Monday, December 3, 2012

PENDIDIKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL



Peningkatan pekerja asing membimbangkan
Tan Sri Mahyuddin berkata:

Kejayaan pendidikan di Malaysia perlu diukur bukan hanya kepada pencapaian dalam bidang akademik semata-mata, tetapi perlu ada definisi baru kepada kejayaan tersebut iaitu melalui bidang teknikal serta vokasional. Ini kerana kadar purata enrolmen pelajar aliran teknikal dan vokasional di peringkat menengah atas bagi negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) adalah 44 peratus berbanding hanya 10 peratus di Malaysia.
 Anggaran jumlah pekerja asing di negara kita melebihi 2 juta orang, satu jumlah yang cukup membimbangkan. Bila kerajaan melakukan program pemutihan, jumlahnya menjangkau sehingga 4 juta orang. Oleh itu, jumlah pekerja asing telah membentuk 15% daripada penduduk negara kita.

 Pekerja asing terdiri dari kalangan tenaga mahir dan separuh mahir yang mengisi kekurangan tenaga kerja tempatan dalam bidang-bidang kemahiran seperti perkhidmatan, pembinaan, pembuatan, pertanian, perkapalan dan bidang-bidang lain.
 
Bolehkah kita tetapkan pekerja asing yang dibenarkan bekerja di sini tidak melebihi 5% sahaja pada masa akan datang, maka perancangan yang rapi mesti dilakukan dari sekarang.

Hasrat menjadi negara maju mesti seiring dengan perancangan yang rapi
Di Jerman, 60 - 70% pelajar di peringkat menengah memasuki sekolah aliran vokasional dan teknikal. Pelajar dilatih dalam 340 bidang pekerjaan dan kerajaan berjaya mengurangkan kadar pengangguran dan meningkatkan pendapatan rakyat. Begitu juga di Jepun dan Korea Selatan, 50 – 60% pelajar di sana mengikuti aliran vokasional dan teknikal. Mereka berpendapat hanya 30%-40% sahaja pelajar yang akan mengikuti bidang akademik sementara 60% pelajar lain layak mengisi bidang kemahiran.
Tidak salah mengambil pengalaman negara luar
Bidang pendidikan vokasional dan teknikal yang sedia ada terhad kepada 19 bidang (berbanding di Jerman ada 340 bidang), iaitu:

  1. Amalan Bengkel Mesin
  2. Kimpalan
  3. Automotif
  4. Binaan Bangunan
  5. Penyejukan & Penyamanan Udara
  6. Elektrik & Elektronik
  7. Katering
  8. Fesyen
  9. Pelancongan
  10. Seni kecantikan
  11. Perkhidmatan & Perkembangan Kanak-kanak
  12. Bekeri
  13. Pengurusan Teknologi Pejabat
  14. Pengurusan Perniagaan
  15. Pengaturcaraan Komputer
  16. Hortikultur Hiasan & Landskap
  17. Teknologi Ternakan
  18. Agro-industri Tanaman
  19. Agro-industri Ternakan
Kerajaan bercadang menambah 10 bidang lagi pada tahun 2015, menjadikannya 29 bidang. Bidang baharu itu merangkumi aliran berikut:

  1. Multimedia Kreatif
2.   Sistem Sokongan Komputer & Rangkaian
3.   Teknologi Sains Samudera:
                   Senibina Kapal
                   Marin (Penyelenggaraan Kapal)
4.   Sistem Sokongan Seni & Budaya:
              Pengurusan Majlis
5.    Pengangkutan:
              Penyelenggaraan Pesawat Penyelenggaraan LRT/Keretapi
6.   Sains Kesihatan:
              Teknologi Makmal Perubatan
                     Fisioterapi
                     Kesihatan Persekitaran   
                     Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Kerajaan boleh memikirkan untuk menawarkan bidang-bidang lain selaras dengan pasaran pekerjaan semasa dan akan datang.

Peluang pekerjaan teknik dan vokasional dipertingkatkan

CADANGAN BAGI MEMPERKASA PENDIDIKAN VOKASIONAL DAN TEKNIKAL

1.           CADANGAN PENAMBAHAN BIDANG VOKASIONAL DAN TEKNIKAL

Cadangan pertama ialah supaya bidang kemahiran vokasional dan teknikal sedia ada ditambah lagi 41 bidang, menjadikannya 70 bidang pada tahun 2015, dan perlu ditambah dari semasa ke semasa. Bidang-bidang kemahiran vokasional dan teknikal amat penting bagi mengisi pasaran pekerjaan sedia ada.

Bidang-bidang kemahiran ini amat berkait rapat dengan dunia keusahawanan dan dengan itu subjek ini perlu diajar serentak dengan bidang kemahiran tersebut. Antara bidang baharu yang dicadangkan ialah:

  1. Teknologi Makanan Ruminan
  2. Pertukangan Kayu
  3. Fotostat dan Menjilid
  4. Pengendalian Mesin Cetak
  5. Percetakan Offset
  6. Pembersihan Kenderaan
  7. Pembersihan Bangunan
  8. Pembersihan Kawasan
  9. Asas  Pengurusan Fasiliti
  10. Mendobi Pakaian
  11. Mengecat Kenderaan
  12. Mengecat Bangunan
  13. Teknologi Tayar
  14. Jahitan Langsir
  15. Video Digital
  16. Grafik dan Repografi
  17. Fotografi
  18. Audio Digital
  19. Teknologi Elektrik
  20. Grafik Kejuruteraan
  21. Teknologi Industri
  22. Ukur & Kaji Daya Tanah
  23. AutoCAD
  24. Membaiki Hand Phone
  25. Seni Khat & Kaligrafi
  26. Seni Lukis Komersil
  27. Teknologi Kimia
  28. Kraftangan – Tenunan, Batik,  Songket dll.
  29. Seni Ukir – Kayu, Kaca, Logam
  30. Muzik
  31. Teknologi Filem/drama
  32. Penulisan (termasuk skrip drama dan filem)
  33. Terjemahan
  34. Membaiki Jam
  35. Membaiki Basikal
  36. Teknologi Kaca & Plastik
  37. Teknologi Seramik
  38. Sains Sukan
  39. Perbankan Islam & Takaful
  40. Gunting Rambut
  41. Membaiki Kasut

2.           CADANGAN MULAKAN SEKOLAH VOKASIONAL DARI TINGKATAN SATU

Cadangan kedua ialah supaya pendidikan vokasional dan teknikal dimulakan sejak tingkatan satu, bukan tingkatan 4 – 5 seperti sekarang kerana ia agak lewat. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, 60% daripada pelajar tidak meminati bidang akademik, sebaliknya berpotensi dan lebih berminat dalam bidang non-akademik. Pelajar yang berpotensi “gagal” dalam bidang akademik ini sepatutnya awal-awal lagi disalurkan ke bidang vokasional dan teknikal.

Untuk itu, mereka perlu digilap lebih awal, iaitu semasa di tingkatan satu lagi. Sistem persekolahan di peringkat rendah sepatutnya sudah berjaya mengenalpasti potensi pelajar, sama ada perlu disalurkan ke bidang akademik dan profesional, ataupun ke bidang vokasional dan teknikal. Dengan itu, kita tidak perlu lagi memaksa pelajar yang tidak sesuai di bidang akademik belajar perkara-perkara yang tidak diminati. Sebaliknya mereka terus disalurkan ke bidang kemahiran yang sesuai dengan potensi dan minat mereka.

Kaedah yang paling baik ialah dengan menukar 50% sekolah menengah menjadi sekolah vokasional dan teknikal. Ini memang memerlukan perancangan yang rapi, khususnya di peringkat latihan perguruan. Bagaimanapun, ia tidaklah memakan masa yang terlalu lama. Terdapat banyak graduan dalam bidang profesional yang berkait-rapat dengan bidang vokasional dan teknikal ini (seperti bidang kejuruteraan dan sains) yang boleh dilatih semula menjadi tenaga pengajar mahir dalam bidang tertentu.

Ini akan mengurangkan pengangguran graduan dan sekaligus mengurangkan keciciran pelajar dalam bidang akademik.

Jika langkah melahirkan guru-guru vokasional dan teknikal ini dapat dimulakan pada tahun 2013, 50% daripada sekolah menengah dapat diubah menjadi sekolah menengah vokasional dan teknikal pada tahun 2015.

Bajet yang diperlukan tentulah bertambah. Bagi mengubahsuai sekolah menengah biasa kepada sekolah vokasional dan teknikal, belanjanya tentulah besar. Bagaimanapun, pelaburan besar dalam bidang pendidikan vokasional dan teknikal ini amat diperlukan dan berbaloi bagi mereformasikan pendidikan negara. Kita boleh mulakan daripada bidang yang mudah dahulu dan kemudian beransur-ansur kepada bidang yang lebih berat dan memerlukan belanja yang lebih besar.

Dengan itu, kita boleh mensasarkan 50% daripada lepasan sekolah menegah pada tahun 2020 adalah terdiri daripada tenaga mahir yang terlatih dan diiktiraf. Ini pasti akan dapat menyumbang kepada pembangunan negara dengan lebih pesat. Satu hari nanti kita mungkin boleh mengeksport tenaga mahir kita ke luar negara, dan dengan itu, pendapatan mereka akan meningkat.

3.           CADANGAN WUJUDKAN SUBJEK KEMAHIRAN MERENTAS KURIKULUM

Cadangan ketiga ialah supaya diwujudkan subjek-subjek yang merentas kurikulum. Ia penting bagi memberikan keseimbangan pembelajaran supaya para pelajar tidak ketinggalan dan buta ilmu dalam mengharungi kehidupan bermasyarakat dan bernegara kelak. Antaranya ialah:

  1. Bahasa – Melayu, Inggeris, Arab,  Mandarin dan Tamil
  2. Pengajian Agama
  3. Asas Akhlak dan Disiplin
  4. Asas Pengurusan
  5. Asas Keusahawanan
  6. Psikologi & Kesihatan
  7. Pengurusan Kewangan
  8. Kepimpinan dan Kepengikutan
  9. Pengurusan Stres
10.Pemikiran Kritikal (Critical Thinking)
11.Pengenalan Inovasi
12.Kemahiran Terjemahan
13.Kemahiran Komunikasi & Public Speaking
  1. Kemahiran Undang-undang
  2. Sejarah
  3. Politik dan Perlembagaan Negara

4.   CADANGAN SUPAYA PLKN DITUKAR KEPADA PROGRAM LATIHAN KEMAHIRAN NASIONAL

Sementara kita melaksanakan sistem pendidikan vokasional dan teknikal mulai tahun 2015, sesuatu harus dilakukan sekarang supaya kohort pelajar tahun 2013 – 2016 tidak ketinggalan.

Kerajaan sudah berbelanja sebanyak RM4.38 billion bagi melatih 652,052 pelajar lepasan menengah mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sejak tahun 2004. Bagaimanapun, keberkesanannya masih menjadi tandatanya hingga ke hari ini.

Jika diukur daripada semangat patriotisme, ia nyata tidak berkesan kerana sepanjang sebulan perayaan kemerdekaan dan Hari Malaysia, tidak ramai yang mengibarkan bendera Malaysia. Jika program itu bertujuan untuk memenangi hati anak muda mengundi parti pemerintah, ia juga gagal. Ini ditambah lagi dengan sijil PLKN yang tidak laku di pasaran pekerjaan.

Oleh itu, PLKN ini perlu diubah atau diberi nafas baharu. Ia mungkin boleh ditukar menjadi Program Latihan Kemahiran Negara. Bagi matlamat melahirkan tenaga separuh mahir, mulai tahun 2013 PLKN baru ini boleh dilaksanakan dengan memberikan kursus jangka pendek selama 6 bulan dalam semua bidang yang dikenalpasti berpotensi dan bersesuaian dengan industri, di samping penerapan semangat patriotisme dan nilai-nilai spiritual. Terdapat sebanyak 150 jenis kursus vokasional yang boleh ditauliahkan sebagai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 1.

Strategi pelaksanaan ialah dengan menggunakan semua 201 institusi teknikal dan vokasional yang sedia ada, gunakan 86 kem PLKN sedia ada, gunakan 50 premis IPTA, IPTS & kolej swasta sedia ada, gunakan 100 pusat latihan bertauliah sedia ada, gunakan 50 buah kem Biro Tatanegara dan kem-kem bina semangat sedia ada. Jumlahnya sekitar 500 buah dan ia mencukupi untuk sasaran berikut: 150,000 x 2 intake = 300,000 peserta setahun (60% daripada keseluruhan pelajar).

Tumpuan peserta ialah kepada pelajar yang dijangka tidak dapat memasuki mana-mana institusi pendidikan tinggi dan kemahiran. Kita mungkin memerlukan peruntukan khas RM2 billion setahun untuk tujuan ini, tetapi pelaburan ini amat berbaloi kerana para pelatih akan mendapat sijil kemahiran tertentu yang laku di pasaran kerja.
                                       
5.           WUJUDKAN SEKOLAH VOKASIONAL DAN TEKNIKAL AGAMA

Satu lagi cadangan yang patut dipertimbangkan ialah mewujudkan sekolah vokasional dan teknikal agama. Ini kerana banyak sekolah agama baik di bawah kerajaan negeri mahupun pusat sedang dijuruskan ke bidang integrasi tahfiz dan sains. Ia bertujuan untuk melahirkan tenaga akademik dan professional seperti jurutera, doktor dan professional lain yang boleh menghafaz al-Qur’an.

Bagaimanapun, usaha menyeimbangkannya dengan dengan lulusan vokasional dan teknikal perlu dilaksanakan. Bukan semua pelajar agama mampu mencapai keputusan cemerlang dan menjadi orang akademik dan professional. Oleh itu, sekolah vokasional agama yang dapat melahirkan tenaga mahir yang beriman dan bertaqwa juga amat sesuai dilaksanakan. Tenaga mahir yang beragama amat penting dalam melahirkan pekerja yang jujur dan amanah bagi pembangunan negara.

Pendidikan teknik dan vokasional mesti diperkasakan bagi mencapai status negara maju. Transformasi pendidikan negara sememangnya diharapkan akan dapat merealisasikan "kebolehkerjaan" dalam kalangan lepasan institusi kemahiran negara.
 




  


1 comment:

  1. Saya nak tanya yang Cadangan Penambahan Bidang tu memang dah dibuat atau pun itu hanya cadangan sahaja?

    ReplyDelete