Saturday, July 23, 2011
BUDAYA ILMU
Rakyat Malaysia pernah dikejutkan dengan kenyataan Prof Diraja Ungku Aziz bahawa masyarakat Malaysia khususnya masyarakat Melayu merupakan masyarakat TV dan bukan masyarakat membaca. Kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa secara puratanya rakyat Malaysia hanya membaca satu mukasurat setahun. Fakta yang diutarakan pada tahun 90an ini mungkin masih relevan dalam usaha kita untuk meningkatkan mutu pembacaan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pentingnya ilmu
Syarat dan pelengkap kepada kekuatan fizikal sesebuah bangsa dan negara ialah penguasaan ilmu. Ilmu bukan sahaja merangsang kekuatan fizikal namun juga kepada memberi arah dan makna kepada bangsa tersebut.
(Ibnu Khaldun: Muqadimah)
Maksud dan konsep budaya ilmu
Maksud budaya ilmu ialah wujud satu keadaan di mana setiap lapisan masyarakat melibatkan diri samada secara langsung mahupun tidak langsung dalam kegiatan keilmuan bagi setiap kesempatan. Budaya ilmu juga merujuk kepada kewujudan satu keadaan di mana segala tindakan manusia baik di tahap individu, apatah lagi di peringkat masyarakat diputus dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan samada melalui pengkajian mahupun syura.
Dalam budaya ini, ilmu dianggap sebagai satu keutamaan tertinggi dalam sistem nilai peribadi dan masyarakat di setiap peringkat.
Selain daripada itu, budaya ilmu yang dikembangkan dalam diri dan masyarakat juga mempunyai ciri-ciri yang tidak mengiktiraf sifat jahil, bebal dan anti ilmu serta menolak pandangan, pernyataan dan amalan yang tidak berasaskan ilmu dan kebenaran tanpa mengambilkira kedudukan atau warna kulit pelakunya.
(Prof Madya Dr Wan Mohd Nor Wan Daud: Penjelasan Budaya Ilmu)
Ada sarjana yang memberi istilah “Ilmu Hudhuri” iaitu pengetahuan kesucian melalui pengalaman mistik. Pengalaman mistik hanya dapat ditunjuk dan dialami tetapi tidak mampu berbicara mengenainya kerana bahasa manusia sendiri terbatas iaitu tidak mampu membicarakan hal-hal yang tidak dapat dibicarakan.
Menurut pandangan ini, manusia tidak dapat keluar daripada bahasa. Mereka hanya mampu mengungkapkan segala yang wujud dalam dunia dan dalam kotak pemikirannya sahaja melalui penggunaan bahasa.
Kemampuan bahasa ialah dapat mengutarakan seluruh persoalan epistimologi kehadiran. Bahasa manusia tidak mampu memperkatakan mengenai epistimologi pengalaman mistik lantaran ianya terbatas. Pentingnya buku beliau ianya menjadi sumbangan besar kepada perbahasan falsafah ilmu di barat.
(Prof Mehdi Ha’iri Yazdi dalam Knowledge by presence: The principle in Islamic Philosophy)
Dalam budaya ilmu, perbahasan intelektual perlu disertai dengan kebajikan moral dan penyucian hati. Perlu menghidupkan kembali kesucian pengetahuan dan menyegarkan kembali tradisi intelektual di Barat dengan bantuan tradisi Timur yang masih hidup di mana pengetahuannya tidak terpisah daripada unsur-unsur kesucian. Pemisahan ilmu pengetahuan daripada unsur kesucian atau dalam Islam disebut wahyu telah membawa tragedi besar dalam dunia pemikiran Barat.
(Prof Syed Hossein Nasr dalam Knowledge and The Sacred)
Satu nilai yang agung dalam diri manusia ialah sikap terbuka kepada ilmu. Sikap terbuka ini menyentuh semua cabang dalam hidup manusia Muslim samada dari segi intelektual mahupun politik. Ilmu seumpama cahaya yang mampu menerangi pemikiran manusia Muslim.
(Franz Rosenthal dalam Knowledge Triumphant)
Dalam kerangka inilah maka Al-Jahiz pernah berkata:
“Sesuatu yang tidak memberikan sebahagian daripada dirinya kepada kamu sehinggalah kamu sendiri memberikan keseluruhan diri kamu kepadanya, barulah kamu mendapat peluang tetapi kamu tidak mendapat kepastian ia (ilmu) akan memberikan sebahagian tersebut kepada kamu.”
Beberapa persoalan dalam budaya ilmu
Permasalahan tentang hakikat ilmu:
1. Bagaimana mencakupi persoalan ilmu dengan moral?
2. Apakah kaitan ilmu dengan proses mengambil keputusan politik?
3. Bagaimana peranan ilmu dalam pengembangan kebudayaan termasuk kesenian?
4. Apa pentingnya ilmu dalam pembangunan nasional?
5. Bagaimana gagasan untuk meningkatkan mutu pendidikan keilmuan?
6. Bagaimana memberikan fungsi kepada aktiviti penyelidikan sebagai sarana pendidikan?
7. Bagaimana meningkatkan keupayaan ilmiah melalui penguasaan bahasa, logik, matematik dan statistik?
8. Bagaimana mencerdaskan bangsa dan membudayakan berfikir secara ilmiah dalam masyarakat?
9. Apa kaitan ilmu dengan seni, ilmu dengan sukan dan sebagainya?
(Jujun S. Suriasumanthri: Ilmu dalam perspektif Moral, Sosial dan Politik)
Cabaran dalam merealisasikan suasana politik ilmuwan
Sikap politik ilmuwan sepatutnya selari dengan moral keilmuan. Empat asas yang mesti kita lihat bagi mewujudkan budaya politik berilmu antaranya:
1. Kebenaran
2. Kejujuran
3. Tidak mempunyai kepentingan peribadi
4. Bersandar kepada kekuatan hujjah dalam menilai kebenaran
Sikap politik yang bersandar kepada pendekatan ilmiah akan mendorong sikap politik yang bersifat demokratik sebagai gambaran asas moral yang melandasi kegiatan ilmu.
Cara mewujudkan budaya ilmu:
1. Kerajaan bersungguh-sungguh memupuk kecintaan kepada budaya ilmu melalui aktiviti yang pelbagai di peringkat mukim, negeri dan kebangsaan.
2. Memberi penghormatan yang tinggi kepada para cendekiawan.
3. Menggalakkan pembacaan karya-karya besar
4. Kajian biografi tokoh besar bagi menterjemah idea serta pemikiran mereka
(Prof Madya Dr Wan Mohd Nor Wan Daud: Konsep Ilmu dalam Islam)
Amalan suka membaca sebagai asas kepada pembinaan budaya ilmu
Membaca sebagai kuasa pembebasan daripada belenggu miskin, jahil dan cabaran hidup yang lain.
Konsep hidup seorang ilmuwan bukan sekadar mencari makan untuk hidup tetapi keutamaan mereka ialah memburu ilmu untuk meningkatkan corak pemikiran atau intelektualisme sebagai satu keperluan dalam perkembangan hidup dan meningkatkan kualiti diri menghadapi cabaran hidup.
Kata Sayyidina Ali karramallahu wajhah:
“Sekiranya kamu inginkan dunia, maka carilah ilmy dan sekiranya kamu inginkan akhirat maka carilah juga ilmu dan sekiranya kamu inginkan kedua-duanya , kamu juga perlu kepada ilmu.”
Malcolm X atau nama Islamnya Abdul Malik Syabaz mengambil kesempatan sewaktu berada dalam penjara bagi menelaah buku-buku agama, sejarah dan falsafah yang menerangi alam pemikirannya daripada sifat jahil kepada kesedaran beragama. Kesedaran melalui pembacaan membawa beliau kepada pengembaraan keilmuannya ke Tanah Suci Mekah yang membuka pandangan dunia baru kepada aspirasi perjuangan membebaskan golongan tertindas Afro-Amerika ini. World-view yang diasaskan kepada pembacaan yang meluas.
George Washington pernah menunggang kuda berbatu-batu jauhnya hanya untuk meminjam sebuah buku dari temannya.
Gigihnya Abraham Lincoln yang memang terkenal dengan sikap suka membaca yang terpaksa bekerja sambilan untuk menggantikan buku temannya yang basah terkena hujan waktu berada dalam simpanannya.
Winston Churchill yang gagap berkat sabar dan latihan berpidato dalam kapal berhadapan dengan lautan luas di samping membaca buku-buku berkaitan dengan falsafah dan politik telah mengangkat nama beliau sebagai pemimpin yang mampu berhujjah dengan baik.
Dalam sejarah Islam, al-Jahiz mati dalam timbunan buku. Semasa hidupnya, seorang wanita memimpin tangan beliau membawa ke kedai ukir dan meminta tukang ukir membuat patung yang sehodoh tokoh tersebut kerana tidak pernah melihat kepada manusia yang sebegitu hodoh. Nama al-Jahiz masih diingati kerana kecintaannya kepada pembacaan buku sebagai wahana kepada pembentukan budaya ilmu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment