Friday, October 30, 2009

DAFTAR HAJI

Hari ini saya ke Tabung Haji, Pontian untuk mendaftar sebagai jemaah haji. Tanpa dapat ditahan, airmata saya mengalir di pipi. Niat yang baik akan diredhai Allah insya Allah.

ABD MUN'EM BIN MAHMAD MUHTAR

Sunday, October 25, 2009

SAAT-SAAT TERAKHIR BERSAMA ABAH

Pagi 24 Oktober 2009 kira-kira jam 5.30 sebelum azan Subuh, aku menerima sms dari adik perempuanku Busyra. Sms yang begitu pendek namun mengesankan iaitu abah tenat..aku tidak membalas lantas terus memadamkan handset supaya lebih cepat bateri dicas sebagai persediaan untuk pulang ke Shah Alam bersama seluruh ahli keluargaku termasuk bibik yang akan menemani di sepanjang perjalanan. Pesanan suara memperdengarkan suara adikku memaklumkan abah tenat dan meminta pulang segera sambil teresak-esak.

Kira-kira jam 6.30 pagi, kami bertolak dari rumah. Perjalanan ke Shah Alam hanya berhenti di R & R Machap kerana anak-anak tidak sempat bersarapan di rumah. Berhenti sekali lagi di Restoran Jejantas Ayer Keroh untuk berehat dan menenangkan fikiran sambil menunaikan hajat.

Kami sampai di Selangor Medical Centre (kini KPJ Selangor), Seksyen 20, Shah Alam kira-kira jam 12 tengahari. Abah terlantar di Wad 2A iaitu wad kanak-kanak dan dia ditempatkan di situ kerana wad kanak-kanak mempunyai lebih banyak bilik untuk seorang pesakit sahaja berbanding wad-wad yang lain di hospital swasta itu.

Aku bersalam mencium tangan seperti biasa dengan abah yang terlantar di atas katil diikuti oleh isteri dan tiga orang anak-anakku. Abah masih sedar dan menyebut hilang rasa rindu pada cucu-cucunya. Selepas itu, ada sahabat-sahabat dan jiran-jiran yang menziarahi. Aku dan adik-adik yang lain berada di sekeliling abah dan sesekali kami menunggu di lobi Aras 2 untuk memberi laluan kepada mereka yang datang menziarah.

Kira-kira jam 6.30 petang, doktor yang merawat melakukan pemeriksaan. Setelah doktor keluar, aku disuruh oleh ibu untuk bertanyakan doktor perkembangan semasa dan bagaimana rawatan berikutnya.

Tanya doktor berapa orang adik beradik. Aku jawab empat orang. Kata doktor, this is the time to tell everyone. Aku jawab we are all here. Abah akan dibawa semula ke ICU dan kemudiannya adik perempuanku memberitahu sebelum ini abah dibawa keluar dari ICU dan dibawa ke wad 2A hanyalah semata-mata untuk memberi peluang kepada kami anak-anaknya yang sangat dikasihinya dan isterinya menghabiskan masa bersamanya di saat-saat akhir. Tapi sepanjang waktu itu, abah masih sedar, masih ingat cucunya dan selalu menanyakan bila masuk waktu solat. Ingatannya kepada solat sangat kuat hinggakan saban waktu asyik bertanyakan waktu solat dan keinginannya untuk solat. Apa yang disedari jari-jari tangan kanannya seperti memegang tasbih dan sesekali mengangkat tangannya seolah-olah membetulkan tasbih.

Kami menunggu di ruang menunggu ICU Aras 1 dan masuk ke bilik ICU bersilihganti. Aku membaca Yasin bersama adik-adikku tanpa jemu dan bagaikan ada kekuatan untuk terus membaca surah tersebut berulangkali walaupun ada tamu yang datang menziarahi. Perkara yang lain tidak penting, hanya bacaan Yasin sahaja yang mampu aku lakukan selain berserah kepada Allah Yang Maha Kuasa.

Kira-kira jam 10.00 malam, aku keluar ke ruang menunggu ICU untuk melihat isteri dan anak-anakku. Anak-anakku sedang tidur keletihan dan isteriku memberitahu mereka lapar dan akhirnya tertidur. Aku menyuruh isteriku mengejutkan mereka dan membawa mereka makan malam di Restoran Syedina, Seksyen 9, Shah Alam berhampiran rumah kami. Kasihankan anak-anakku yang kelaparan, kami memesan makanan segera maggi sup mengalas perut anak-anak yang tidak tahan seperti kami orang dewasa.

Sedang kami makan, telefon bimbit berdering dari adikku Busyra menyuruh masuk ke bilik ICU. Aku menghantar anak-anak ke rumah dan meninggalkan mereka di sana bersama nenek saudara mereka dengan ditemani bibik..

Aku dan isteri terus ke hospital dan sesampainya sahaja di sana, aku dan isteriku tanpa membuang masa masuk ke bilik ICU. Kami membaca Yasin bersama adik-adik dan bersilihganti membisikkan ke telinga abah: "Allah! Allah!" Sambil mata kami memantau monitor yang memberitahu denyut jantung, nadi, oksigen, tekanan darah dan sebagainya.

Aku turun ke bawah Aras G akibat keletihan dan terlena seketika di sofa. Pak Guard turut bersimpati tidak menegur kerana itu adalah kawasan larangan untuk tidur. Kakitangan hospital seakan turut berkongsi kesedihan dengan kami.

Jam 3.30 pagi, telefon bimbit berdering, adik perempuanku menyuruh naik. Aku terus hilang mengantuk dan terus menaiki tangga ke Aras 1 ICU. Bacaan Yasin dan bisikan kalimah Allah ke telinga abah silihberganti. Keadaan abah nampaknya semakin tenat. Sejak saat itu, kami semua tidak berganjak dari katil abah. Apabila aku sedari adikku Fakhruzzaman tidak ada di bilik ICU, aku terus menghubungi telefon bimbitnya. Aku mahu pastikan semua anak-anak abah berada di sisinya. Pada ketika itu, dua orang sepupuku masih berada di situ.

Masuk jam 4.00 pagi, nampaknya keadaan abah semakin tenat. Kami terus dengan bacaan Yasin dan bisikan kalimah Allah ke telinganya. Masa terus berlalu, kami menahan airmata kerana angka-angka di monitor abah semakin menampakkan abah semakin uzur. Bacaan tekanan darah di monitor semakin lemah.

Bacaan oksigen sudah dari tadi memaparkan tanda soal. Kadang-kadang menunjukkan nombor bertukarganti 96, 97, 101 tidak menentu.. Selalunya tanda soal. Kira-kira 4.30 pagi, bacaan di bawah sekali menunjukkan angka 0 berkelip-kelip. Adik perempuanku menangis sambil menyebut abah, adik lelaki bongsu terus membisikkan kalimah Allah, adik yang satu lagi membaca Yasin. Apabila monitor menayangkan yang paling akhir berkelip ialah bacaan yang paling atas menandakan hanya jantung sahaja berfungsi sementara yang lain-lain tidak, kami semakin tidak dapat menahan rasa sebak yang amat sangat. Jam 4.45 pagi, 25 Oktober 2009, abah menghembuskan nafas terakhir. Kembalinya seorang ulamak Negeri Selangor. Perjuangannya memartabatkan dan memperkasakan sekolah-sekolah agama Negeri Selangor juga dirakamkan dalam Wikipedia, ensaiklopedia terkenal di internet. Tangisan semakin tidak dapat ditahan-tahan. Doktor memeriksa abah dan memaklumkan,"Dia dah tak ada ya.." Ibu hampir rebah. Adik perempuan menahan dan mendudukkannya di atas kerusi. Aku mengambil Surah Yasin dari tangannya. Sebagaimana hajat abah, rupanya hanya kami empat orang anak-anaknya, seorang menantu dan isterinya, seramai enam orang semuanya berada di sisinya hingga ke saat-saat akhir.

Kami keluar kerana urusan pihak bilik ICU. Tak lama kemudian, azan Subuh berkumandang memecah keheningan pagi. Aku terus menaiki tangga ke Aras 2 menunaikan solat sunat sebelum Suboh dan Solat Suboh bersama dua orang lagi di surau itu.

Adik bongsuku menghubungi van jenazah Surau Seksyen 9. Kami mengiringi jenazah abah. Selain aku dan adik bongsu mengangkat jenazah abah ke dalam kereta jenazah, turut membantu ialah seorang jururawat, seorang attendant dan pak guard. Dato' Bakar sebelum itu menghubungi ku menanyakan di mana jenazah samada sudah keluar dari ICU atau belum.

Ramai orang sudah menunggu di rumah Seksyen 9, antaranya Dato' Nahwari anak murid abah yang juga bekas Pengarah JAIS dan Dato' Tamyez Wahid, Mufti Kerajaan Negeri Selangor. Jenazah diangkat turun dari van dan diletakkan di atas katil di dalam rumah. Van menuju ke surau seksyen 9 untuk mengambil tempat serta peralatan mandi. Tidak lama kemudian, van Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, Masjid Negeri Selangor pula sampai.

Setelah segalanya tersedia, jenazah abah dimandikan dan kami tiga orang anak lelakinya bersama-sama memandikannya. Jenazah abah kelihatan tenang seolah-olah sedang tidur sahaja. Setelah selesai mandi, jenazah diangkat ke dalam rumah untuk dikapankan.

Hanya tinggal muka jenazah abah sahaja yang belum ditutup. Pada saat itu, adik perempuanku Busyra mencuit dan memberi isyarat ke arah jenazah, aku memujuknya yang menangis tidak dapat menahan kepiluan.

Tibalah masa untuk menatap wajah abah buat kali terakhir. Ibu mencium dahi abah. Saudara-mara menyabarkan. Aku yang telah dari tadi tidak menangis kini tidak dapat menahan sebak di dada mengenangkan selepas ini tiada lagi kesempatan untuk menatap wajah abah. Aku mengambil kain mengelap airmata dan setelah reda terus mengucup dahi abah buat kali terakhir. Isteri dan anak-anak mencium dahi atuk mereka. Kami semua dapat mencium dahi abah alhamdulillah tidak ada yang ketinggalan seorang pun.

Jenazah disolatkan dengan diimamkan oleh adik bongsu kami, Imam Basyiruddin al-Hafiz. Terdengar suara Ustaz Basyiruddin al-Hafiz yang teresak-esak sewaktu mengimamkan solat. Tercapailah hasrat abah untuk anaknya sendiri mengimamkan solat jenazahnya. Ruang yang luas dipenuhi dengan tetamu yang menyembahyangkan. Doa dibacakan oleh Dato' Hj Hashim Yahya, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, sahabat abah ketika menuntut di Mesir lagi.

Tibalah waktu jenazah abah dibawa ke tempat persemadiannya di Seksyen 21, Shah Alam. Saat jenazah diusung ke dalam van Masjid Negeri, aku berucap mengucapkan terima kasih kepada sekelian yang hadir, mohon kemaafan sekiranya ada kesilapan abah, halalkan makan minumnya, kalau ada hutang kalau boleh dihalalkan atau kalau ingin menuntut boleh menuntut kepada waris dan mohon turut mendoakan kesejahteraan abah dalam perjalanan alam yang berikutnya. Suaraku juga teresak-esak tidak dapat membendung kesedihan.

Aku menaiki van jenazah Masjid Negeri di kerusi hadapan sementara adikku Fakhruzzaman bersama jenazah abah di belakang dengan seorang lagi sepupu kami, Ibnu Zakuan.

Sampai sahaja di perkuburan, kami mengangkat jenazah abah turun dari van menuju ke tempat persemadian. Adikku Fakhruzzaman menyambut jenazah abah dari bawah dan bersemadilah abah dengan aman di sana. Cuaca begitu baik dan sejuk tidak panas membakar menandakan segalanya aman dan sejahtera.

Talqin dibaca oleh Imam Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, Masjid Negeri Selangor dengan penuh adab. Suara imam dan sebutan nama abah dibacakan sebagai 'saudaraku' begitu menusuk perasaan. Kami sudah tidak menangis lagi merelakan pertemuan abah dengan Allah Penciptanya yang sangat abah kasihi dan rindui. Disaat-saat akhir, abah selalu menyebut Rasulullah s.a.w. membuktikan kecintaannya kepada Rasul. Demikian disebutkan oleh Ustaz Rizal seorang ustaz tariqat yang menziarahi abah semasa di wad 2A. Kami anak-anaknya berbahagia kerana abah kami amat taat kepada perintah Allah semasa hayatnya. Kami amat lega kerana abah sangat kuat kecintaannya kepada syariat tanpa takut kepada sesiapa termasuk dalam memberikan pendapat berdasarkan wahyu Ilahi dan sunnah Rasul. Allah Yang Maha Pengasih telah menunjukkan buktinya kepada kami semua.

Talqin dan tahlil telah sempurna. Imam Masjid Negeri yang duduk di hadapanku mengucapkan takziah dan minta bersabar. Kami taburi pusara abah dengan bunga dan siraman air mawar. Selepas itu, empat orang pemuda berjubah putih setelah bersalaman dengan kami dan adikku Fakhruzzaman mengenalinya sebagai bekas pelajar Sekolah Agama Hishamuddin, Klang akan melakukan solat jenazah di atas kubur. Ustaz itu berkata,"Memang dia rindu". Aku bertanya "Rindu Apa?" Dia menjawab". "Dia (abah) rindu Allah. Sakitnya selama ini pun kerana rindunya kepada Allah." Sekali lagi aku lega kerana ustaz berjubah putih itu mengatakan begitu mengenai abah kami.

Kami berjalan menuju ke van untuk pulang ke rumah. Kelihatan Tuan Haji Mohd Uda bin Kassim, seorang pendakwah bebas terkenal di Selangor dan seluruh negara bersama isteri dan anaknya berjalan menuju ke pusara abah. Aku dan adikku Fakhruzzaman bersalam dengan Ustaz Uda. Jenazah abah telah selamat disemadikan namun masih ada orang yang menyembahyangkan serta mendoakannya. Syukur Ya Allah! Segala perjalanannya menemui Mu, Engkau telah mudahkan dan kami lihat dengan matakepala kami sendiri ramai orang-orang yang saleh dari kalangan ustaz, pendakwah dan mereka yang berjuang untuk Islam turut sama menziarahi, menyembahyangkan dan mendoakan roh beliau. Sungguh baik pengakhiran ini Ya Allah! Tiada apa lagi yang dapat kami katakan melainkan Alhamdulillah, syukur pada Mu Ya Allah atas reda Mu terhadap keluarga ini.

Hajat abah untuk mengumpulkan kami semua anak-anaknya tercapai. Kami berenam sahaja yang berada di sisinya hingga ke denyut nadi terakhir sedangkan peraturan ICU hanya membenarkan seorang sahaja pelawat berada di situ pada satu-satu masa. Namun ketentuan Ilahi melampaui peraturan manusia. Kakitangan hospital termasuk pak guard memahami perasaan kami. Takziah mencurah-curah dari kakitangan SMC sendiri.

Tahlil tiga malam berturut-turut untuk abah. Malam pertama bacaan Yasin dan tahlil diketuai oleh Sheikh Sham, malam kedua oleh Tuan Haji Mohd Uda Kassim dan malam ketiga pula diketuai oleh Sahibus Samahah Dato' Hj Hashim Yahya.

Malam tahlil yang kedua, sebelum majlis tahlil, Ustaz Uda menyampaikan kuliah di surau Seksyen 9, beliau menyebutkan Negeri Selangor telah kehilangan seorang ulamak yang berwibawa. Ustaz Uda Kassim pernah membentangkan kertaskerja mengenai zakat dengan dihadiri sama oleh abah yang pada waktu itu sebagai Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor.

Sungguh banyak pengajaran untuk diri ini dan keluarga di saat-saat akhir bersama abah tercinta. Segalanya menimbulkan keinsafan bahawa amalan yang baik akan diperlihatkan oleh Allah pada saat-saat kita sudah tidak berdaya lagi. Kami anak-anaknya sempat memohon keampunan dan kemaafan dari abah. Semuanya bagai telah diatur agar kami dapat membahagiakannya dengan anak dan cucu di sekelilingnya. Abah tahu kami ada di sisinya. Abah sudah tentu aman di sana. Jenazahnya begitu tenang. Nukilan ini sememangnya apa yang kami lihat di sepanjang kami bersama abah di penghujungnya dan aku sebagai anak sulong tidak berenggang bahkan sentiasa bersama abah dari saat abah menghembuskan nafas terakhir hingga abah disemadikan. Hanya meninggalkan abah sementara sahaja bagi menunaikan solat Suboh di surau hospital dan ketika itu pihak ICU sedang menukarkan baju wad dan diganti dengan baju dan kain pelikat yang dibeli oleh adikku Busyra. Ianya menjadi kenangan yang tidak akan dapat dilupakan hingga ke akhir hayatku. Abah menanti kami semua di sana. Berbahagialah abah bersama Pencipta dengan segala jasa dan pengorbanan yang abah tempuh penuh dengan pelbagai dugaan dan cabaran dalam menegakkan martabat sekolah-sekolah agama JAIS hingga diiktiraf dan ramai lulusannya telah melanjutkan pengajian hingga ke negara-negara Timur Tengah seperti Mesir, Jordan, Maghribi dan sebagainya. Dakwah Islamiah seperti pengajian di masjid dan penguatkuasaan undang-undang walaupun tidak disenangi oleh sesetengah pihak antaranya adalah diasaskan oleh abah. Perjuangan abah melalui JAIS menjadi inspirasi kepadaku.

Rakan pengajian abah masa di Deoband, Shahranpur, India termasuk Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat dan ketika di Mesir mengaji peringkat Masters Syariah Universiti Al-Azhar bersama sekelas dengan Prof Dato' Dr Haron Din. Dengar khabarnya guru saya ini juga baru keluar dari IJN.

Abah pernah sebut perjuangan BTN ku mengingatkannya kepada perjuangannya masa muda-muda dahulu. Aku teringat Dato' Nooh Gadot semasa menjadi Mufti Johor dahulu mengirim salam kepada abah bila berkesempatan.

AL-FATIHAH UNTUK ALLAHYARHAM DATO' HJ MAHMAD MUHTAR BIN HAJI MAHMAD SALEH. Semoga rohnya ditempatkan bersama golongan Rasul, Nabi dan para wali serta salihin. Kami anak-anak dan keluarga berdoa agar kami juga sentiasa diberi hidayah dan berada dalam landasan perjuangan Islam sebagaimana abah tercinta.

TULISAN INI DIDEDIKASIKAN UNTUK KENANGAN SEMUA ANAK-ANAK DAN CUCU-CUCU ALLAHYARHAM. AL-FATIHAH..

Wassalam.











25 OKTOBER 2009

Jam 4.45 pagi 25 Oktober 2009, abah Dato' Hj Mahmad Muhtar bin Hj Mahmad Saleh telah kembali ke rahmatullah...di Selangor Medical Centre, Shah Alam. Al-Fatihah

Thursday, October 22, 2009

KUASA WANITA

Ini kisah mengenai jenama kopi. Sekarang di pasaran terdapat banyak jenama kopi. Antaranya kopi Radix, kopi susu kambing 5 dalam 1, kopi jantan dan kopi sedap. Kenapa nama kopi jantan? Kerana dalam pemahaman Bahasa Melayu lelaki dan jantan mempunyai makna yang berbeza. Bukan sahaja jantan disebut untuk binatang tetapi ada makna di sebaliknya yang tidak mendatangkan kemarahan kaum lelaki. Kadang-kadang mereka lebih suka disebut jantan.

Namun kadang-kadang hal ini berbeza dengan wanita. Kalau lelaki suka disebut jantan, wanita pula boleh dipanggil bunga, perempuan, kaum hawa dan lain-lain panggilan yang membawa makna serupa tetapi jangan dipanggil betina.

Begitulah mulanya apabila seorang menteri wanita Sabah tidak setuju dengan nama yang diberikan kepada Kopi Janda. Menurut beliau, nama kopi janda memberi imej negatif kepada kaum wanita yang sudah bercerai. Bagaimanakah imej negatif yang dimaksudkan mungkin menteri berkenaan menganggap kaum lelaki sendirilah yang tahu dan faham.

Adakah kalimah janda itu membawa makna menggoda? Kalau tidak silap saya iklan kopi itu ada menyebut: Jemput minum kopi janda bang! Terdengar suara matang namun bisa menggugah iman. Di hujungnya ditambah, kami bukan nak menggoda cuma nak berniaga!

Bagaimana kalau kopi itu diberi nama kopi ibu tunggal pula? Adakah membawa apa-apa perbezaan? Atau pun diberi nama kopi madu tiga atau kopi abang Jamil?

Saya masih ingat seorang Timbalan Ketua Bahagian dalam kawasan Kuala Lumpur. Beliau menyanyi lagu P Ramlee, pabila larut malam dan ketiga isterinya menyambut tara kucha tara kucha.. kisah menarik ini disiarkan dalam akhbar. Pemilihan berikutnya menyaksikan beliau tidak lagi dipilih sebagai Timbalan Ketua Bahagian. Adakah kerana kisah beliau beristeri tiga menyebabkan kaum wanita tidak mengundinya lagi?

Dalam sebuah negara yang mempunyai jumlah penduduk wanita iaitu pengundi yang ramai dan kaum hawa inilah yang rajin datang mesyuarat cawangan, sebarang isu yang menyinggung perasaan kaum tersebut haruslah diberi perhatian.






Wednesday, October 21, 2009

BILA TABUH DIPALU

Marilah kita ikuti sebuah kisah pada satu pagi di Kampung Murni, sebuah kampung yang masih menebal dengan budaya khidmat dan semangat setiakawan.

Di pagi yang hening dan syahdu, tiba-tiba kedengaran bunyi tabuh dipalu. Penduduk kampung yang sedang asyik dibuai mimpi nan indah bagaikan tersedar dari lamunan. Telinga dipasang betul-betul agar bunyi tabuh sesungguhnya bukan khayalan. Memang benar itu bunyi tabuh. Hati berdebar lalu tertanya, siapakah yang telah meninggal dunia? Kalau jumpa orang kampung, belum sempat bertanya sudah dikabarkan, si polan sudah pergi selamanya. Simpati rasa di hati lantas Fatihah dikirim di angin lalu. Moga Allah perkenankan restu. Biar roh teman sekampung diredai Pencipta.

Sewaktu sang suria baru menjenguk muka, orang kampung berziarah silih berganti. Takziah mencurah-curah berkongsi kesedihan keluarga tercinta. Bertafakur sekali lagi Fatihah dikirim, masa tidak dibazirkan lantas bergegas membuat persiapan.

Si pandai kayu menyiapkan keranda. Teman yang lain mengukur jenazah. Penggali kubur menghayun cangkul. Sahabat lain menyediakan kelengkapan mandi dan kain kapan. Rumah si mati tidak sunyi dengan bacaan Yasin mohon keampunan dan kesejahteraan.

Setelah urusan mandi dan kapan selesai, jenazah disolatkan tanda pengormatan terakhir. Diusung jenazah melalui jalan terakhir menuju tempat persemadian dengan mulut tidak henti-hentinya mengumat-ngamit ayat suci. Jenazah disemadi, talqin dibaca buat kesedaran, doa diiring penuh ikhlas buat bekal di sana nanti. Tanah perkuburan sunyi sepi. Mulut bagaikan terkunci. Hormat jenazah terasa di hati. Gurau senda di lain kali nanti. Tunduk semua penuh keinsafan mengaminkan doa penuh ketulusan. Giliran kita tak akan dimungkiri.

Jika kubur di tanah bukit, jenazah dimasuk ke liang lahad, wajah dihadap arah Qiblat, dikepal tanah buat penyandang agar tubuh jenazah tidak beralih ke tempat lain untuk dihadap.

Jika kubur di tanah gambut, keranda masuk bersama ke liang lahad, penutup keranda dibuka, jenazah dibuat mengiring ke arah Qiblat, tanah dikepal sebagai bantal, diselit keliling wajah, leher dan belakang badan jenazah hingga bisa mengadap Qiblat.

Semua orang kampung bersatu hati, masing-masing buat kerja sendiri, tidak ada hasad dengki, hari ini giliran dia, esok lusa panggilan untuk kita, mengadap Maha Pencipta kembali ke asal sedia ada. Hanya amalan bekalan kita.

Semua bekerja tanpa disuruh. Lupa sebentar sengketa durja. Mengapa tidak kita amal sentiasa? hanya menunggu waktu maut menjelma menjemput sesama kita. HANYA BILA TABUH DIPALU





DOA BUDAYA AL-QUR'AN SMK DATO' MOHD YUNOS SULAIMAN

Kami menadah tangan kami dengan penuh rasa kehambaan kepada Mu Ya Allah Tuhan Yang Maha Hidup Lagi Maha Pengasih.

Kepada Mu Ya Allah kami mohon pertolongan agar kami dijauhkan dari sebarang marabahaya di dunia dan azab yang pedih di Hari Akhirat.

Ya Allah Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Pemurah

Kepada guru-guru kami, kami mohon kepada Mu Ya Allah agar umurnya Engkau panjangkan dalan ketaqwaan, rezekinya Engkau berkatkan, hatinya Engkau cekal dan tabahkan, tubuh badannya Engkau sihat dan perkuatkan, ilmunya Engkau tambahkan, kasihsayangnya kepada kami Engkau suburkan supaya guru-guru kami dapat mendidik kami semua anak bangsa yang dahagakan pengetahuan dengan berkesan.

Kepada ibubapa kami, kami mohon kepada Mu Ya Allah agar dosanya Engkau ampunkan, penat lelah mencari rezeki untuk kami Engkau halalkan, hatinya Engkau sabarkan, solatnya Engkau peliharakan, ibadatnya Engkau pertingkatkan, doanya untuk kami Engkau makbulkan, hasrat agar kami menjadi anak yang saleh Engkau capaikan, imannya Engkau teguhkan, segala tegurannya menjadi ingatan, nasihatnya menjadi panduan, tunjuk ajarnya menjadi pedoman, dalam kami meniti kehidupan, supaya selamat dalam sebarang keadaan.

Kepada anak murid kami, kami mohon kepada Mu Ya Allah agar hatinya Engkau tenangkan, dadanya Engkau lapangkan, akalnya Engkau cerdaskan, jasmaninya Engkau afiatkan, ibadatnya tidak pernah ketinggalan, azamnya Engkau perhebatkan, doanya untuk meraih kejayaan Engkau perkenankan, akhlaknya Engkau perelokkan dan segala cita-cita ke arah kecemerlangan Engkau kabulkan Ya Hayyun Ya Qayyum Ya Zal Jalali wal Ikram.

Akhirnya Ya Allah, selamatkanlah umat Islam di negara kami dan seluruh dunia dan lindungilah mereka dari sebarang musibah dan bencana.


DOA PENILAIAN MENENGAH RENDAH 2009

Engkau Maha Mengetahui Ya Allah bahawa kami anak-anak Tingkatan Tiga SMK Dato Mohd Yunos Sulaiman sebentar lagi akan melangkah ke Dewan Peperiksaan bagi meneruskan agenda penting kehidupan kami menduduki Penilaian Menengah Rendah pada tahun 2009 ini yang akan mencorakkan masa hadapan kami untuk memenuhi harapan ibubapa kami, guru-guru kami dan masyarakat keseluruhannya.

Oleh itu kami menadah tangan kehambaan kami memohon kepada Mu dengan penuh rasa tawaduk, Engkau cerdaskan akal kami supaya kami dapat memahami kehendak soalan, tenangkan hati kami agar kami tidak resah gelisah di dalam dewan, berilah ilham kepada kami di saat-saat kami menemui kebuntuan, ingatkanlah kembali segala yang kami telah terlupa daripada pengajaran guru-guru kami, bantulah kami dengan mengurniakan idea-idea yang bernas agar kami dapat memberikan pilihan jawapan yang terbaik supaya kami dapat melakar kejayaan yang cemerlang.

Dengan belas ihsan Mu Ya Allah, anugerahkanlah kejayaan kepada kami sebagai hadiah atas budi dan pengorbanan ibubapa kami yang mengharapkan kepulangan kami bersama keputusan yang membanggakan. Ampunkan dosa kami, dosa ibubapa kami serta guru-guru yang kami kasihi.




DOA BAKAL HAJI

Kami berhimpun pada hari ini menyatakan setinggi-tinggi kesyukuran pada Mu atas segala nikmat kurniaan Mu yang tidak ternilai.

Engkau Maha Mengetahui Ya Allah, sahabat-sahabat kami telah menyimpan niat untuk bersama-sama jutaan umat Islam seluruh dunia mewakili kami kerana kami tidak mampu untuk mengerjakan haji kesemuanya pada tahun ini, mereka berniat untuk mengunjungi Baitullah tempat Qiblat solat kami ingin melakukan saie mengingati peristiwa Nabi Ismail dan ibunya, melontar jamrah sebagai tanda ikrar memerangi iblis dan syaitan, menziarahi maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w., melihat sendiri tanah perkuburan para syuhada' dan merasai sendiri kepanasan pasir tanah Mekah tempat Rasulullah berjuang demi menyelamatkan kami semua dari azab api neraka.

Oleh itu kami menadah tangan kehambaan kami dengan penuh rasa tawaduk Ya Allah, berilah ketenangan kepada bakal-bakal haji dan hajjah supaya mereka dapat menumpukan kepada melaksanakan ibadah dengan sempurna, berilah kesihatan kepada mereka supaya mereka dapat melengkapkan segala rukun dan syarat, berilah kekuatan kepada mereka agar mereka dapat menjalani ibadah tanpa sekatan dengan melakukan ibadat sunat, anugerahkan kelapangan dada kepada mereka agar dapat melakukan tawaf dengan penuh keikhlasan dan kesabaran, menyempurnakan saie dengan penuh ketaatan dan melontar jamrah dengan rasa keinsafan dan pengharapan akan reda Mu jua.

Engkau penuhkan masa mereka di tanah suci Mekah dan Madinah dengan bertaubat, berdoa dan menunaikan ibadah-ibadah sunat di samping ibadah yang wajib.

Maka kami lepaskan sahabat-sahabat kami untuk menjadi tetamu Mu di tanah haram dengan penuh pengharapan bagi mereka memenuhi janji, menyahut seruan Mu dan melengkapkan Rukun Islam.

Engkau mudahkan perjalanan mereka, lancarkan urusan mereka sesungguhnya ikan-ikan di lautan dan burung-burung di udara mendoakan kesejahteraan orang-orang yang di dalam perjalanan ke tanah suci. Kami mohon agar mereka semua diberikan haji yang mabrur sesungguhnya tidak ada balasan bagi mereka yang memperolehi haji yang mabrur melainkan syurga.

Kepada kami yang tinggal, Engkau tetapkan iman kami, tambahkan kecintaan kami kepada agama Mu, perhebatkan ibadah kami dan akhirnya sampaikanlah cita-cita kami untuk menjadi bakal haji dan hajjah pada satu masa yang Engkau perkenankan.

Tuesday, October 20, 2009

MASA BELAJAR AGAMA TIDAK CUKUP?

Saya tertarik dengan artikel yang ditulis oleh Dato Salleh Majid, mantan Pengerusi BSKL yang tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia.

Beliau memulakan artikel dengan menyebutkan bahawa masa yang diperuntukkan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia untuk pengajian agama terlalu sedikit jika dibandingkan dengan masa yang diperuntukkan kepada pelajaran lain. Contoh yang diberikan ialah dalam jangkamasa 21 hingga 23 tahun, umur sebahagian rakyat Malaysia dihabiskan di sekolah hingga ke universiti. Sekiranya pelajar berkenaan hanya habis belajar setakat Tingkatan Lima, jangkamasa sebelas tahun dihabiskan di sekolah sebelum mereka menerjunkan dri ke alam pekerjaan. Samada 11 atau 23 tahun, masa yang diperuntukkan untuk pengajian agama dakwa beliau terlalu sedikit untuk menjadikan mereka Muslim sejati.

Pandangan ini ada pro dan kontranya mengikut sudut pandangan masing-masing. Kalau kita melihat kepada sukatan pelajaran dan jumlah masa yang diperuntukkan kepada subjek Pendidikan Islam oleh pihak Kementerian Pelajaran, sudah cukup untuk melahirkan pelajar yang memahami seterusnya menghayati Islam dalam kehidupan seharian. Di sekolah, bukan setakat kurikulum sahaja, bukan sekadar pengajaran dan pembelajaran sahaja, amali Pendidikan Islam juga akan dipantau, aktiviti-aktiviti yang terkandung dalam ko-kurikulum Pendidikan Islam juga dilaksanakan oleh pihak sekolah seperti Program Membudayakan al-Qur'an, Solat Hajat Mingguan dan Solat Hajat Perdana, Tazkirah, acara sambutan hari-hari kebesaran Islam seperti Maal Hjrah, Maulid al-Rasul dan sebagainya termasuk aktiviti-aktiviti yang dipertandingkan seperti Tilawah al-Qur'an, Syarahan Agama, Nasyid, pertandingan Marhaban serta Kompang Selawat yang sudah sampai ke peringkat kebangsaan mampu menjadikan seseorang ustaz atau ustazah di sekolah sibuk dengan aktiviti-aktiviti ke Islaman. Kursus Pengurusan Jenazah, Kursus Amali Haji dan Nadwah Kepimpinan Islam sudah biasa menghiasi taqwim perancangan sekolah.

Aktiviti di asrama sekolah lebih banyak bercorak keagamaan seperti Bacaan Yasin mingguan dan tahlil, Qiyamullail dan usrah. Lihat sahaja sekolah-sekolah berasrama termasuk asrama harian.

Ringkasnya, aktiviti yang disusun atur oleh pihak sekolah memberi tumpuan kepada penanaman dan penyemaian roh keagamaan ke dalam jiwa pelajar.

Namun sikap ibubapa yang lebih suka menaja tuisyen anak-anak mereka untuk subjek akademik berbanding subjek agama mungkin boleh diterima. Namun, permohonan masuk ke sekolah-sekolah menengah kebangsaan agama yang semakin meningkat adalah penanda aras minat ibubapa untuk meninggalkan waris yang taat kepada agama.

Cuma mungkin kita boleh berkongsi persoalan yang dtimbulkan oleh Dato Salleh Majid iaitu mengapa masih wujud fenomena ajaran sesat yang mempunyai pengikut termasuk dari golongan professional.

Mungkin ada beberapa faktor mengapa kumpulan ajaran sesat ini bisa meraih sokongan dan mengundang pengaruh yang kadang-kadang sukar untuk dibendung hingga boleh menjadi ancaman keselamatan negara.

Al-Arqam mampu meraih sokongan kerana kepercayaan dan keyakinan terhadap peribadi Asy'ari yang memukau. Personaliti beliau yang menarik menyebabkan al-Arqam menjadi isu besar negara satu ketika dulu.

Tuntutan kehidupan yang mendesak menyebabkan ibubapa tidak dapat menumpukan perhatian kepada pendidikan agama anak-anak. Ilmu tentang solat yang diajar di sekolah tidak dipraktikkan di rumah. Rumah yang lengang kerana ketiadaan ibubapa dimanfaatkan dengan menonton DVD lucah dan melayari laman-laman web yang merosakkan akal budi dan akhlak.

Trend kehidupan sekarang ini menuntut anak-anak diserah kepada pusat-pusat asuhan atau bibik yang didatangkan khas dari Indonesia. Maka cabaran menjadi lebih hebat lagi Cadangan supaya dilatih anak-anak tempatan menjadi pengasuh yang terlatih dan sesuai dengan budaya tempatan seperti yang pernah disuarakan sedikit masa dulu boleh diberi perhatian walau ianya perlu diperhalusi.

Sekiranya masalah penagihan dadah semakin berleluasa, bilangan GRO dan pengidap HIV/AIDS bertambah saban tahun, apakah kerana anak-anak ini tidak dididik di sekolah, tidak dipantau oleh ibubapa yang giat menghimpun kekayaan atau akibat dasar langit terbuka yang menyajikan hiburan tanpa henti dan tanpa sekatan keagamaan?

Apakah sukatan pelajaran yang disampaikan oleh ustaz dan ustazah terlatih dengan ilmu psikologi dan pedagogi selama 11 tahun sekurang-kurangnya akan terus sirna hanya dengan wajah dan suara Ayah Pin dan Rasul Melayu?



Saturday, October 17, 2009

SEMBANG KEDAI KOPI

Seorang rakan berjawatan boss di salah sebuah kilang bertanya kepada saya, sudah siap analisis ucapan Presiden UMNO? Saya kata saya masih belum membaca secara detail lagi. Hanya mendengar tidak habis dalam kereta sewaktu memandu mengambil isteri tercinta dari pejabat.

Rakan saya pun berkata dia akan bercakap mengenai usul ekonomi kerana menurut katanya dia hanya tau hal ehwal ekonomi sahaja..

Mengenai tabung belia yang dipersetujui, apakah sudah ada perancangan yang teliti untuk mengendalikan tabung belia, soalnya kepada saya.. Sebelum ini pun sudah ada menurut beliau beberapa tabung yang diwujudkan. Beliau harap tabung belia yang akan diwujudkan ini akan mempunyai perancangan yang rapi. Dia sebut well planned. Satu cara yang berkesan untuk membantu orang muda berniaga ialah dengan kaedah terancang supaya tabung belia akan dapat mewujudkan golongan peniaga muda yang berdikari. Kalau mereka dapat manfaat dari kerajaan, mereka pasti akan terhutang budi yang akan membawa kepada menterjemahkan kepada undi dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil lebih-lebih lagi Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Seterusnya beliau menyebut mengenai koridor ekonomi. Ada berapa koridor? Ada yang utara, selatan, timur dan sebagainya, ujarnya. Persoalan yang harus bahkan mesti difikirkan oleh UMNO ialah Malay spin off dan benefits (dengan izin) yang akan diperolehi oleh orang Melayu. UMNO nampaknya dalam Perhimpunan Agung kali ini bukan sahaja menonjolkan imej sebagai pejuang Melayu yang masih relevan tetapi juga mesti menjuarai dan memenangi hati rakan-rakan kaum lain yang berada dalam komponen BN. Semua orang tahu untuk mengekalkan kestabilan politik yang menjadi teras kepada kestabilan yang lain-lain, masalah ekonomi orang Melayu tidak boleh ditinggalkan. Sekiranya orang Melayu masih ketinggalan dalam apa jua agenda perjuangan, sesuatu yang serius harus dilakukan bagi membantu bangsa itu.

Rakan saya itu meneruskan, kerajaan yang memerintah telah banyak menubuhkan pusat-pusat latihan belia yang tentunya untuk melahirkan tenaga kerja yang berkualiti bagi mengisi pasaran kerja negara. Persoalannya, mengapa masih ramai kelihatan pekerja-pekerja asing yang menggambarkan seolah-olah negara kekurangan pekerja termasuk separa mahir dari kalangan anak tempatan? Apakah ada statistik, menurutnya, mengenai bilangan yang bergraduat dari pusat-pusat latihan, berapa dari kalangan mereka yang menganggur dan apakah tidak cukup tenaga yang dilahirkan selama ini bagi menggantikan tenaga luar yang beliau sebut foreign workers. Apakah pengangguran itu disebabkan oleh kursus-kursus yang ditawarkan tidak dikehendakki oleh pasaran kerja sebagai misalannya? Rakan saya ini pernah berkhidmat dalam sektor korporat di negara luar. Kalau isu pengangguran ini diungkit oleh parti pembangkang, kita telah bersedia dengan statistik. Itu saya yakin pandangan ikhlas beliau yang sayangkan parti yang telah banyak berjasa kepada bangsa dan negara yang memungkinkan beliau bertugas di negara luar. Tak perlu saya sebutkan di negara mana beliau mewakili Malaysia dalam bidang perniagaan.

Satu daripada ketidakpuasan hati orang muda ialah ketiadaan pekerjaan. Kerajaan pun menjanjikan kini ada banyak peluang pekerjaan dalam negara. Apa yang orang muda mahukan ialah senarai pekerjaan yang jelas, di mana ada jawatan kosong, berapa gajinya, sektor mana yang berkehendakkan tenaga. Adakah jawatan kosong yang ditawarkan dapat mengimbangi kos hidup yang semakin tinggi akibat lonjakan ekonomi? Kuasa beli menjadi semakin kecil dan dapatkah peluang pekerjaan yang dikatakan sedia ada membantu orang muda mengharungi cabaran kehidupan yang semakin mencabar berbanding zaman bapa-bapa atau datuk mereka dahulu yang ada di antaranya pejuang UMNO sejati. Kita tidak lagi boleh menyebutkan peluang pekerjaan terbuka luas. Terserahlah kepada anak-anak muda mengambil peluang. Di mana? Carilah sendiri. Pengkalan data mesti dapat ditunjukkan kepada orang muda supaya isu ini tidak dapat dieksploitkan oleh parti pembangkang.

Kesimpulannya, apa yang dimaksudkan oleh rakan saya yang saya rasa masih menebal semangat UMNO nya ialah jangan sampai keputusan atau perbincangan hangat di PWTC hanya tinggal dalam catatan indah disulami dengan semangat kental sewaktu membahaskan ucapan atau usul namun ianya harus sanggup dipikul oleh agensi atau mereka yang berada di luar persidangan sebagai pelaksana dasar dan keputusan UMNO. Agensi pelaksana seperti pegawai kerajaan agensi terlibat juga mesti mempunyai semangat sama seperti mereka yang berada dalam bilik sejuk PWTC tapi hangat berpidato.

Hidup Melayu!

Takbir!

Ya Allah! Selamatkanlah umat Islam di negara kami. Hancurkanlah sekutu-sekutu Yahudi! Amin!

UMAT NABI

Satu alaf musim berganti
Kami hilang pemimpin sejati
Nabi tinggalkan dua peti
Wahyu Ilahi dan Sunnah Nabi

Saat kau bertemu Ilahi
Bibirmu basah menyebut ummati
Kasih sayangmu tiada ganti
Hanya selawat pengikat cinta sejati


Telah kau tinggal pergi
Umatmu dihina silih berganti
Dendam kesumat masih di hati
Terpahat kukuh di dada musuh tradisi

Apalah nasib umat ini
Sesama sendiri menghamun maki
Dagang lalu ditanakkan nasi
Bangsa sendiri tidak dipeduli

Marilah kita bersatu hati
Gigit sesungguhnya Sunnah Nabi
Jangan kita beriri hati
Kelak merana anak cucu meratapi

ABD MUN'EM BIN MAHMAD MUHTAR

Thursday, October 15, 2009

SEKETUL KEJU DAN SEHELAI TUALA KECIL

Seorang gadis datang menemui Rasulullah s.a.w. dengan tangan kanannya disorokkan ke dalam poket bajunya. Dari raut wajahnya, gadis ini sedang menanggung kesakitan yang amat sangat. Lalu Rasulullah menegurnya,"Wahai anakku, kenapa wajahmu menampakkan seolah-olah kamu sedang menanggung kesakitan dan apa yang kamu sorokkan di tanganmu?"

Gadis tersebut menceritakan kepada Rasulullah s.a.w. "Ya Rasulullah! Sesungguhnya aku adalah seorang anak yatim piatu. Malam tadi aku telah bermimpi dan mimpiku itu telah membuatkan ku menanggung kesakitan ini." Gadis itu menjawab.

"Jika tidak menjadi keberatan, ceritakanlah mimpimu itu wahai anakku." pinta Rasulullah.

Gadis itu kemudiannya menjelaskan, "Aku bermimpi berjumpa ibuku dalam neraka. Keadaannya amat menyedihkan. Ibuku meminta air kerana kepanasan api neraka menyebabkan peluh tidak sempat keluar dari tubuhnya kerana kekeringan air berlaku sekelip mata. " Gadis berhenti seketika menahan sebak.

"Kemudian aku melihat di tangan kiri ibuku ada seketul keju dan di tangan kanannya pula ada sehelai tuala kecil. Ibuku mengibas-ngibaskan kedua-dua benda tersebut untuk menghalang api neraka dari membakar tubuhnya. Aku pun bertanya kepada ibuku mengapa dia menerima balasan sedemikian rupa sedangkan ketika hidupnya ibuku adalah seorang hamba yang patuh dengan ajaran Islam dan isteri yang taat kepada suaminya.

Lalu di dalam mimpi tersebut, ibuku memberitahu bahawa ketika hidupnya, dia seorang yang amat bakhil. Hanya dua benda itu sahajalah iaitu seketul keju dan sehelai tuala yang pernah disedekahkan kepada orang fakir dengan ikhlas sepanjang hidupnya. Sedekah yang lain-lain dilakukan hanya untuk bermuka-muka dan menayangkan kekayaannya sahaja.

Aku terus mencari ayahku. Rupa-rupanya ayahku berada dalam syurga dan sedang menjamu penghuni syurga dengan makanan yang lazat-lazat dan minuman dari telaga Nabi.

Semasa hidupnya, ayahku memang terkenal kerana sikapnya yang dermawan serta kuat beramal. Lantas aku mengadu kepadanya, "Wahai ayah, ibu sedang kehausan dan menanggung azab di neraka. Tidakkah ayah ingin membantu ibu sedangkan di dunia aku lihat ibu amat taat kepadamu dan menurut perintah agama kita."

Ayahku menjawab, "Sesungguhnya ayah dan semua penghuni syurga telah dilarang oleh Allah dari memberi walau setitik airpun kepada ibumu kerana demikianlah pembalasan di atas kebakhilan yang dilakukan olehnya ketika di dunia."

"Kasihankan ibuku yang sedang diazab, aku menceduk sedikit air menggunakan tapak tangan kananku lalu kubawa ke neraka untuk ku berikan kepada ibuku. Belumpun sempat air tersebut mencecah bibir ibuku, api neraka telah menyambar tanganku sehingga melecur."

"Aku terus tersedar dari mimpi dan aku dapati tapak tanganku betul-betul melecur teruk. Itulah sebabnya aku datang berjumpa engkau ya Rasulullah." Airmata gadis mengalir tanpa henti sewaktu bercerita kepada Rasulullah.

Kemudian Rasulullah s.a.w. meletakkan tongkat baginda ke atas tapak tangan gadis itu lantas baginda menadah tangan berdoa memohon kepada Allah. Rasulullah pun berdoa kepada Allah, sekiranya mimpi gadis itu benar, baginda mohon supaya Allah sembuhkan tangan gadis itu supaya dapat menjadi iktibar atau pengajaran kepada semua umat Islam.

Allah s.w.t. memperkenankan doa baginda maka tangan gadis itu pun sembuh. Baginda menasihatkan gadis,"Wahai anakku, pulanglah. Banyakkan bersedekah dan berzikir. Pahalanya engkau niatkan sedekah kepada ibumu. Mudah-mudahan segala dosanya diampunkan."

Perjuangan orang Melayu terdahulu telah melahirkan ramai jutawan Muslim pada hari ini. Semoga nikmat kekayaan ini dapat dimanfaatkan untuk agama, bangsa dan negara.





Wednesday, October 14, 2009

MEMBASMI POLITIK WANG

Satu isu besar yang sering dikaitkan dengan UMNO ialah rasuah atau politik wang. Ceramah-ceramah parti pembangkang selalu menggunakan isu ini. Kata Salehuddin Ayub, UMNO dan rasuah seperti nyawa dan jasad, Mohamad Sabu pula berkata, UMNO dan rasuah seperti kentut dan buang air besar. Di warung-warung kopi mahupun di coffee house, orang bercakap kononnya rasuah yang tidak dapat dibuktikan menjadi perkara biasa dalam UMNO. Kalau tidak ada 'wang tepi', jangan harap nak memegang jawatan dalam parti UMNO.

Itu kata-kata orang yang mengikuti perkembangan politik tanahair. Itu pandangan atau persepsi orang. Persepsi tdak selalunya betul. Namun bila ada persepsi yang tidak baik atau serong, kita tidak boleh membiarkan terus persepsi negatif dan merugikan terus bersarang dalam hati dan pemikiran orang.

Tanggapan negatif mesti dikikis. Nama baik UMNO mesti dipertahankan. Jasa pejuang UMNO yang ikhlas jangan ditenggelamkan oleh laku segelintir pengkhianat UMNO.

Mungkin sukar untuk menghapuskan politik wang seratus peratus sekaligus. Namun, sistem yang disusun oleh parti Melayu terbesar itu boleh menyekat bagi tujuan mengurangkan politik wang yang semakin membudaya.

Tun Dr Mahathir pernah menangis dalam Perhimpunan Agung UMNO sewaktu berucap menasihatkan ahli UMNO supaya jangan menjadikan UMNO sebagai persatuan orang kaya. Mereka yang mempunyai wang yang banyak sahaja yang boleh menguasai UMNO dan akhirnya agenda perjuangan utama bangsa Melayu diketepikan.

Perjuangan UMNO telah melahirkan ramai orang kaya Melayu melalui dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan. Sepatutnya dengan bertambahnya bilangan orang Melayu yang kaya, maka semakin mudah untuk melahirkan ramai lagi orang Melayu yang berjaya dalam bidang pelajaran lantaran tidak putus biaya, tabung zakat semakin berisi, bilangan orang yang mengerjakan umrah memungkinkan semakin tumbuh syarikat pengendali pakej umrah yang kadang-kadang dikendalikan oleh ustaz parti pembangkang.

Kita berharap dengan pembaharuan yang dibuat oleh Presiden UMNO dan barisan saf pimpinan yang baru dapat meraih kembali minat dan sokongan orang Melayu termasuk golongan professional muda.

Pucuk pimpinan parti dipilih oleh seramai 146,500 orang berbanding hanya 2,500 orang sahaja sebelum ini. Ada pendapat kononnya perakilan UMNO hanya menjaga 'kebajikan' 2,500 orang sahaja. Maka lahirlah orang UMNO yang elit, sombong, tidak turun ke bawah kerana yang menentukan nasib mereka 2,500 orang inilah sahaja. Semasa kempen Pilihan Raya Umum pun, mereka bekerja untuk menonjolkan nama dan muka ke Perhimpunan UMNO nanti. Pilihan Raya tak apa, ramai orang yang akan berkempen. Yang penting nasib kita dalam pemilihan nanti. Lebih ketara apabila Perhimpunan pemilihan Agung UMNO selang beberapa hari sahaja dengan pilihanraya. Dengan peraturan baru ini nanti 146,500 orang akan menentukan nasib pemimpin yang berjuang di luar kepentingan parti dan orang Melayu.

Rungutan yang kita dengar ialah susahnya untuk menjadi ahli UMNO kerana ada pemimpin cawangan dan bahagian yang takut kemasukan orang-orang tertentu akan menggugat kedudukan selesa mereka. Ruang yang lebih luas dan terbuka akan menjemput ahli-ahli yang dapat menyumbang pemikiran dan tenaga ke arah memperkasakan UMNO.

Parti UMNO yang dikatakan telah ditolak oleh orang muda dan golongan masyarakat cyber dalam Pilihan Raya Umum ke 12 mesti melakukan usaha-usaha 'meremajakan' parti dan dapat memenuhi aspirasi orang muda. Penubuhan UMNO dahulu telah menyaksikan semangat dan pengorbanan orang muda hingga UMNO menjadi parti yang diseganai.

Rakyat sedang menunggu senarai perubahan yang akan dilaksanakan oleh Presiden UMNO dan pimpinan yang terdiri dari muka-muka baru Majlis Kerja Tertinggi.Wassalam.


Tuesday, October 13, 2009

7 WASIAT RAJA MELAYU

Raja-raja Melayu telah mewasiatkan kepada bangsa Melayu 7 perkara yang sekiranya berpegang teguh kepadanya orang Melayu akan aman, sejahtera dan selamat.

Wasiat tersebut disampaikan sewaktu Raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.

7 wasiat Raja-raja Melayu itu mest diingati dan dihayati. Fikirkanlah samada wasiat Raja-raja masih relevan atau tidak.

Wasiat Pertama:
Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (kini Malaysia).

Wasiat Kedua:
Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

Wasiat Ketiga
Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membenteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.

Wasiat Keempat
Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan Raja-raja Melayu memerintah negara ini.

Wasiat Kelima
Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.

Wasiat Keenam
Kami tetapkan Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu

Wasiat Ketujuh
Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada kepada Raja-raja Melayu untuk melindungi keistimewaan orang-orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Sunday, October 11, 2009

BN MENANG DI BAGAN PINANG

Keputusan telah dibuat oleh pengundi. Tan Sri Isa Samad telah menang. BN Menang. Apa yang dapat kita fikirkan:

BN masih mendapat tempat di hati pengundi. Kalau BN kalah di Bagan Pinang, ada sahabat kata UMNO kena tempah keranda. Jangkahayat UMNO masih panjang.

Kekacauan dan usaha menakut-nakutkan pengundi tidak berjaya. Lebih 80% pengundi menjalankan tanggungjawab dan menunaikan hak memilih pemimpin.

UMNO/BN mesti meneruskan usaha menawan hati rakyat dan jangan leka kerana Pilihan Raya Umum ke 13 lebih besar maknanya dalam mengembalikan keyakinan rakyat.

Slogan 1 Malaysia, Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan diterima rakyat dan mereka mahukan bukti.

TAHNIAH DAN SELAMAT BERKHIDMAT YANG BERHORMAT



CADANG WUJUDKAN SUDUT PIDATO

Saya tertarik dengan cadangan Dato Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi untuk mewujudkan kembali Sudut Pidato di universiti selepas ia diharamkan berikutan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1975.

Menurut beliau, langkah itu bertujuan untuk melahirkan mahasiswa yang berkebolehan untuk berhujjah dan menyampaikan idea. Kemahiran berucap di tempat awam merupakan perkara asas yang perlu dimiliki oleh mahasiswa dan tidak terhad kepada kelompok pelajar tertentu sahaja.

Suasana keilmuan dan tradisi intelektual seperti ini biasa dilaksanakan oleh universiti terkemuka dunia seperti Oxford, Cambridge dan Harvard. Acara Sudut Pidato seperti itu dimasukkan ke dalam kalendar universiti sebagai aktiviti utama yang akan mencungkil bakat kepimpinan mahasiswa.

Saya masih ingat sewaktu meniti hari-hari sebagai seorang pelajar di Kolej Islam Klang, guru yang melatih perbahasan, Ustaz Ku Abd Hamid Ku Abd Majid memberitahu kami ahli-ahli PERBASYA (Persatuan Bahas dan Syarahan KIK) mengenai sejarah pertandingan Perbahasan bagi merebut Piala Perdana Menteri (PPM). Menurut Ustaz Ku Abd Hamid, Allahyarham Tun menyaksikan wakil India berucap di PBB selama 9 jam berturut-turut. Wakil Pakistan pula menyampaikan ucapan selama 8 jam berturut-turut. Tun Razak ingin melahirkan pemimpin pelapis yang mampu berhujjah. Tun Razak telah memulakan Pertandingan Perbahasan Piala Perdana Menteri (PPM) pada tahun 1974. Perbahasan PPM diadakan diantara sekolah-sekolah menengah berasrama penuh seluruh negara.

Sebagai motivasi, pertandingan akhir perbahasan PPM disiarkan secara langsung oleh RTM. Ibubapa seronok mendengar anak-anak belasan tahun menghurai dan berhujjah tajuk perbahasan dengan petah dan berkesan. Hujjah yang menarik mendapat tepukan gemuruh penonton.

Muncullah sekolah-sekolah yang terkenal dalam arena perbahasan seperti Kolej Islam Klang, Kolej Melayu Kuala Kangsar, Sekolah Alam Shah, Kolej Tunku Khursiah, Sekolah Tun Fatimah, Maktab Tentera Draja dan lain-lain lagi.

Kita mengenali nama-nama pembahas yang hebat waktu itu seperti Illias Zakaria kini Pengarah Pusat Islam USM, Fadzlullah Shuib, pernah menjadi calon termuda dalam pilihanraya umum, Idris Hj Ahmad kini Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan juga Dato Hj Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO Malaysia termuda dalam sejarah negara. Mereka adalah bekas pembahas dan seirng mewakili sekolah dalam Pidato Kenegaraan.

Sewaktu saya menziarahi rakan pensyarah di UPM dulu pada tahun-tahun 90an, saya pernah terlihat iklan di papan kenyataan mengenai Kursus Pidato Isu-isu Semasa yang dilatih oleh Fuad Zarkashi kini Timbalan Menteri Pelajaran.

Bakat kepimpinan mereka telah digilap sejak di bangku sekolah lagi. Kebanyakan mereka ini adalah ahli Lembaga Pengawas sekolah yang telah mula menyerlahkan bakat kepimpinan mereka.

Presiden Amerika, Barrack Obama telah mengembalikan zaman kehebatan berpidato dalam kempen pilihanraya negera tersebut. Keyakinan pengundi Amerika diperolehi melalui pidato Obama yang menarik.

Kita perlu pemimpin pelapis yang mampu mengulas isu semasa secara akademik serta meyakinkan dalam zaman ICT ini. Kelebihan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengaruhi pendengar adalah kelebihan semulajadi beliau yang sukar ditandingi. Anwar lahir dari Sudut Pidato Universiti Malaya.

Namun, Sudut Pidato atau apa pun nama yang akan diberi mempunyai dasar dan garis panduan yang jelas. Syarat-syaratnya masih seperti dulu lagi, antaranya tidak boleh menyentuh isu sensitif seperti agama dan adat resam, kemahiran membahas isu-isu semasa diberi perhatian khas dan bakat yang sedia ada itu perlu digilap untuk kebaikan.

Pemidato yang mahir dan mampu menyampaikan hujah yang berkesan diperlukan hingga bila-bila.

Manfaatkan bakat untuk menjana bangsa gemilang.


PENILAIAN MENENGAH RENDAH 2009

Esok masuk minggu kedua anak-anak Tingkatan Tiga menduduki PMR bagi tahun 2009 ni. Didoakan anak-anak pelajar SMK Dato' Mohd Yunos Sulaiman, Pekan Nanas, Pontian berada dalam keadaan kesihatan fizikal, emosi, mental dan spiritual yang baik. Bersyukurlah kita dengan sistem pendidikan kita yang antara terbaik di dunia. Gunalah peluang masa muda ini untuk belajar menimba ilmu sebanyak mungkin.

ABD MUN'EM BIN MAHMAD MUHTAR

PILIHAN RAYA KECIL DUN BAGAN PINANG

DIUCAPKAN SELAMAT MENGUNDI SEBAGAI MELAKSANAKAN AMANAH DALAM NEGARA DEMOKRASI KEPADA SEMUA PENGUNDI DUN BAGAN PINANG. GUNAKAN TANGAN ANDA UNTUK MENENTUKAN PINPINAN SECARA BJAKSANA BUKAN TERPENGARUH DENGAN PROPAGANDA. MASA DEPAN NEGARA TERLETAK DI TANGAN ANDA.

ABD MUN'EM BIN MAHMAD MUHTAR

Friday, October 9, 2009

UKURAN KEMAJUAN

Pembangunan dan kemajuan adalah merupakan cita-cita dan matlamat setiap negara. Dengan adanya target menjadi maju semua orang akan berusaha bekerja untuk mencapainya.
Namun, perlu ada kayu ukur untuk menilai kemajuan. Dr Mahathir ketika mula bercakap mengenai Wawasan 2020 mengiungatkan bahawa Malaysia berhasrat menjadi sebuah negara maju mengikut acuan kita sendiri dengan tidak meniru atau mengambil model negara maju dunia yang berjumlah 19 buah negara.
Sembilan cabaran dalam Wawasan 2020 menjelaskan kayu ukur kemajuan negara. Sembilan cabaran itu merangkumi aspek politik, sosial, ekonomi termasuk kesejahteraan hidup rakyat berbilang kaum.
Bagaimana kayu ukur kemajuan negeri Kelantan?
Menurut Datuk Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Ke4lantan, Negeri Kelantan maju di bawah pentadbiran PAS kerana telah wujud beberapa buah pasaraya atau hypermarket seperti Tesco dan Parkson.
Saya kira Tuan Guru Nik Aziz akan menggunakan kayu ukur ke Islaman bagi menyukat kemajuan yang berjaya dibawa oleh kerajaan PAS Kelantan. Kalau digunakan bilangan pasaraya sebagai melambangkan kemajuan, UMNO lebih banyak membina pasayara berbanding PAS.
Mungkin kayu ukur kejayaan Kelantan boleh diambilkira dari segi lawatan Lee Kuan Yew ke negeri Kelantan menunjukkan hubungan diplomatik dan kerjasama ekonomi mampu dilaksasnakan oleh PAS berbanding dengan hanya mengira berapa buah pasaraya yang dibangunkan di sana.
Apakah kemajuan yang telah dicapai di negeri-negeri kerajaan campuran PAS-DAP-PKR?
Harapan kita ialah supaya kita dapat melihat tafsiran kemajuan menurut perspektif Islam.

Thursday, October 8, 2009

GEJALA KRISTIANISASI

Perlembagaan Persekutuan perkara 3(1) menyebutkan bahawa agama Islam ialah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan pada mana-mana bahagian Persekutuan.

Perkara 160(2) menegaskan bahawa takrif Melayu ialah beragama Islam, lazimnya bertutur dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan juga mengingatkan otrang Melayu tidak boleh ditukar iktiqad mereka kepada selain agama Islam.

Penjajah tidak berjaya menukar agama orang Melayu kepada agama Kristian. Walaupun ada anak-anak Melayu yang telah dilatih oleh Barat hingga lebih kebaratan pada umumnya agama Islam tidak dapat ditukarganti.

Namun usaha-usaha untuk mengkristiankan orangMelayu masih tidak berhenti.

Menurut Vatican, Itali iaitu pusat agama Kristian sedunia, Malaysia sebah negara berpotensi untuk tersibarnya agama Kristian. Kedudukan geografi Malaysia 10-40 berdekatan dengan garis Khatuliswa dikatakan nombor yang bertuah bagi orang Kristian.

Antara strategi pendakyah Kristian ialah menjauhkan atau menghapuskan penguasaan Bahasa Arab fusahah iaitu Bahasa Arab yang rasmi dan digalakkan supaya menggunakan Bahasa Arab ami atau Bahasa Arab pasar. Sudah tentu ini dirancang supaya akhirnya umat Islam tidak faham Bahasa al-Qur'an dan mudah diselewengkan ajaran Islam yang suci.

Di tanahair kita, ramai orang Melayu tidak tahu atau tidak lancar membaca al-Qur'an dan lemah dalam penguasaan tulisan jawi.

Pendakyah Kristan menggunakan istilah-istilah kearaban seperti wahyu Ilahi, Rasul, Allah dan lain-lain istilah yang selalu digunakan oleh orang Islam dalam buku-buku doktrin Kristian yang boleh mengelirukan anak-anak muda yang tidak kukuh asas pemahaman dan pengetahuan Islam.

Bible ditulis dalam Bahasa Melayu dan disibarkan kepada anak-anak muda. Dahulu, biasa kita jumpa Bible diletakkan di dalam laci di bilik-bilik hotel.

Anak-anak muda yang sukakan hiburan menjadi sasaran pendakyah Kristian. Mereka yang suka hidup lepas bebas sanggup menukarkan agama warisan nenek moyang. Mereka tidak wajib solat, puasa, boleh melakukan maksiat tanpa dapat ditangkap oleh pihak berwajib.

Menurut Mufti Perak, kalau permohonan Lina Joy dibolehkan, ramai lagi anak-anak muda siap sedia menunggu untuk mengemukakan permohonan yang akhirnya membawa kepada penubuhan Persatuan Melayu-Kristian.

Kalau ini berlaku, apakah bala bencana yang akan turun di Malaysia? Nauzubillah...





ANWAR IBRAHIM DAN WANG BERBILION

Saya masih teringat sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim melawan Allahyarham Tun Ghafar Baba merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO.

DSAI mengajuk Tun Ghafar yang menyebut perkataan berbilion-bilion dengan sebutan yang melucukan.

Kini timbul pula cerita akaun berbilion. Menurut laporan pada 26 Oktober 1999, Datuk Abdul Murad Khalid, Penolong Gabenor Bank Negara ketika itu telah membuat akuan berkanun menyatakan DSAI mengawal sebanyak 20 akaun induk yang diuruskan oleh kroni-kroninya melibatkan aset, saham dan wang bernilai lebih RM3 bilion.

DSAI dikatakan menggunakan wang akaun induk tersebut untuk mencapai cita-cita politiknya.

Rakyat yang teraba-raba mencari kebenaran mesti bertanya:

Dari mana wang sebanyak itu diperolehi oleh DSAI?
Untuk apa akan digunakan wang sebanyak itu?
Mengapa akuan Datuk Murad senyap sepi selepas itu?
Adakah Datuk Murad dikenakan ancaman atau gempak (istilah orang utara)?
Adakah DSAI juga menggempak Nallakaruppan?
Saiful Bukhari juga digempak kerana mengadu diliwat?

Saya tiada jawapan. Ada sesiapa boleh bantu?

Wednesday, October 7, 2009

MELAKAR MASA DEPAN UMNO

Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan tidak lama lagi sudah tentu akan membincangkan perkara-perkara penting bagi memastikan agar UMNO terus relevan di hati orang Melayu dalam memperjuangkan agenda bangsa serta menjadi teras dalam negara berbilang agama, bangsa dan budaya.

Apakah kepercayaan orang Melayu sendiri terhadap UMNO telah terhakis? Perlukah UMNO dipertahankan lagi atau dibiarkan melalui zaman menopause sama seperti parti-parti lain di dunia yang seusia dengannya.





Bagi menjawab persoalan ini, kita mesti melihat kepada senario negara kita terlebih dahulu sebelum membandingkan dengan situasi negara lain.

Demi masa depan orang Melayu Islam di Malaysia, UMNO mesti terus kekal relevan. Sebarang masalah dalaman termasuk krisis kepercayaan dan krisis kepimpinan mesti diselesaikan segara. UMNO mesti dipertahankan demi kelangsungan Ketuanan Melayu sebagai asas kepada pembentukan negara bangsa.

Hingga kini masih belum ada parti Melayu lain yang berupaya untuk memacu Islam, Melayu dan Malaysia ke mercu kejayaan. Kita tidak boleh melihat UMNO sebagai parti yang menopause tetapi sebagai parti yang 'senior' dengan pengalaman termasuk mampu mengendalikan hubungan etnik. Pakatan kerjasama yang telah lama terjalin dalam Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional selama ini begitu baik. Krisis keyakinan kepada UMNO dari kalangan orang Melayu sendiri akibat didalangi oleh kumpulan serpihan seperti parti semangat 46 dan Parti Keadilan Rakyat yang berasal dari parti induk UMNO.

Parti semangat 46 yang menarik keluar sebahagian ahli UMNO lebih dari 200,000 orang ahli akhirnya gagal mendapat sokongan padu rakyat dan berkubur. Ku Li yang mengetuai parti semangat 46 kini kembali mengetuai UMNO Bahagian Gua Musang. Persengketaan ini membawa kepada sejarah hitam UMNO diisytiharkan haram di mahkamah.

Pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membawa kepada penubuhan parti serpihan PKR juga sebenarnya gagal menggantikan UMNO secara keseluruhannya.

PKR tidak dapat berdiri sendiri untuk membentuk kerajaan. Keanggotaan PKR tidak menunjukkan parti tersebut ingin memperjuangkan ideologi Melayu Islam di Malaysia. Jelasnya PKR tidak boleh diharap oleh Melayu.

Satu lagi parti orang Melayu ialah PAS. PAS dapat meraih sokongan dan simpati orang Melayu kerana perjuangan Islamnya. Bagi PAS, UMNO tidak serius memperjuangkan Islam. PAS mengharapkan dapat menjadi parti alternatif kepada orang Melayu.

PRU 12 telah memberi ruang kepada PAS untuk membuktikan kemampuan mereka mentadbir kerajaan. PAS mengekalkan penguasaan di Kelantan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat berjaya menawan empat negeri-Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor. Ada sesiapa yang dapat tunjukkan apakah manfaat kepada bangsa Melayu Islam atas kemenangan kongsi raya ini? PR bersekongkol untuk menafikan Ketuanan Melayu.

Soal dasar perjuangan diketepikan bagi menjaga perasaan rakan kongsi. Buktinya, orang Islam terpaksa meminta bantuan NGO Islam dalam kes kuil Hindu di Seksyen 23, Shah Alam.

Untuk menjaga perasaan rakan kongsi juga, tali persaudaraan mengajak kerjasama perpaduan Melayu oleh Perdana Menteri ditolak oleh 'ulamak' PAS.

Sebelum PRU 13, UMNO mesti mencari jalan untuk memperbetulkan kesilapan demi meraih kembali sokongan orang Melayu.

Faktor pemimpin sangat penting. Kita dengar di sana sini orang mengatakan mereka sayangkan UMNO tetapi menyampah dengan sesetengah pemimpin UMNO yang elit, sombong dan berusaha menghimpun kekayaan. Budaya hidup mewah yang dipertontonkan adalah satu bentuk kerendahan budi dan akhlak pemimpin. Sanggupkah kita bertegas memilih pemimpin yang bersih sahaja? Dr Mahathir pernah menyebut,"Leaders must be clean and to be seen clean." Maksud Dr Mahathir itu bukan pemimpin nampak bersih di luar tetapi kotor di dalam te
tapi kelihatan bersih membawa makna rakyat tidak nampak pun apa-apa penyelewengan serta penyelahgunaan kuasa samada pada zahir maupun yang tidak nampak.

Aspirasi golongan muda mesti dipenuhi. Kita bukan sahaja perlukan undi golongan muda sahaja tetapi mereka harus direkrut untuk menjadi pemimpin pelapis UMNO. Penanaman nilai murni dan kefahaman yang mendalam terhadap Kontrak Sosial, Ketuanan Melayu dan konsep 1 Malaysia mesti dilakukan dengan terancang. Pemahaman terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan UMNO harus dijadikan kurikulum latihan.

Golongan muda harus faham bahawa mereka tidak boleh mengambil model negara lain untuk membentuk negara bangsa kerana sejarah dan suasana yang melatari berbeza. Kita mesti melihat dari segi 'Malaysian view' dan waqi' (realiti) negara.

Perjuangan UMNO mengangkat martabat Islam mesti diperjelaskan. Islam diperlihatkan sebagai identiti UMNO bukan untuk menyaingi pengaruh PAS tetapi sebagai pengamalan cara hidup yang syumul.

Perlembagaan Persektuan menegaskan bahawa orang Melayu yang beragama Islam tidak boleh ditukar iktiqad mereka kepada agama lain.

Dalam bidang kehakiman pula, perkara-perkara yang berada di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah tidak boleh dibicarakan di bawah Mahkamah Sivil. Dahulunya, keputusan Mahkamah Syariah boleh dibatalkan oleh Mahkamah Sivil. Sudah tentulah kebijaksanaan pemimpin UMNO yang memungkinkan ini semua berlaku.

Kalau pakatan PAS-DAP-PKR memerintah negara dikhuatiri bukan penambahbaikan yang berlaku tetapi kehilangan kuasa Melayu akibat tindakan membelakangkan peruntukan Perlembagan Persekutuan yang tidak digemari oleh rakan kongsi mereka.

Perkara utama yang perlu dibincangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO nanti ialah bagaimana menggerakkan secara serius usaha penyatuan umat Melayu yang kini berpecah kepada beberapa kelompok. Perpaduan sesama ahli UMNO mesti menjadi agenda utama. Jangan ada lagi kedengaran cerita ahli UMNO sendiri mengundi parti pembangkang. Budaya 'cah keting' tidak sepatutnya menjadi amalan ahli UMNO.

Tanggungjawab pemimpin UMNO dari ahli Majlis Kerja Tertinggi hingga ke peringkat akar umbi ialah untuk memanjangkan jangka hayat UMNO. Berjuanglah hingga ke titisan darah yang terakhir. Ianya menuntut keberanian untk berubah ke arah kebaikan. Hidup UMNO! Selamatkan Melayu!













Tuesday, October 6, 2009

BUKAN ISLAM BACA AYAT SUCI AL-QUR'AN

Dilaporkan Ahli Parlimen Bagan Serai, N. Gobalakrishnan membaca ayat al-Qur'an dari Surah Ali Imran ayat 54 sewaktu berkempen di markas PAS Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang.

Sebelum itu pada 4 April 2009 yang lalu, dalam ceramah di Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang, Ahli Parlimen Taiping yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis dari DAP, Nga Kor Ming juga menggunakan ayat suci al-Qur'an sewaktu bekempen.

Mengulas mengenai perkembangan tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom meminta supaya penggunaan ayat-ayat al-Qur'an secara sesuka hati oleh pihak yang tidak memahami Islam khususnya di pentas-pentas politik perlu dihentikan kerana ia jelas menyentuh sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.

Menurut beliau lagi, sekiranya perkara itu dibiarkan ada kemungkinan ayat-ayat al-Qur'an akan terus digunakan oleh golongan itu dan akhirnya akan timbul suasana yang tidak tenteram. Beliau bimbang penggunaan ayat-ayat al-Qur'an secara sewenang-wenangnya amat sensitif dan kegagalan memberi tafsiran yang tepat hanya akan memburukkan keadaan apatah lagi dilakukan oleh golongan yang tidak faham tentang Islam.

Suasana begitu kritikal kerana semua pihak yang bertanding ingin menang dalam pilihan raya di Bagan Pinang.

Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak pula mengatakan parti PAS seolah-olah turut sama mempermainkan al-Qur'an kerana membenarkan ahli politik bukan Islam menggunakan ayat suci al-Qur'an dalam kempen mereka. Beliau menyifatkan perkara itu sama seperti menghina Islam dan umat Islam yang menjadi majoriti rakyat negara ini. Sekiranya dibiarkan perkara ini berlarutan, ia boleh mencemarkan imej Islam.

Datuk Nooh Gadot bekas Mufti Negeri Johor yang kini Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor menegaskan, kitab suci al-Qur'an tidak boleh dipermain dan diketawakan ntuk tujuan politik murahan.

Menurut beliau, tanggungjawab memelihara kesucian al-Qur'an terletak pada bahu umat Islam dan al-Qur'an menjadi petunjuk kepada orang yang bertaqwa.

Kata Datuk Nooh, al-Qur'an sepatutnya digunakan oleh ulamak dan ilmuwan Islam untuk menerangkan keadilan, kesederhanaan dan keindahan Islam kepada orang bukan Islam dengan harapan mereka menerima Islam tanpa paksaan. Bukan sebaliknya, orang bukan Islam pula merujuk pada al-Qur'an dan disampaikan pula kepada orang Islam.

Namun berlainan pula pandangan Naib Presiden PAS, Salehuddin Ayub. Beliau mempertahankan N. Gobalakrishnan, pemimpin PKR yang memetik ayat al-Qur'an dari Surah Ali Imran ayat 54 dengan mengatakan perbuatan itu tidak salah malah tidak bertentangan dengan prinsip Islam kerana bertujuan memperkuatkan hujjah.

Lantas Salehuddin menyifatkan golongan yang menyelar tindakan N. Gobalakrishnan sebagai berfikiran lapuk dan terkebelakang.

Beliau membawa contoh golongan Yahudi di Mesir juga memetik ayat al-Qur'an dalam ucapan mereka bagi menguatkan hujjah mereka.

Umat Islam confuse di antara pandangan ulamak berkelulusan agama dengan pendapat ahli politik Islam yang mendakwa di bawah kepimpinan ulamak.

Saya tetap menyatakan bahawa orang bukan Islam tidak boleh memetik ayat al-Qur'an dalam ceramah mereka dalam apa keadaan sekalipun.

Pertama: Tujuan N. Gobalakrishnan memetik ayat al-Qur'an tidak ikhlas sebaliknya hanya bermotifkan politik semata-mata. Niatnya hanya untuk menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) kononnya boleh menerima Islam sedangkan PKR sendiri tidak mahu menegakkan Negara Islam. Datuk Seri Anwar mengharapkan 30 orang Ahli Parlimen BN melompat parti dan seterusnya menubuhkan kerajaan yang sama sahaja dengan BN tanpa menyebut pun hukum hudud. Selepas PRU 12, orang India tidak lagi bergantung kepada MIC tetapi beralih sokonga kepada PKR dan DAP untuk mewakili suara mereka di Parlimen. Sokongan Salehudin jelas menampakkan beliau tidak faham dengan adab membaca al-Qur'an mungkin masih perlu menjalani proses tarbiyyah lagi agaknya.

Kedua: Umat Islam sendiri tidak dibenarkan untuk menyentuh mashaf al-Qur'an dalam keadaan berhadas samada kecil atau besar. Larangan ini menunjukkan bahawa al-Qur'an sangat mulia kerana ianya Kalam Allah hanya boleh disentuh oleh orang yang suci (al-Mutahharun). Untuk membawa mashaf, membaca dan menyimpannya mesti mengikut adab tertentu. Membacanya dengan tujuan keduniaan, dibaca oleh orang bukan Islam pastinya sebutan tidak betul dan disambut pula dengan tepukan dan sorakan serta ketawa sedikit-sedikit mahupun banyak kononnya atas nama 'sporting', setiakawan atau apa alasan sekalipun dikhuatiri termasuk ke dalam perbuatan mempersendakan agama. Ini telah disebut oleh an Sri Harssani Zakaria, Mufti Perak.

Ketiga: Allah telah mengingatkan kita supaya 'tidak menjual ayat-ayat Ku dengan harga yang rendah'. Maksud harga yang rendah ialah menggunakannya untuk tujuan yang tidak sepatutnya hingga mungkin boleh menjatuhkan martabat Kalam Allah itu sendiri di mata masyarakat bukan Islam. Kalau orang bukan Islam ingin belajar al-Qur'an, mereka boleh berbuat demikian samada melalui buku, CD, DVD dan mempelajarinya dari guru yang murshid. Bukan menghafal ayat-ayat tertentu sahaja sebelum ceramah dan kemudian menyebutnya semata-mata untuk mendapat sokongan yang bersifat sementara sedangkan hati orang kafir tetap curiga dengan Islam dan umatnya. Bukankah itu merupakan mainan dan gurauan orang bukan Islam? Mengapa orang Islam sendiri mengizinkannya?

Keempat: Bersekongkol dengan orang yang mempersendakan agama Islam jelas menjatuhkan martabat Islam. Kita umat Islam menggunakan ayat al-Qur'an untuk menghentam sesama Islam dan pada masa yang lain kita izinkan orang bukan Islam menggunakan ayat al-Qur'an untuk menghentam pula umat Islam. Sedangkan sekiranya mendapat kuasa nanti, mereka akan berpaling dan kembali menyatakan penentangan mereka terhadap hukum hudud. Mengapa kita tidak mahu belajar dari kerajaan campuran PAS-DAP-PKR yang mana suara mewakili Islam didominasi oleh parti orang bukan Islam.

Kelima: Sekiranya perbuatan itu dilakukan oleh parti UMNO dan komponen, PAS akan lantang membelasah namun apabila kesalahan yang serupa dilakukan oleh orang yang bersekongkol dengan mereka, itu tidak menjadi kesalahan tetapi maslahah (kepentingan) yang dibenakan untuk memerangi musuh Islam. Orang seagama dianggap musuh, orang kafir harbi dianggap lebih mulia daripada saudara seagama.

Keenam: Dalam apa perkongsian sekalipun, prinsip aqidah tidak boleh ditukarganti. Rasulullah s.a.w. pernah diajak oleh musyrikin Mekah untuk silih berganti menyembah Allah dan kemudian menyembah Tuhan musyrikin Mekah. Penegasan diberikan oleh Rasulullah s.a.w. bahawa agama Islam tidak boleh ditukarganti dengan permuafakatan yang menyalahi aqidah atau yang mencemar kesucian Islam.

Ingatlah Imam Malik sebelum membaca hadis, membuka kitab hadis atau bercakap mengenai hadis, beliau akan mandi, berwuduk, memakai wangi-wangian, berpakaian cantik-cantik sebagai tanda menghormati Rasulullah s.a.w. Maksudnya di sini membaca hadis bagi Imam Malik adalah acara formal yang tidak boleh dibuat secara main-main.

Sekali lagi, tindak-tanduk orang bukan Islam merenggangkan ukhuwwah seama Islam. Namun inikah yang umat Islam sendiri mahukan...???? Wassalam...









Monday, October 5, 2009

CERITA PUKUL

Seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Abd Azeez Abd Rahim dilaporkan dipukul sewaktu hari penamaan calon Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Port Dickson. Beliau yang mengiringi Tan Sri Mohd Isa Abd Samad mendakwa dipukul oleh penyokong parti pembangkang.

Apa agaknya ulasan parti pembangkang terhadap tuduhan ini?

Mungkin saya boleh mencadangkan beberapa jawapan daripada parti pembangkang.

Pertama, benarkah yang memukul dari penyokong parti pembangkang? Mungkin si pemukul sememangnya tidak berpuashati dengan Datuk Abd Azeez. Ketidakpuasan hati yang berbentuk peribadi tidak boleh disamakan dengan perselisihan parti. Mohd Sabu penceramah handalan PAS pernah menyebut kalau orang gila yang buat pun perkara yang tidak senonoh maka UMNO akan tetap tuduh PAS.

Kedua, cerita atau insiden memukul ini sengaja diadakan oleh parti UMNO sebagaimana biasa kononnya parti pembangkang selalu bertindak ganas. Parti pembangkang sebelum ini menahan bas, menakut-nakutkan pengundi dan UMNO telah kehabisan modal untuk mempertahankan tuduhan rasuah yang umum telah mengetahui.

Ketiga, rakyat telah muak dengan UMNO dan Barisan Nasional maka rakyat bertindak dengan kemahuan sendiri tanpa disuruh oleh parti pembangkang. Maka parti pemerintah mesti sedar bahawa mereka sebenarnya telah ditolak oleh rakyat. Alasan ketiga ini sudah sebati dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak beliau masih menjalani hukuman penjara.

Keempat, kadangkala demokrasi melalui sistem pilihanraya malah selalunya tidak boleh diharapkan untuk mencapai keadilan dan kesejahteraan rakyat. Pilihanraya adalah alat pemerintah melalui Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk meneruskan kerakusan pihak UMNO/BN. Ini adalah trade mark Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Maka bolehlah pilih mana yang bersesuaian dalam konteks PRK DUN Bagan Pinang.

Namun apa yang jelas memukul orang tetap menjadi kesalahan. Yang bersalah tidak boleh dilepaskan begitu sahaja..gunakan tangan untuk mengundi memilih kerajaan bukan untuk memukul...