Sunday, November 1, 2009

BERUSAHA UNTUK KHUSYUK DALAM SOLAT

Khusyuk dalam solat sangat dituntut seperti Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Mukminun ayat 1-2 dan Surah al-Baqarah ayat 238. Sedarlah kita bahawa solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di Akhirat oleh Allah s.w.t. berbanding amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka akan dihitung pula amalan yang lain.

Untuk kita berusaha supaya dapat khusyuk dalam solat, amalan berikut elok diamalkan oleh kita semua yang menunaikan solat.


1. Menjaga makanan dan minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya berasal dari punca atau sumber yang halal tanpa syubhah.

2. Kita anggapkan saat-saat kematian kita hampir tiba dan solat yang akan kita dirikan merupakan solat terakhir dan kita akan lakukan solat secara yang terbaik.

3. Mendirikan solat di awal waktu atau sekurang-kurangnya di pertengahan waktu supaya tidak melakukan solat secara tergopoh-gapah kerana mengejar masa yang hampir habis.

4. Membaca dengan baik (Husnul Qari'ah), berusaha untuk memahami erti bacaan dalam solat termasuk ayat-ayat al-Qur'an yang dibacakan terutama Surah al-Fatihah, maksud gerakan dalam dan makna bacaannya. Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang tersirat yang patut difahami oleh orang yang melaksanakannya.

5. Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha menumpukan kepada solat dengan penuh konsentrasi bagi menimbulkan kesedaran bahawa Allah memerhatikan solat kita.

6. Rasa malu (haya') kepada Allah dan rasa takut (khauf) kepada kekuasaan Allah semasa melakukan solat.

7. Berharap serta yakin bahawa Allah menerima solat dan amalan kita.

8. Menghadirkan hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan keduniaan yang boleh mengganggu serta tidak bekaitan dengan solat.

9. Membesarkan Allah serta merasakan kehebatan Allah dalam solat.

10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang boleh melekakan kita semasa solat.

11. Melaksanakan solat bejemaah.

12. Mengambil wuduk dengan sempurna.

13. Mengurangkan pergerakan anggota seperti tangan, kaki dan sebagainya yang tidak perlu. Mata ditumpukan ke tempat sujud dan ketika membaca tasyahhud kita melihat anak jari.

14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun solat bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.

15. Tidak solat dengan memakai pakaian yang mempunyai gambar, warna-warna yang melampau, pakaian yang mempunyai tulisan, lukisan dan lain-lain kerana dikhuatiri mengganggu khusyuk solat orang lain ketika berjemaah.

Sayugia diingatkan, syarat khusyuk yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri seseorang terhadap Allah. Oleh itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan memperkuatkan iman.

Imam al-Ghazali menyebut orang yang tidak khusyuk dalam solat adalah sia-sia belaka kerana solat mencegah perbuatan fahsya' dan munkar.

Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perbuatan keji dan munkar.

Saidina Ali karramallahu wajhah begitu khusyuk dalam solat hingga apabila dicabut panah di betisnya, baginda tidak terasa apa-apa kesakitan. Saidina Umar al-Khattab pernah berkata: "Khusyuk itu bukan tundukan kepala, tetapi khusyuk itu di dalam hati."

Maka saya menyeru diri saya dan semua sahabat agar kita dapat sama-sama mempertingkatkan kualiti solat demi mencapai mardhatillah.





No comments:

Post a Comment