orang yang saleh dari kalangan ustaz, pendakwah dan mereka yang berjuang untuk Islam turut sama menziarahi, menyembahyangkan dan mendoakan roh beliau. Sungguh baik pengakhiran ini Ya Allah! Tiada apa lagi yang dapat kami katakan melainkan Alhamdulillah, syukur pada Mu Ya Allah atas reda Mu terhadap keluarga ini.

Hajat abah untuk mengumpulkan kami semua anak-anaknya tercapai. Kami berenam sahaja yang berada di sisinya hingga ke denyut nadi terakhir sedangkan peraturan ICU hanya membenarkan seorang sahaja pelawat berada di situ pada satu-satu masa. Namun ketentuan Ilahi melampaui peraturan manusia. Kakitangan hospital termasuk pak guard memahami perasaan kami. Takziah mencurah-curah dari kakitangan SMC sendiri.

Tahlil tiga malam berturut-turut untuk abah. Malam pertama bacaan Yasin dan tahlil diketuai oleh Sheikh Sham, malam kedua oleh Tuan Haji Mohd Uda Kassim dan malam ketiga pula diketuai oleh Sahibus Samahah Dato' Hj Hashim Yahya.

Malam tahlil yang kedua, sebelum majlis tahlil, Ustaz Uda menyampaikan kuliah di surau Seksyen 9, beliau menyebutkan Negeri Selangor telah kehilangan seorang ulamak yang berwibawa. Ustaz Uda Kassim pernah membentangkan kertaskerja mengenai zakat dengan dihadiri sama oleh abah yang pada waktu itu sebagai Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor.

Sungguh banyak pengajaran untuk diri ini dan keluarga di saat-saat akhir bersama abah tercinta. Segalanya menimbulkan keinsafan bahawa amalan yang baik akan diperlihatkan oleh Allah pada saat-saat kita sudah tidak berdaya lagi. Kami anak-anaknya sempat memohon keampunan dan kemaafan dari abah. Semuanya bagai telah diatur agar kami dapat membahagiakannya dengan anak dan cucu di sekelilingnya. Abah tahu kami ada di sisinya. Abah sudah tentu aman di sana. Jenazahnya begitu tenang. Nukilan ini sememangnya apa yang kami lihat di sepanjang kami bersama abah di penghujungnya dan aku sebagai anak sulong tidak berenggang bahkan sentiasa bersama abah dari saat abah menghembuskan nafas terakhir hingga abah disemadikan. Hanya meninggalkan abah sementara sahaja bagi menunaikan solat Suboh di surau hospital dan ketika itu pihak ICU sedang menukarkan baju wad dan diganti dengan baju dan kain pelikat yang dibeli oleh adikku Busyra. Ianya menjadi kenangan yang tidak akan dapat dilupakan hingga ke akhir hayatku. Abah menanti kami semua di sana. Berbahagialah abah bersama Pencipta dengan segala jasa dan pengorbanan yang abah tempuh penuh dengan pelbagai dugaan dan cabaran dalam menegakkan martabat sekolah-sekolah agama JAIS hingga diiktiraf dan ramai lulusannya telah melanjutkan pengajian hingga ke negara-negara Timur Tengah seperti Mesir, Jordan, Maghribi dan sebagainya. Dakwah Islamiah seperti pengajian di masjid dan penguatkuasaan undang-undang walaupun tidak disenangi oleh sesetengah pihak antaranya adalah diasaskan oleh abah. Perjuangan abah melalui JAIS menjadi inspirasi kepadaku.

Rakan pengajian abah masa di Deoband, Shahranpur, India termasuk Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat dan ketika di Mesir mengaji peringkat Masters Syariah Universiti Al-Azhar bersama sekelas dengan Prof Dato' Dr Haron Din. Dengar khabarnya guru saya ini juga baru keluar dari IJN.

Abah pernah sebut perjuangan BTN ku mengingatkannya kepada perjuangannya masa muda-muda dahulu. Aku teringat Dato' Nooh Gadot semasa menjadi Mufti Johor dahulu mengirim salam kepada abah bila berkesempatan.

AL-FATIHAH UNTUK ALLAHYARHAM DATO' HJ MAHMAD MUHTAR BIN HAJI MAHMAD SALEH. Semoga rohnya ditempatkan bersama golongan Rasul, Nabi dan para wali serta salihin. Kami anak-anak dan keluarga berdoa agar kami juga sentiasa diberi hidayah dan berada dalam landasan perjuangan Islam sebagaimana abah tercinta.

TULISAN INI DIDEDIKASIKAN UNTUK KENANGAN SEMUA ANAK-ANAK DAN CUCU-CUCU ALLAHYARHAM. AL-FATIHAH..

Wassalam.











4 comments:

  1. Al-Fatiha...

    Ustaz,pada perenggan ke-30 agaknya:

    Rakan pengajian abah masa di Deoband, SHAHRANPUR, India termasuk Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat dan ketika di Mesir mengaji peringkat Masters Syariah Universiti Al-Azhar bersama sekelas dengan Prof Dato' Dr Haron Din. Dengar khabarnya guru saya ini juga baru keluar dari IJN.



    Saya mahu bertanya Shahranpur atau Shaharanpur.

    ReplyDelete
  2. Ejaannya saya tidak pasti tetapi di Deoband, India. Terima kasih.

    ReplyDelete
  3. Tidak akan dapat dilupakan hingga ke akhir hayat.

    ReplyDelete