Thursday, December 27, 2012

TUKANG KAYU DAN RUMAHNYA



 Seorang tukang kayu tua berjumpa dengan majikannya. Dia berhasrat untuk berhenti kerja. Baginya biarlah dia menghabiskan masa senjanya bersama keluarga.

Majikannya berasa sangat sedih dan amat berat hati untuk melepaskan tukang kayu yang mahir dan banyak berjasa itu. Namun apakan dayanya untuk menghalang maksud tukang kayu tersebut.

“Baiklah.” Kata majikan kepada tukang kayu. “Kalau itulah kemahuanmu, saya tidak dapat menghalang. Cuma saya ada satu permintaan sahaja sebelum kamu bersara.”

“Apakah permintaan tuan?” Tanya si tukang kayu.

“Kamu buatkan sebuah rumah untuk saya dan selepas itu kamu bersaralah.” Jawab majikan.

Dalam keadaan terpaksa, tukang kayu bersetuju walaupun jauh di sudut hatinya terasa berat sekali dengan permintaan majikannya. Kalau boleh, dia ingin berhenti kerja pada saat itu juga.

Tukang kayu itu memulakan kerja-kerja pembinaan rumah. Hatinya tidak dicurahkan sepenuhnya untuk membina rumah tersebut menyebabkan dia melakukan kerja secara sambil lewa sahaja. Bahan-bahan binaannya kurang bermutu. Dia membuat rumah tersebut dengan tergesa-gesa dan sudah tidak mementingkan kualiti lagi sebagaimana sebelumnya.

Akhirnya, siaplah sebuah sebuah rumah namun hasilnya bukan lah sebuah rumah yang berkualiti tinggi. Binaannya secara ala kadar sahaja. Sedangkan sebelumnya , tukang kayu ini sangat baik hasil kerjanya menyebabkan dia disayangi oleh majikannya.

Kemudian datanglah majikan untuk melihat hasil rumah yang dimintanya. Selesai meninjau ke dalam dan luar rumah, majikan pergi berjumpa dengan tukang kayu dan menyerahkan kunci rumah kepadanya sambil berkata,

“Saya hadiahkan rumah ini kepada kamu sebagai tanda penghargaan kami terhadap khidmat yang telah kamu curahkan selama ini.”

Alangkah terkejutnya tukang kayu itu. Dia berasa sangat malu dan menyesal atas kerjanya itu. Kalau lah dia tahu bahawa rumah yang dia bina itu untuk dirinya, pasti dia akan membina dengan baik sekali namun apakan daya nasi sudah menjadi bubur. Maka terpaksalah dia tinggal di dalam sebuah rumah yang tidak berapa elok akibat perbuatan atau hasil kerjanya sendiri.

Pengajaran kisah

1.       Manusia yang melakukan kerja dengan ikhlas selalu disayangi oleh majikan dan orangramai.
2.       Apabila kerja tidak sepenuh hati, maka hasil yang diperolehi tidak memberangsangkan.
3.       Ramai manusia yang ketika diberi peluang tidak menggunakan kesempatan yang ada untuk melakukan yang terbaik.
4.       Kita akan mendapat hasil sebagaimana usaha yang kita lakukan. Kalau bersungguh-sungguh maka hasilnya juga lumayan. Sebagai pelajar, belajarlah bersungguh-sungguh dan sebagai pekerja, bekerjalah supaya kita mendapat RUMAH yang berkualiti..



No comments:

Post a Comment