Sunday, December 11, 2011

PANDANGAN POLITIK TUN DR MAHATHIR


1. Kalaulah Amerika sudi untuk lebih mendengar luahan penduduk rantau yang bakal mereka cerobohi, mungkin mereka akan berfikir dua kali sebelum bertindak dan mendapat lebih banyak kawan berbanding jika mereka meneruskan tindakan sekaligus melakukan kesilapan yang lebih besar.

2. Undangan untuk berucap bukannya untuk menyamarkan pandangan sendiri sebaliknya harus membenarkan menyampaikan apa juga pendapat dan perkara sebenar yang ada dalam pemikiran.

3. Keburukan yang serius akan mula bertimbun di dalam kerajaan jika sekiranya selepas tamat mesyuarat kabinet tiada apa yang berlaku. Tiada apa berlaku membawa erti tiada kemajuan. Adakalanya kita perlu bertindak melakukannya sendiri.

4. Ciri fundamentalisme Islam seharusnya membolehkan kita menjadi sederhana. Setelah menerima hakikat itu, segala urusan dengan orang bukan Islam menjadi sangat mudah.

5. Mentadbir negara yang memiliki teras bersandarkan agama tidak akan dapat berjalan lancar dengan hanya bergantung kepada dalil-dalil sekular semata-mata.

6. Secara retoriknya lakukanlah kepada orang lain dengan cara yang dilakukan mereka terhadapmu jika dilakukan di khalayak umum... atau dengan cara yang membuatkannya bakal diketahui khalayak umum, jika tidak kamu akan kehilangan maruahmu.

7. Jaga dahulu hak dan keselamatan masyarakat sebelum memikirkan hak-hak bagi seorang individu.

8. Jangan sesekali memalukan polis secara terbuka. Jelaskan pandangan anda secara peribadi sambil mengharap agar sikap kebanggaan professional mereka boleh dijadikan sebagai daya pemulih.

9. Dalam sebuah negara berbilang kaum, hak-hak rakyat untuk kebebasan bersuara sepenuhnya tidak wujud jika kita inginkan sebuah masyarakat harmoni.

10. Lebih baik melakukan sedikit pencegahan yang tegas kerana ini jauh lebih baik daripada langkah pemulihan yang banyak.

11. Menghuraikan cara bagaimana sesuatu itu berlaku adalah perkara mudah, memahami mengapa sesuatu berlaku dengan cara begitu mungkin melampaui batas-batas pemahaman manusia. Iman dapat membantu kita mengatasinya. Dan keimanan satu proses yang pastinya akan menyedarkan kita.

12. Kekangan budaya terhadap penyelewengan yang serius menjadi kurang berkesan apabila budaya itu sendiri semakin berubah.

13. Perubahan polisi yang serius memerlukan banyak persediaan, masa yang baik serta sokongan rakyat yang meluas. Adakalanya hanya autoritarianisme mampu mewujudkan kepimpinan yang cukup disegani bagi memastikan banyak perkara akan terlaksana.

14. Sebuah negara sedang membangun mestilah sentiasa mengambil segala ubat-ubatannya tidak kira samada para pesakit (rakyatnya) mahu atau tidak.

15. Demokrasi tidaklah sebegitu mudah untuk dieksportkan malah daripada menjadi satu jawapan kepada masalah sesebuah negara, demokrasi sebaliknya mungkin menambahkan lagi kekusutan masalah yang dihadapi.

Sunday, December 4, 2011

UCAPAN MENYENGAT



ALHAMDULILLAH, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah memberi taufik dan inayah-Nya kepada kita semua sehingga Perhimpunan Agung kali ke-62 ini sudah sampai ke penghujung.

Bukan sahaja kita akan berdepan dengan detik-detik terakhir penghimpunan ini tetapi yang paling penting, persidangan pada kali ini telah dapat disempurnakan dengan begitu baik dan jaya sekali.

Bagi saya, elok saya mengucapkan terima kasih terlebih dahulu sebelum saya melanjutkan ucapan saya kepada semua yang telah menyumbang kepada kejayaan perhimpunan kita.

Saya memanjat rasa syukur kepada Allah SWT kerana ucapan dasar saya sebagai Presiden UMNO telah mendapat sambutan yang begitu positif.

Saya menghargai Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden yang telah memberi sokongan yang padu kepada ucapan itu.

Saya juga rasa amat terharu bahawa setelah saya mengikuti ucapan-ucapan dalam sepanjang persidangan ini, semua perwakilan telah memberi sokongan kepada ucapan dasar saya.

Malah juga mantan Presiden UMNO kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyokong dan memberi pandangan bahawa kronologi yang telah saya bentangkan dalam ucapan itu telah berjaya membetulkan persepsi kononnya UMNO ialah parti rasis.

Saya juga merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah menyeru orang UMNO supaya memberi sokongan sepenuhnya kepada saya dan dan terharu beliau sanggup hadir sebagai Ketua Bahagian Kepala Batas.

Kelmarin, saya telah menyenarai beberapa tokoh tersohor yang telah banyak berjasa kepada parti. Sudah tentu saya tak mungkin dapat menyebut semua nama yang telah memberi sumbangan yang besar kepada parti.

Saya telah menghentikan sebutan nama kepada jawatan Timbalan Presiden parti namun saya telah menerima beberapa SMS yang minta saya memberi pengiktirafan kepada Tun Mustapa, kerana beliau telah bubarkan USNO dan menjadi pengasas kepada UMNO di Sabah.

Saya telah berfikir apakah agaknya ekspektasi saya apabila Persidangan Agung UMNO kali ke-62 ini diadakan.

Tentu kalau kita buat sesuatu kerja, sama ada kerja amal, kerja ilmu, kerja politik, kita mesti letakkan beberapa sasaran sama ada sasaran tersurat atau pun tersirat.

Saya nak kongsi pada sidang perwakilan bahawa saya telah menetapkan empat sasaran yang kalau tercapai, maka persidangan ini boleh dianggap sebagai satu persidangan yang amat berjaya.

Sasaran pertama, saya hendak persidangan ini dapat menggambarkan bahawa UMNO adalah sebuah parti yang bersatu dan ampuh barisannya, supaya bukan sahaja orang di dalam dewan ini tetapi yang berjuta-juta di luar yang melihat melalui peti televisyen, yang ada di ruang-ruang dalam PWTC, pemerhati-pemerhati mestilah melihat bahawa UMNO sebagai satu keluarga, UMNO sebagai satu organisasi politik, UMNO sebagai teras kepada politik tanah air kita ini, berada di dalam keadaan yang kukuh dan padu.

Yang kedua, saya hendak melalui persidangan ini; sebab banyak orang sebut kemungkinan persidangan ini yang terakhir sebelum pilihan raya, orang sebut; saya hendak persidangan ini menggambarkan bahawa kita berada dalam kesiapsiagaan yang amat baik bersedia untuk turun ke medan bakti, berjuang habis-habisan agar UMNO kembali sebagai parti yang bermaruah dan bermartabat.

Yang ketiga, saya ingin supaya melalui persidangan ini kerajaan mendapat sokongan, gagasan kita untuk membawa perubahan yang besar kepada negara kita yang kita gagaskan sebagai Pelan Transformasi Nasional, mendapat mandat yang sepenuhnya daripada sidang perwakilan pada kali ini.

Dan yang keempat, saya inginkan bahawa persidangan ini, segala-gala yang menjadi pengisian pada persidangan ini memberi isyarat dan mesej yang amat jelas bahawa rakyat Malaysia, 12.4 juta pengundi dan 28 juta rakyat Malaysia, boleh meletakkan keyakinan bahawa UMNO akan membawa negara kita dan rakyat Malaysia ke arah masa depan yang lebih cemerlang.

Mereka tidak akan kecewa kalau meletakkan pengharapan atas bahu dan jemala UMNO ini.
Bila rakan-rakan saya telah berucap tadi, saya cuba buat penilaian, zaman sekarang ini zaman KPI. Wakil Sabah telah beri KPI kepada saya, tapi saya nak sebut KPI dalam konteks keempat-empat ini.

Mungkin orang kata saya ini ‘bias’, saya presiden kepada parti, tentulah saya beri markah yang tinggi.

Tetapi, saya percaya sidang perwakilan akan bersetuju dengan saya bahawa keempat-empat objektif itu telah dicapai melalui persidangan kita pada kali ini.

Persidangan ini juga merupakan persidangan yang amat-amat bersejarah kerana kita tak terfikir lebih awal lagi supaya di saat akhir persidangan ini ada satu ikrar atau pun baiah, lebih kuat daripada ikrar baiah di kalangan para perwakilan.

Timbalan Presiden telah mengetuai ikrar dan baiah tadi. Terima kasih saya ucapkan kepada Timbalan Presiden dan pada saudara sekalian kerana itu membuat, mencatit satu sejarah baru dalam perjuangan parti.

Baik kita tinggalkan soal politik sebentar. Saya juga bertanya pada diri saya sebagai ketua kerajaan bersama-sama dengan rakan-rakan saya, apakah agaknya objektif utama kalau orang tanya ke arah mana kita nak bawa negara kita?

Kalau orang tanya dalam tahun-tahun mendatang ini, apakah di bawah kepimpinan yang sedia ada ini, apakah yang boleh mereka harapkan sebab jangan lupa yang di luar itu sentiasa menilai kita secara senyap mahupun secara terbuka, tetap kita akan dinilai.

Saya tetapkan bahawa kita ini ada dua, dan ini ada sangkut paut kita dengan
keinginan UMNO, dengan perjuangan roh yang kita bawa ini.

Yang pertama ialah kita mesti membuat perancangan yang cukup rapi, cukup teliti, cukup kemas supaya dalam masa 10 tahun lagi, insya-Allah Malaysia akan menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi di bawah kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN), itu pertama.

Yang kedua, dalam konteks negara maju itu, kita mesti pastikan agenda Melayu terlaksana dan orang Melayu juga berjaya dan dianggap sebagai bangsa yang mencecah taraf bangsa yang maju.

Jadi, siapa kata kita tak ada agenda Melayu atau pun agenda bumiputera? Memang kita ada!

Bila saya laksanakan Gagasan 1Malaysia, saya tak kata ketepikan agenda Melayu/bumiputera, bila saya turun ke bawah, ke ladang estet, ke Kampung Baru Cina, bukan bererti bahawa kurang komitmen terhadap kepentingan orang Melayu dan bumiputera.

Saya lakukan perkara ini sebab kita mesti menentukan bahawa negara Malaysia kita ini mendapat sokongan daripada semua kumpulan etnik, kerana masa depan UMNO juga bergantung kepada sokongan daripada orang-orang lain.

Sebab itulah saudara sekalian, kita buat macam-macam perkara untuk mencapai status negara maju, kita ada Pelan Transfomasi Ekonomi, 1.3 trilion pelaburan dalam masa 10 tahun.

Kita akan memastikan pertumbuhan ekonomi lima, enam peratus setahun, kita dah tentukan projek-projek, apa jenis projek untuk mencapai taraf negara maju.

Dan Alhamdulillah, dengan adanya pelancaran dan pelaksanaan sedemikian, bila ekonomi Eropah merudum, bila ekonomi Amerika Syarikat berada dalam keadaan tidak menentu, kita di Malaysia ini, Alhamdulillah ekonomi kita ini mapan dan stabil, dan dapat menunjukkan pertumbuhan yang baik.

Di Amerika Syarikat, bila saya berjumpa dengan Presiden Barack Obama, dalam kepala dia penganggurannya sudah melebihi sembilan peratus. Saya boleh sebut pada dia, “kita ada full employment di Malaysia Mr. President”.

Kalau Amerika pertumbuhannya satu dua, peratus, saya boleh cakap pada dia, “Mr. President, kita ada pertumbuhan 5.8 percent last quarter”.

Sebab ini kejayaan siapa? Kejayaan kepimpinan UMNO dalam negara kita, bukan kejayaan saya secara peribadi tetapi UMNO. Sekali lagi membuktikan bahawa dalam apa jua keadaan, mereka boleh letakkan harapan, trust in us to lead the nation for Malaysia, sebab kita tak pernah mengecewakan rakyat.

Yang jadi masalah ni, puak sana... Dia ni bukan kuat sangat, tapi dia pandai berkokok. Dia berkokok kuat macam ayam tapi telurnya satu je, kadang-kadang tak bertelur pun. Ayam jantan!
Berkokok sana, berkokok sini, bohong sana, bohong sini, tipu sini, tipu sana, fitnah sini, fitnah sana, main sini main sana...
Bohong, tak berhenti bohong. Lepas itu, dia kata kamilah juara tapi parti sendiri kucar kacir. Pembohongan yang terbesar dalam sejarah di Malaysia, apa dia? Saya tak payah sebut, perwakilan sebut... kuat sikit... 16 September...
Dia nak berarak ke Putrajaya, dia boleh kata Yang di-Pertuan Agong menunggu untuk mengangkat sumpah dia sebagai Perdana Menteri.

Saya bersama dengan Pak Lah masa tu, kita pun geleng kepala, daripada mana dia bercakap ni? Saya tanya Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertuan Agong pun geleng kepala.

Lepas tu, dia kata 30 orang kita bersedia untuk menyeberang sebelah sana. Kita pun orang kata play safe, kepung dia, jaga dia, ‘bidaah’! Tawaran ada, tapi tak ada seorang Ahli Parlimen kita yang menyeberang sebelah sana.

Ada dijanji macam-macam jawatan. Tapi dia pandai, dia gunakan orang yang ketiga. Orang kata third party sampaikan. Satu proses yang tidak demokratik.
Lepas tu, dia bagi tahu, tentera Malaysia ada di belakang dia, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Aziz menyokong dia.
Saya kawan baik dia (Aziz), dia setia dan taat pada kerajaan. Ini pembohongan yang terbesar dalam sejarah. Lagi apa? Banyak lagi..
Dia serang saya, fitnah saya tiga tahun tak habis-habis. Tak cukup saya, isteri saya pun dia serang. Isteri saya yang duduk diam-diam tu pun kena serang juga.
Saya dah bersumpah atas nama Allah di masjid, empat kali saya bersumpah... Saya nak tanya dia, berapa kali dia bersumpah?

Ada dia bersumpah di dalam masjid? Ada dia bersumpah di luar masjid? Ada dia junjung al-Quran?

Di mahkamah pun tak berani bersumpah. Masuk dalam kandang orang bersalah, tak berani bersumpah, buat kenyataan politik.

Tapi ini bukan soal politik, ini bukan kes kita lawan dia, ini kes Saiful lawan dia.

Tak kena mengena dengan UMNO!

Siapa pilih Saiful? Lain tu dot dot dot... Banyak lagi cerita sebenarnya, banyak lagi. Macam inikah orang nak jadi Perdana Menteri?

Banyak lagi bab-bab lain boleh cerita. Kita tengok parti tu parti anak beranak. Saya dah sebut perkara tu.

Parti ini mencatat sejarah dunia. Dia ada rekod Guiness Book of Records, sebab parti yang paling ramai sekali orang keluar daripada parti.

Saya dah buat semakan, enam Ahli Parlimen, lima ADUN, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, Ahli Majlis Tertinggi,

Tak cukup dengan itu, lawyer peribadi pun dah keluar jadi Bebas. Pakai Pengerusi DAP jadi lawyer dia sekarang, segala rahsia dia pada DAP sekarang ini, betul tak?
Lawyer tentu tahu segala-galanya kan?

Rahsia dia dengan DAP, DAP ada segala-galanya, sebab itu dia yang berkepak, jalan lain macam sekarang sebab semua dalam tangan dia.

Dia sebut tentang demokrasi, ada demokrasi ke dalam parti dia? Saya tahu baling kerusi ada, kalau demokrasi ada, takkan Datuk Zaid Ibrahim kata tak tahan lagi. Dia kata, sebab bila bilang undi, undi tu lebih dari perwakilan.

Lepas itu, kata pilihan raya kita tak betul, bidaah. Ini orang Pahang cakap bidaah, tak betul.

Bila masa mengundi tu, dia ada tak? Pembangkang ada tak dalam tempat pengundi tu? Ada!
Dia ada, kita pun ada. Dia letak orang yang ‘cengei’ sikit, kita pun cuba letak orang ‘cengei’ sikit tapi kadang-kadang orang kita kalah daripada dia.

Kalau kita boleh manipulasi peti undi, jadi macam zaman peristiwa Hosni Mubarak di Egypt, boleh dapat 95 peratus.

Kalau kita boleh manipulate peti undi ini, ingat kita nak lepaskan Selangor di tangan mereka? Ingat kita nak lepaskan negeri-negeri lain ke tangan mereka? Ingat kita nak biarkan Kelantan, 21 tahun Kelantan di bawah Pas? Tentu tidak!

Kita bukan penipu, kita buat cara yang jujur! Tapi dak, buat Bersih 2, berarak. Kita bagi stadium, tak nak stadium. Sebab apa? Sebab skrip dah ada dah.
Skrip Mat Sabu dah ada, skrip dia masuk hospital dah ada. Sebab bila tiba-tiba kena papah pula tu, Ada orang kata ini boleh menang Oscar Hollywood!

Dah siap dah skrip tu, siap-siap masuk dalam hospital terlentang, baju kuning lagi. Kalau masuk hospital ganti la baju, ini tak ganti, semangat penipu la ni.
Tak kena apa pun, kita dah bagitahu polis, saya dah bagi tau Datuk Hisham, kata jangan usik dia, polis tak usik dia pun.
Tapi dia buat macam dah kena belasah. Tak kena, orang tak jentik dia pun, tak! Tapi dah siap, skripnya dah siap nak masuk dalam YouTube nak tayang ke seluruh dunia kononnya kitalah police state di Malaysia.

Lepas tu, Mat Sabu berlakon lagi, terlanggar... kata polis langgar, dia ada kes.
Saya setuju perwakilan kata lagi banyak dia cakap, lagi untung kita, aset kita.
Parti Pas ni, saya nak kata apa perkataannya? Tahun sudah saya kata bangang, saya nak kata perkataan ‘kedalui’. Kedalui ni bahasa orang Pekan.

Sebab dia dah tahu dia dah diperkudakan oleh DAP, betul tak? Diperalatkan oleh DAP, kalau perjuangannya atas nama Islam, tinggalkan daripada jadi rakan DAP!
Kerana nak kerusi, pakat. Inilah sebabnya, saya cakap di sini saya tak perlu yakin pada tuan-tuan, saya nak yakin orang di luar, 12 juta lebih pengundi.

Yakinlah jika ada pakatan yang rapuh seperti itu, yang tidak ikhlas sebenarnya, yang ada pendirian yang bertentangan antara satu sama lain, kita tak boleh serahkan negara kita tercinta ini kepada mereka!

Bab pembangkang banyak cerita lagi, lain-lain hari kita cerita lagi. Saya nak sebut bahawa tentang parti yang kita kasihi. Transformasi yang paling mencabar sekali ialah transformasi pada diri kita, betul tak?

Sebab, peristiwa hijrah dah berakhir tetapi perubahan yang besar sekali berlaku pada diri kita! Kita cakap tentang parti, lepas ini kita nak balik kawasan. Ujian terbesarnya ialah sejauh mana apa yang kita perkatakan kita bawa ke kawasan.

Kita dah baiah tadi, kita dah berikrar, kita balik kawasan janganlah kita lihat Ketua Bahagian itu, janganlah ada rasa menyampah.
Kalau kita tengok... Ketua tengok pada timbalan, jangan pula dia kata, ‘eh! dia ni nak jawatan saya’. Bagi kerjasamalah... Kasih sayang yang sejati.

Kita mesti ada rasa, semangat macam Timbalan Presiden sebut tadi, semangat sepasukan sebab bila kita buat analisis, yang dulu dan sebelum ini kita kalah kerana ada orang UMNO yang mengkhianati parti dia sendiri, betul tidak? Kalau semuanya taat dan setia, Insya-Allah kita boleh menang pada bila-bila masa!

Jadi lepas ni kita balik, kita pastikan barisan kita ini kukuh kerana kita berdepan dengan ujian paling besar.

Beringatlah, pilihan raya ini adalah yang paling getir dalam sejarah tanah air. Pilihan yang dihadapkan kepada rakyat adalah pilihan titik penentuan sama ada kita mahu melihat masa depan yang cerah benderang bagi sebuah Malaysia yang maju dengan memilih UMNO dan Barisan Nasional atau menempa jalan tragis penuh kehancuran dengan memilih pakatan pembangkang.

Beringatlah juga, pilihan yang bakal dibuat kali ini bukan sahaja tentang UMNO dan Barisan Nasional, tetapi kemuncak kepada semua itu adalah untung nasib umat Melayu serta rakyat Malaysia keseluruhan.
Sama ada kita melukut di tepi gantang atau kita terus mencipta kejayaan dan kemakmuran.

Kesimpulannya, UMNO kini sudah kembali berada di trajectory dan landasan yang betul! Buktinya, kebangkitan kita telah bermula dengan kemenangan di Bagan Pinang, diikuti Hulu Selangor, Batu Sapi , Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau.

Yakinlah saudara dan saudari, percayalah saudara saudari, inilah petanda-petanda transformasi parti besar-besaran telah pun bermula.

Lalu pada detik, saat dan ketika bersejarah ini, di dalam Dewan Merdeka penuh berkeramat ini, mengambil seruan dan pengajaran dari firman Allah SWT bahawa hendaklah kita bersiap dan bersedia dengan segala kekuatan yang ada, melengkapkan diri masing-masing!

Dan kita akan turun ke medan juang sebagai satu saf yang padu, sebagai satu pasukan yang kukuh, sebagai satu barisan yang kuat dan jemala yang ampuh (tepukan).

Sejak berdekad-dekad lamanya, sejak berpuluh-puluh tahun tempohnya, kitalah parti yang telah membela nasib dan maruah umat Melayu!
Melorong denai kebangkitannya, menjadi tiang seri kekuatan bangsa, sebagai jurangan perisai penyelamat nusa.

Setelah mandat diberikan, setelah baiah dipertautkan, setelah ikrar dilafazkan, marilah bersama saya, marilah bersama saya pada saat dan detik ini pada saat dan detik ini, kita tak punyai pilihan.

Insaflah... Insaflah saudara saudari,

Andainya UMNO tidak kita tatang, andainya UMNO tidak kita bela, andainya UMNO kita biarkan, andainya UMNO sudah tersungkur rebah dan andainya UMNO lenyap, apakah masih terjunjung Islam yang suci? Apakah masih terpandang mulia orang-orang Melayu? Apakah masih disanjung raja-raja kita?

Kalau kita leka, kalau kita alpa, kalau kita lalai, kalau kita masih bersengketa, kehinaan akan tiba di muka pintu. Tunggulah kehancuran akan terbangsatlah Melayu merempat di tanah sendiri!

Hindarilah khianat, pembelot dan adu domba. Sejarah menyebut bahawa fitnah dan nista telah berupaya merobohkan lantai-lantai istana dan meruntuhkan singgahsana.

Sekiranya perjalanan mulia ini dihalang seribu rintangan, kita akan pasti mencari jalan. Sekiranya perjuangan ini digempur sejuta halangan, kita pasti merempuh dengan penuh keberanian.

Saturday, December 3, 2011

FAKTA DAN DATA



Kita disuruh oleh guru kita sejak dari sekolah rendah hinggalah ke peringkat universiti supaya bercakap berdasarkan fakta dengan menyajikan data yang tepat.

Selepas Tun Dr Mahathir memperkenalkan halatuju negara Malaysia pada tahun 2020 nanti, ia kemudiannya dikenali sebagai Wawasan 2020. Sejak itu pertumbuhan ekonomi negara adalah pada kadar 8 peratus setahun. Pertumbuhan yang baik ini semakin meyakinkan bahawa kita mampu mencapai status negara maju dengan acuan sendiri berbeza dengan 19 buah negara maju pada masa itu.

Pada tahun 1998, ekonomi negara merudum akibat serangan spekulator Yahudi antarabangsa. Apa yang menakjubkan ianya naik secara mencanak dalam masa yang singkat. Ini terjadi kerana langkah drastik dan tegas yang diambil oleh Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyelamatkan negara daripada terjebak dengan hutang IMF seperti yang telah memerangkap beberapa negara lain. Argentina yang merupakan negara kelima terkaya di dunia telah jatuh lantaran terpikat dengan tawaran IMF tersebut.

Kejatuhan sekali lagi pada tahun 2001 telah berjaya dilonjakkan oleh kepimpinan negara di bawah Menteri Kewangan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Faktor kejatuhan ekonomi dunia pada tahun 2009 serentak dengan peralihan kuasa daripada Pak Lah kepada DS Najib merupakan cabaran kepada pemimpin baru negara. Terbukti dasar serta pendekatan kerajaan berjaya mengeluarkan negara daripada kemelut ekonomi sekaligus menepis tohmahan daripada pihak-pihak yang tidak senang dengan kestabilan politik dan kemakmuran negara.

Friday, December 2, 2011

DAP DAN ORANG MELAYU



PENDEDAHAN YB ZULKIFLI NORDIN DI DEWAN RAKYAT

"Mohon mencelah Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Pasir Mas sedar atau tidak, apabila kita dengar tadi Yang Berhormat Ipoh Timur bercakap seolah-olah beliau lupa apa yang beliau dan parti beliau lakukan yang menyebabkan Ordinan Darurat 1969, peristiwa 13 Mei berlaku.

Lim Kit Siang Dalang Peristiwa Berdarah!

Saya mahu baca semula Yang Berhormat sebab ada di kalangan kita di sini lupa atau buat-buat lupa setelah bersekongkol sekatil dengan DAP parti racist dan cauvinis ini, dia lupa apa yang berlaku.

Saya mahu baca semula daripada Laporan MAGERAN, laporan rasmi yang dibentangkan menceritakan tentang peristiwa13 Mei membawa kepada perisytiharan darurat tersebut adalah kerana kebebasan bersuara yang sudah di luar kawalan.

Tindakan racist yang melampau dan ini antara tindakan yang didalangi olehYang Berhormat Ipoh Timur dan parti beliau pada masa itu.

Saya mahu baca, biar rakyat dengar semula apa yang mereka kata pada tahun 1969 membawa kepada peristiwa 13 Mei. Slogan yang dibawa pada masa itu ialah ‘Malai si’. ‘Malai si’ini maknanya “Mati Melayu”.

Kemudian kita lihat dalam himpunan-himpunan dan perarakan-perarakan yang mereka buat. Ini antara kenyataan yang mereka keluar pada 11 Mei, “Apa polis boleh buat, kita Raja. Buang sama polis Melayu” .

Pada 11 Mei di Jalan Bukit Bintang, “Mati Melayu, kemudian kita lihat dalam himpunan-himpunan dan perarakan-perarakan yang mereka buat. Ini antara kenyataan yang mereka keluar pada 11 Mei, “Apa polis boleh buat, kita Raja. Buang sama polis melayu”

Pada 11 Mei di Jalan Bukit Bintang, “Mati Melayu, sakai pergi masuk hutan”.

Pada 11 Mei Jalan Changkat Dollah, “KL sekarang cina punya”.

Pada 12 Mei Jalan Ipoh, Jalan Tunku Abdul Rahman, “melayu balik kampung, melayu sekarang tiada kuasa. Sekarang kita Cina sudah control.”

Di Jalan Khir Kampung Baru, depan orang Melayu ini kenyataan parti Yang Berhormat [LKS] Ipoh Timur..;

“Melayu keluar...! Apa lagi duduk sini, kita hentam lu.., sekarang kita sudah ada kuasa...”.

Pada 12 Mei depan Balai Polis Jalan Pudu... “... semua Melayu kasi habis, kasi halau semua polis.”

Pada 12 Mei. Okey nanti kejap lagi. Saya hendak habiskan. Biar dia faham. “Apa ini Melayu, kita sudah perintah dia negeri, ini negeri bukan melayu punya, mata-mata lancau....!”

Pada 12 Mei Jalan Canvel, “Butuh Melayu, Malai si, pergi mati Melayu...”

Pada 12 Mei Jalan Bukit Bintang, “Ini negeri bukan Melayu punya, kita mahu kasi halau semua Melayu.”

Saya mohon bertanya Yang Berhormat setuju atau tidak dengan cadangan saya supaya Yang Berhormat Ipoh Timur [LKS] dan parti dia berani melakukan transformasi demokrasi yang matang ini.

Saya cabar Yang Berhormat IpohTimur antara dalang pencetus 13 Mei supaya walk the talk menjadi anak jantan pertama minta maaf kepada rakyat Malaysia atas politik racist dan politik sempit yang dimainkan pada 1969.’ Ini adalah sebahagian yang saya sedut ucapan beliau di Dewan Rakyat.

Sekarang ini terpulang kepada kita...! Adakah kita bersedia untuk menjadi baru-barua Cina-Cina DAP yang sedang mahu menjadikan Malaysia ini seperti Singapura?

Bacalah bahasa yang mereka gunakan kepada orang-orang Melayu satu ketika dulu....! Adakah kita sanggup telan dan lupakan segala apa yang Cina DAP lakukan terhadap kita..? Terpulang kepada kita..

Thursday, December 1, 2011

RETORIK MEMANG MENARIK


Petang semalam seorang sahabat menceritakan akan kekagumannya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu berceramah di Ayer Baloi, Pontian.

Saya bertanyakan berapa ramai pendengar. Jawabnya kira-kira 400 orang. Saya tanya lagi: orang tempatan atau orang luar. Maka jawabnya: Orang tempatan lah bukan macam ceramah UMNO sampai kena sewakan bas tak nak bagi orang cabut balik.

Katanya lagi 80% daripada pendengarnya adalah orang muda. Tegasnya pengundi baru.

Ada seorang anak muda menurutnya berkata, “ Kita tidak akan izinkan walau seekor nyamuk pun mengganggu DSAI.”

Menurut kawan saya itu, DSAI berkata seperti berikut:

“Alhamdulillah saya dapat juga datang ke Pontian ini. Ahli Parlimen Pontian pun boleh tahan. Orangnya glamour. Kalau Allah Taala beri kita sedikit kuasa maka jangan lah kita lupa diri dan sombong. Datuk Seri Najib pun kalau jumpa saya pun senyum dan beri salam..dalam hati kita tak tahu lah tapi ada orang yang diberi sedikit kuasa oleh Allah Taala sudah sombong dan tidak mahu berjumpa saya bahkan berpaling daripada saya.”

“Apakah buruk sangat manusia yang bernama Anwar Ibrahim ini hingga depan belakang semuanya disapu? “

“Saya pernah makan di semua istana dalam negara ini seperti Istana Johor, Istana Pahang, Istana Selangor, Istana Perlis dan semua istana dalam Malaysia. Saya juga pernah dipukul, ditelanjangkan, diberi makan dengan cara mencampakkan makanan di dalam penjara seperti memberi makan kepada anjing.”

Selepas itu apa lagi katanya? Tanya saya kepada kawan saya tersebut.

Lepas itu dia berceramah membela dirinya lah.

Kawan saya itu menyatakan akan kekagumannya lantas menyifatkan kononnya Anwar Ibrahim tidak sama dengan mana-mana ahli politik dalam negara. Bukan tandingannya Datuk Sabery Chik dan jauhlah daripada pemimpin politik yang muda-muda.

Antara kata-kata Anwar lagi:

“Kalau saya ikut saja kata Dr Mahathir dulu, Pak Lah takkan merasa menjadi Perdana Menteri jauhlah lagi Najib. Sedangkan saya sudah hampir benar dengan jawatan Perdana Menteri tetapi saya tidak sanggup menjadi pak turut kerana saya tidak sanggup mengkhianati rakyat.”

Pertamanya, dia kagum dengan cara ayat diungkap bagi menyebutkan Ahli Parlimen Pontian sombong dan lupa diri. Bagi saya itu hanyalah kepandaian dsai bermain kata-kata lantaran yang bercakap itu lulusan Pengajian Melayu dari Universiti Malaya. Isu MP Pontian “lari” daripadanya tidak memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat. Perkara tersebut hanyalah berbentuk peribadi di antara mantan TPM dengan MP Pontian sahaja dan tidak perlu dinyatakan demi meraih simpati bagi menyokong PR dalam PRU 13.

Bagi menafikan tuduhan liwat dan “permainan dalam cctv”, Anwar menyebut apakah buruknya makhluk yang bernama Anwar Ibrahim diciptakan oleh Allah Taala sehingga depan belakang semuanya disapu (bisexual). Dalam ayat yang mudah Anwar mengaku tidak bersalah hinggakan beliau merasakan bahawa beliau telah tidak diadili dengan baik. Soal samada buruk sungguh ataupun tidak berapa buruk kita serahkan kepada mahkamah di dunia serta pengadilan Allah s.w.t. di akhirat nanti.

Kenapa diungkit beliau pernah dilayan sebagai VVIP dan setelah lucut segalanya maka beliau dilayan seperti tahanan yang lain? Bukankah ini menunjukkan bahawa sesiapa sahaja dalam negara ini tidak akan terlepas daripada penghakiman menurut Perlembagaan Persekutuan. Bukankah beliau juga dulu yang selalu memperjuangkan kononnya sesiapa sahaja tidak patut terlepas daripada sistem kehakiman kalau didapati bersalah?

Anwar mendakwa tidak sanggup bersekongkol dengan Dr Mahathir untuk mengkhianati rakyat. Apakah pengkhianatan yang telah dilakukan oleh Dr Mahathir berbanding kehilangan wang RM3 bilion dari Bank Negara Malaysia sehingga menjatuhkan seorang Gabenor Bank Negara?

Apakah dengan menyimpan wang kertas RM1000 dan RM500 tidak memberi kesan kepada kesejahteraan negara? Negara tidak hilang wang? Sepatutnya selepas Dr Mahathir meminta supaya sesiapa yang memiliki wang kertas RM1000 dan RM500 memulangkan kepada Bank Negara, Anwar patut menyerahkannya supaya wang tersebut tidak “hilang”.

Saya rasa teruja dengan pidato Anwar Ibrahim yang cukup hebat setanding dengan Allahyarham Sukarno namun seperti kata Ibnu Khaldun sesebuah tamadun akan melalui fasa penubuhan, fasa kegemilangan dan melalui zaman kejatuhan maka apakah teori ini juga melibatkan seseorang tokoh pemimpin yang hebat....?

Sesungguhnya Allah yang memuliakan sesiapa yang dikehendakkiNya dan juga menjatuhkan sesiapa yang dikehendakkiNya.. wallahu a’lam..

Monday, November 7, 2011

ANWAR PENING KEPALA



Anwar membebel panjang sebelum menyertai mesyuarat strategik pilihanraya PKR kelmarin. Kenyataan Tony Pua kepada China Press – bahawa Pakatan Rakyat akan mengecilkan jumlah kakitangan awam membuatkan Anwar pening kepala. Anwar selalu pesan kepada jentera PKR, jangan sampai hati kakitangan awam terhentak walaupun kita sibuk bermain politik. Anwar memang mahu pastikan majoriti pengundi perkhidmatan awam akan diberikan kepada pembangkang.

Malahan, dalam manifesto yang sedang direncana oleh Anwar dan Team Strategik Pilihanraya PKR akan menggariskan halatuju kakitangan awam yang lebih baik dan jelas. Banyak yang Anwar hendak tawarkan kepada kakitangan awam. Termasuk mengambil contoh bagaimana beberapa Negara Arab memberikan kemudahan kepada kakitangan awam. Model negara Arab yang kaya dengan minyak menjadi rujukan Anwar. Sumber? PETRONAS.

Apabila sahaja Anwar mendapat laporan media mengenai kenyataan Tony Pua, dia tersentak dan terus menzahirkan perkataan BODOH. Anwar tahu, jika UMNO menggunakan isu itu secara strategik, kakitangan awam akan pantas menidakkan sokongan kepada PR. Ini yang Anwar katakan sebagai BODOH.

Undi kakitangan awam adalah sama dengan undi Melayu. Hati mereka perlu dijaga. Strategi 2008 akan Anwar gunakan semula. Satu email khas akan Anwar sampaikan kepada semua kakitangan awam. Menggunakan data yang sudah disediakan oleh kumpulan strategik pilihanraya; e-mail kakitangan awam memang sudah ada di pejabat PKR. Tak ada masalah. Email blasting akan digunapakai. Kalau ikut cadangan, siap dengan video klip manifesto PR.

Pengambilan Perkhidmatan Awam 1 Januari – 30 Jun 2007
Kaum………………………………..Melayu………Cina………India
Pemohon ……………………………464,000…….9,000……13,000
% …………………………………….84.62%…….1.71%…..2.36%
Permohonan (jawatan)……………1,458,560…..29,607…..40,796
Panggilan termuduga………………..160,401…….5,102……5,107
Hadir temuduga………………………115,103…….3,358……3,636
%………………………………………80.48%……..2.34%……2.54%
Berjaya……………………………….18,618……….927……….639
%……………………………………..81.35%……..4.05%…….2.79%

Anwar tahu, hampir 85 % kakitangan awam adalah orang Melayu. Kalau hilang semua undi kakitangan awam, jawabnya memang demam lah strategi pilihanraya yang Anwar sedang rancang.

Anwar faham sangat dengan pemikiran kakitangan awam. Mudah percaya dengan janji. Kalau kali ini Anwar janji langit sekalipun, mereka akan undi Pakatan Rakyat. Mentaliti kakitangan awam, termasuk guru inilah yang mahu Anwar gunapakai. Anwar percaya dia boleh.

Tapi DAP janganlah kacau daun. Kalau Tony Pua buat lagi kenyataan nak kecilkan perkhidmatan awam – jawabnya akan melingkuplah undi yang Anwar anggap sebagai ‘fixed deposit’ Pakatan Rakyat ini.

Wednesday, October 19, 2011

DIGANTUNG PATIK TINGGI


Dalam dunia yang maklumat mudah diterbitkan samada dalam blog, facebook, twitter dan sebagainya, maka sesiapa sahaja boleh menyuarakan pandangan.

Kesempatan ini lebih mudah diambil oleh mereka yang mempunyai kedudukan tertentu seperti Prof Abd Aziz Bari.

Sebagai seorang pensyarah berjawatan Professor dalam bidang perlembagaan di UIA selama 21 tahun, sudah tentu apa sahaja pandangan beliau akan diteliti oleh semua pihak.

Kita sepatutnya tidak melatah dengan sebarang kenyataan yang dibuat oleh Prof Aziz Bari. Sikap melatah tidak akan menguntungkan mana-mana pihak samada penyokong tegar kerajaan mahupun mereka yang tetap mempertahankan pembangkang kerajaan Persekutuan.

Berdasarkan kepada foto di atas, beliau menyifatkan bahwa titah DYMM Sultan Selangor menegur mengenai siasatan JAIS ke atas DUMC sebagai sesuatu yang tidak lazim. Maksudnya apa yang dititahkan oleh baginda Tuanku seolah-olah mempunyai muslihat tertentu. Sifat tidak lazim ini dikaitkan kononnya ada isu yang juga besar bahkan lebih besar daripada itu menurut pandangan beliau tetapi tidak diberikan perhatian oleh Tuanku.

Implikasi pandangan Prof Aziz ini ialah kononnya Tuanku tidak membela kesemuanya tetapi pembelaan titah bersifat pilih kasih. Ini sudah pasti atas perasaan tidak puashati Prof kerana baginya titah Tuanku tidak memihak kepada kerajaan PKR pimpinan Datuk Khalid Ibrahim.

Sebagai pakar perlembagaan, beliau mesti melihat bahawa Tuanku mempunyai kuasa untuk bertitah menasihatkan rakyat baginda. Peruntukan sedia ada boleh digunakan pada bila-bila masa mengikut budibicara Tuanku.

Sekiranya surau dirobohkan tetapi tidak membawa kepada murtad dan surau digantikan di satu tempat lain yang lebih selesa untuk beribadat, bolehkah kita katakan niat merobohkan surau tersebut sebagai bercanggah dengan syariat?

Siapa Prof Aziz Bari untuk mempersoalakan tindakan Tuanku. Menurut pengalaman saya sebagai pegawai kerajaan, orang yang mempunyai kedudukan di atas lebih banyak mempunyai maklumat daripada kita yang berada di bawah. Tuanku sebagai Ketua Agama Islam Negeri Selangor mempunyai kuasa untuk mendapatkan maklumat terperinci bagi maksud melaksnakan tugas baginda.

Istilah serbuan yang digunakan oleh Prof juga membawa maksud dan niat yang boleh diragui. Sebagaimana yang telah pun dijelaskan, pihak berkuasa menunggu selama lebihkurang setengah jam di luar pintu DUMC sebelum dibenarkan masuk ke dalam bangunan tersebut.

Berdasrkan laporan, siasatan dijalankan tanpa mengganggu upacara ibadat sekiranya ada ataupun Majlis Thanksgiving Dinner anjuran pihak gereja. Ianya menjadi urusan JAIS bila dilaporkan bahawa ada orang Islam turut sama hadir dalam majlis yang diadakan ada bulan Ramadan.

Bagaimanakah cara baginda Tuanku boleh menegur mengikut syariat Islam pada pandangan Aziz Bari?

Lebih baik Aziz Bari, memikirkan bagaimana peruntukan dalam perlembagaan boleh menjamin aqidah umat Islam dapat diselamatkan di samping sistem pendidikan yang mana Aziz juga turut sama mendokongnya.

Mungkin Aziz merasakan bahawa peruntukan yang membenarkan umat Islam berdakwah kepada bukan Islam tetapi sebaliknya orang bukan Islam tidak dibenarkan mengajar orang Melayu mengenai agama Kristian sebagai sesuatu yang bertentangan dengan semangat demokrasi dan hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh beliau.

Kalau ini berlaku bolehkah kita menerima bahwa Prof Aziz sebagai pegawai kerajaan yang bekerja untuk agama, bangsa dan negara Malaysia?

Prof Aziz hanya pengkaji perlembagaan. Beliau bukan penggubal perlembagaan. Beliau hanya rakyat bukan penentu dasar. Bercakaplah mengikut bidangkuasa masing-masing.

Monday, October 17, 2011

PENYELIDIKAN DALAM PENDIDIKAN



Gambar Hiasan

Makna penyelidikan


Cara menghuraikan permasalahan yang dihadapi melalui dua komponen utama iaitu proses berfikir yang intelektual dan fleksibel yang dinyatakan secara eksplisit dan maklumat yang dikumpulkan secara empirik dan sistematik.

Pendekatan penyelidikan pendidikan

1. Pendekatan positivistik
2. Pendekatan naturalistik

Pendekatan positivistik

Pendekatan ini menggunakan kaedah kuantitatif. Hasil penyelidikan merupakan generalisasi dan ramalan berdasarkan hasil pengukuran.

Pendekatan naturalistik

Pendekatan naturalistik sering disebut sebagai pendekatan kualitatif, post positivistic, etnografik, humanistik atau kajian kes.

Kelebihan kedua-dua pendekatan penyelidikan

• Penyelidikan kuantitatif dan penyelidikan kualitatif dapat digunakan bagi mengembangkan ilmu atau bagi menyelesaikan masalah dalam kehidupan manusia.

• Penyelidikan kuantitatif lebih banyak menggunakan statistik dalam menguji hipotesis sedangkan penyelidikan kualitatif trdak banyak memerlukan statistik

• Dalam penyelidikan kuantitatif, insrtrumen penyelidikan diharapkan dapat mengungkapkan data dalam bentuk skala pengukuran tertentu bagi membuat generalisasi.

• Dalam penyelidikan kualitatif pula, hasil penyelidikan diperoleh secara langsung misalnya temubual atau wawancara. Kesimpulan penyelidikan kualitatif masih terbatas dalam konteks ruang dan waktu tertentu sehingga sukar hendak membuat generalisasi.

SUDAH TIADA MODAL


Menggunakan gambar sebagai alat propaganda telah berlaku sekian lama. Penggunaan karikatur dalam menyampaikan sesuatu ideologi seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Amerika Syarikat ke atas rakyatnya bagi mendapatkan mereka yang berminat untuk menyertai tentera Amerika Syarikat seperti Uncle Sam wants you..kebanyakan kita pernah melihat karikatur Uncle Sam tersebut.

Sekeping gambar lebih bermakna daripada 1000 patah perkataan. Ungkapan bermaksud baik ini bagi menggambarkan sesuatu pandangan, ideologi, perasaan mahupun peristiwa bertujuan untuk memberikan impak kepada pembaca.

Dengan kemudahan teknologi kini, mudah untuk menyunting foto mengikut selera pengguna.

Lihat foto di atas. Nampak seolah-olah Pope tidak melihat kepada PM kita. Mereka berhadapan namun terlihat jua keganjilannya. Seolah-olah tiada komunikasi antara mereka.

Itu belum lagi dilihat dari sudut pakaian rasmi upacara keagamaan yang dipakai oleh Pope hanya dalam upacara tertentu dan bukannya dipakai dalam majlis menyambut mana-mana pemimpin negara dunia.

Dilihat dari segi aqidah, tujuan foto ini ditindih atau di super impose adalah menunjukkan kononnya Perdana Menteri sanggup mengenepikan aqidah demi mengambil hati pemimpin besar gereja di Vatican, Rom, Itali. Kita ingin bertanya: Apakah hukumnya sekiranya uduhan mereka ini tidak benar? Bukankah dosanya akan berbalik kepada si pelempar tuduhan?

Sebagai tambahan serangan ke atas PM di samping tuduhan kerajaan enggan menerima pelaksanaan hukum hudud, pemimpin negara difitnah bersekongkol dengan Yahudi dan paderi demi mengekalkan kuasa.

Semua orang pasti dapat merasakan kelainan foto tersebut namun ramai yang akan berdiam diri dan akan terus menyumbang kepada penyebaran fitnah dengan peristiwa atau slot yang lain pula untuk menjatuhkan reputasi pemimpin yang disegani dunia bagi melindungi pemimpin mereka yang rosak moralnya.

Jangan nafikan seluruh dunia tahu kebejatan tersebut. Pertimbangan politik dan penguasaan Yahudi ke atas dunia lah yang memungkinkan fitnah, spekulasi, super impose dan sebagainya menjadi santapan minda para pengkhianat negara.

Kepada Allah kita berserah dan kepadaNya kita mohon perlindungan dari segala fitnah Dajal..

Thursday, October 13, 2011

BAJET MEMBELA RAKYAT MENSEJAHTERA NEGARA


Pembentangan Bajet 2012 oleh YAB Perdana Menteri jelas membuktikan kerajaan berjaya mengurangkan defisit belanjawan daripada 5.4 peratus KDNK pada tahun 2011 kepada 4.7 peratus KDNK bagi tahun 2012. Ini mencerminkan hasrat kerajaan begitu jitu untuk menyediakan belanjawan yang berhemah.

Kerajaan juga dilihat bijaksana lantaran dapat mengimbangi keperluan semasa dan masa depan ekonomi negara.

Bajet membela rakyat dan mensejahtera negara ini berlegar di sekitar lima fokus utama:

• Meligat pelaburan
• Mengungguli modal insan, mencerna kreativiti dan mencetus inovasi
• Program transformasi luarbandar
• Memperkejap perkhidmatan awam
• Meredakan inflasi dan mengimarah kehidupan rakyat

Transformasi luar bandar

1. Beberapa kawasan luar bandar akan bertindak sebagai pusat integrasi logistik, pemprosesan dan pengedaran hasil pertanian dan berbagai aktiviti sokongan seperti perbankan dan insurans, latihan dan kemahiran, klinik dan ruang niaga akan diwujudkan.

2. Belanjawan memperuntukkan dana sejumlah RM100 juta bagi disalurkan kepada golongan professional yang ingin menawarkan perkhidmatan guaman, perakaunan dan klinik di pekan-pekan kecil seluruh negara. Peruntukan ini dapat memudahkan para peniaga, penternak dan usahawan tani di mana mereka tidak lagi perlu ke bandar berdekatan bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut.

3. Pihak pemerintah berusaha untuk membawa perkhidmatan perbankan ke luarbandar. Sebuah syarikat GLC – BSN akan melantik agen di kawasan luarbandar untuk menyediakan perkhidmatan tersebut.

4. Pengusaha bas berhenti henti, bas mini dan bas sekolah boleh memohon pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus bagi tujuan membeli atau membaikpulih bas.

5. Kerja membangunkan infrastruktur asas di luarbandar seperti menyediakan jalan, bekalan air dan elektrik tetap menjadi agenda penting.

Perkhidmatan Awam

1. Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam [SSPA] yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia [SSM] memperlihatkan penambahbaikan terhadap struktur gaji penjawat awam.

2. Kerajaan juga bersetuju untuk melanjutkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi memberi peluang kepada mereka yang masih berkemampuan memberikan sumbangan berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka.

3. Kemudahan untuk meningkatkan kelulusan akademik melalui program bantuan yuran pengajian dijelmakan melalui peruntukan sebanyak RM200 juta bagi penjawat awam untuk mengikuti program latihan di peringkat sarjana muda, sarjana dan kedoktoran falsafah.

Inflasi

Pemberian subsidi untuk berbagai barangan keperluan harian antara langkah kerajaan memerangi inflasi. Kerajaan telah mengadakan berbagai program bagi membantu pengusaha pertanian melalui skim pembiayaan Dana Pertanian Komersial kepada projek pertanian berinovasi.

Perumahan

1. Bagi golongan sederhana terutamanya di sekitar Lembah Kelang, keperluan mendapatkan rumah pada harga yang berpatutan amatlah sukar ditangani.

2. Kesungguhan pihak kerajaan untuk membantu golongan sederhana memiliki rumah pada harga yang berpatutan dan pada kadar kos kewangan yang tidak membebankan tidak dapat dinafikan. Bagi maksud tersebut, kerajaan telah menubuhkan Perumahan Rakyat 1Malaysia [PR1MA] dan telah bersetuju untuk menaikkan had maksimum harga rumah yang layak untuk mengikuti Skim Rumah Pertamaku daripada RM200,000 kepada RM 400,000.

Perbelanjaan isi rumah

1. Usaha memberi bantuan sebanyak RM500 kepada isi rumah [household] yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan memberi manfaat kepada lebih dari pada separuh daripada bilangan isi rumah di Malaysia.

2. Pemansuhan yuran sekolah rendah dan menengah bakal melibatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM150 juta dapat meringankan beban isi rumah.

3. Bantuan sebanyak RM100 turut disalurkan kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah bermula dari Tahun Satu hingga ke Tingkatan Lima.

Remaja dan belia

1. Bagi pelajar di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta, matrikulasi dan tingkatan enam pula, mereka layak untuk menerima baucar buku bernilai RM200.

2. Peruntukan sebanyak RM320 juta bagi menjalankan berbagai aktiviti termasuk latihan kemahiran, program kepimpinan dan keusahawanan kepada golongan belia di peringkat daerah dan negeri.

Pemandu teksi

Pemilik teksi bajet persendirian akan dikecualikan 100 peratus duti eksais dan jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan, pemansuhan cukai jalan dan pemberian subsidi kadar faedah dua peratus ke atas pinjaman pembelian teksi baru buatan tempatan.

Golongan nelayan

Tabung Khas Perumahan Nelayan dengan peruntukkan RM300 juta akan membantu untuk membaik pulih rumah golongan nelayan dan dilengkapi dengan infrastruktur asas.

Pasukan keselamatan
Kerajaan akan memberi sumbangan RM3,000 secara one-off kepada setiap bekas anggota pasukan keselamatan serta duda dan balu mereka, kesemuanya hampir 62,000 orang untuk membantu meringankan kos sara hidup.

Tuesday, October 11, 2011

AMPUN TUANKU PAYUNG NEGERI


Patik sebagai anak kelahiran negeri bertuah Selangor Darul Ehsan merafak sembah menjunjung kasih akan keprihatinan DYMM Tuanku selaku Ketua Agama Islam negeri asal patik yang juga merupakan anak kepada mantan Pengarah JAIS Allahyarham Datuk Hj Mahmad Muhtar bin Mahmad Salleh yang dikenali sebagai Datuk Hj Mokhtar Salleh di dalam media..Ampun Tuanku..patik menjunjung kasih.. Maka izinkan patik mengabadikan titah ucapan Tuanku di dalam blog patik..mohon perkenan Tuanku..

Beta selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor amat mengambil berat di atas tindakan yang dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasan, Jabatan Agama Islam, Selangor (JAIS) yang telah menjalankan pemeriksaan ke atas majlis 'Thanksgiving Dinner' yang diadakan di Dewan 3, Kompleks Dream Centre, Seksyen 13, Petaling Jaya pada 3 Ogos 2011 yang lalu.

Beta amat berharap agar rakyat Negeri Selangor tanpa mengira bangsa dan agama tidak menyalahanggap dan mempertikaikan tindakan JAIS tersebut sebelum mengetahui dengan jelas fakta sebenar mengenai tindakan yang telah diambil oleh pihak JAIS.

Sebagai sebuah Jabatan Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang Islam dalam Negeri ini, JAIS mempunyai tugas yang berat untuk memastikan Agama Islam dalam Negeri Selangor ini sentiasa dipelihara dan dimartabatkan selaras dengan kedudukan Agama Islam sebagai agama Negeri Selangor di bawah Perkara XLVII Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 dan juga agama Persekutuan di bawah Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Pihak JAIS telah menyembahkan kepada Beta laporan penuh mengenai pemeriksaan yang telah dijalankan di kompleks Dream Centre, Seksyen 13, Petaling Jaya tersebut dan juga tindakan susulan yang telah diambil oleh JAIS. Beta sendiri telah meneliti laporan tersebut dengan terperinci dan Beta berpuas hati bahawa tindakan JAIS tersebut adalah betul dan tidak menyalahi mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa di Negeri Selangor ini.

Tindakan JAIS tersebut adalah selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor, 1988.

Agama Islam yang diamalkan dalam Negeri Selangor ini adalah sebuah agama yang penuh
toleransi. Penganut agama Islam sentiasa dipupuk agar menghormati penganut-penganut agama lain.

Walaupun begitu, mana-mana pihak tidak boleh mengambil kesempatan untuk cuba mengembangkan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam.

Ini adalah selaras dengan Fasal (1) dan (4) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor, 1988 yang tidak membenarkan pengembangan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam.

Perkara XLVII Undang-Undang Tubuh, Kerajaan Selangor 1959, Fasal (1) Perkara 3 dan Fasal (1) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan telah memberikan hak kebebasan beragama kepada penganut agama lain untuk mengamalkan ajaran agama mereka masing-masing dengan aman dan harmoni.

Hak kebebasan tersebut telah pun berjalan dengan penuh harmoni dalam Negeri ini. Beta amat berharap keharmonian tersebut yang telah wujud sekian lama terus dikekalkan.

Peliharalah hak dan agama masing-masing dan jangan sekali-kali cuba mempengaruhi dan memesongkan fahaman dan kepercayaan orang Islam terhadap agama Islam.

Merujuk kepada siasatan pihak JAIS, terdapat keterangan bahawa ada cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan aqidah umat Islam.

Tetapi keterangan yang diperolehi tidak mencukupi untuk tindakan undang-undang diambil.

Oleh itu setelah meneliti dengan secara mendalam laporan oleh pihak JAIS dan setelah mendapat nasihat dari pakar-pakar agama dan undang-undang, Beta bersetuju tiada pendakwaan terhadap mana-mana pihak.

Walau bagaimanapun Beta menitahkan JAIS memberikan kaunseling kepada orang Islam yang terlibat dalam majlis tersebut supaya aqidah dan kepercayaan mereka terhadap Agama Islam dapat dipulihkan.

Beta juga menitahkan JAIS supaya menjalankan aktiviti dakwah terhadap orang Islam dengan lebih kerap dan tersusun supaya akidah dan kepercayaan mereka terhadap Agama Islam dapat dipelihara dan dipertingkatkan.

Beta amat berharap selepas daripada ini, apa-apa kegiatan dan aktiviti yang sedang berjalan atau yang akan berjalan bagi tujuan mengembangkan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam dalam Negeri Selangor ini hendaklah dihentikan segera dan tiada kegiatan dan aktiviti yang serupa dijalankan di masa hadapan.

Sesungguhnya Beta selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor ini amat mengambil berat dan berasa amat tersinggung dengan usaha-usaha pihak tertentu yang cuba untuk melemahkan kepercayaan dan aqidah orang Islam dalam Negeri Selangor ini.

Beta menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS supaya sentiasa mengadakan pemantauan rapi dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa perlu teragak-agak lagi selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

Beta juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah mengambil berat berkaitan isu ini dan yang telah memberikan kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada JAIS.

BAJET BAYANG-BAYANG


Tujuh prinsip asas yang menjadi teras kepada Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat antaranya adalah seperti berikut:

1. Membantu rakyat dalam masa terdekat mengharungi suasana ekonomi yang semakin terhimpit.

2. Menjamin kelangsungan kewangan negara dengan tumpuan khususnya untuk mengurangkan defisit.

3. Menambahnilai perbelanjaan negara agar peruntukan benar-benar sampai kepada rakyat dengan memerangi rasuah dan penyelewengan.

4. Memperkasakan keupayaan ekonomi rakyat dalam jangkamasa sederhana dan panjang melalui rekayasa latihan teknikal, vokasional dan penggajian memartabatkan rakyat.

5. Mengukuhkan lagi arus reformasi politik yang menjadi prasyarat dan pendinding dari anasir-anasir yang mahu membolot kekayaan negara untuk mereka dan kaum kerabat mereka sahaja.

Pembelaan rakyat terbanyak

Belanjawan pakatan rakyat juga akan melaksanakan bantuan-bantuanberikut bagi mengalihkan sumber kekayaan nhegara dari golongan makahaya kepada golongan rakyat kebanyakan.

a) Mengekalkan subsidi mintak RM22 bilion bagi mengelakkan kenaikan harga.

b) Menghapuskan subsidi korporat yang hanya menguntungkan kroni seperti pemiliuk penjana bebas (IPP), monopolki beras oleh Bernas, monopoli lessen teksi.

c) Bayaran bonus kepada warga emas sebanyak RM1,000 setahun yang berpendapatan kurang RM 18,000 setahun

d) Bayaran suri rumah sebanyak RM 1000 dalam Tahun 2012 dan menggalakkan mereka menabung melalui Kumpulan Wang Simpoanan Pekerja.

e) Bayaran tambahan kepada isi rumah dalam kumpulan miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah RM550.

f) Bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat diselaraskan kepada RM550 sebulan berbaneding RM300 sebulan pada masa sekarang.


Mengembalikan martabat rakyat

a) Menetapkan gaji minima sebanyak RM1100 dan akan dikuatkuasakan.

b) Melaksanakan pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi setiap guru seperti jannji Buku Jingga.

c) Menyelaraskan gaji kakitangan awam berdasarkan penetapan gaji minima.

d) Akan menghentikan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan.

e) Memperuntukkan tambahan RM1.3 bilion untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik termasuk menaiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal.

f) Peruntukan tambahan RM 1 bilion untuk perumahan awam dengan perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan negeri.

g) Pelaksanaan skim “Bina dan Jual” secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang teraniaya akibat projek perumahan terbengkalai.

h) Penganugerahan lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon dengan membatalkan sistem payung yang digunapakai bermula pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu.

Menjamin kelangsungan wang negara

Bagi menjamin kelangsungan wang negara, belanjawan 2012 Pakatan Rakyat akan mengambil pendekatan berikut:

a) Memotong belanjawan Perdana Menteri sebanyak RM10 bilion dengan mengembalikan peruntukan ini kepada kementerian-kementerian yang berkenaan bagi mengurangkan kecenderungan berbelanja berlebihan oleh Perdana Menteri.

b) Sasaran mengekang defisit yang drastik iaitu pada kadar 4.4 peratus bagi tahun 2012.

c) Dividen Petronas diunjur pada kadar RM26 bilion sahaja iaitu RM 4 bilion lebih rendah dari BN bagi memastikan Petronas mempunyai sumber mencukupi untuk terus berkembang.

d) Penjualan Lesen Import (AP) akan dibuat secara lelongan bagi menambah pendapatan negara dengan kadar RM 1.2 bilion.

e) Pendekatan perolehan kerajaan akan diamalkan secara tender terbuka dengan jaminan skim-skim khas untuk Melayu/Bumiputera.

f) Menyemak kontrak pembelian senjata oleh Kementerian Pertahanan untuk memastikan nilai tambah kepada strategi dan keperluan pertahanan negara.

g) Mengutip hutang-hutang, tunggakan dan penyelewengan membabitkan dana dan aset negara.

h) Mengembalikan cukai-cukai eksais dan duti yang dibatalkan oleh Perdana Menteri ke atas barang-barang mewah seperti beg tangan, seluar dalam berjenama dan lain-lain.

Membina keanjalan dan daya saing ekonomi

a) Menubuhkan Suruhanjaya Perjanjian Awam Negara untuk menilai kembali konsesi yang tidak adil.

b) Meminda Akta Persaingan 2011 supaya meliputi sektor penyiaran, telemomunikasi, tenaga dan sektor bermonopoli lain untuk memecahkan monopoli.

c) Mengurangkan pekerja asing menjelang 2015 mengikut sektor.

d) Elaun penjagaan anak RM 1000 setahun kepada ibu-ibu yang layak dipadankan
dengan pelaburan kerajaan membina pusat penjagaan kanak-kanak.

Kesejahteraan sekata dan seadilnya

a) Meminda Akta Geran Kapita 2001 untuk beralih dari mekanisme bayaran tetap kepada prinsip formula berdasarkan factor sumbangan ekonomi, keperluan pembangunan, pendapatan rakyat dan kedudukan sosio ekonomi setiap negeri.

b) Peruntukan tambahan sebanyak RM 3.6 bilion untuk pembangunan luar bandar.

c) Peruntukan khas RM 100 juta untuk program pembersihan dan pengindahan desa di seluruh negara.

Mengukuhkan arus reformasi rakyat

a) Melaksanakan sepenuhnya janji Buku Jingga termasuk memansuhkan ISA, akta bersabit media percetakan, Akta Rahsia Rasmi dan AUKU.

b) Membentangkan Akta Pemulihan Demokrasi seperti dicadang Pakatan Rakyat pada 2011 untuk memansuhkan semua akta yang bertentangan dengan amalan demokratik.

c) Melaksanakan segera semua tuntutan Bersih 2.0

d) Merombak Jabatan Perdana Menteri dengan menaiktaraf jabatan-jabatan bersabit tata kelola dan pertanggungjawab nasional seperti SPR, SPRM, Biro Pengaduan Awam supaya bertanggungjawab terus kepada Parlimen.

e) Pengenalan Laporan Setengah Tahun perbelanjaan dan prestasi kewangan negara dibentang di Parlimen bersama Laporan Ketua Audit Negara.

f) Membentuk tujuh Jawatankuasa Parlimen untuk membahas belanjawan di peringkat jawatankuasa secara terperinci.

Thursday, October 6, 2011

DOA PMR 2011


ِسْÙ…ِ اللهِ الرَّØ­ْÙ…َÙ†ِ الرَّØ­ِÙŠ
اَÙ„ْØ­َÙ…ْدُ Ù„ِÙ„َّÙ‡ِ رَبِّ الْعَالَÙ…ِÙŠْÙ†َ,
ÙˆَالصَّلاَØ© ُÙˆَالسَّلاَÙ…ُ عَÙ„َÙ‰ سَÙŠِّدِÙ†َا Ù…ُØ­َÙ…َّدٍ ÙˆَعَÙ„َÙ‰ آلِÙ‡ِ ÙˆَØ£َصْØ­َابِÙ‡ِ Ø£َجْÙ…َعِÙŠْÙ†َ

ِ يا الله يا رحمن يا رحيم

Engkau Maha Mengetahui kami anak-anak pelajar Tingkatan 3 SMK Dato’ Mohd Yunos Sulaiman sebentar lagi akan melangkah ke dewan peperiksaan meneruskan agenda penting kehidupan kami menduduki Penilaian Menengah Rendah pada tahun 2011 ini bagi Kertas....... yang akan mencorakkan masa hadapan kami bagi memenuhi harapan ibubapa
kami, guru-guru dan masyarakat keseluruhannya.

يا الله يا حى يا قيوم

Oleh itu, kami menadah tangan kehambaan kami memohon kepada Mu dengan penuh rasa tawaduk, Engkau cerdaskan akal kami supaya kami dapat memahami kehendak soalan, tenangkan hati kami agar kami tidak resah gelisah di dalam dewan, berilah ilham kepada kami di saat-saat kami menghadapi kebuntuan, ingatkanlah kembali segala yang kami telah terlupa daripada pengajaran guru-guru kami, bantulah kami dengan mengurniakan idea-idea yang bernas agar kami dapat memberikan jawapan yang terbaik demi melakar kejayaan yang cemerlang.

يا الله يا غنى يا حميد

Lindungilah anak-anak kami dari segala bentuk gangguan samada dari manusia ataupun jin yang tidak kelihatan. Dengan belas ihsan Mu, anugerahkanlah kejayaan kepada kami sebagai hadiah atas budi dan pengorbanan ibubapa kami yang mengharapkan kepulangan kami bersama keputusan yang membanggakan. Ampunkan dosa kami, dosa ibubapa serta guru-guru yang kami kasihi.

Sunday, October 2, 2011

CAKAP SEORANG AHLI POLITIK



Sebagai seorang ahli politik lebih-lebih lagi seorang yang memegang jawatan tertinggi Ketua Negeri sentiasa bekerja keras untuk memajukan negeri agar rakyat masih terus memberikan sokongan kepada mereka. Kita dapat menerima hakikat ini. Bekerjalah dengan apa cara sekalipun agar negeri terus makmur dan rakyat dapat menikmati hasil pemerintahan tanpa mengira latarbelakang agama, bangsa dan juga agama. Termasuklah ke sana ke mari untuk menarik pelaburan asing.

Demikianlah kisah Lim Guan Eng anak Lim Kit Siang. Siapakah yang tidak dapat menafikan akan keceluparan mulutnya selama ini? Sebaik sahaja menjadi pemimpin nombor satu di Pulau Pinang, beliau menyamakan kerajaannya sebagai sama waktu dengan pemerintahan Khalifah Umar bin Abd Aziz dari segi Islamiknya kononnya. Mengapa dia sebut nama Khalifah Umar yang hebat, kenapa tidak mengambil contoh yang baik-baik katalah seperti Shih Huang Ti yang membina Tembok Besar Negara China yang merupakan antara tempat di bumi yang dapat dilihat dari bulan, kenapat idak ambil kata-kata mutiara hikmah Kung Fu Tze? Adakah ini sengaja dilakukan demi meraih sokongan politik murahan daripada orang Melayu yang rakus dan ingin segera menggapai impian menjadi wakil rakyat?

Perbuatan Lim Guan Eng ini saya anggap sengaja mempolitikkan nama khalifah tersohor dan perbuatan ini adalah “mempersendakan” agama Islam. Di mana peranan, di mana suara dan di mana fatwa para ulama dalam saf kepimpinan PAS? Kalaulah tidak kerana rakan sebantal mereka PAS Lim pasti tidak akan menggunakan nama khalifah yang warak ini sebagai permainan dan silat politiknya yang busuk itu lantaran ingin menyekat perkembangan Islam seterusnya melalui penafian kuasa politik Melayu di tanahair ini.

Kenapa Lim menyebut isu ini di Singapura? Kerana Singapura adalah abang kandung DAP. Sejak dari dulu PAP dan DAP mempunyai matlamat yang sama. Pada masa tersebut mereka tidak pernah terfikir bahawa orang Melayu akan sanggup bersama-sama mereka. Bolehkah ada mana-mana ahli sejarah akan bersetuju bahawa sejak dari dulu DAP di Tanah Melayu dan PAP di Singapura pernah menyebut bahawa mereka akan memberi ruang kepada agama Islam sekiranya Tanah Melayu merdeka?

Sejarah mencatatkan bahawa PAP telah berjaya menubuhkan kerajaan di negeri Tun Nila Utama itu. Mereka menumpang mendapat merdeka bersama Persekutuan Tanah Melayu. Lantaran inginkan sebuah negeri Cina untuk orang Cina mereka telah melakukan usaha bagi memisahkan diri dari Persekutuan Tanah MELAYU.

Presiden Singapura yang pertama Tun Yusof Ishak dan lagu kebangsaan mereka “Majulah Singapura” kononnya sebagai bukti bahawa orang Melayu masih mendapat tempat di hati pemimpin mereka.

Lee Kuan Yew dalam usaha mendapat sokongan orang Melayu di Singapura mengeluarkan kenyataan “Malay Singaporean are different”. Maknanya Melayu Singapura tidak seperti Melayu Malaysia. Gula-gula ini telah menyebabkan sebahagian orang Melayu di Sngapura mendabik dada dan mengatakan “ Kita orang tak sama dengan awak orang.” Hebatnya psywar yang digunakan dan dijalankan oleh LKY.

Dan kini cucunya pula Lim Guan Eng menyebut bahawa pemerintahannya menyamai kerajaan di bawah pimpinan Khaifah Umar bin Abd Aziz. Kalau orang Melayu Singapura terpesona dengan kata-kata LKY di Singapura malangnya orang Melayu di Malaysia pula jangan lah teruja dengan kata-kata “mempersendakan bangsa Melayu dan agama Islam” oleh Lim Guan Eng.

Singapura agen Yahudi di Asia Tenggara kini menjadi mentor kepada kerajaan Yahudi Pulau Pinang..

INSAFLAH WAHAI SAUDARA SEAGAMA DAN SEBANGSA KU..

Tuesday, September 27, 2011

AJARAN SESAT DI MALAYSIA



Kadang-kadang kita terfikir juga mengapa masih ada orang Melayu beragama Islam tertarik untuk mengikuti ajaran sesat yang jelas mengubah bentuk-bentuk ibadah dalam Islam?

Nafsu manusia tidak suka kepada perkara-perkara yang dianggap mengongkong kebebasan. Tidak payah beribadah. Cukup solat dengan niat sahaja. Boleh melakukan maksiat atas nama agama. Pasti menyeronokkan nafsu bejat lantaran maksiat dibolehkan. Dan yang paling menarik minat mereka ialah perbuatan maksiat ini di”halal”kan atas nama ajaran Islam.

Ajaran sesat bermaksud semua ajaran dan juga amalan yang didakwa sebagai ajaran Islam sedangkan pada hakikat yang sebenarnya ialah bertentangan dengan aqidah dan syariah Islamiah. Ianya merupakan satu penipuan atas nama agama Islam yang suci kerana membuat tafsiran yang menyeleweng daripada ajaran sebenar.

Mengelirukan juga apabila istilah-istilah seperti solat, niat, puasa, haji digunapakai namun kaedah melaksanakan ibadat tidak seperti yang diajarkan oleh Islam. Contohnya seperti puasa Cuma 19 hari, solat sudah cukup dengan niat sahaja, haji boleh ditunaikan di tempat selain Mekah dan yang paling menarik minat ialah mungkin dengan nikah cara batin tidak perlu melalui prosedur pejabat agama.

Apakah orang Melayu boleh menerima istilah Rasul Melayu seperti yang berlaku di Selangor sedikit masa lalu. Mungkinkah pengikutnya akan lari setelah rasul ini disabitkan bersalah dan dikenakan hukuman penjara 10 tahun termasuk tempoh 6 bulan tahanan di Pusat Pemurnian Aqidah serta denda RM16,500 bersama 6 sebatan? Ataupun pengikutnya masih menyembunyikan amalan mereka secara tanpa diketahui oleh pegawai pejabat agama? Di tempat-tempat yang terlepas dari serbuan pula.

Ajaran sesat muncul dalam tiga bentuk iaitu bentuk ajaran, tariqat dan kepercayaan.

Melalui bentuk ajaran, ajaran-ajaran ini selalunya direka atau dicipta oleh seorang guru atau penganjur ajaran sesat yang menggunakan nama-nama tertentu.

Ajaran sesat dalam bentuk tariqat menggunakan nama-nama tariqat yang masyhur yang menjadi amalan ulama terdahulu seperti tariqat Ahmadiyyah, Naqsyabandiyyah, Sazaliah, Samaniah, Qadariah, Mufarridiyyah dan lain-lain sedangkan ianya berlawanan dengan tariqat asal tersebut jika dilihat dari sudut amalan dan kepercayaan yang terpesong daripada al-Qur’an dan al-Sunnah.

Ajaran sesat juga disebar melalui kepercayaan dan amalan tradisi yang berhubung dengan amalan mistik dan kultus. Bentuk kepercayaan seperti ini telah menjadi perkara lumrah dalam kalangan orang Melayu di negara kita.

Antara kepercayaan seperti ini ialah:

• Pemujaan tempat-tempat yang dianggap keramat
• Pemujaan terhadap wali-wali yang dianggap mempunyai kelebihan
• Kepercasyaan kepada kuasa sakti melalui amalan seni mempertahankan diri
• Kepercayaan kepada dukun dan bomoh yang mendakwa mereka mendapat ilmu dukun dalam mimpi dan orang halus melalui amalan menurun dan sebagainya.

Sehingga tahun 2008, pihak JAKIM telah mengenalpasti sebanyak 55 jenis ajaran sesat dan ajaran-ajaran tersebut telah diwartakan sebagai haram kerana boleh memesongkan aqidah umat Islam. Menurut maklumat masih terdapat 12 ajaran sesat yang masih aktif. Pihak berkuasa Berjaya mengawal ajaran sesat daripada terus berkembang dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan serta orangramai.

Ciri-ciri ajaran sesat

1. Mengingkari Rukun Iman dan Rukun Islam
2. Mengikut kepercayaan yang bertentangan dengan aqidah Islam
3. Meyakini turun wahyu selepas al-Qur’an
4. Mengingkari atau menafikan kebenaran al-Qur’an
5. Mentafsir ayat al-Qur’an tanpa merujuk kepada tafsiran yang muktabar
6. Menolak kedudukan hadis Nabi sebagai sumber ajaran Islam
7. Merendahkan martabat para Nabi dan Rasul
8. Mengingkari Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rasul terakhir
9. Mengubah asas dan bentuk ibadat yang ditetapkan syarak
10. Mengkafirkan sesama Muslim tanpa dalil yang syarie.

Kaedah mengatasi:

1. Memantapkan kefahaman Islam yang sebenar
2. Memberi maklumat mengenai kumpulan ajaran sesat kepada Pejabat Agama Islam
3. Mendidik anak dan pelajar dengan ilmu yang hak
4. Merujuk kepada Pejabat Agama agar guru yang bertauliah sahaja yang dibenarkan mengajar ilmu tariqat atau tasawwuf
5. Menguatkuasakan undang-undang bagi mengawal dan membenteras ajaran sesat hingga ke akar umbinya.

Wednesday, September 7, 2011

PEMIDATO TERBAIK NEGARA?



Mungkin terdapat beberapa tafsiran mengenai cara negara kita memperolehi kemerdekaan negara pada tanggal 31 bulan lapan 57..seperti lagu yang didendangkan dengan penuh semangat oleh Allahyarham Sudirman Hj Arshad.

Ramai yang telah terkorban semenjak Melaka ditawan Portugis pada tahun 1511. Pastinya tempoh selama 446 tahun 7 hari dijajah tidak terkira mereka yang berjuang membebaskan kembali negara dari cengkaman penjajah. Sekiranya kita hendak senaraikan nama-nama pejuang selama 400 tahun itu kita tidak akan mampu melakukannya. Masing-masing ada peranan Cuma sejarah tidak mampu untuk menceritakannya semua.

Sebab itu kalau kita hendak mengkaji sejarah penentangan anak watan terhadap penjajah, kita membahagikan kepada beberapa period. Apa yang pasti semangat untuk merdeka telah tertanam selama 446 tahun.

Ada peranan golongan agama termasuk gerakan reformis Islam yang pulang dari pengajian di Mesir. Mereka juga mendapat inspirasi memperjuangkan Nasionalisme Melayu hasil pemerhatian mereka sewaktu belajar di luarnegara.

Begitu juga dengan kebangkitan golongan pondok seperti di Gunung Semanggol, Perak yang mahu membebaskan negara dari tangan penjajah kafir.

Golongan guru dan penulis juga tidak dapat dinafikan akan sumbangan mereka terhadap meniupkan kesedaran rakyat untuk memerintah sendiri.

Maka sudah tentulah penentangan secara terpisah-pisah tidak mampu untuk memperjuangkan nasionalisme Melayu.

Anak raja dan bangsawan Melayu diberikan pendidikan oleh pentadbir British. Maktab Melayu Kuala Kangsar yang ditubuhkan pada tahun 1906 bertujuan untuk mendidik anak-anak golongan elit Melayu pada masa itu.

Sewaktu belajar di London, anak-anak bangsawan Melayu ini telah terbuka horizon pemikiran mereka dengan keadaan di seluruh dunia. India sebagai contohnya telah mencapai kemerdekaan daripada pihak British pada tahun 1947 iaitu 10 tahun lebih awal daripada Tanah Melayu. ini menyebabkan mereka berfikir mengapa pula Tanah Melayu tidak cuba untuk menuntut kemerdekaan juga daripada British?

Peluang pendidikan yang terbuka luas kepada mereka ini menyebabkan mereka berfikir untuk tidak meneruskan kehidupan di bawah penjajahan. Mereka telah belajar mengenai demokrasi, sistem Westminster dan perlembagaan negara. Mengapa tidak boleh merdeka walaupun British mempunyai kepentingan ekonomi di Tanah Melayu namun abad ke 20 memperlihatkan bahawa aktiviti perdagangan dan perniagaan akibat Revolusi Perindustrian boleh diteruskan tanpa perlu menjajah sesebuah Negara. Penjajahan mungkin perlu bagi menguasai ekonomi serta hasil bumi negara anak jajahan pada abad ke 15 dan 16. Dunia sedang berhadapan dengan kuasa ekonomi yang berbeza berbanding dengan zaman perlunya armada kapal yang hebat sebagai lambang kemajuan sesebuah negara seperti Portugal dan Sepanyol.

Maka atas dasar kefahaman tersebut, pemimpin UMNO dan Perikatan telah bersepakat untuk menuntut kemerdekaan daripada British iaitu Tanah Melayu menjadi sebuah Negara yang merdeka dan berdaulat di samping menyediakan mekanisme bagi British masih boleh menjalankan aktiviti ekonomi mereka.

Kebangkitan semangat nasionalisme Melayu yang telah sekian lama bertapak dalam hati orang Melayu disusun dengan rapi mendapatkan persetujuan British agar Tanah Melayu merdeka. Pengalaman India merdeka menjadi inspirasi kepada rombongan menuntut kemerdekaan ini.

Sistem pentadbiran daerah dengan District Officer kini Pegawai Daerah (DO) diperkenalkan. Wujud skim perkhidmatan MCS (Malayan Civil Service) kini Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). System pengurusan dan pentadbiran tanah diperkenalkan dan kini menjadi begitu berkesan melalui pengenalan geran tanah.

Rakyat juga diajar untuk membentuk kerajaan dengan melalui sistem pilihanraya. 52 kawasan dibahagikan sebagai kawasan Parlimen. Parti yang menang akan membentuk kerajaan. Begitulah British mendidik kita bagaimana memilih pemimpin serta membentuk kerajaan.

Katalah kita tidak memilih cara begitu sebaliknya kita mengikut rentak mereka yang mahu merdeka bersama Gagasan Indonesia Raya. Cuba kita bayangkan sekarang mungkin keadaan negara kita tidak akan menjadi seperti pada hari ini. Kerana didikan yang akan kita terima akan berlainan daripada didikan British. Apakah dengan menerima gagasan Indonesia Raya itu kita akan menjadi lebih Islamik daripada sekarang? Tidak dinafikan mereka juga mempunyai cita-cita untuk memerdekakan negara ini pastinya!

Melihat kepada realiti hari ini, Indonesia berjaya menjadi negara yang mempunyai bilangan umat Islam yang ramai namun apakah sistem, perlembagaan dan segala-galanya akan menjadi serasi dengan syariat Islam sebenar.

Tidak siapa pun akan dapat menjangkakan atau meramal masa hadapan. Begitulah ikhlasnya para pejuang radikal atau golongan kiri dahulu. Mereka berjuang dengan cara yang mereka rasa berpeluang untuk menyumbang tenaga dan pemikiran ke arah merealisasikan negara berdaulat.

Oleh itu, peranan masing-masing kelompok pejuang tidak dinafikan maka apa salahnya anak-anak cucu cicit mereka pula mengiktiraf sumbangan UMNO dan parti Perikatan dalam memberikan kemerdekaan serta mengagihkan taraf kewarganegaraan yang melayakkan mereka mendapat biasiswa contohnya tanpa mengira ideologi parti.

Sekiranya PKM berjaya menubuhkan kerajaan di Tanah Melayu dalam tempoh darurat dari tahun 1948-1960 maka nenek moyang kita pasti melalui jalan yang lain daripada jalan yang telah pun tercatat dalam sejarah yang kita nikmati hasilnya sekarang.

Sejarah dipelajari untuk dihayati dan sebaliknya bukan untuk dikesali dan dicaci serta dinafi sumbangan sesiapa..

Apa yang penting sekarang ialah bagaimana untuk mengisi kemerdekaan negara bukannya mengungkit siapakah yang lebih berjasa kepada negara inipada masa yang lampau..

Maka debat tidak perlu buat masa ini..

Monday, September 5, 2011

UNDI POS ANGKATAN TENTERA


Berikut saya paparkan tulisan oleh Let Kol. (B) Shobri Darus yang juga merupakan salah seorang mantan Pengarah Penilaian Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri..

DAKWAAN wujudnya manipulasi dalam proses pengundian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) oleh empat bekas tentera telah mencetuskan pelbagai reaksi.

Malahan pendedahan yang dilakukan melalui sidang akhbar yang diatur oleh Pas, pada 17 Ogos lalu menarik perhatian pelbagai pihak terutama di kalangan pengikut dan ahli parti pembangkang, golongan anti-establishment dan rakyat yang inginkan kebenaran mengenai isu ini.

Apa pun sebelum kita membuat sebarang andaian, satu perkara yang harus difahami dan diakui ialah proses pengundian yang diamalkan oleh ATM sememangnya tidak boleh dipertikaikan atau diragui.

Sejak pilihan raya umum pertama hinggalah sekarang, ATM sentiasa memperkemaskan prosedur dan sistem pengendalian pengundian secara profesional, telus dan bersih seperti mana termaktub dalam Akta Pilihan Raya 1958, Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 Seksyen 16.

Proses pengundian yang dilaksanakan oleh ATM tiada banyak bezanya seperti yang dilalui oleh pengundi awam, cuma ia dilakukan dalam kem atau pangkalan tentera dan dilaksanakan lebih awal.

Pembuangan undi lebih awal ini telah mengambil kira persekitaran, kondisi dan taburan pengundi tentera yang beroperasi di kawasan hutan belantara yang sukar dihubungi melalui jalan darat melainkan penggunaan pesawat udara (helikopter).

Adakalanya terdapat sebilangan kecil kertas undi tidak dapat disampaikan kepada warga ATM yang beroperasi atas sebab cuaca buruk dan sebagainya.

Namun kertas undi ini akan dikategorikan sebagai "kertas undi tidak dikembalikan". Pelaksanaan sebegini turut memudahkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengiraan undi bagi mendapatkan keputusan pilihan raya mengikut jadual.

Di sepanjang proses pengundian sudah semestinya ia dikendalikan oleh SPR dan dihadiri serta disaksikan oleh wakil calon yang bertanding bagi memastikan tidak berlaku sebarang manipulasi sekali gus telus dan bersih.

Justeru, ATM tidak pernah memanipulasi kertas undi tentera malah tidak mungkin ia akan dimanipulasikan. Segala dakwaan bekas-bekas tentera berkenaan adalah palsu, tidak benar dan tidak berasas serta bermotifkan kepentingan peribadi dan politik.

Oleh itu tidak keterlaluan jika dikatakan dakwaan mereka berunsur fitnah manakala pihak berkepentingan terutamanya Pas memperalatkan mereka bagi menjejaskan imej ATM.
Kita seharusnya sedar bahawa ATM merupakan sebuah organisasi yang profesional dan berpendirian apolitikal.

Aspek keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa diutamakan oleh ATM sejajar dengan tonggak utamanya sebagai Perisai Pertahanan Negara.

Ketika ini terdapat banyak pihak yang tidak bertanggungjawab dengan sengaja cuba mencemarkan imej ATM.

Walau apa jua bentuk serangan, ATM diyakini dapat menghadapi cabaran kerana teras kekuatan semangat juang warganya tidak mudah goyah atau rapuh.
Hakikatnya, ATM tidak akan terpengaruh atau terjejas dengan pelbagai usaha pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memecah belahkannya.

Justeru, semua pihak terutama pihak pembangkang disarankan agar tidak mencampuri urusan ATM kerana pasukan itu tidak mahu diheret mencampuri kancah politik tanah air.
Rakyat khususnya pihak pembangkang tidak perlu ragu dan sangsi terhadap proses pengundian ATM. Hak mengundi dan kebebasan untuk memilih kekal menjadi tanggungjawab setiap warga tentera tanpa sebarang unsur pengaruh atau arahan daripada semua lapisan kepimpinan ATM.

Track record parti pembangkang yang memenangi kawasan Parlimen dan DUN yang terdapat ribuan undi tentera seperti Parlimen Bayan Baru (1,200 undi), Ipoh Timur (1,600 undi), Subang (3,000 undi), Bukit Bintang (1,800 undi), Ketereh (2,300 undi), Bandar Kuching (3,100 undi) dan kawasan DUN berkaitan jelas membuktikan ATM tidak memanipulasikan proses pengundian tentera.

Jika tidak, mana mungkin parti pembangkang mampu memenangi kawasan Parlimen atau DUN tersebut.

Inilah sikap pembangkang, jika menang, kitalah segalanya tetapi jika kalah bertanding, pelbagai alasan dikemukakan tanpa mahu menerima kenyataan kelemahan dan ketidakupayaan diri sendiri secara individu atau kumpulan.

Kenyataan Panglima Angkatan Tentera pada 18 Ogos lalu mempamerkan mesej yang jelas akan amalan dan pendirian ATM yang telus lagi bersih dalam proses pengundiannya.

Semua bekas tentera turut disarankan untuk mengimbau kembali sumpah dan ikrar ketaatsetiaan yang dilafazkan ketika berkhidmat.

Apa pun masih belum terlambat untuk bekas tentera yang bersekongkol dengan pihak pembangkang untuk balik ke pangkal jalan dan berganding bahu bersama ATM mempertahankan kedaulatan negara. Ternyata pihak pembangkang terutama Pas amat bimbang tentang undi tentera walaupun tidak wujud sebarang manipulasi.

Persoalannya, adakah mereka tidak yakin dengan kekuatan sendiri dan jentera parti serta sokongan rakyat kepada mereka atau sememangnya mereka mempunyai pelbagai kelemahan dan ketidakupayaan mentadbir negara sekali gus majoriti sokongan rakyat terus berpihak kepada BN yang diterajui UMNO.

Sekali lagi diperjelaskan bahawa ATM tidak pernah memanipulasi proses pengundian dan ia kekal dilaksanakan secara telus dan bersih - dulu, kini dan selamanya.

Friday, September 2, 2011

SALAH CIKGU SEJARAH?


Sekali lagi Mat Sabu telah berjaya menimbulkan kontroversi dengan ceramahnya di Tasik Gelugor. Umum telah mengetahui sebelum ini Mat Sabu terkenal dengan ceramahnya yang hebat. Ceramahnya mengeluarkan apa sahaja yang terdapat dalam hati perutnya tanpa memikirkan kesannya seperti mengatakan Dr Mahathir (Tun) sebagai “God” kerana kononnya Tun merupakan seorang yang sangat ditakuti pada zaman pemerintahannya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Bekas peminat boria ini sangat pandai berjenaka dan berseloka. Kelebihan ini mampu menjadikan beliau sebagai “crowd puller” kepada pendengar ceramah. Kita tidak mahu berbincang samada Mat Sabu sebagai aset atau liabiliti kepada parti PAS. Kerana dalam keadaan sekarang ini semua ahli dan penyokong tegar PAS tetap akan mempertahankan ceramah Mat Sabu ini. Hujjah mereka sudah pasti meletakkan UMNO dan BN sebagai lebih berdosa, lebih buta sejarah dan memutar belitkan fakta sejarah dan juga lebih “berdosa” terhadap bangsa Melayu seperti tanah rezab dan kemiskinan orang Melayu sejak awal merdeka lagi.

Inilah mungkin cara dan stail berhujjah Mat Sabu. Untuk mengatakan bahawa UMNO sebagai pengkhianat agama, bangsa dan negara sahaja tidak dapat menaikkan “kebencian” orang terhadap parti itu. Maka disebutkan bahawa perjuangan UMNO lebih bahaya daripada PKM. Untuk mengelakkan atau mempertahankan kononnya mereka (PAS) adalah antara unsur subversif dan menentang kerajaan sama seperti PKM maka mereka mengalihkan pemahaman bahawa PKM lebih baik daripada anggota polis Bukit Kepong yang mempertahankan “kerajaan penjajah British” dan mereka menyamakan UMNO juga adalah tali barut penjajah. Tali barut ini iaitu UMNO telah berjaya mendapatkan kemerdekaan palsu yakni merdeka pada fizikal namun tidak dari segi sistem pemerintahan, perlembagaan dan cara hidup sekular hasil pendidikan yang diberikan kepada anak bangsawan Melayu di bawah penjajah.

Oleh kerana PKM menentang kerajaan British maka UMNO yang berbaik dengan British dikatakan tidak berhak dinobatkan sebagai pejuang kemerdekaan negara. Isu ini sudah lama kerana golongan asal pejuang PAS lebih tertarik kepada slogan gagasan “Indonesia Raya” sepertimana pejuang golongan kiri yang tidak menyokong perjuangan UMNO menuntut kemerdekaan melalui pintu rundingan.

Apa lagi yang puak ini mahukan kerana matlamat bersama telah dicapai iaitu merdeka walaupun cara mendapatkan kemerdekaan itu tidak melalui buluh runcing dan darah merah yang tumpah ke bumi Malaya.

Hujjah yang tidak ilmiah ini sepatutnya tidak dilayan kerana ianya datang daripada pemimpin yang tidak akademik dan hanya berhujjah melaui pembacaan yang tidak matang ditambah lagi dengan nafsu yang tidak terkawal bagi mendapatkan kuasa pemerintahan dengan cara menimbulkan kebencian yang tidak berasas. Apakah kekalutan ini kerana mereka merasakan bahawa PRU 13 sudah tidak lama lagi maka sesuatu mesti dilakukan bagi meraih sokongan orang Cina dan juga orang Melayu kononnya UMNO tidak berhajat untuk mengamakan Islam dalam pemerintahan dan UMNO juga parti bersifat perkauman kepada orang Cina.

Niat Mat Sabu menjadikan isu ini sebagai “modal” sangat mudah difahami namun kenapa ada golongan cerdik pandai kononnya boleh mempercayai alasan longgar ini..

Mat Sabu tidak pandai dalam akademik namun kepandaiannya lebih terserlah dalam memainkan kata-kata kumpulan “boria” sungai tempayan..berbangga lah wahai penduduk Pulau Pinang yang berjaya melakonkan adegan lucu ini kini tinggal kita mendengar lagu dan penari boria pula sebagai penamat rancangan hiburan malam ini..

Wajarlah subjek Sejarah diwajibkan lulus sebagai syarat bagi mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia..


Monday, August 29, 2011

TULISAN TAN SRI NORDIN KARDI MENGENAI WAHAB JUSOH


Kebenaran atau kejahilan

PADA hujung minggu lalu, saya menerima pesanan melalui rakan saya, Kori bahawa seorang rakan lama yang mengikuti siri tulisan saya di Utusan Malaysia mencadangkan supaya menulis mengenai tradisi ilmu Islam bagi menentukan ketepatan sesuatu maklumat yang sekufu dengan kaedah saintifik moden.

Rakan yang saya maksudkan ialah Wahab Jusoh, seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang sekarang diletakkan di Jabatan Perkhidmatan Awam setelah ditukar serta-merta dari sebuah jabatan lain.

Saya kenali Wahab sebagai pegawai PTD yang sangat berdedikasi, jujur, setia kepada pemerintah dan tahap kesedaran tentang kesejahteraan negara adalah tinggi melampaui keghairahan rakan-rakan PTD lain yang saya pernah temui.

Ini diakui oleh bukan sahaja ketua-ketua beliau yang saya pernah berbual tetapi juga oleh rakan-rakan sebaya beliau. Demikian juga pengakuan mereka yang pernah bekerja di bawahnya. Jika beliau melalui Ujian Prestasi 360 Darjah yang saya pernah lalui di Universiti Harvard, saya yakin skor beliau akan lebih tinggi daripada skor saya.

Namun, Wahab seperti tidak dianugerahi pelbagai nikmat atas wibawanya itu dan pendakian kerjayanya seperti melalui jalan sukar. Mungkin nasib beliau sama dengan gagalnya kami semasa remaja mendaki puncak Tahan di Banjaran Titiwangsa tetapi dengan mudah menakluk puncak Kinabalu yang jauh lebih tinggi.

Demikianlah iktibar kehidupan yang perlu direnung: Bukan semua usaha mendapatkan yang rendah itu mudah dan semua yang tinggi itu pula susah. Suatu paradoks tentang kebenaran.

Panjang saya bercakap mengenai Wahab. Penting sangatkah beliau? Mungkin tidak penting kepada kebanyakan orang tetapi penting kepada saya dalam konteks isu yang beliau bawa dan kebolehpercayaan tubuh yang membawa isu itu.

Wahab bimbang dengan keadaan semasa segolongan rakyat Malaysia yang begitu mengambil ringan tentang kesahihan maklumat, rumusan dan kesudahannya membina pendirian tentang sesuatu kebenaran. Wahab risau adakah golongan itu mempunyai apa-apa kaedah dalam memastikan apa yang mereka percayai sebagai benar itu memang betul-betul benar? Atau, ‘kebenaran’ mereka itu hanyalah suatu elusi, delusi atau tahyul.

Tidakkah mereka takut nanti akan menjadi perosak, bukan pejuang kebaikan di muka bumi? Tidakkah mereka takut bahawa kebebasan abadi yang mereka perjuangkan itu rupa-rupanya suatu perjuangan menjerumuskan diri menjadi abdi kepada kuasa kezaliman yang jauh menyimpang dari pengabdian suci kepada Tuhan. Demikian fikiran Wahab yang saya dapat baca.

Golongan yang dimaksudkan oleh Wahab ini selalu pula menyeru bahawa kebenaran hanya boleh ditegakkan jika semua orang kembali kepada Quran dan Sunnah. Namun sangat sedikit yang rajin meneliti bagaimanakah tradisi ilmu mengumpul himpunan Sunnah itu sendiri.

Pemimpin mereka pula seperti dengan sengaja tidak mendorong ahli yang dipimpin mempelajari dan menyemak bagaimana cara mencari kebenaran. Mungkin mereka pun tidak pernah mendengar bagaimana hadis Bukhari dikumpul selama 16 tahun oleh seorang manusia dengan menapis kira-kira 600,000 riwayat, yang kesudahannya hanya tinggal kira-kira 2,600 riwayat sahaja.

Demikianlah rapinya tradisi mencari kebenaran hadis walaupun yang diriwayatkan itu berkaitan dengan perbuatan dan kata-kata seorang manusia yang maksum. Sudah tentu daripada 600,000 riwayat itu terdapat ribuan riwayat yang baik-baik mengenai Nabi tetapi ditolak.

Adakah tradisi ini dipegang oleh golongan ini, termasuk oleh ilmuwan mereka yang terdiri daripada ahli-ahli teologi dan saintis? Atau, adakah mereka hanya fasih menyebut prinsip dan metodologi teologi dan sains di makmal atau semasa menghadap kitab, sebaliknya apabila berada di jalan raya atau di pasar mereka menjadi bomoh yang terikat dengan tradisi pasaran perbomohan dan perdukunan yang berminat dengan cerita hantu dan tahyul bagi mengikat pelanggan-pelanggan.
Sains menekankan tentang pentingnya metodologi yang tepat dan boleh dipercayai bagi memastikan sesuatu rumusan, kesimpulan dan dapatan itu diterima sebagai betul dan benar. Sama ada kaedah kualitatif atau kuantitatif dalam sains, kedua-duanya meletakkan kepentingan bukti sesuatu penemuan itu melalui proses yang rigor, tepat dan boleh dipercayai. Juga, ada prinsip-prinsip yang ketat untuk menolak atau menerima sesuatu anggapan kebenaran.

Dalam hal ini, saya selalu bercakap mengenai ketepatan ukuran statistik di dalam sains yang kadangkala gagal dilihat dalam sesuatu konteks. Seorang penyelidik sains sosial misalnya sudah cukup berpuas hati jika darjah kemungkinan salah (degree of error) berada pada tahap hanya lima peratus. Maksudnya dalam 100 kejadian, 95 daripadanya adalah benar seperti diramal.

Namun, saya kerap menyoal, jika di KLIA itu degree of error yang dipakai ialah 95 peratus tepat, saya pasti tidak akan ada sesiapa lagi yang berani berangkat terbang dari lapangan terbang itu. Maksud saya, dalam 100 keberangkatan terbang, lima kapal terbang akan kebarangkalian jatuh. Demikian pentingnya kebenaran dan ketepatan tafsiran statistik dilihat dalam konteks walaupun angka-angka yang dikemukakan seperti amat meyakinkan.

Tradisi mencari kebenaran dalam dunia Islam biasanya merujuk tradisi pengumpulan hadis kerana ia dikumpul oleh manusia biasa sedangkan al-Quran itu pula disampaikan oleh manusia yang maksum. Prinsipnya menyamai atau melebihi daripada tradisi sains yang saya ketengahkan secara ringkas sebentar tadi.
Pengumpulan hadis Bukhari, misalnya dikatakan mempunyai sifat ‘al-jamil’ kerana himpunan itu meliputi pelbagai perkara atau mengikut bahasa ilmu sekarang dipanggil sebagai komprehensif. Dalam konteks ini kita perhatikan bagaimana ahli ilmu di Malaysia sanggup bertegang urat, bahkan ada kalanya menjulang lengan ke udara, untuk menegakkan pendapat yang dianggapnya benar.

Pada hal, kebenaran yang dimilikinya itu sangat terhad kepada disiplin kecil ilmu yang dikuasainya, bukan kebenaran memenuhi ciri ilmu komprehensif. Dia pula dengan berani memetik cebisan hadis atau ayat-ayat Quran yang dipilih-pilih bagi memenangkan hujahnya.

Jika tradisi sains menekankan tentang ketepatan atau validity, tradisi hadis juga ada istilah yang dipanggil ‘sahih’. Menentukan ‘sahih’ dalam tradisi hadis bermaksud bahawa sesuatu riwayat itu telah melalui tapisan yang sangat ketat dari segi dokumen, periwayat, konteks riwayat itu dicatat atau didengar dan pelbagai lagi.

Dalam kaedah kualitatif sains sosial kesahihan dilakukan dengan kaedah seperti analisis kandungan, analisis dokumen, pengesanan tarikh, saksi-saksi kejadian dan triangulasi atau proses saling melengkapi antara dapatan dengan menggunakan pelbagai sumber dan kaedah pengumpulan dan analisis data bagi memastikan sesuatu itu benar-benar sahih.

Tepat semata-mata masih belum mencukupi di dalam tradisi hadis, sebaliknya riwayat itu ditapis lagi dengan apa yang dipanggil sebagai ‘al-musnad’. Di dalam sains istilah itu boleh disamakan dengan ukuran reliability. ‘Al-musnad’ melengkapkan ketepatan sesuatu riwayat dengan memastikan susur galur riwayat itu benar-benar rantaiannya sampai kepada Nabi. Jika putus, maka riwayat itu ditolak. Selepas dipastikan rantaian itu sampai kepada Nabi, disemak pula peribadi periwayat.

Jika periwayat itu biasa bercakap bohong dan kerap meninggalkan tanggungjawabnya kepada Tuhan, maka riwayat itu ditolak. Demikian ketatnya mencari kebenaran di dalam tradisi ilmu Islam, sedangkan dalam dunia sains sosial peribadi setiap responden daripada sesuatu sampel yang dipilih daripada sesuatu populasi yang besar tidaklah disemak sebegitu rapi dari satu individu ke satu individu.

Jika ada pun kaedah statistik untuk mengesan ‘pembohongan,’ ukuran itu hanya dibuat setakat mengukur kemungkinan pembohongan berdasarkan ‘respons’ pada suatu ketika dan pada lokasi itu sahaja. Statistik sains sosial biasanya tidak melakukan penyiasatan terperinci mengenai peribadi seseorang responden dalam konteks keseluruhan sejarah kehidupannya.

Demikianlah kebimbangan seorang bernama Wahab terhadap masa depan negara yang dicintainya. Dia bimbang melihat rakyat Malaysia yang mendabik dada hendak menegakkan kebenaran di tanah tumpah darahnya tetapi hanya merujuk sumber peperangan blog atau laman-laman sosial yang tidak mengetengahkan bagaimana sesuatu pendirian itu dibina.

Wahab tidak pernah takut dengan perubahan sebaliknya dia bimbang perubahan dibawa tidak ditegakkan di atas lantai kukuh dan dengan itu panji-panji kebenaran yang akan ditegakkan akan mudah rebah. Setelah rebah, panji-panji lain dicari lagi dalam kegelapan yang panjang dan tidak berkesudahan.

Sambil terkenangkan nasib kerjaya Wahab, teringat saya dan beliau dulu selalu berbincang untuk memahami maksud Wawasan 2020 Dr. Mahathir Mohamad yang menyebutkan, antara lain, ‘Malaysia hendaklah melahirkan masyarakat saintifik’ dan ‘maju dengan acuan sendiri’.

Apakah masyarakat saintifik memadai jika ditafsir sebagai melahirkan sebanyak mungkin graduan dalam bidang sains dan bolehkah Malaysia maju dengan acuan sendiri yang ditegakkan di luar konteksnya melalui tafsiran kebenaran dan kebebasan yang diimport? Atau, dia lebih dari itu.

Adakah nasib Wahab ditentukan oleh proses saintifik atau oleh kebenaran mengikut tradisi ilmu dan dalam konteksnya? Biarlah begitu kerana Wahab tidak penting.

TAN SRI DR. NORDIN KARDI
Penyandang Kursi Za‘ba,
Universiti Pendidikan Sultan Idris