Sunday, July 31, 2011

PERSEPSI ORANG BERIMAN



Abu Nawas seorang yang bijaksana berketurunan Farsi pada zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid.

Pada satu hari, Abu Nawas didatangi oleh tiga orang lelaki yang bertanyakan soalan yang sama.

Lelaki pertama bertanya: Wahai Abu Nawas! Manakah yang lebih baik antara seorang yang melakukan dosa besar dengan orang yang melakukan dosa kecil?

Jawab Abu Nawas: Orang yang melakukan dosa kecil lebih baik kerana sekiranya dia memohon ampun kepada Allah swt maka Allah akan mengampunkan dosanya dengan rahmatNya.

Lelaki tersebut pun pulang.

Lelaki kedua pula bertanya: Wahai Abu Nawas! Manakah yang lebih baik antara seorang yang melakukan dosa besar dengan orang yang melakukan dosa kecil?

Jawab Abu Nawas: Orang yang lebih baik ialah orang yang tidak melakukan kedua-dua dosa samada dosa kecil ataupun dosa besar. Maka rahmat Allah bersama-samanya.

Lelaki tersebut pun pulang.

Lelaki ketiga pula bertanya: Wahai Abu Nawas! Manakah yang lebih baik antara seorang yang melakukan dosa besar dengan orang yang melakukan dosa kecil?

Jawab Abu Nawas: Orang yang melakukan dosa besar lebih baik kerana sekiranya dia memohon ampun maka Allah akan mengampunkannya kerana rahmat Allah lebih besar.

Salah seorang murid Abu Nawas pun bertanya kepada gurunya itu:
Mengapakah soalan yang sama dijawab dengan tiga jawapan yang berbeza kepada tiga orang yang berlainan wahai Tuan Guru?

Jawab Abu Nawas: Aku memberikan jawapan yang berbeza-beza kerana manusia terbahagi kepada tiga kumpulan dalam melihat sesuatu.

Manusia pertama melihat dengan menggunakan mata. Manusia kedua pula melihat dengan menggunakan otaknya (pemikirannya). Sementara manusia yang jenis ketiga ialah mereka yang melihat dengan menggunakan mata hati.

Sesungguhnya kisah di atas banyak memberikan pengajaran kepada kita seandainya kita termasuk ke dalam golongan orang yang mahu berfikir.

Cuba kita lihat jawapan yang pertama iaitu orang yang melakukan dosa kecil lebih baik jika dibandingkan dengan orang yang melakukan dosa besar. Kerana pada pandangan mata manusia sudah tentulah orang yang hanya membuat dosa kecil maka dosanya serta balasannya lebih kecil berbanding orang yang melakukan dosa besar. Dan kalau mereka bertaubat memohon ampun sudah tentulah orang berdosa kecil lebih mudah bertaubat lantaran dosanya cuma kecil sahaja. Inilah jawapan kalau kita melihat kepada persoalan dosa menggunakan mata iaitu pandangan kasar sahaja. Maka jawapan sebegini sesuailah kepada orang yang sekadar melihat dengan mata kasar atau mata kepala. Pandangan berdasarkan kepada apa yang dapat dilihat secara zahir sahaja.

Jawapan Abu Nawas kepada lelaki kedua ialah antara orang yang melakukan dosa kecil dengan dosa besar maka orang yang tidak melakukan semua dosa samada dosa besar mahupun dosa kecil adalah lebih baik. Golongan ini dapat melihat pentingnya berusaha untuk mengelakkan sebarang dosa. Golongan ini melihat sesuatu dengan menggunakan otaknya atau pemikirannya iaitu semua dosa adalah penentangan terhadap syariat Allah Cuma yang membezakannya adalah kategori dosa. Walaupun kecil ianya tetap melanggar perintah Allah swt.

Golongan ketiga pula ialah orang yang melihat sesuatu perkara dengan menggunakan mata hati. Inilah tahap golongan yang melihat dengan menggunakan mata hati yang celik. Golongan ini melihat kepada sesuatu dengan sebab rahmat Allah swt yang sangat besar malah lebih besar rahmat Allah daripada dosa besar yang dilakukan oleh manusia maka manusia pelaku dosa besar diberi peluang bertaubat dan mampu mengangkat martabatnya lebih baik di sisi Allah swt.

Jelasnya, manusia yang melihat dengan mata kasar, dosa kecil lebih baik daripada dosa besar, kumpulan yang melihat dengan pemikiran akan cuba mengelakkan semua dosa malah kelompok ketiga pula akan sentiasa bersangka baik dengan mendoakan pelaku dosa besar akan kembali semula ke jalan Allah dengan limpahan rahmat Allah swt. Orang yang melakukan dosa besar boleh jadi lebih baik daripada orang yang melakukan dosa kecil sekiranya bertaubat.

Pengajarannya kepada kita semua umat Islam berbangsa Melayu adalah hendaklah kita sentiasa bersangka baik sesama manusia kerana dalam rangka inilah Imam Ghazali pernah berkata muliakan orang tua kerana mereka lebih banyak amalan dari kita, muliakan orang muda dan kanak-kanak kerana mereka kurang dosa dari kita, muliakan orang jahil kerana mereka melakukan dosa dalam keadaan jahil sedangkan kita melakukan dosa dalam keadaan kita tahu dan muliakan orang kafir kerana dosa mereka akan terhapus sekiranya mereka bertaubat dan menjadi seorang Muslim yang Mukmin..

Apakah yang boleh menjadikan semua ini? Rahmat Allah swt yang sangat besar oleh itu kita mesti berusaha agar mendapat limpahan rahmat Allah swt..jangan anggap kita lah yang lebih banyak pahala berbanding orang lain..Hanya Allah Maha Mengetahui..

No comments:

Post a Comment