Sunday, July 21, 2013

KELEBIHAN ORANG YANG BERPUASA

 Mereka yang berpuasa akan mendapat keistimewaan pada Hari Akhirat nanti. Allah swt berjanji bahawa mereka akan mendapat rahmat, pahala dan keberkatan dari Allah swt.

Antara kelebihan orang yang berpuasa ialah:

Pertama: Orang yang berpuasa dengan sesungguhnya akan menjadi penghuni syurga. Sahal bin Saad berkata bahawa Nabi Muhammad saw bersabda:
“Sesungguhnya syurga itu mempunyai sebuah pintu yang disebut “al-Rayyan.” Akan diseru pada Hari Akhirat: Mana orang yang berpuasa? Apabila masuk orang yang terakhir dari kalangan orang yang berpuasa itu maka pintu tersebut akan ditutup.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kedua: Puasa akan menjadi pembela dan pemberi syafaat pada Hari Akhirat. Menurut Abdullah bin Umar (r.a.), Nabi Muhammad saw bersabda:
“Puasa dan al-Qur’an akan memberi syafaat bagi hamba pada Hari Akhirat. Berkata puasa: Ya Tuhan! Engkau larang dia makan dan memuaskan nafsu syahwat pada waktu siang, dan sekarang dia meminta syafaat padaku kerana itu. Dan berkata pula al-Qur’an: Engkau larang dia tidur pada waktu malam, sekarang dia meminta syafaat kepadaku mengenai itu. Maka syafaat kedua mereka diterima oleh Allah swt.” (Riwayat Ahmad).

Ketiga: orang yang berpuasa akan bergembira pada hari bertemu Tuhannya. Hadis dari Abu Hurairah (r.a.) bahawa Nabi saw bersabda:
“Dan orang yang berpuasa itu beroleh dua kegembiraan yang menyenangkan hati. Di kala berbuka, dia akan bergembira dengan berbuka itu, dan di saat dia menemui Tuhannya nanti, dia akan gembira kerana puasanya. (Riwayat Ahmad, Muslim dan al-Nasa’i).

Demikianlah kedudukan orang yang berpuasa di sisi Allah swt. Ibadat puasa sememangnya meletihkan fizikal, memerlukan kesabaran dan pengorbanan namun ganjarannya sangat besar pada hari kita bertemu Allah swt nanti. Syafaat menanti, syurga dijanji dan keampunan diberi.

No comments:

Post a Comment