|
HAMKA permata nusantara yang tiada gantinya sehingga kini |
Hamka
adalah seorang tokoh dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan
seperti falsafah, sastera, sejarah, sosiologi dan politik, baik politik
Islam maupun Barat. Dengan kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, beliau
dapat menyelidiki karya ulama' dan pujangga besar di Timur Tengah
seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti
dan Hussain Haikal.
Melalui bahasa Arab juga, beliau meneliti karya
sarjana Perancis, Inggeris dan Jerman seperti Albert Camus, William
James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx dan
Pierre Loti. Almarhum juga rajin membaca dan bertukar-tukar fikiran
dengan tokoh-tokoh terkenal Jakarta seperti HOS Tjokroaminoto, Raden Mas
Surjopranoto, Haji Fachrudin, Ar Sutan Mansur dan Ki Bagus Hadikusumo
sambil mengasah bakatnya sehingga menjadi seorang ahli pidato yang
handal. Almarhum juga aktif dalam gerakan Islam melalui organisasi
Muhammadiyah. Beliau mengikuti pendirian Muhammadiyah mulai tahun 1925
untuk melawan khurafat, bidaah, tarekat dan kebatinan sesat di Padang
Panjang. Bermula pada tahun 1928, beliau mengetuai cawangan Muhammadiyah
di Padang Panjang.
Pada tahun 1929, Hamka mendirikan pusat latihan
pendakwah Muhammadiyah dan dua tahun kemudian beliau menjadi konsul
Muhammadiyah di Makassar. Kemudian beliau terpilih menjadi ketua Majlis
Pimpinan Muhammadiyah di Sumatera Barat oleh Konferensi Muhammadiyah,
menggantikan S.Y. Sutan Mangkuto pada tahun 1946. Beliau menyusun
kembali pembangunan dalam Kongres Muhammadiyah ke-31 di Yogyakarta pada
tahun 1950.
Pada tahun 1953, Hamka dipilih sebagai
penasihat pimpinan Pusat Muhammadiah. Pada 26 Juli 1977, Menteri Agama
Indonesia, Prof. Dr. Mukti Ali melantik Hamka sebagai ketua umum Majlis
Ulama Indonesia tetapi beliau kemudiannya meletak jawatan pada tahun
1981 karena nasihatnya tidak dipedulikan oleh pemerintah Indonesia.
Kegiatan politik Hamka bermula pada tahun 1925 ketika beliau menjadi
anggota parti politik Sarekat Islam. Pada tahun 1945, beliau membantu
menentang usaha kembalinya penjajah Belanda ke Indonesia melalui pidato
dan menyertai kegiatan gerilya di dalam hutan di Medan.
Pada tahun 1947, Hamka diangkat menjadi ketua
Barisan Pertahanan Nasional, Indonesia. Beliau menjadi ahli Majlis
Tertinggi Masyumi dan menjadi pemidato utama dalam Pilihan Raya Umum
1955. Masyumi kemudiannya diharamkan oleh pemerintah Indonesia pada
tahun 1960.
Dari tahun 1964 hingga tahun 1966, Hamka dipenjara oleh
Presiden Sukarno kerena dituduh pro-Malaysia. Hasilkan pelbagai karya
besar Semasa dalam tahanan penjara, beliau telah mula menulis Tafsir
al-Azhar yang merupakan karya ilmiah terbesarnya. Setelah keluar dari
penjara, Hamka diangkat sebagai anggota Badan Musyawarah Kebajikan
Nasional, Indonesia, anggota Majlis Perjalanan Haji Indonesia dan
anggota Lembaga Kebudayaan Nasional, Indonesia.
Selain aktif dalam soal
keagamaan dan politik, Hamka merupakan seorang wartawan, penulis, editor
dan penerbit. Sejak tahun 1920-an, Hamka menjadi wartawan beberapa buah
akhbar seperti Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam dan Seruan
Muhammadiyah. Pada tahun 1928, beliau menjadi editor majalah Kemajuan
Masyarakat. Pada tahun 1932, beliau menjadi editor dan menerbitkan
majalah al-Mahdi di Makasar. Hamka juga pernah menjadi editor majalah
Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam.
Hamka juga menghasilkan karya ilmiah Islam dan
karya kreatif seperti novel dan cerpen. Karya ilmiah terbesarnya ialah
Tafsir al-Azhar (5 jilid) dan antara novel-novelnya yang mendapat
perhatian umum dan menjadi buku teks sastera di Malaysia dan Singapura
termasuklah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah
dan Merantau ke Deli.
Sepanjang terlibat dalam kerjaya sebagai seorang
ulama/sajana/tokoh ilmuan Islam, al-marhum Hamka telah menubuhkan
Universiti Muhammadiyah Prof. Dr. Hamka atau singkatannya (UHAMKA) yang
merupakan pengembangan (Konversi) dari IKIP Muhammadiyah Jakarta yang
didirikan pada 25 Rabiul Awwal 1377 H bertepatan dengan 18 November
1957. Hamka pernah menerima beberapa anugerah pada peringkat nasional
dan antarabangsa seperti anugerah kehormatan Doctor Honoris Causa,
Universiti al-Azhar, 1958; Doktor Honoris Causa, Universiti Kebangsaan
Malaysia, 1974; dan gelaran Datuk Indono dan Pengeran Wiroguno dari
pemerintah Indonesia. Hamka telah pulang ke rahmatullah pada 24 Julai
1981, namun jasa dan pengaruhnya masih terasa sehingga kini dalam
memartabatkan agama Islam.
Beliau bukan sahaja diterima sebagai seorang
tokoh ulama dan sasterawan di negara kelahirannya, malah jasanya di
seluruh alam Nusantara, termasuk Malaysia dan Singapura.
|
No comments:
Post a Comment