Wednesday, September 30, 2009

JANGKA HAYAT AHLI POLITIK

Maksud jangka hayat ahli politik ialah berapa lama ahli politik mampu mempertahankan karier politiknya. Seorang diktator dapat menjaga kuasanya dengan menggunakan kuasa ketenteraan. Selagi tentera beliau setia maka diktator akan dapat meneruskan cengkaman kuku besinya ke atas rakyat terbanyak. Pengekalan kekuasaan diktator dibina di atas ketakutan rakyat akan penyiksaan yang sangat kejam tanpa perikemanusiaan. Semakin akyat idak berani menentang maka semakin panjanglah hayat pemerintahan diktator.

Jangkahayat ahli politik ini juga mempunyai hubungkait yang sangat rapat dengan jatuh bangunnya. Dalam menyelusuri ranjau pedih kehidupan politik, ada di antara mereka yang dipenjarakan. Pejuang politik yang hebat akan terus mendapat sokongan walaupun tubuhnya terpenjara. Perjuangannya tidak dapat dipenjarakan, ideologinya menjadi anutan, tulisannya di dalam penjara seolah salam perjuangan yang belum selesai menanti sinar kebenaran menerangi semula. Bila pejuang dibebaskan dari penjara, kehadirannya di tengah-tengah masyarakat mampu mengocak ketenangan sang pemerintah yang memenjarakannya.

Pejuang politik seperti itu tidak hidup mewah. Dia akan merasa puas kalau perjuangannya diteruskan orang lain. Kalau dia mati, dia mati sebagai bunga bangsa.

Tun Dr Mahathir Mohamad seorang ahli politik yang sangat menarik untuk dikaji dalam membincangakan mengenai jangka hayat politik. Beliau pernah kalah dalam pilihanraya tahun 1964 di tangan bekas Presiden PAS Tuan Haji Yusuf Rawa di Kubang Pasu. Beliau pernah berucap di atas pentas PAS tetapi tidak pernah menjadi ahli PAS. Beliau berucap di atas pentas pendirian sendiri. Tun Razak telah memberi peluang menyertai semula UMNO walaupun tidak disenangi oleh tokoh UMNO seperti Allahyarham Tan Sri Syed Jaafar Albar ketika itu. Sekembalinya Tun ke dalam UMNO memberi ruang untuk beliau akhirnya melonjak naik dan akhirnya duduk di kerusi empuk tapi panas, kerusi Perdana Menteri. Hayat politik Tun Mahathir disambung oleh Tun Razak. Mungkin Tun Razak mencari pemimpin pelapis yang akan meneruskan dasar atau impiannya sekiranya beliau menutup mata.

Seolah-olah Tun Husein Onn menretak menjadi belah.jadi PM sebagai persediaan untuk memberi laluan mudah Tun menjadi PM pada tahun 1981. Hayat politik terus diamuk badai dengan pelbagai cabaran sepanjang pemerintahan Tun Dr Mahathir hingga beliau meletak jawatan pada tahun 2003.

Zaman Mahahir terus panas apabila timbalannya, Datuk Musa Hitam meletak jawatan Timbalan Perdana Menteri. Pentadbiran 2M menjadi renggang dan akhirnya retak menjadi belah. Mahathir digelar diktator dalam sebuah negara demokrasi.

Pada zaman Dr Mahathir, UMNO diharamkan. Perpecahan dalaman akibat sengketa politik dan tidak puashati terhadap keputusan Mahathir mensintuk limau Anwar Ibrahim yang pernah memaki dan memijak bendera UMNO, mengadakan demonstrasi mahasiswa ketika Dr Mahathir menjadi Menteri Pelajaran.

Dasar-dasar Mahathir dikritik hebat. Jambatan Pulau Pinang yang dirancang pembinaannya sejak dari zaman Tun Razak dikatakan membazir. Bangunan Dayabumi tidak bermanfaat kata penentang Mahathir. Dasar ekonomi Mahathir dikecam hebat oleh tokoh ekonomi lulusan universiti luarnegara yang berkhidmat d Universiti Malaya, Dr Jomo Kwame Sundaram. Projek pembinaan lebuhraya dituduh tidak membawa manfaat besar kepada orang kampung. Namun Dr Mahathir terus dengan rancangannya hingga rakyat dapat memahami apa yang tersirat dengan segala gagasannya.

Mahathir dicanang Mahazalim, Maha Fir'aun dan Mahakroni. Mahathir dikata anti Islam dan menggunakan segala kesempatan untuk menghalang parti Islam daripada berkuasa.

Datuk Seri Anwar Ibrahim selama 16 tahun meningkat naik secara mendadak dan kini masih berusaha untuk menjadi PM. Hayat politik beliau dalam UMNO berakhir pada tahun 1998. Peristiwa September dipecat 1998 dan sehingga 16 September 2008 masih belum mendapat nyawa dalam politik kenegaraan.

Pak Lah tersingkir dari kerajaan selama 13 tahun akhirnya berjaya menjadi TPM seterusnya PM mungkin beliau sendiri merasakan hayat politik beliau sudah berkubur sedikit masa dulu. Takdirnya, Pak Lah menjadi PM kelima. Kini menumpukan masa nampaknya lebih ke arah keagamaan dengan menjadi Pengerusi IKIM.

Ada juga pemimpin politik yang nampak tenat hayat politik di negeri akhirnya ditarik ke Pusat dengan menjadi Menteri. Maka bernafaslah kembali hayat politik. Contohnya dapat dilihat dalam senario politik negara.

Jadi, apa dihairankan kalau seorang yang sudah tidak mendapat tempat atas apa alasan sekalipun kembali atau coming back ke dalam arena politik negara. Selagi hayat politik masih ada. Wassalam.

Tuesday, September 29, 2009

KONGSI KUASA PARTI ISLAM DENGAN PARTI BUKAN ISLAM

Dalam sebuah negara demokrasi, dibenarkan kewujudan parti-parti politik untuk bertanding merebut kerusi dalam pilihanraya. Parti yang besar keanggotaannya mungkin boleh meletakkan calon pada semua kawasan pilihanraya. Namun ianya tidak semudah yang disangka kerana komposisi penduduk atau pengundinya. Ini mungkin tidak menjadi masalah bagi sesebuah negara yang mempunyai masyarakat yang homogenous iaitu terdiri dari satu rupabangsa sahaja. Keadaannya berlainan apabila masyarakat berbentuk multiracial (berbilang bangsa) dan multireligious (berbilang agama). Salah sebuah negara yang bercirikan demikian ialah Malaysia yang seharusnya mempunyai formula bagi menjamin kestabilan politik serta kemakmuran negara.

Sebelum merdeka lagi, Persekutuan Tanah Melayu telah dihuni oleh pelbagai etnik. Bagi maksud kemerdekaan, tiga parti utama mewakili tiga kaum terbesar iaitu UMNO, MCA dan MIC telah mengamalkan konsep kongsi kuasa. Perkongsian diberi nafas dalam satu parti dinamakan Perikatan dengan simbolnya kapal layar. Maka belayarlah kapal layar tersebut dalam Pilihanraya Umum 1955 menuju destinasi hubungan etnik yang baik hingga menghasilkan kemerdekaan negara.

Perkongsian kuasa diteruskan dalam siri pilihanraya berikutnya dan sekaligus menjadi formula perpaduan. Kesan Pilihanraya 1969 kembali menyedarkan rakyat bahawa tidak ada kaum yang boleh memerintah sendiri dan kesedaran ini membawa kepada kejayaan cemerlang dalam Pilihanraya 1974. Nama Perikatan kemudiannya ditukar kepada Barisan Nasional sebagai wahana perkongsian kuasa yang utuh.

Apa yang menarik konsep kongsi kuasa ini juga telah menjadi mainan tarik tali antara parti BN dan pembangkang.

PAS pernah bergabung dalam Barisan Nasional pada tahun 1970an era Tun Razak. Selama lebihkurang 10 tahun, PAS, DAP dan PRM bergabung dalam Barisan Alternatif. (BA) menentang BN. PAS pernah 'berkahwin' dengan Parti Semangat 46 membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dalam Pilihanraya 1990. Dato' Seri Anwar Ibrahim mengisytiharkan gabungan PAS-PKR-DAP-PRM sebagai Pakatan Rakyat pada 1 April 2008 dan mewar-warkan untuk mengambil alih pemerintahan negara secepat mungkin kononnya seramai 30 Ahli Parlimen akan lompat parti ke Pakatan Rakyat.

Kita bahaskan penggabungan PAS dalam Pakatan Rakyat. PAS mengaku berjuang untuk menegakkan Islam. Matlamat akhir untuk menubuhkan Negara Islam (cara mereka). PAS bergabung dengan PKR (parti sekular) walaupun pemimpinnya bekas ketua sebuah Gerakan Islam. Bekerjasama pula dengan DAP. DAP ialah sebuah parti orang kafir. Penggabungan atau kerjasama ini berlaku kerana inginkan sebuah kerajaan dengan menumbangkan kerajaan sedia ada. Oleh itu, part-parti ini bekerjasama untuk merampas negara dengan mengenepikan dahulu soal prinsip perjuangan. PAS mengenaepikan dahulu soal Negara Islam, DAP lupakan dahulu Malaysian Malaysia dan PKR impikan DSAI menjadi Perdana Menteri. Bila berjaya (contohnya) nanti, bagaimana soal ideologi mahupun prinsip perjuangan yang suci murni itu?

Aspirasi DSAI pada 8 Mac 2008 untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru pada 16 September 2008 setelah menjangkakan 30 orang Ahli Parlimen BN akan melompat parti. Oleh itu, PKR bertujuan untuk menubuhkan juga sistem yang sama dengan BN dan tidak menyebut pun mengenai Negara Islam. Ini kerana PKR tidak dapat memerintah sendirian tanpa PAS dan DAP. Mahukah DAP menerima konsep Negara Islam PAS? Sudah ada kenyataan DAP mereka tidak pernah berminat untuk Negara Islam atau melaksanakan undang-undang Islam. Bahkan DAP akan menentang habis-habisan hasrat tersebut. Kerjasama apakah seperti ini? Hanya untuk menjatuhkan BN sahaja dan akhirnya terperangkap dalam permuafakatan yang tidak akan menemui jalan penyelesaiaannya.

Pakatan Rakyat (PR) telah menawan lima negeri dalam PRU 12. Di Pulau Pinang, PAS tidak mampu bersuara di negeri tersebut. Penggabungan hanya menguntungkan DAP yang tidak mahukan Islam. Nasib orang Melayu tidak terbela dan cita-cita Islam pun hanya tinggal harapan sahaja.

Di Perak pula, PAS bekerjasama dengan mereka yang kufur. Tidak mahu kerajaan campuran dengan UMNO/BN dan akhirnya seluruh rakyat tahu orang bukan Melayu juga yang kenyang mendapat habuan dari kerajaan baru Perak yang hebat ini. Kenapa tidak disuarakan kep entingan Islam? Kerana hanya sekadar menjadi boneka semata. Tahniah Melayu!

Kerjasama PAS-PKR-DAP berjaya menawan Selangor Darul Ehsan. Apakah ada hukum Allah yang telah berjaya ditegakkan oleh PR? Industri khinzir lebih hebat diingini oleh kerajaan baru. Perbalahan Dr Hasan Ali merupakan manifestasi ktidakserasian perkahwinan mutaah ini. Umat Islam dan cita-cita keIslaman menjadi mangsa permainan perebutan kuasa.

Di Kedah pula, walaupun PAS menguasai majoriti pemerintahan, tidak ada apa-apa pun hukum hudud yang dijanjikan dapat dilaksanakan kerana takut kepada rakan dalam Pakatan Rakyat.

Apa yang menariknya, dalam satu keadaan, parti UMNO dihentam dengan hebat kerana semangat kebangsaan Melayu yang sekular, tetapi mereka mendokong PKR yang lebih sekular. Parti sesama beragama Islam dihentam habis-habisan kerana UMNO tidak memperjuangkan Islam. Namun bagaimana pula dengan DAP yang memang jelas parti oang kafir yang tidak pernah mahu berkompromi dengan cita-cita Negara Islam. Karpal Singh pernah mencabar melangkah mayatnya yang tidak boleh berdiri lagi menyebabkan lebih mudah untuk melangkahi mayatnya sebelum menubuhkan Negara Islam cara atau kaedah PAS. Apakah ideologi dan Islam itu sendiri dikorbankan dan diganti dengan slogan lain demi menjaga perkongsian itu.

Kalau kahwin mutaah DAP-PAS-PKR tidak mampu menegakkan Islam, mengapa tidak PAS bekerjasama atau membentuk kerajaan perpaduan atau kerjasama perpaduan atau apa pun namanya untuk bekerjasama menyatukan umat Islam berbangsa Melayu dalam negara kita yang tercinta ini? Wassalam.







UMAT ISLAM DI AMERIKA

Walaupun bilangan umat Islam di Amerika kini lebih ramai daripada pengikut agama Yahudi, mereka menghadapi pelbagai masalah dalam masyarakat Amerika yang majoritinya beragama Kristian. Bilangan umat Islam di Amerika pada tahun 2000 seramai 6 juta orang. Lebih sejuta orang menetap di California.

Laporan pada tahun 1993 menunjukkan telah wujud sebanyak 800 buah masjid dan bilangannya meningkat sehingga 2000 buah.

Orang-orang Islam yang mula-mula tiba di Amerika ialah golongan kulit hitam yang dirantai dan dijual sebagai hamba abdi mulai tahun 1530 di Afrika Barat. Mereka dijual kepada pedagang-pedagang kulit putih dan seterusnya dibawa ke Brazil, Kepulauan Caribbean dan Amerika.

Peninju terkenal Muhammad Ali telah memeluk Islam pada tahun 1964 dengan menggugurkan nama asalnya Cassius Clay dan pengislamannya telah diumumkan dalam satu sidang akhbar. Beliau memberitahu hadirin bahawa nama Cassius Clay adalah nama hamba abdi.

Seorang lagi pejuang kulit hitam ialah Malcolm X yang menukar namanya kepada Abdul Malik Shabaz. Beliau sewaktu dalam penerbangan untuk mengerjakan haji di Mekah mencatat: 'Pesawat ini penuh dengan penumpang pelbagai warna kulit. Kesemua mereka bersaudara dan menyembah Tuhan Yang Esa'.

Fasa yang penting dalam kehidupan perjuangan Malcolm X ialah sekembalinya beliau dari menunaikan ibadah haji. Kesan ibadah haji ini sangat besar dalam jiwa Malcolm X dan menajamkan pemahamannya terhadap konsep universaliti Islam. Lantas beliau menulis: 'Amerika perlu memahami agama Islam kerana ia satu-satunya agama yang mengenepikan masalah suku kaum. Saya tidak pernah melihat sebelum ini amalan persaudaraan oleh manusia pelbagai warna kulit.'

Presiden Amerika kini berketurunan Afro-Amerika. Beliau telah berucap di Mesir yang ucapannya dinanti-nanti bagi mengetahui dasar Amerika terhadap Islam dan umat Islam. Kenyataan jelas bahawa dua perkara penting tidak dapat diubah iaitu Amerika tetap sebagai super power dunia dan dasar Amerika terhadap Israel tidak dapat diubah. Msej ini jelas sesiapa sahaja yang menjadi Presiden Amerika terpaksa akur dengan tradisi ini.

Mengapa Amerika memusuhi Islam tidak dapat tidak mempunyai hubungkait dengan Israel Israel telah menggunakan Amerika sebagai alat untuk menghalalkan pembunuhan umat Islam. Yahudi inginkan sebuah 'Negara Israel' lebih besar iaitu bersempadan dari Sungai Nil ke Sungai Euphrates.

Apa yang boleh dibuat oleh umat Islam dunia bagi membetulkan tanggapan salah terhadap Islam termasuk di Amerika? Mungkin ini adalah peranan badan-badan Islam di Amerika seperti Islamic Centre di Washington, Chicago Islamic College,badan-badan penyelidik Islam, peranan masjid-masjid dengan kegiatan dakwah bagi memperhebatkan penerangan. Islam difahami sebagai agama perdamaian yang menganjurkan persahabatan dengan semua penganut agama, benci kepada keganasan dan menyokong hak asasi manusia yang tidak bercanggah dengan prinsip manusia bertamadun. Islam menentang sebarang bentuk penindasan dan kezaliman bahkan mengimpikan kedamaian sejagat.

Bekas Presiden Bush pernah berucap di atas rostrum yang tertulis: "We stand with Israel".




Sunday, September 27, 2009

NASIHAT MAHATHIR MASIH PERLU

YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad masih hebat. Dalam usia beliau 80an, beliau masih boleh menulis, mengingati fakta, memberi ucapan yang punya pesona tersendiri, berhujjah dengan begitu baik yang mungkin tidak dapat ditandingi oleh orang lebih muda.

Beliau seorang pejuang nasionalis. Hidupnya penuh dengan ranjau sehingga diterima sebagai seorang negarawan ulung. Ucapannya dinanti oleh seluruh dunia.

Setelah bersara dari jawatan Perdana Menteri, beliau tidak bersara daripada terus memberikan pandangan. Selain dari memenuhi undangan untuk memberi ucapan, beliau juga menulis dalam blog. Banyak isu disentuh dan pendirian Tun konsisten sama seperti ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri.

Apa yang perlu kita pelajari dari Tun? Antaranya ialah semangat perjuangan yang kental. Semangat kental ini terbentuk kerana beliau pernah hidup sengsara dalam zaman penjajahan. Penjajahan Siam dan Jepun serta British banyak memberi kesan kepada jiwa nasionalis beliau. Azam begitu kuat untuk mendapatkan pemerintahan sendiri lantaran tidak rela melihat bangsa dijajah.

Saya rasa Tun antara orang yang boleh dijadikan rujukan untuk melihat bagaimana Muslim minoriti ditindas di negara lain sedangkan minoriti bukan Islam di negara kita diberikan layanan begitu baik. Tun boleh menunjukkan fakta bagaimana dulunya orang bukan Melayu diberikan kerakyatan sebagai balasan penerimaan mereka terhadap Kontrak Sosial. Keberanian ini amat dikagumi hinggakan beliau tidak kisah kalau ada orang yang tidak bersetuju dengan beliau termasuk memberikan gelaran yang tidak enak didengar kepada eorang negarawan.

Dalam soal hubungan antara kaum di Malaysia, nasihat Tun juga drasakan sangat berkesan. Kita tentu masih ingat bagaimana Tun dapat menyelesaikan masalah dalam parti komponen Barisan Nasional dengan baik. Segala masalah apabila mendapat 'sentuhan' dari Tun ianya akan senyap dan selesai. Maka komponen pun terus bekerja untuk mendapat sokongan rakyat berbilang kaum.

Sewaktu negara berhadapan dengan krisis kewangan pada tahun 1997 dan 1998, pendekatan Tun telah diakui oleh pakar-pakar ekonomi dunia. Dalam keadaan kemelesetan ekonomi, kakitangan awam masih mendapat bonus setengah bulan pada satu tahun. Namun selepas itu, kembali menikmati bonus sebulan gaji.

Tun DrMahathir percaya ekonomi negara perlu di'generate'. Contohnya kalau kita simpan air dalam tempayan, air tersebut tidak akan berkembang. Ianya tidak berfaedah sebaliknya boleh menjadi sarang nyamuk aedes. Sebaliknya sekiranya air tersebut digunakan untuk menyiram tanaman, kita akan dapat hasilnya dan dapat lebih banyak air lagi berbanding kita simpan sahaja air tersebut tanpa menggunakannya. Teori ekonomi Tun ternyata berjaya membawa kemakmuran negara.

Dalam hubungan negara serantau, diplomasi Tun disegani oleh negara jiran. Pandangan beliau dihargai oleh pemimpin ASEAN dan negara Dunia Ketiga. Apabila beliau berucap mengenai hubungan Malaysia-Singapura, rakyat di kedua-dua negara dapat menerima dengan baik.

Apa yang dimaksudkan di sini, pandangan Dr Mahathir masih sangat diperlukan dengan tidak menafikan kehebatan pemimpin semasa. Cuma janganlah disalahgunakan perlantikan Tun Dr Mahathir sebagai penasihat kepada parti dan kerajaan. Wassalam.


INDIA MUSLIM

Golongan India Muslim pernah mengemukakan beberapa kali permohonan untuk menyertai Barisan Nasional melalui parti mereka KIMMA.

Parti KIMMA mahu berada dalam komponen Barisan Nasional bagi memperjuangkan nasib mereka dalam Barisan Nasional. Ini menunjukkan bahawa kaum India Muslim yakin kepada kerajaan BN. Mereka kaum India yang beragama Islam mungkin ada sedikit perbezaan dengan tuntutan kaum India yang beragama Hindu. Keadaan mereka tidak sama dengan orang Melayu yang dikira menganut Islam kesemuanya. Maka tuntutan orang Islam dikira juga sebagai tuntutan orang Melayu juga. Namun di kalangan orang India Muslim mereka juga ada tuntutan yang tidak sama seratus peratus dengan orang India beragama Hindu. Samada mereka Islam keturunan atau pun convert memeluk Islam.

Ini menunjukkan bahawa Islam boleh menjadi faktor penyatu umat di negara Malaysia. Sekiranya kita melihat kepada sejarah di negara India, ada di antara supai (tentera) Inid yang beragama Islam yang enggan menggunakan senapang tentera British kerana mendengar khabar peluru senapang disapu minyak khinzir. Perbalahan yang begitu panjang di India sendiri antara golongan Islam dan fanatik Hindu kerana faktor aqidah. Di negara yang ramai penganut Hindu itu juga, lahirnya ramai golongan Hafiz al-Qur'an. Pusat pengajian Islam tersohor di Deoband, Shahranpur menjadi tempat tumpuan menuntut ilmu termasuk oleh Tuan Guru Nik Aziz ketika muda dahulu. Pembunuhan Ghandi juga dikaitkan dengan ketidakpuasan hati golongan fanatik Hindu kerna kononnya Ghandi terlalu baik kepada orang Islam. Bukan niat saya untuk melagakan antara dua golongan kaum India ini sekadar ingin menunjukkan bahawa golongan India Muslim juga adalah antara kaum yang banyak menyumbang kepada sejarah negara. Bukankah Kesultanan Melayu Melaka juga ada hubungkaitnya dengan keturunan India Muslim dengan gelaran Mamak Bendahara..

Maka sewajarnyalah KIMMA diterima sebagai parti komponen Barisan Nasional..



JANGAN GUNA BAHASA KESAT DALAM KEMPEN

Alhamdulillah Tuan Guru Dato Nik Aziz Nik Mat mengingatkan mereka yang berkempen supaya tidak menggunakan bahasa yang kesat dalam siri kempen pilihanraya DUN Bagan Pinang. Agak saya bahasa kesat itu contohnya ialah menggunakan kalimah beruk, sesat, asabiyyah jahiliah termasuklah mendedahkan peribadi yang tidak elok untuk santapan khalayak ramai.

Semoga kempen-kempen sebelum ini termasuk pembangkang yang menggunakan kaedah al-maki wal hamun akan berbeza kali ini. Sudah tentu rakyat masih dapat mengingat siapakah penceramah yang gemar menggunakan style ini seperti mengatakan Mahathir terlalu berkuasa sebagai Tuhan, UMNO parti haram, UMNO parti sesat, fahaman UMNO sama dengan ajaran Ayah Pin, sanggup berdebat dengan UMNO supaya rakyat dapat tahu di mana kesesatan UMNO, UMNO lah yang enggan melaksanakan undang-undang hudud dan banyak lagi.

Retorik yang enak didengar bukan lagi menjadi penawar kepada permasalahan umat Melayu Islam. Hak Melayu Islam mesti dipertahankan dan apa yang mampu diperkuatkan. Takut nanti apa yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai hak Melayu dan Islam pula akan terhakis sedikit demi sedikit dari kuasa orang Melayu.

Tok Guru perlu mengingatkan supaya para penceramah dari kelompok mana pun agar menelaah kitab Imam al-Ghazali Ihya' Ulumiddin mengenai bahaya lisan yang tidak bertulang. Semoga kempen orang Melayu akan lebih beradab. Orang bukan Melayu bertepuk tangan mendengar Melayu maki hamun sesama Melayu. Wassalam.

Saturday, September 26, 2009

AL-FATIHAH UNTUK DATO ABD RAHIM BAKAR

Seorang lagi pemimpin telah meninggalkan kita. Bezanya pemimpin yang baru meninggal ini tidak melibatkan perlu diadakan Pilihanraya Kecil lagi. Ini adalah kerana beliau bekas Menteri Besar Pahang.

Saya masih ingat lagi walaupun pada waktu itu saya masih di bangku sekolah. Saya dengar Allahyarham adalah seorang pemimpin yang sanggup menanggung akibat ketidaksetujuannya terhadap orang atasan beliau. Demi rakyat dan demi kebenaran, beliau sanggup dipecat dari jawatan yang memang sukar untuk didapati. Mengetuai sebuah negeri. Bolehkah kita mendapat seorang pemimpin sebegini yang sanggup mengorbankan jawatan yang sebegitu besar? Pada masa beliau menjawat jawatan Menteri Besar Pahang, beliau masih sangat muda hingga ramai orang meramalkan nasib karier dalam bidang politik masih sangat jauh. Inilah pemimpin masa hadapan negara. Dari negeri Tun Razak.

Nasib tidak menyebelahi beliau dalam bidang politik. Beliau terus menabur bakti dalam banyak bidang yang lain. Dalam bidang sastera, sukan dan lain-lain lagi.

Apa yang telah menimpa beliau dapat saya sebutkan beliau telah menahului zaman. Apa yang telah beliau alami mendahului zaman. Perjuangan beliau menjadi isu negara sewaktu zaman Tun Dr Mahathir. Sejarah membuktikan mereka yang mendahului zaman terpaksa menemui 'ajal' perjuangan lebih awal.

Masih adakah atau sanggupkah calon pemimpin melalui 'track' Allahyarham Dato Rahim Bakar dengan tanpa menyesal, merajuk atau meninggalkan parti? Malah masih terus berjuang hingga ke denyut nadi terakhir...al-Fatihah untuk pejuang bangsa ini...semoga rohnya berada di tempat yang diredai Allah s.w.t.....

ASABIYYAH DAN SEMANGAT KEBANGSAAN MELAYU

Semangat kebangsaan Melayu dipertikaikan. Ada yang mengatakan semangat tersebut sama dengan asabiyyah iaitu semangat bersuku-suku atau berpuak-puak seperti amalan masyarakat Arab jahiliyyah dahulu.

Masyarakat Arab jahiliyyah dahulu tindas-menindas, sentiasa berperang bagi menegakkan kehebatan kabilah masing-masing. Peperangan demi peperangan berlanjutan namun mereka tetap akur dengan gencatan senjata tidak dibenarkan berperang dalam musim-musm tertentu. Setelah tamat tempoh berdamai, meraka akan teruskan peperangan antara kabilah.

Kedatangan Islam telah menyebabkan umat Arab bersatu. Perpaduan umat Arab di bawah panji-panji kerajaan Islam menyebabkan usaha dakwah keluar dari Tanah Arab boleh dilaksanakan hingga Islam tersebar dan menguasai dua pertiga dunia. Arab yang berpuak atau berkabilah bersatupadu hingga membawa risalah Islam seantero dunia. Malangnya, umat Arab masih lagi degil menyebabkan mereka dikuasai Amerika yang didalangi Israel.

Umat Melayu sewaktu penjajahan juga hidup berpuak-puak. Sebab itu British mudah campurtangan dalam Negeri-negeri Tanah Melayu. Rebutan takhta antara anak-anak raja memberi peluang kepada campurtangan British atas alasan kestabilan politik dan keselamatan negeri bagi menjamin aktiviti ekonomi berjalan lancar demi kepentingan mereka.

Peristiwa yang mula menyatukan orang Melayu ialah rancangan Malayan Union. Britsih selepas Perang Dunia Kedua ingin menyeragamkan pentadbiran Tanah Melayu. Ini bermakna Tanah Melayu akan menjadi mahkota jajahan (crown colony) dan terus dletakkan di bawah Pejabat Tanah Jajahan di London. Kalau ini berlaku, agama rasmi bagi agama Tanah Melayu ialah Kristian. Kuasa sultan-sultan sebagai Ketua Agama Negeri dihapuskan. Ada di antara Sultan-sultan telah menandatangani perjanjian penyerahan kuasa kerana diugut. Rakyat Melayu di seluruh negara telah bangkit menentang Gagasan Malayan Union. Sewaktu penjajahan, semangat kebangsaan Melayu telah menghalang Kristian dari menjadi agama anutan orang Melayu. Ajaran dari tok-tok guru memungkinkan ini berlaku.

Semangat kebangsaan Melayu ini kemudiannya telah menubuhkan parti kerana partilah yang akan memudahkan segala bentuk program penentangan terhadap penjajah dapat disusun dengan baik. Islam yang menjadi pencetus semangat jihad ingin membebaskan negara dari penjajah kafir.

Saya teringat sebuah lagu yang disebut oleh Pak Yazid Jaafar pendakwah bebas dari Kuala Lumpur suatu waktu dahulu, antara lagu yang dinyanyikan oleh ibu Bugis untuk mendodoi anak ialah "orang kafir ku bunuh mati' sebagai proses indoktrinasi sentimen bencikan penjajah. Semangat kebangsaan Melayu disinonimkan dengan perjuangan menentang orang kafir. Orang Melayu mesti memerintah sendiri membebaskan diri dari orang kafir demi mendaulatkan Islam.

Semangat kebangsaan Melayu kemudiannya telah memastikan agar kepentingan Melayu dan agama Islam dipertahankan dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3 (1) memaktubkan bahawa Islam sebagai agama bagi Persekutuan memandangkan nama negara pada ketika itu Persekutuan Tanah Melayu. Banyak keadaan yang berlaku dalam negara selepas itu termasuk penyebaran dakyah Kristian dapat dibendung dengan adanya Peruntukan tersebut.

Apa yang berlaku hari ini bukan disebabkan oleh semangat kebangsaan Melayu tetapi oleh ahli-ahli UMNO yang telah usang pemikirannya...mereka inilah yang disebut menopause..orang-orang muda harus disuntik semangat kebangsaan Melayu dengan memahami perjuangan dan perlembagaan UMNO...pemuda UMNO harus dilatih dengan berkesan..siapakah yang akan melatih...... Biro Tatanegara....itu lah agaknya BTN selalu dihentam oleh mereka....teruskan BTN tapi dengan ikhlas...wassalam...

DUN BAGAN PINANG: Masalah Melayu

Beberapa hari lagi agaknya calon BN akan diumumkan. Kerusi DUN Bagan Pinang mesti direbut kembali oleh UMNO dan BN. 7 Pilihanraya Kecil yang lepas dimenangi oleh pembangkang. Ada orang kata memang susah nak menang dalam PRK yang lepas kerana kawasan tersebut kubu kuat pembangkang. Kali ini, kawasan kubu kuat parti pemerintah. Kerana yang meninggal bekas wakil rakyat UMNO dan BN. Maka kemenangan sangat penting samada kepada pemerintah mahupun pembangkang. Adat bertanding pasti ada yang menang dan ada yang kalah.

Apa yang menarik dalam mana-mana pilihanraya yang bakal mendatang ialah soal calon. Lebih-lebih lagi kawasan parti UMNO/BN, lebih ramai orang UMNO nak pastikan calon pilihan mereka yang terpilih. Sebelum penamaan, lobi-melobi adalah aktiviti yang bukan rahsia lagi. Cuma cara melobi sahaja yang berbeza. Antara cara melobi ialah menunjuk baik, tidak gelojoh supaya orang nampak tiada kepentingan, mengaku taat setia kepada boss mahupun parti, walaupun disingkir namun tidak beralih sokongan kepada parti lawan walaupun derita hati hanya Tuhan yang tahu. Setiap titik darah yang mengalir akan membentuk kalimah 'UMNO'. Hidup matiku sebagai pejuang UMNO sejati. Bukan pangkat yang dikejar tetapi perjuangan alif ba ta-agama, bangsa dan tanahair.

Ada pula orang kata: Cukuplah selama berpuluh tahun menjadi wakil rakyat bahkan bukan wakil rakyat biasa sahaja. Sudah mewah. Ada pejuang UMNO yang berpuluh tahun nak jadi Ketua Cawangan pun tak dapat. Berpuluh tahun berjuang dalam cawangan dapat jadi perwakilan ke PWTC pun dah nasib baik.

Apa syarat nak jadi calon? Lebih-lebih lagi dalam saat UMNO kalah dalam 7 PTR berturut-turut.. Pentingkan syarat ketat untuk menjadi calon atau pentingkan syarat pengundi? Kalau pemilihan UMNO di PWTC, nasib ditentukan oleh seramai lebihkurang 2000 perwakilan sahaja. Sudah tentu calon-calon mengenali semua 2000 perwakilan tersebut. Kenal sekenal-kenalnya namun mana cukup dengan kenal jee....

Bila saya cakap begini dengan Ketua Cawangan yang umurnya lebih 60 tahun, dia kata saya pembangkang..Spesis jenis ini susah kita nak kata orang UMNO salah..bila kita kata orang muda tak sokong UMNO terus tuduh anak muda buta sejarah...spesis jenis ini penyelesaiannya begitu mudah..tangkap sahaja Anwar Ibrahim sumbat dalam ISA...habis cerita...

Saya cuma ingin bertanya...mungkin ianya dirahsiakan...sudahkah dibuat kajian menyeluruh mengenai faktor calon ini? Siapakah kehendak pengundi yang ramai? Bukan dua tiga kerat orang UMNO yang mudah dijumpai dan ditemubual? Memang susah nak dibuat..jangan nanti bila UMNO menang..lihat perjuangan UMNO direstui rakyat...bila UMNO kalah...rakyat tidak bersyukur ...bancian harus dibuat..selamatkan maruah UMNO...Wassalam...




Saturday, September 19, 2009

ISLAM PENGGANAS?

Pihak berkuasa mengesahkan melalui ujian DNA bahawa Nordin Md Top telah menemui ajalnya. Nordin yang telah menjadi buruan polis untuk sekian lamanya membuktikan kelicikannya dalam misi 'perjuangan' beliau. Akhirnya beliau kecundang. Namun menurut penyokongnya termasuk dalam kad Hari Raya saiz besar yang diedar di Masjid Jamik Pekan Nanas, Pontian memuatkan sajak penuh pengertian menandakan bahawa ratusan malah ribuan lagi Nordin akan mengocak ketenangan di tasik perdamaian.

Siapa Nordin? Orang Johor. Bangsa Melayu beragama Islam. Perjuangannya bersama-sama Jemaah Islamiah ialah untuk menubuhkan sebuah Daulah Islamiyyah. Daulah atau Negara Islam yang diperjuangkan masih belum wujud lagi. Bagi merealisasikan kewujudan Negara Islam mereka, kerajaan dan negara yang ada di Asia Tenggara mesti dihapuskan. Mereka tidak mahu Negara Islam Malaysia, Indonesia, Filipina, Myanmar dan sebagainya, tetapi mereka mahukan sebuah blok Islam yang diketuai hanya oleh seorang Khalifah Islam sahaja. Siapa khalifah yang mereka akan cadangkan serta lantik hanya mereka sahaja yang tahu. Oleh itu menurut pandangan ini, Kerajaan Malaysia mesti dijatuhkan. Sistem demokrasi berparlimen dengan Raja Berperlembagaan mesti ditumbangkan. Gabungan beberapa negara membentuk blok Islam ini sahaja yang mereka katakan Negara Islam sebenar atau hakiki bukan seperti yang ada sekarang. Mereka impikan sebuah Kerajaan seperti Bani Umayyah dan Bani Abbasiah dan mungkin sebuah blok Islam hebat seperti Turki Othmaniyyah.

Bagaimanakah rupa bentuk Negara Islam sebenarnya? Adakah Negara Islam berbentuk monarki (beraja) atau republik? Negara Islam Madinah tidak mempunyai raja. Negara Arab Saudi sekarang mempunyai raja. Mana yang betul? Menurut apa yang saya pelajari dalam subjek Tamadun Islam, sesebuah Negara Islam itu boleh ditampilkan samada dalam bentuk beraja, republik dan sebagainya asalkan mengamalkan syariat Islam. Wah melenting orang PAS terus menuduh mana ada syariat Islam dijalankan di Malaysia?

Sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia telah berjaya menggubal Perlembagaan Negara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan. Ruang yang ada dalam apa jua sistem pemerintahan dimanfaatkan agar maruah agama terpelihara. Memperjuangkan peruntukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan tidak perlu pertumpahan darah. Hingga kini, maruah Islam dapat dipertahankan hanya kerana ada beberapa peruntukan dalam Perlembagaan yang tidak boleh dipinda lagi.

Sejarah telah menunjukkan ada negara yang dijajah oleh orang kafir meminta supaya tentera Islam menakluki negara mereka kerana mereka lebih rela berada di bawah pemerintahan Islam yang adil daripada berada di bawah pemerintahan kejam kafir.

Apakah ada negara bukan Islam hari ini yang mahu berada di bawah Nordin Md Top dan rakan-rakannya kerana terjamin keadilan dan kesamarataan?

Oleh kerana mereka orang Islam dan mengaku memperjuangkan Islam dengan cara mereka sendiri maka Islam dituduh sebagai agama pengganas.

AIDIL FITRI DATANG LAGI

Samada kita menunggu atau tidak, 1 Syawal pasti menjelma sehingga dunia kiamat. Kalau umur kita panjang, kita akan berjumpa engan beberapa Hari Raya lagi hinggalah kita menutup mata. 1 Syawal ialah menifestasi kegembiraan kerana telah berjaya melepasi ujian sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak. Meraikan kemenangan setelah berjaya mengharung cabaran disunatkan asal tidak melanggar batasan syariat.

Madrasah Ramadan penuh dengan tarbiyyahnya. Ibadah yang diwajibkan dan disunatkan mempunyai simbolik pengajaran yang patut diamalkan dalam kehidupan sepanjang tahun di luar Ramadan. Puasa melatih diri bukan sahaja menahan lapar dan dahaga, tetapi juga anggota-anggota serta pancaindera. Anggota-anggota ini kalau tidak dikawal, ianya boleh memudaratkan manusia. Mulut misalnya kalau disalahguna dengan mengata, mengumpat, menghina boleh mencetuskan rasa kebencian yang mengakibatkan macam-macam perkara. Kalam rafath (kata-kata atau ucapan yang sia-sia) boleh mengurang malah membatal pahala puasa. Kalau tarbiyyah Ramadan berjaya mendidik manusia mengawal lidah, maka seharusnya di bulan-bulan lain juga lidah manusia tidak lagi menjadi penghalang kepada rasa ukhuwwah. Segala masalah dapat diselesaikan dengan baik.

Apa yang berlaku kini? Tanpa mengira bulan Ramadan atau tidak, serangan berbentuk peribadi dan juga kelompok masih terus malah semakin dipergiat. Hinggakan sanggup berhujjah untuk memenangkan kelompok sendiri sahaja tanpa mengira implikasi terhadap ummah.

Lebih menyedihkan kita apabila yang terlbat ialah golongan yang belajar Agama Islam dengan segala cabang ilmu seperti aqidah, tasawwuf dan siyasah syar'iyyah.

ALLAH AKBAR. SELAMAT HARI RAYA!

AYOYO SAMY VELLU

Apa yang perlu difikirkan oleh ramai orang walaupun mungkin ianya menyentuh hati dan perasaan..sekarang rakyat khususnya golongan muda mahu melihat orang-orang muda atau tidak terlalu tua menjadi pemimpin organisasi termasuk parti politik samada UMNO, parti komponen ataupun parti pembangkang.

Dalam UMNO sendiri, ada Ketua-ketua Cawangan yang telah terlalu lama memegang jawatan. Tuan-tuan Haji ini juga ada di antaranya memegang jawatan Pengerusi Masjid, Ketua Kampung dan lain-lain jawatan. Kita tidak nafikan sumbangan dan pengalaman mereka selama ini. Nasihat mereka masih sangat diperlukan untuk membimbing generasi muda.

Samy Vellu juga begitu. Kepimpinannnya telah terlalu lama dalam MIC. Fikirkanlah supaya orang-orang muda diberikan laluan untuk mengasah bakat kepimpinan. Teguran boleh diberikan agar usaha pemantapan kepimpinan dapat dilakukan.

Bukan sahaja kepada Samy Vellu yang banyak berjasa kepada kaum India dan MIC, pemimpin yang sudah lama duduk di atas, berilah laluan kepada pemimpin muda.

Sunday, September 6, 2009

KERENGGANGAN KERAJAAN DAN RAKYAT

Dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia, sebarang isu yang boleh merenggangkan antara rakyat dengan kerajaan mestilah dipadamkan segera. Ini adalah kerana kuasa mengundi sangat penting yang boleh menentukan masa depan parti pemerintah. Lebih-lebih lagi apabila rakyat sesebuah negara sudah mendapat nikmat pendidikan tinggi. Rakyat boleh berfikir. Kalau dahulu ketika rakyat masih belum berpendidikan tinggi, mereka takut untuk menyuarakan perasaan tidak puashati. Pendidikan yang tinggi menyebabkan rakyat biasa sudah boleh membuat pemerhatian, analisis dan mengemukakan cadangan penambahbaikan. Sebab itu penjajah mengabaikan pendidikan supaya anak tanah jajahan tidak boleh berfikir bagi mempastikan kelangsungan pemerintahan mereka.

Salah satu aspek yang perlu dijaga bagi mendapat kepercayaan rakyat ialah melalui perkhidmatan agensi-agensi kerajaan. Peranan agensi atau bagi orang kampung lebih mudah disebut pejabat kerajaan sangat penting bagi membantu rakyat. Bagaimana kerajaan membantu rakyat? Sudah pasti melalui jabatan kerajaan yang berada di seluruh negara.

Menyedari kepentingan pegawai kerajaan sebagai tulang belakang atau barisan hadapan kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan, YBhg. Tun Dr Mahathir Mohamad di awal-awal pentadbiran beliau telah melaksanakan beberapa dasar pentadbiran seperti Bersih, Cekap Amanah, Dasar Pandang ke Timur, pemakaian tanda nama, punch kad kedatangan dan penambahbaikan sistem seperti Manual Prosedur Kerja, Fail Meja dan pelbagai lagi pembaharuan yang diperkenalkan bagi merapatkan kerenggangan antara rakyat dengan kerajaan. Bersih bagi mendapatkan kepercayaan rakyat lantas pegawai awam diwajibkan isytihar harta, cekap supaya segala amanah dapat dilaksanakan dengan cepat dan tepat, amanah supaya perkhidmatan awam dipandang tinggi, melihat contoh baik ke negara Timur seperti Jepun dan Korea. Pemakaian tanda nama diwajibkan supaya rakyat dapat mengadu pegawai mana yang tidak cekap, punch kad supaya pegawai tidak membuang masa dan pengenalan sistem fail bagi memudahkan pengesanan projek-projek kerajaan. Adakah pegawai kerajaan sebelum Dr Mahathir tidak cekap sehingga Dr Mahathir membuat pembaharuan? Bukan Mahathir tidak percaya. Cuma perlu ada bukti bahawa kerajaan serius. Perlu ada sistem supaya sesiapa yang tidak puashati boleh membuat semakan. Inilah professionalisme namanya. Nak semak? Silakan. SPRM mahu selongkar? Segalanya akan diceritakan dalam fail.

Imej kerajaan yang bersih, cekap, membantu rakyat adalah tercermin melalui jabatan kerajaan. Maka pembangkang kalau mahu malukan kerajaan tuduhlah jabatan kerajaan dengan tuduhan yang berat. Hilangkan kepercayaan rakyat kepada jabatan kerajaan. Supaya rakyat pilih kerajaan yang lain. Cuma sekarang ini ada orang kata ramai kalangan kakitangan kerajaan merupakan penyokong pembangkang. Jadi yang tidak cekap itu penyokong kerajaan atau penyokong pembangkang? Kalau tukar kerajaan bolehkah mereka bertukar menjadi kakitangan kerajaan yang baik semata-mata kerana kerajaan telah berubah?

Maka tanggungjawab melaksanakan 'RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN DAN 1 MALAYSIA' adalah terletak di bahu agensi ketajaan.

Saturday, September 5, 2009

PILHANRAYA KECIL LAGI

Pilihanraya kecil muncul kembali. Kali ini dengan takdir Allah, wakil rakyat BN pula mengambil giliran meninggalkan dunia. Setiap yang hidup pasti akan mati demikian sunnah alam. Namun apa yang penting ialah orang yang hidup mesti meneruskan perjuangan. Kesedihan yang dirasai oleh keluarga si mati dan rakan-rakan rapat mungkin hanya seketika. Demikianlah resam alam yang mati dilupakan. Bahkan kematian seorang wakil rakyat akan menggelisahkan orang lain yang mungkin sampai rezeki mereka untuk mengambil giliran untk menjadi wakil rakyat seterusnya. Kalau ada rezeki tidak ada orang yang boleh menghalang apa yang telah tercatat dalam Luh Mahfuz.

Namun keadaan kini selepas PRU 12 menyaksikan kemenangan satu-satu Pilihanraya Kecil (PRK) akan memberi imej kepada parti-parti yang bertanding samada kerajaan mahupun pembangkang. Kemenangan BN akan memberi semangat untuk terus meyakinkan rakyat pada PRU 13 agar memberi nyawa kepada BN yang kini sedang sakit tenat menurut sesetengah orang. UMNO dikatakan sudah menopaus dan tidak relevan lagi. PRK terdahulu menyuntik semangat pembangkang untuk terus meletakkan calon kerana mereka yakin tidak akan hilang undi.

Kebetulan PRK terdahulu merupakan kawasan kubu kuat pembangkang. Keputusan PRK juga memihak kepada pembangkang. Jadi kita kata mana boleh lawan pemimpin BN duduk 16 hari sedangkan DSAI telah bertapak selama 28 tahun.

Kini ADUN Bagan Pinang pula meninggal dunia. Ujian besar kepada BN untuk terus mengekalkan kuasa di kawasan tersebut. Kalau BN menang, benarlah BN masih relevan di negeri-negeri lain. Kalau BN gagal mempertahankan kerusi kali ini, adakah ini pertanda awal bahawa hayat UMNO dan BN di Negeri Sembilan sudah tidak lama.

Ada orang mengatakan kepada saya bahawa Pahang dan Johor sahaja yang masih selamat sekarang ini. Ini mungkin pandangan yang serius. Johor kerana negeri kelahiran UMNO dan Pahang negeri Perdana Menteri. Kawan saya kata sediakan keranda dan talqin untuk UMNO. Masya Allah!