Sunday, November 1, 2009

DOA UWAIS AL-QARNI

Rasulullah s.a.w. telah berpesan kepada Saidina Umar dan Saidina Ali:
Akan lahir di kalangan tabiin, seorang insan yang doanya sangat makbul, namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir pada zaman kamu."

Tabiin maknanya satu kumpulan insan yang tidak sempat berjumpa dengan Nabi s.a.w. tetapi sempat berjumpa dengan sahabat Nabi sahaja. Kalau orang itu sempat berjumpa dengan Nabi, orang itu dipanggil sahabat. Kalau orang itu lahir ke dunia setelah Nabi wafat tetapi sempat berjumpa dengan sahabat Nabi, orang itu dipanggil tabiin. Maka Uwais al-Qarni yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w. dari kalangan tabiin iaitu sempat berjumpa dengan sahabat Nabi sahaja.

Siapakah Saidina Umar dan Saidina Ali? Mereka berdua adalah antara orang-orang yang telah disenaraikan "al-Mubasyirun bil Jannah" iaitu mereka sudah djamin masuk syurga.

Nabi berkata kepada dua oang bakal ahli syurga itu,"Pada zaman kamu akan lahir seorang insan yang doanya sangat makbul. Kamu berdua pergilah cari dia. Dia akan datang dari ara Yaman dan dibesarkan di Yaman. Kalau berjumpa dengannya, minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua."

Banarlah kata Nabi, Uwais al-Qarni telah muncul pada zaman Saidina Umar dan Saidina Ali. Mereka tunggu dan mencari qabilah-qabilah yang datang dari Yaman ke Madinah. Akhirnya mereka bertemu dengan Uwais al-Qarni. Pada pandangan mata biasa, tidak mungkin dia orang yang Nabi maksudkan. Ini kerana pada pandangan orang yang datang bersamanya, menganggapnya sebgai seorang yang mempunyai akal yang tidak sempurna. Tetapi orang tidak tahu dia ada keistimewaan tersendiri.

Asal-usul Uwais al-Qarni

Dia asalnya mempunyai penyakit sopak sejak lahir. Badannya piutih kerana penyakit yang tidak disukai orang. Walaupun berpenyakot sopak, beliau seorang yang saleh, terlalu mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia berusaha untuk mendapat keredaan ibunya sementara bapanya telah meninggal dunia sejak dia masih kecil lagi.

Pada satu hari, ibunya memberitahu Uwais bahawa dia ingin sangat pergi menunaikan ibadat haji. Ibunya menyuruh supaya usahakan agar dia dapat dibawa ke Mekah. Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan membawa ibunya kerana pada zaman itu, kebanyakan orang pergi haji dari Yaman ke Mekah, mereka menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang d atasnya "Haudat." Haudat ini seperti sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, sewa da perbelanjaan haudat ini sangat mahal. Uwais tidak mampu menyediakannya, unta dia tidak miliki dan untuk menyewanya pun dia tidak mampu.

Ibu Uwais bertambah uzur dan dia berkata kepada anaknya,"Anakku, mungkin ibu sudah tidak lama lagi bersamamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji."

Uwais mendapat satu ilham. Dia pun pergi membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan telah habis menyusu. Dibinanya sebuah pondok kecil di atas sebuah "Tilal" iaitu sebuah tanah tinggi. Lembu itu pun diletakkan di dalam pondok.

Apa yang Uwais lakukan? Pada setiap petang, Uwais mendukung anak lembu itu naik ke atas tanah tinggi (Tilal). Pada keesokan paginya, dia dukung anak lembu itu turun untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya pada setiap hari. Ada ketikanya, dia mendukung anak lembu itu mengelilingi bukit tempat dia beri lembu itu makan. Perbuatannya itu menyebabkan orang kata dia gila.

Pada pandangan biasa, dengan kedua tangannya. memang pelik Uwais ini. Apa tidaknya! Buatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari usung lembu, petang bawa naik, pagi bawa turun bukit.

Apa sebenarnya niat Uwais? Lembu yang betat asalnya 20kg selepas enam bulan, berat lembu itu akan meningkat kepada 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais sudah menjad kuat. Latihan demikian telah menyebabkan Uwais mampu mengangkat lembu seberat 100kg dengan turun dan naik bukit dengan mudah sahaja.

Selepas lapan bulan, telah sampai musim haji. Perbuatannya itu adalah sebagai persediaan untuk membawa ibunya mengerjakan haji. Makna Qarni ialah tanduk. Perbuatan mendukung anak lembu itu menyebabkan Uwais digelar Uwais al-Qarni.

Uwais memangku ibunya dari Yaman ke Mekah dengan kedua tangannya. Di belakang badannya, diletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung, apatah lagi ibunya yang beratnya cuma di sekitar 50kg sahaja. Uwais mendukung dan memangku ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, sesampai sahaja di Mekah, mendukung ibunya di Padang Arafah, mengerjakan tawaf dan saie dengan begitu mudah sekali. Dia seterusnya mendukung ibunya kembali semula ke rumah mereka di Yaman dari Mekah.

Setelah sampai di rumah mereka di Yaman, ibunya bertanya,"Uwais, apa yang kamu doa sepanjang kamu berada di Mekah?"

"Saya berdoa agar Allah ampunkan dosa-dosa ibu." jawab Uwais.

Ibunya bertanya lagi, "Bagaimana pula dengan dosa kamu?"

"Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga, cukuplah ibu redha dengan saya maka saya juga akan masuk syurga." jawabnya.

Ibunya berkata lagi,"Ibu mahu kamu berdoa supaya Allah sembuhkan sakit sopak kamu itu."

Kata Uwais,"Saya keberatan untuk berdoa seperti apa yang ibu minta kerana sopak ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, semacam saya tidak bersyukur dengan pemberian Allah."

Ibunya menambah,"Kalau nak masuk syurga, kena taat perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa seperti apa yang ibu suruh."

Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan seraya berdoa supaya Alah sembuhkan penyakit sopak seperti perintah ibunya. Takutkan masih ada dosa pada dirinya, dia berdoa,"Ya Allah kerana ibuku menyuruh berdoa sembuhkan sopak pada badanku ini, Engkau tinggalkan sedikit sahaja."

Allah s.w.t. sembuhkan penyakit sopak serta-merta kecuali tinggal sedikit satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Kalau pada Nabi, baginda ada tanda Khatam Nubuwwah iaitu tanda kenabian, tanda pada Nabi bersinar. Tanda tompok putih pada Uwais sebab dia minta pada Allah supaya jangan buang semuanya kerana sopak adalah anugerah Allah. Nabi sebut tanda ini kepada Saidina Umar dan Saidina Ali. Nabi kata, tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih (sopak). Kalau berjumpa dengan tanda itu, dialah Uwais al-Qarni.

Tidak lama selepas Uwais berdoa sedemikian, ibunya pun meninggal dunia. Uwais telah menunaikan semua perintah ibunya. Beliau menjadi orang yang paling tinggi martabat di sisi Allah.

Saidina Umar dan Saidina Ali menunaikan wasiat Nabi s.a.w. supaya berjumpa dengan Uwais al-Qarni yang sangat makbul doanya hinggakan penyakit sopaknya dapat sembuh hanya dengan doa. Nabi s.a.w. berpesan supaya Uwais mendoakan agar Allah ampunkan dosa-dosa Saidina Umar dan Saidina Ali. Maka doa yang paling utama ialah doa minta Allah ampunkan dosa-dosa kita. Doa Uwais sangat makbul kerana sangat taatkan ibunya.

Saidina Umar menawarkan jawatan kepada Uwais tetapi dia lebih suka menjadi orang biasa sahaja. Itulah Uwais al-Qarni, orang yang sangat terkenal di langit tetapi tidak terkenal di dunia.

(Sedutan ceramah guru saya Prof Dato' Dr Haron Din).


















No comments:

Post a Comment