Wednesday, November 24, 2010

PERUNTUKAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN YANG MELINDUNGI KEDUDUKAN AGAMA ISLAM



Artikel 3 (1) Islam sebagai agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

Ulasan:

Islam adalah agama bagi Persekutuan dan diperkukuhkan lagi dengan peruntukan-peruntukan lain yang digubal dalam perlembagaan.

Artikel 12 (2) Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.

Ulasan:

Peruntukan ini memberi kuasa kepada Persekutuan dan Negeri menubuhkan institusi-institusi Islam, mengadakan ajaran agama Islam dan menggunakan peruntukan daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk dibelanjakan bagi mengadakan majlis berkaitan agama Islam.

Artikel 74 (2) Tanpa menjejaskan apa-apa kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan kepadanya oleh mana-mana perkara lain, Badan Perundangan sesuatu negeri boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri (iaitu Senarai Kedua yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan) atau Senarai Bersama.

Ulasan:
Perlembagaan memberi kuasa kepada negeri-negeri untuk menubuh, mengurus, mentadbir dan menyelenggarakan Mahkamah Syariah.
Artikel 121 (1A) Mahkamah yang disebut dalam Fasal (1) tidaklah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Ulasan:

Peruntukan yang digubal pada tahun 1988 ini memberi kuasa tertinggi kepada Mahkamah Syariah mengenai Islam (satu peruntukan yang melindungi bidang kuasa Mahkamah Syariah).

Artikel 160 (2) Orang Melayu ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap Bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan-

(a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau
(b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian

Ulasan:

Takrif orang Melayu dikaitkan dengan agama Islam.

Artikel 150 (6A) Fasal (5) tidak boleh memperluas kuasa Parlimen mengenai apa-apa perkara hukum Syarak atau Adat Melayu atau mengenai apa-apa perkara undang-undang atau adat anak negeri di Negeri Sabah atau Sarawak; dan juga Fasal (6) tidak boleh menjadikan sah mana-mana peruntukan yang tidak selaras dengan peruntukan perlembagaan ini yang berhubungan dengan apa-apa perkara sedemikian atau berhubungan dengan agama, kewarganegaraan atau bahasa.

Ulasan:

Islam turut dilindungi ketika darurat yang menyekat kuasa Parlimen daripada menganggu apa-apa perkara mengenai hukum Syarak atau mengubah apa-apa perkara berhubung dengan agama seperti yang telah ditetapkan dalam perlembagaan.

Artikel 11 (4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya , undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Ulasan:

Usaha untuk menyebarkan doktrin atau dakyah agama lain kepada orang Melayu yang beragama Islam boleh disekat bagi menjaga kemurnian aqidah bagi mempertahankan takrifan Melayu seperti dalam artikel 160 (2).


CARA PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN MELINDUNGI KEDUDUKAN ISLAM DI MALAYSIA

1. Meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan peruntukan ini membolehkan kedudukan agama Islam diperkukuhkan melalui peruntukan perlembagaan yang lain.
2. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri boleh menubuhkan dan menyelenggara institusi-institusi Islam
3. Peruntukan kwangan kerajaan boleh disalurkan bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti Islam termasuk sambutan perayaan hari-hari kebesaran Islam.
4. Individu dan mana-mana organisasi boleh mengajar agama Islam sudah pasti dengan mendapat kelulusan (tauliah) daripada kerajaan.
5. Kerajaan boleh menubuhkan Mahkamah Syariah dan melantik pegawai bagi memastikan keadilan dari sudut Undang-undang Syarak terlaksana dalam kalangan umat Islam.
6. Mahkamah Syariah mempunyai kuasa membicarakan perkara di bawah bidang kuasa Mal dan Jenayah Syar’ie dan ianya tidak boleh dibicarakan di bawah Mahkamah Sivil.
7. Kedudukan Mahkamah Syariah sama taraf dengan Mahkamah Sivil di mana sebelum ini keputusan mahkamah Syariah boleh dibatalkan oleh Mahkamah Sivil.
8. Seseorang itu ditakrifkan sebagai orang Melayu sekiranya beragama Islam sahaja dan ini berkaitan dengan kedudukan istimewa orang Melayu melalui artikel 153.
9. Kedudukan agama Islam terpelihara dan tidak boleh digugat walaupun ketika dalam keadaan darurat.
10. Orang Islam boleh berdakwah kepada orang bukan Islam sebaliknya orang Melayu tidak boleh ditukar iktiqad mereka kepada agama selain Islam kerana dilindungi oleh perlembagaan.

No comments:

Post a Comment