Friday, November 19, 2010

ULAMA KERJA KERAJAAN

Siapakah ulama? Saya tidak berminat untuk membuka ruang perbincangan bagi membahaskan takrif ulama seperti ingin membuat thesis Masters mahupun Ph.D.

Apa yang ingin saya sebutkan ialah ada golongan lulusan agama yang dilantik sebagai pegawai atau penjawat awam di negara kita. Maksud penjawat awam ialah mereka yang bekerja dengan kerajaan bagi manfaat dan faedah awam iaitu pengundi kepada kerajaan yang telah membantu dalam pembentukan sesebuah kerajaan samada di peringkat persekutuan atau kerajaan negeri. Walaupun mereka tidak mengundi calon atau parti yang berjaya membentuk kerajaan, mereka tetap tertakluk kepada peraturan sebagai pegawai awam yang termaktub dalam Perintah Am.

Masalahnya di sini ialah tuduhan kepada golongan agama yang menjadi mufti, kadi, pegawai JAKIM termasuk juga para asatizah wal ustazat yang melata di seluruh negara yang gagal menasihati pihak pemerintah atas dosa dan maksiat peringkat persekutuan serta juga maksiat dan dosa peringkat negeri. Ini juga termasuk dosa dan maksiat yang ditampilkan dalam pelbagai upacara di peringkat universiti dan institusi pendidikan yang lain samada melalui aktiviti sukan dan lebih-lebih lagi aktiviti kebudayaan dalam organisasi perkhidmatan mereka.

Saya seperti biasa tidak mahu membela ataupun menyebelahi mana-mana pihak dalam isu ini. Saya hanya akan menceritakan pengalaman saya sebagai seorang pegawai awam persekutuan.

Saya mulakan dengan majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan.

Dalam satu majlis Sambutan Kemerdekaan peringkat negeri, seperti lazimnya majlis didahului dengan bacaan doa. Selepas itu, persembahan nasyid disaksikan oleh para hadirin. Apabila zapin mengambil tempat memeriahkan majlis, mufti yang membaca doa sebelumnya kelihatan meninggalkan pentas VIP dan nasib baik pentas di dataran itu terbuka maknanya tidak di dalam dewan yang tertutup. Sekiranya tidak mungkin “kehilangan” ulama itu akan lebih terserlah.

Saya berselisih dengan seorang pegawai kanan negeri yang kebetulan berselisih dengan saya menyebut,” Tadi dah elok pakai tudung (sekarang) dah bukak pulak!”

Dalam sebuah ceramah kepada penggerak masyarakat seluruh negeri, seorang mufti menyebutkan dengan ikhlas menegur ahli-ahli pergerakan Puteri UMNO yang tidak memakai pakaian yang menutup aurat. Beliau berkata adalah sangat memalukan negara kita yang sudah mengisytihar sebagai sebuah Negara Islam tetapi akhlak dan penampilan Puteri UMNO (bukan semua) tidak menunjukkan sebagai mereka yang berpersonaliti Muslimah Mukminah Salehah.

Seorang sahabat pensyarah kanan yang menjawat jawatan Pengarah Pusat Islam di salah sebuah universiti menyebutkan beliau pernah menyuarakan hasrat untuk tidak membaca doa dalam majlis yang terdapat unsur maksiat di dalamnya. Sekiranya ada slot program yang berunsur sedemikian, beliau mencadangkan supaya diadakan selepas majlis perasmian iaitu setelah beliau selaku pembaca doa sudah beredar meninggalkan majlis.

Kerja “menasihat” pemimpin dan seterusnya kerajaan dilakukan dalam keterbatasan waktu, kesempitan kuasa dan kekurangan pengaruh dan pelbagai rintangan dan cabaran dalam melaksanakannya.

Teringat saya dalam Hikayat Pelayaran Abdullah Munsyi ke Pantai Timur ketika ditawarkan jawatan kadi atau penasihat agama kepada Sultan oleh Tengku Temena:

“Berkawan dengan raja ini seperti berkawan dengan ular, salah sedikit maka dipagutnya biji mata.” (Dengan sedikit penyesuaian).

Nasib ulama juga mungkin boleh terjadi sepertimana ke atas Tun Jana Khatib yang darahnya menitik di Singapura namun jasadnya terhantar ke Langkawi.

Sama-sama lah kita bersaha untuk melaksanakan peranan kita samada dari dalam mahupun dari luar “pengaruh istana” meminjam istilah zaman feudal Melayu.

No comments:

Post a Comment