Doa
yang kita pohon kepada Allah swt terbahagi kepada 3 tingkat:
Tingkat
pertama adalah doa meminta kebaikan serta faedah berbentuk duniawi. Ini adalah
tingkat doa yang paling rendah. Dalam doa kategori ini, tidak ada doa yang kita
minta selain dunia contohnya mohon harta berlimpah ruah, minta naik pangkat,
minta lulus peperiksaan, minta agar mendapat banyak rezeki, minta mendapat
jodoh dan sebagainya. Tidak menjadi kesalahan sekiranya kita berdoa seperti ini
bahkan ianya digalakkan dan diberi pahala di sisi Allah swt.
Tingkat
kedua ialah memohon kepada Allah swt agar diberikan pahala. Pada tingkat yang
kedua ini, kita berdoa agar Allah swt membalas semua amalan kebaikan kita
dengan balasan yang berlipat ganda. Pada penghujungnya, kita mohon agar
dimasukkan ke dalam syurga serta dijauhkan dari azab api neraka. Doa pada
tingkat ini lebih kepada keakhiratan dan nilainya di sisi Allah swt lebih
tinggi daripada sekadar berdoa untuk kebaikan dunia sahaja.
Tingkat
tertinggi berdoa adalah memohon rahmat dan keredaan Allah swt. Mendapat rahmat
dan keredaan Allah sepatutnya menjadi cita-cita tertinggi yang seharusnya
dimiliki oleh semua orang Islam. Imam Ibnu Athaillah dalam kitabnya al-Hikam
menyebutkan bahawa “sebaik-baik doa yang harus engkau pohon kepada Allah swt
ialah apa-apa yang Allah perintahkan kepada kamu.”
Berdasarkan
kepada 3 tingkat berdoa, maka doa yang sepatutnya kita pohon kepada Allah swt
ialah doa minta diberikan ketaatan kepada semua perintah Allah serta menjauhkan
laranganNya dan istiqamah iaitu berterusan dalam beribadat kepada Allah swt.
Rasulullah
saw telah memberikan contoh sebaik-baik doa iaitu: “Allahumma inna nas’aluka
ridhaka waljannah wa na’uzubika min sakhatika wannar.” Maksudnya: “Ya Allah!
Kami mohon kepadaMu keredhaan dan syurga dan kami berlindung kepadaMu daripada
murkaMu dan azab api neraka.”
Kesimpulannya,
sementara kita masih berada pada bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita
berdoa sebanyak mungkin kepada Allah swt. Allah telah berjanji akan memakbulkan
doa orang yang berpuasa dengan ikhlas dan ingatlah bahawa sebaik-baik doa ialah
doa mohon keredhaan dan kasih sayang Allah.
No comments:
Post a Comment