Monday, July 1, 2013

DOA MESYUARAT PENANDAAN


Kami berkumpul pada pagi ini untuk menyatakan kesyukuran kami di atas nikmat yang Engkau berikan, nikmat keamanan dan kesihatan. Yang mana dengan nikmat itu kami dapat berkumpul untuk sama-sama berbincang, bertukar-tukar pendapat demi meningkatkan mutu penandaan kami.

Berkatilah majlis ini, kurniakanlah rahmat dan hidayah Mu agar mesyuarat pada pagi ini berjalan dengan lancar dan penuh dengan kebaikan. Semoga dengan inayah Mu jua kami mendapat idea-idea yang baik dan bernas bagi melonjakkan prestasi kerja kami.

Jadikanlah kami barisan pemeriksa kertas soalan yang jujur dan ikhlas dalam melaksanakan amanah, adil dalam pertimbangan, objektif dalam membuat penilaian, saksama tanpa mengira keturunan, selaras dalam pemarkahan, mematuhi peraturan peperiksaan, berdisiplin dan bertanggungjawab, memiliki komitmen yang tinggi sebagai manifestasi kesyukuran lantaran masih diberi kepercayaan melaksanakan tugas penandaan secara tekal dan tepat selaras dengan prinsip telus, tulus dan tuntas yang menjadi pegangan kami selama ini.

Oleh itu anugerahkanlah kami Ya Allah, kesetiaan sahabat sejati Abu Bakar al-Siddiq supaya kami dapat bekerja dalam pasukan, ketegasan Umar al-Khattab supaya sentiasa berdisiplin, sifat dermawan Uthman bin Affan agar kami tidak keterlaluan, semangat sanggup mempertaruhkan nyawa demi memikul tanggungjawab seperti Ali bin Abi Talib dan sifat tawadhu’ Imam Malik demi menjaga adab kerana kami sedar bahawa tinta para ulmuwan akan ditimbang sama berat dengan darah para syuhada pada Hari Akhirat kelak seperti yang telah diperingatkan oleh Imam al-Ghazali r.a.

Sihatkan tubuh badan kami, lindungilah kami dari segala perkara yang tidak diingini agar kami dapat menyelesaikan tugasan kami dalam jangkawaktu yang ditetapkan. Akhirnya Engkau masukkan kerja kami ini sebagai amalan yang akan diberi ganjaran yang sebaik-baiknya di sisi Mu.



No comments:

Post a Comment