Friday, November 13, 2009

BERGURAU DALAM ISLAM

Ada pandangan yang mengatakan bahawa bergurau boleh menjadikan seseorang itu kelihatan muda sentiasa. Bagaimana pula kalau bergurau itu bertujuan untuk menjatuhkan air muka orang lain?

Diriwayatkan seorang nenek pernah berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. Nenek tersebut memohon agar Rasulullah s.a.w. mendoakan agar beliau masuk syurga. Lantas Rasul menjawab orang tua tidak akan masuk syurga. Nenek tersebut menangis dan menyatakan menyesal kerana tidak menerima Islam dalam usia yang lebih muda. Rasulullah s.a.w. kemudiannya menerangkan bahawa baginda hanya bergurau dan apa yang dimaksudkan oleh baginda ialah sesiapa yang masuk ke dalam syurga, dia akan dimudakan seperti usia remaja. Mendengarkan penerangan itu, nenek itu pun merasa gembira dan seronok dengan gurauan baginda.

Rasulullah s.a.w. suka bergurau dengan para sahabat baginda ridhwanullah alaihim menyebabkan baginda mudah didekati dan para sahabat tabah menghadapi pelbagai bentuk dugaan dengan gurauan Rasulullah s.a.w. itu hingga menyebabkan mereka merasa ringan akan penentangan orang Musyrikin ke atas umat Islam.

Khalifah Harun al-Rasyid selalu terkena dengan gurauan Abu Nawas dan kadangkala menyebabkan khalifah merasa sakit hati. Namun apabila Abu Nawas tiada, baginda rindu akan gurauan Abu Nawas hingga menyebabkan baginda tercari-cari pula. Begitulah gurauan boleh meringankan ketegangan dan stress yang dihadapi.

Bergurau tidak ada salahnya malah ia perlu kepada manusia. Islam telah menetapkan bahawa gurauan tidak dibuat keterlaluan hingga menjatuhkan serta memalukan seseorang di khalayak ramai. Menyinggung perasaan orang lain adalah perbuatan yang tidak elok.

Ingatlah sesiapa yang banyak ketawa akan mengurangkan rasa hormat orang lain kepadanya. Oleh itu, berpada-padalah dalam bergurau, lihat masa dan tempat dan berguraulah perkara yang benar sebagaimana gurauan Rasulullah s.a.w.

No comments:

Post a Comment