Sunday, July 21, 2013

MENINGKATKAN KUALITI BERPUASA


Rasulullah saw mengingatkan kita bahawa dalam kalangan orang yang berpuasa, ada manusia yang tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga sahaja. Ada pula manusia yang berpuasa dengan mendapat keberkatan dan pelbagai keistimewaan daripada Allah swt. Kita hendak pilih yang mana?
 
Syarat untuk meningkatkan kualiti puasa ialah:

Pertama: Memenuhi syarat lahiriah iaitu menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Kedua: menghidupkan sunat dan mengamalkan adab berpuasa sepeerti bersahur, menyegerakan berbuka, solat tarawih, membaca al-Qur’an serta bersedekah.

Ketiga: berusaha untuk membersihkan diri supaya puasa kita benar-benar menjadi puasa yang berada pada peringkat tertinggi di sisi Allah swt.

Menurut Said Hawwa dalam kitabnya al-Mustakhlas Fi Tazkiyyatun Nafsi, terdapat 6 syarat tambahan untuk mereka yang benar-benar ingin meninggikan kualiti puasa.

Pertama: Memejamkan mata atau menghalangnya daripada melihat dengan berlebih-lebihan kepada segala sesuatu yang tercela dan dibenci oleh agama. Ini bermaksud menjaga penglihatan daripada melihat apa yang mempesonakan mata sehingga lalai daripada mengingati Allah swt.

Kedua: Memelihara lisan daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak baik. Perbuatan bersenda gurau yang melampaui batasan, sengaja menyakitkan hati orang lain, mengeluarkan kata-kata yang sia-sia, mengumpat, berdusta, mengadu domba serta bertengkar pada perkara yang tidak menguntungkan. Sebaliknya kita hendaklah menyibukkan diri dengan berzikir kepada Allah swt termasuk membaca al-Qur’an atau buku-buku agama.

Ketiga: Menahan diri daripada mendengar perkara yang tidak sesuai pada ukuran agama. Elakkan diri daripada mendengar yang tidak elok sama seperti larangan mengeluarkan perkataan yang tercela. Menurut Islam, setiap perkara yang haram diucapkan maka menjadi haram juga mendengarnya.

Keempat: Menahan anggota-anggota tubuh yang lain agar tidak melakukan perbuatan dosa. Contohnya memelihara tangan dan kaki daripada melakukan maksiat. Perut tidak diisi dengan makanan yang syubhat a patah lagi dengan makanan yang haram.

Kelima: Mengawal nafsu daripada menyediakan dan memakan terlalu banyak makanan sehingga tidak larat lagi untuk menunaikan ibadat solat. Sekiranya ini berlaku maka matlamat untuk mengawal nafsu syahwat dengan ibadat puasa tidak tercapai.

Keenam: Mendidik hati agar sentiasa takut kalau amalan puasanya tidak diterima Allah swt. Orang yang takut amalannya tidak diterima akan berhati-hati agar tidak melakukan perkara-perkara yang mengurangkan atau membatalkan puasanya.

Marilah kita beristiqamah mengamalkan kenam-enam perkara yang telah disebutkan oleh Ustaz Said Hawwa supaya kualiti ibadat puasa akan dapat ditingkatkan.

No comments:

Post a Comment