Wednesday, November 18, 2009

HARAPAN RAKYAT KEPADA UMNO


TSUNAMI politik pasca Pilihan Raya Umum 2008 memberi impak besar kepada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN). Kesannya masih terasa sehingga ke hari ini walaupun telah hampir dua tahun berlalu.

Parti-parti utama BN seperti UMNO, MCA, MIC dan Gerakan kini sedang belajar daripada kesilapan lalu dan membina kekuatan untuk bangkit semula dengan lebih gagah dan penuh keyakinan.

Tetapi hanya mereka yang benar-benar kuat dan mempunyai semangat yang tinggi sahaja mampu untuk berbuat demikian. Hasilnya mungkin tidak akan nampak dalam sehari dua.

Memetik kata-kata Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, jika tidak mempunyai ketahanan dalaman yang tinggi, tidak usahlah menyertai politik.
Semangat inilah yang perlu ada pada setiap pemimpin dan ahli parti-parti komponen BN. Semangat untuk berubah, semangat untuk membuktikan bahawa BN masih relevan dalam arus politik negara, perlu tinggi.

Sehubungan itu, parti mesti diperkuatkan dan penyokong mesti diyakinkan bahawa dengan perpaduan dan semangat kental, segala rintangan akan dapat diatasi.
Dalam masa yang sama, para pemimpin parti komponen pula mesti sanggup membawa perubahan kepada parti masing-masing, dengan matlamat menjaga kepentingan rakyat.
UMNO telah membuktikan kesungguhan tersebut melalui Perhimpunan Agung Khas akhir bulan lepas. MCA masih dalam proses menyelesaikan kemelut dalamannya, begitu juga dengan MIC dan Gerakan.

Sebarang masalah dalaman parti perlu segera diselesaikan dengan bijaksana sebelum ia merebak menjadi barah yang akhirnya membawa padah.
Kita tidak boleh menunggu lebih lama lagi kerana semakin lama, masalah akan menjadi lebih buruk dan sukar diselesaikan. Jika ini berlaku, perancangan yang dibuat selama ini akan menjadi sia-sia.

Oleh itu, semua pihak perlu bekerja keras untuk membuktikan bahawa parti pemerintah masih mampu membawa kesejahteraan kepada rakyat dan bukan setakat "cakap-cakap kosong" menjelang pilihan raya.

Usah mengharap sokongan rakyat kepada parti kita jika masalah dalam parti sendiri tidak dapat diselesaikan. Pertelagahan sesama sendiri perlu dihentikan. Fokus kini kepada usaha mengembalikan keyakinan rakyat.

Kekuatan dalaman parti perlu dibina dengan mengenepikan kepentingan peribadi dan soal-soal remeh. Letakkan kepentingan parti lebih daripada segala-galanya.

Pada akhirnya, rakyat akan menilai keikhlasan perjuangan sesebuah parti dan para pemimpinnya. Dan pada akhirnya juga, rakyat yang akan menentukan masa depan parti dan kerajaan.

Walau sehebat manapun sesebuah parti itu, jika sudah rakyat sudah hilang kepercayaan, pemimpin sering bercakaran, lambat-laun ia tidak akan menjadi relevan lagi.

Jadi, sebelum rakyat membuat penentuan, parti-parti komponen BN perlu segera menyahut cabaran untuk berubah selaras dengan kehendak rakyat atau terimalah akibatnya.

No comments:

Post a Comment