Saturday, February 4, 2012

MENANAMKAN MINAT MEMBACA


Masyarakat berilmu ialah masyarakat yang membaca. Hakikatnya tidak ada jalan lain bagi merealisasikan pembinaan budaya ilmu melainkan mewujudkan keghairahan membaca bagi mengisi ruang kepuasan serta naluri ingin tahu manusia sendiri.

Peranan ibubapa

Minat membaca bermula dari rumah. Ibubapa seharusnya terlebih dahulu menjadi role model kepada anak-anak. Anak-anak akan lebih mudah dibentuk sekiranya minat membaca ini ditunjukkan oleh ibubapa mereka.

Perancangan yang bermula dari peringkat awal akan memudahkan ibubapa menanamkan minat membaca ke dalam diri anak-anak.

Peruntukan keluarga lebih baik diutamakan untuk membina suasana membaca di rumah daripada menyediakan peralatan hiburan yang canggih.

Ibu bapa boleh menyediakan sesi khas lebihkurang selama 15-30 minit setiap hari untuk membacakan buku buat si kecil yang baru lahir hingga ke usia lewat remaja.

Sesi ini dipanggil Read-A-Loud yang menggunakan kaedah membaca sambil bercerita mengikut intonasi dan gaya yang menarik. Walaupun sesi ini singkat namun ianya berkesan dengan dipenuhi perasaan kasih sayang serta suasana yang tenteram. Aktiviti ini mampu mengikat tali silaturrahim yang lebih akrab antara ibubapa dengan anak-anak.

Selain daripada membaca buku-buku sahaja, sesi latihan membaca boleh dijalankan dengan lebih kreatif seperti ibubapa meminta anak-anak mengeja dan membaca kad imbasan (flash kad), label, jenama, papan notis dan kenyataan, surat khabar, bil, sesi permainan komputer, majalah, brosur dan sebagainya bagi mempelbagaikan bahan demi merangsang minat membaca dalam kalangan anak-anak.

Kaedah pelaksanaan

Anak baru lahir hingga usia tiga bulan

Buku-buku bergambar dan objek berwarna merah, hitam dan putih adalah paling sesuai dengan si kecil bagi memupuk daya fokus buat permulaan.

Dari usia empat hingga 12 bulan

Buku-buku yang diperbuat daripada fabrik lembut amat sesuai digunakan beserta gambar sebenar objek dan gambar ilustrasi sebagai bandingan buat si kecil memahami alam sekitarnya.

Buku-buku berkonsepkan tauladan, hikayat dan alam semesta amat sesuai digunakan bagi sesi Read-A-Loud.

Usia Satu hingga tiga tahun

Kanak-kanak pada usia ini lebih menggemari cerita-cerita pendek dan intonasi pembacaan yang menyeronokkan.

Usia tiga hingga enam tahun

Buku-buku karya klasik seperti nukilan Dr. Seuss, kisah para nabi dan karya tempatan seperti hikayat dan legenda yang dibacakan mengikut urutan bab setiap hari dapat memikat hati anak-anak.

Usia tujuh hingga sembilan tahun

Novel-novel mini seperti siri Enid Blyton boleh diperkenalkan kepada anak-anak dan diteruskan dengan karya Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, Datuk Usman Awang, C.S Lewis, J.R.R Tolkie, J. K. Rowling, Kenneth Grahame dan penulis-penulis agung dunia

Pendedahan kepada buku-buku seperti ini mampu menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak dalam dunia penulisan dan persuratan yang dipenuhi kreativiti dan imaginasi.

Kanak-kanak lelaki pula lebih mudah tertarik kepada bahan bacaan yang bergambar. Ibubapa boleh membantu menanamkan minat membaca dengan membeli komik yang mempunyai jalan cerita yang positif serta menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT).

Kesimpulannya, peranan ibubapa sangat diperlukan agar dapat meluaskan skop dan ruang pembacaan seperti buku judul bersiri, buku aktiviti serta buku-buku yang berkaitan dengan sukatan pelajaran di sekolah.

Seorang sahabat yang kesemua anaknya menjejak kaki ke menara gading pernah berkata,” kalau anak-anak suka membaca maka ibubapa sudah boleh menarik nafas lega.”

No comments:

Post a Comment