Wednesday, February 15, 2012
MAQASID SYAR'IYYAH
Maksud Maqasid Syar’iyyah ialah tujuan atau matlamat disyariatkan sesuatu hukum dalam Islam. Hukum syara’ merangkumi seluruh ruanglingkup hidup manusia samada hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia sesama manusia serta hubungan manusia dengan alam.
Hubungan antara sesama manusia juga membincangkan berkenaan dengan hubungan antara rakyat dengan pemerintah (siasah syar’iyyah).
Imam Shatibi menulis dalam bukunya al-Muwafaqat, tujuan disyariatkan hukum (Maqasid Syar’iyyah) adalah untuk memenuhi 3 matlamat iaitu:
1. Dharuriyyat
2. Hajiyyat
3. Tahsiniyyat
Dharuriyyat ialah keperluan asas hidup manusia seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.
Hajiyyat pula keperluan untuk mengatasi kesukaran hidup seperti memiliki kenderaan.
Tahsiniyyat bermaksud keperluan untuk mendapatkan keselesaan hidup seperti kenderaan dan barangan mewah.
Tujuan utama undang-undang atau hukum Islam ialah untuk memastikan keselamatan manusia bagi melindungi 5 perkara iaitu:
1. Nyawa
2. Akal
3. Agama
4. Kehormatan diri
5. Harta
Bagi maksud menjaga kelima-lima perkara tersebut maka Islam mengharamkan perbuatan membunuh, minum arak, murtad, berzina, mencuri dan merompak. Hukum hadd (hudud) akan diambil ke atas pesalah sekiranya sabit kesalahan.
Tujuan syar’iyyah dapat difahami melalui peruntukan nas yang jelas juga melalui kefahaman nas-nas tertentu serta melalui ijtihad mengikut kaedah-kaedah tertentu yang telah digariskan oleh ahli fiqah (fuqaha).
Penggunaan istilah “tujuan syar’iyyah” lebih meluas dalam bidang siasah atau pemerintahan negara.
Pendapat Ibnu Nujaim, siasah syar’iyyah adalah sebagai tindakan pemerintah demi kebaikan rakyat yang dilihat baik meskipun tiada nas atau dalil yang khusus mengenainya.
Pandangan yang serupa juga dinyatakan oleh Ibnu Aqil bahawa siasah ialah tindakan yang diambil oleh pemerintah yang membawa kepada kebaikan manusia dan menjauhkan keburukan daripadanya sekalipun ia tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan tidak terdapat wahyu Allah padanya.
Beberapa contoh mengenai maqasid syar’iyyah dalam hubungan manusia dengan Allah
(a) Ibadat solat. Maqasid syar’iyyah: mencegah daripada keburukan dan kemunkaran.
(b) Ibadat zakat. Maqasid syar’iyyah: membersih diri dan harta daripada kekotoiran zahir dan batin
(c) Ibadat puasa. Maqasid syar’iyyah: membina diri supaya bertaqwa kepada Allah.
(d) Ibadat haji. Maqasid syar’iyyah: simbol ketaqwaan dan ketaatan kepada Allah.
Beberapa contoh Maqasid Syar’iyyah dalam hubungan antara sesama manusia
(a) Hubungan persaudaraan sesama Muslim
Allah s.w.t. berfirman mengenai hubungan sesama Muslim maksudnya: “Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara maka perbaikilah persaudaraan antara saudara kamu.” Maqasid syar’iyyah hubungan baik sesama Muslim berasaskan aqidah adalah untuk membina kekuatan ummah dan keharmonian hidup bermasyarakat.
(b) Hubungan kemanusiaan dengan bukan Muslim
Allah s.w.t. berfirman mengenai hubungan kemanusiaan antara Muslim dengan bukan Muslim maksudnya:“Wahai manusia, sesungguhnya kami jadikan kamu dari golongan lelaki dan perempuan, kami jadikan kamu berbagai bangsa dan suku kaum supaya kamu berkenalan (antara) satu sama lain, sesungguhnya yang lebih mulia disisi Tuhan kamu ialah yang bertakwa” Hubungan muslim dengan bukan muslim berasaskan hubungan kemanusiaan bagi mewujudkan perpaduan kaum.
(c) Hubungan perkahwinan
Allah s.w.t. berfirman maksudnya,”Kahwinilah kamu wanita yang kamu sukai berdua, bertiga dan berempat, jika kamu bimbang tidak berlaku adil maka kahwinilah seorang sahaja.”
Allah menjelaskan mengenai tujuan (maqasid) pernikahan dalam firmanNya yang bermaksud “Dan diantara ayat-ayatNya ialah Dia menjadikan dari kalangan kamu berpasang-pasangan supaya kamu tinggal bersamanya, menjadikan antara kamu perasaan kasih sayang dan bertimbang rasa. Sesungguhnya yang demikian itu sebagai tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir.”
Perkahwinan bertujuan membina hubungan kasih sayang antara keluarga dan mewujudkan ketenangan dalam hidup rumahtangga selain dari menyambung keturunan.
Pengharaman perbuatan membunuh dan hukuman qisas
Tujuan syar’iyyah ialah untuk menjaga keselamatan nyawa orang lain yang lebih ramai.
Pengharaman zina
Maksud atau maqasid syar’iyyah pengharaman zina ialah untuk membersihkan diri daripada kejahatan serta kehinaan disebabkan perbuatan yang keji tersebut.
Pengharaman arak dan judi
Minum arak dan berjudi merupakan perbuatan yang membawa kepada permusuhan atau perbalahan maka hikmah haramnya adalah untuk mententeramkan hidup manusia dan mengelakkan permusuhan. Jelasnya, Islam mengharamkan arak, judi dan menilik nasib bagi menjauhkan diri daripada gangguan syaitan.
Maqasid syar’iyyah pada zaman sahabat Rasulullah s.a.w.
Setiap hukum yang Allah s.w.t. tentukan mempunyai maqasid atau tujuannya masing-masing mengikut keperluan manusia berdasarkan ketetapan Allah s.w.t.
Contoh-contoh berikut difahami berdasarkan tujuan-tujuan semasa yang syar’iyy:
1. Khalifah Abu Bakar al-Siddiq membakar orang yang melakukan liwat
2. Khalifah Ali Abi Talib menghukum orang yang liwat dengan mencampakkannya dari tempat yang tinggi
3. Khalifah Umar al-Khattab tidak memotong tangan orang yang mencuri pada tahun kemarau teruk
4. Khalifah Umar tidak memberi wang zakat kepada muallaf apabila umat Islam telah kuat
5. Khalifah Uthman bin Affan telah mengarahkan supaya menulis dan mengumpulkan al-Qur’an dalam satu mashaf.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment