PENDIDIKAN BERSIFAT DINAMIK
Pertama, untuk
menjayakan pembentukan insan baik, pendidikan negara perlu dikembangkan
berasaskan falsafah pembangunan insan dan falsafah pendidikan hikmah.
Kedua-dua, pembangunan insan dan pendidikan hikmah, merujuk kepada pembangunan
diri yang menyeluruh.
Konsep
pembangunan diri yang menyeluruh boleh dilihat dari dua perspektif. Pertama,
pembangunan diri perlu meliputi kerohanian (SQ), intelektual (IQ), emosi (EQ),
moral (MQ), sosial (SQ), estetika (AQ), dan fizikal (PQ). Kedua, ia perlu
mengembangkan pelbagai kecerdasan. Menurut Howard Gardner (1993, 2000) kecerdasan-kecerdasan
tersebut ialah: berbahasa/linguistic, logik-matematik, pergerakan badan/bodily
kinesthetic, keruangan/spatial, muzik, bergaul/interpersonal,
mengenal diri/intrapersonal, kealaman/naturalistic, dan
kewujudan/existential. Falsafah yang tersirat dalam teori pelbagai
kecerdasan ialah bahawa tiap pelajar mepunyai kecerdasan dan boleh belajar
serta mencapai kejayaan.
Sebenarnya
untuk menjayakan falsafah pembangunan insan dan pendidikan hikmah kita tidak
perlu menggubal teks falsafah yang baru. Kita telahpun memiliki falsafah
pendidikan kebangsaan yang sesuai dan selaras dengan hasrat kedua-duanya.
Falsafah ini telah digubal dan diisytiharkan secara rasmi pada tahun 1987/88,
telah dimasukkan dalam Akta Pendidikan 1996, dan telah dimasukkan juga dalam
PPPM 2013-2025. Walau bagaimanapun, kesungguhan untuk melaksanakan
kehendak-kehendak falsafah ini dalam kurikulum dan pendidikan di sekolah hanya
bertahan kira-kira satu dekad, dan selepas itu semangat tersebut telah pudar.
Kini yang tinggal hanyalah catatan dan retorika.
Kedua, kehendak-kehendak
falsafah ini (pembangunan insan dan hikmah) perlu diterjemahkan secara konkrit
dalam kurikulum dan kokurikulum dan semua aktiviti pendidikan di sekolah. Kurikulum yang disediakan hendaklah seimbang
dan mencakupi disiplin-disiplin ilmu
sains-matematik, bahasa, sains sosial, kemanusiaan, kesenian, pendidikan
jasmani. Semua pelajar perlu mengikuti subjek-subjek ini untuk membolehkan
semua domain dan kecerdasan dapat dipupuk dan dikembangkan.
Ketiga, selain
daripada ilmu dan kemahiran, penekanan yang sama perlu diberikan kepada
komponen nilai. Untuk memastikan komponen nilai ini tidak diabaikan, KBSM telah
memilih strategi Nilai-Nilai Murni Merentas Kurikulum (NMMK). Maksudnya
pengajaran dan penerapan nilai-nilai murni disepadukan dengan semua disiplin
ilmu. Walau bagaimanapun, strategi NMMK ini mengalami nasib yang sama dengan
FPK. Justeru itu kepentingan nilai dalam pendidikan dan strategi NMMK perlu
dipugar dan semarakkan.
Keempat, satu
subjek yang tertumpu kepada perpaduan dan pembentukan perwatakan bangsa perlu
digubal dan diajar di sekolah, terutamanya peringkat menengah. Tujuannya ialah
supaya semua pelajar dan generasi muda dapat memiliki pengetahuan, kemahiran
dan nilai-nilai murni yang dikongsi bersama oleh masyarakat Malaysia. Setiap
pelajar perlu engetahui dan memahami tentang sejarah, agama, budaya, adat resam
dan pantang larang tiap bangsa/etnik di negara ini. Tujuannya ialah untuk
mengelakkan kejahilan dan kekeliruan yang boleh mencetuskan masalah antara
etnik dan juga perbalahan. Di samping itu, subjek ini perlu menekankan kepada
kemahiran sosial – komunikasi dan interaksi, khususny dalam masyarakat majmuk.
Akhirnya subjek ini perlu memupuk nilai-nilai umum yang universal yang menjurus
kepada pembentukan perwatakan dan keperibadian bangsa Malaysia.
Kelima,
kandungan kurikulum, termasuk jumlah subjek, perlu disemak semula agar tidak
membebankan para pelajar. Kurikulum yang disediakan perlu besifat luwes/fleksibel
agar guru dapat menyesuaikannya dengan keadaan pelajar dan keadaan setempat. Di
samping itu, ruang perlu disediakan untuk meraikan kebijaksanaan dan kebudayaan
setempat, dan komponen setempat itu dimasukkan dalam kurikulum sebagai bahagian
yang terpadu/integral dalam subjek tertentu, atau sebagai subjek yang
berasingan. Komponen tempatan dalam kurikulum ini perlu diberikan pengiktirafan
yang sewajar.
Keenam, proses
pendidikan mesti bersifat manusiawi dan tidak mekanikal. Ini boleh dilakukan
dengan mengurangkan atau menghilangkan tumpuan kepada peperiksaan. Maksudnya
budaya mengajar dan budaya sekolah tidak lagi didominasi dan ditentukan oleh
peperiksaan. Guru berperanan untuk membimbing, membantu, menunjuk
ajar dan mendidik pelajar. Pendekatan ini menjadikan diri pelajar itu utama dan
sentral dalam proses pendidikan di bilik darjah dan di sekolah. Ini juga
bermakna bahawa proses pengajaran-pembelajaran tidak lagi tertumpu kepada
pemindahan maklumat/ilmu dan kemahiran, malahan yang lebih penting lagi ialah pemahaman
terhadap ilmu dan kemanfaatannya serta pemupukan nilai-nilai, kesedaran dan
keinsafan dalam diri pelajar.
Ketujuh,
usaha untuk memupuk persefahaman, kerjasama, sifat kesalingan dalam banyak
perkara, seeperti saling hormat-menghormati, dan perpaduan, perlu ditingkatkan
dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh di sekolah. Sesungguhnya ruang dan
peluang untuk belajar, berkomunikasi dan berinteraksi bersama-sama, hanya
terbuka luas di sekolah. Pelajar-pelajar akan berada di sekolah selama lima
atau jam sehari dan selama 9, 10 atau 11 tahun atau lebih lagi. Peluang ini
mesti dimanfaatkan sepenuhnya dan untuk tujuan itu perlu ada kesungguhan dan kemahuan
politik/political wii untuk menangani kekangan dalam sistem persekolahan
dan realiti sosiopolitik.
No comments:
Post a Comment