Saturday, December 5, 2009

UMNO LAGI

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir menulis dalam blognya mengenai UMNO.

Tun terkejut kerana seorang bekas pemimpin UMNO yang kanan (tetapi tidak disebutkan namanya) telah meluahkan perasaannya dengan berkata "UMNO is rotten to the core" (UMNO busuk hingga ke ususnya).

Sebagai alternatifnya, bekas pemimpin kanan tersebut ingin menyertai parti PAS. Rakan-rakannya juga bersetuju dengan pilihan itu. Sebelum ini, ada penceramah yang saya dengar menyebutkan pegawai kerajaan apabila sudah bersara beralih menyokong parti lain dan menentang parti memerintah yang telah memberi gaji dan wang pencen kepada mereka. Kini bagaimana pula apabila ada bekas pemimpin UMNO sudah menyatakan hilang kepercayaan kepada parti mereka dahulu.

"UMNO busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi katanya. Di cawangan, ketua cawangan hanya berjuang untuk mengekal dirinya sebagai ketua sahaja. Kenapa? Sebabnya majoriti ketua cawangan dapat jadi pengerusi Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dengan elaun tertentu dan kuasa untuk mengagih peruntukan. Berpeluang juga untuk jadi kontraktor Kelas F untuk projek kecil di luar bandar."

Apakah bekas pemimpin kanan tersebut tidak pernah melakukan seperti itu sewaktu zaman kekuasaan beliau dahulu?

"Untuk menentukan dirinya tidak dicabar ketua cawangan tidak akan benarkan sesiapa yang lebih terpelajar daripadanya masuk UMNO cawangannya. Lebih daripada itu kebanyakan peruntukan untuk jadi ahli UMNO, yang mana dia mesti melalui cawangan, tidak akan dilayan. Tujuannya ialah supaya cawangannya tidak mempunyai banyak ahli kerana mereka tetap akan menimbulkan masalah dan sukar dikawal, bahkan sukar disogok pun."

Saya juga pernah mendengar permohonan seorang Ketua Jabatan Persekutuan untuk masuk salah sebuah cawangan UMNO di Perak dilengahkan hingga akhirnya sampai pegawai tersebut pencen borang permohonannya entah ke mana.

"Sebab itu tidak ramai ahli profesional yang dapat menjadi ahli UMNO. Sebaliknya semakin ramai daripada pemimpin PAS terdiri daripada doktor, peguam, jurutera dan lain-lain profesyen."

Perjuangan UMNO semenjak merdeka telah berjaya melahirkan ramai professional Melayu dan selalu penceramah UMNO mengatakan mereka tidak bersyukur kerana mendapat wang biasiswa kerajaan tetapi menyokong parti yang tidak dapat memberi biasiswa kepada mereka.

"Oleh kerana ketua cawangan biasanya tidak memiliki pelajaran yang tinggi dan beliau menentukan ahli lain dalam cawangannya mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih rendah daripadanya, maka apabila ketua terpaksa berhenti kerana sebab-sebab tertentu, maka penggantinya akan terdiri daripada yang kurang berkebolehan daripadanya. Dengan itu kualiti kepimpinan akan merosot sepanjang masa."

Mengenai integriti dalam UMNO, Tun menulis:

"UMNO, kata bekas pemimpin kanan ini sekarang dipimpin oleh perasuah. Mereka menjadi ahli Majlis Tertinggi kerana sogokan wang. Orang ramai tidak akan serah nasib mereka kepada perasuah."

Pindaan Perlembagaan UMNO telah dibuat namun apakah dapat dipastikan nilai dan sikap ahli-ahli UMNO turut berubah atau sekadar pantun sahaja yang indah dari segi nilai puitisnya menghiasi ucapan-ucapan retorik di PWTC?

"Penempatan perasuah dalam Kerajaan dan badan-badan lain juga memburukkan lagi imej UMNO. Sudah tentu perasuah akan dipilih sebagai calon UMNO dalam Pilihanraya Umum ke-13. Jika mereka diberi kemenangan maka negara akan dapat Kerajaan perasuah. Sebab itu beliau tidak akan sokong UMNO sebaliknya akan menyertai dan menyokong parti lawan. Katanya lagi hingga kini separuh daripada orang Melayu tidak merasai nikmat kerana Kerajaan-Kerajaan pimpinan UMNO menidakkan hak mereka sedangkan mereka juga orang Melayu walaupun mereka menyokong parti lawan."

Kenyataan Tun ini menarik untuk direnungi:

"Mereka yang menyokong parti lawan bertambah sejak (Tun) Abdullah kerana ramai daripada ahli UMNO sendiri sudah tidak percaya kepada UMNO."

Apakah sekiranya bukan Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, keadaan akan berubah iaitu tidak menjadi seperti apa yang ada pada hari ini?

"Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong UMNO. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan."

Mungkin Tun ada hujjah yang kuat untuk menulis kenyataan ini:

"Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli UMNO juga."

Saya amat bersetuju dengan Tun bahawa masa semakin singkat untuk memperbaiki keadaan ini. Harapan semua yang sayangkan UMNO termasuk saya ialah kerja mesti kuat sebelum Pilihan Raya Umum ke 13, lebihkurang 2 tahun sahaja lagi.

Saya teringat kata-kata Tan Dri Dr Nordin Kardi sewaktu masih menjawat jawatan Ketua Pengarah BTN:

"Biarlah kita kalah berhujjah tetapi menang pilihanraya daripada kita menang berhujjah tetapi kalah dalam pilihanraya."

Semoga menjadi renungan kita bersama atas ingatan orang-orang tua kita. Wassalam.



Friday, December 4, 2009

KISAH ABU NAWAS

Pada satu hari, Khalifah Harun al-Rasyid ingin mengenakan Abu Nawas. Ini adalah kerana baginda sudah banyak kali terkena dengan orang yang bijaksana ini.

Khalifah telah memanggil beberapa orang pemuda dan memberi mereka sebiji telur setiap seorang.

Baginda pun kemudian memerintahkan agarAbu Nawas datang mengadap ke istana khaiifah.

Setelah Abu Nawas sampai, baginda pun memerintahkan Abu Nawas bersama-sama dengan beberapa orang tadi supaya menyelam ke dalam kolam dan apabila keluar dari kolam tersebut membawa bersama sebiji telur ayam setiap seorang.

Semua pemuda yang menyelam telah keluar dengan menunjukkan telur ayam kepada khalifah. Namun Abu Nawas gagal menunjukkan telur ayam kepada baginda.

Sebagai seorang yang bijaksana, Abu Nawas pun terus bertenggek di atas sebuah batu besar sambil berkokok.

Berasa pelik dengan perbuatan Abu Nawas itu, khalifah pun bertanya, "Wahai Abu Nawas, apakah yang kamu lakukan itu?"

Abu Nawas menjawab, "Wahai khalifah! Patik adalah ayam jantan sementara pemuda-pemuda yang menyelam bersama-sama patik tadi merupakan ayam betina. Sebab itulah mereka ada telur sementara patik tidak ada telur kerana patik ayam jantan."

Mendengar kata-kata Abu Nawas itu, baginda khalifah pun tertawa.

MENUNGGU KEPUTUSAN PMR

Keputusan UPSR 2009 telah pun diketahui. Calon-calon PMR berdebar menunggu keputusan. Pelajar SPM sedang bertarung di dewan peperiksaan. Semua ingin mendapat keputusan yang baik supaya dapat meninggalkan sekolah untuk pergi ke tempat yang dapat menjanjikan kehidupan yang menjamin seribu keindahan.

Pelajar UPSR mahu ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau setidak-tidaknya Kelas Rancangan Khas (KRK). Calon PMR telah mengisi borang ke SBP dan juga MRSM. Ada juga yang berminat ke SM Teknik untuk menggapai impian yang melangit tingginya. Ada ibubapa yang inginkan anak mereka ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) agar anak cukup didikan dunia dan akhirat. Semua tempat atau sekolah tadi memerlukan kelulusan yang baik dan kalau boleh cemerlang. Berlumba-lumbalah anak-anak kita untuk merebut tempat-tempat hebat ini. Ibubapa pun ghairah mempersiapkan anak dengan tuisyen, buku rujukan dan apa yang terdaya supaya anak dapat keputusan yang cemerlang. Masa belajar bertahun-tahun tergantung kepada jawapan yang diberikan dalam jangkamasa 1 atau 2 jam bagi satu-satu matapelajaran.

Bermacam-macam modul soalan, latihtubi, gambarajah, peta minda, nota kompak, akronim dan pelbagai istilah baru yang mungkin tidak saya dengar ketika saya belajar dulu kini telah menambah perbendaharaan kata dalam kamus pengajaran dan pembelajaran.

Kebimbangan pada saat-saat hampir masa keluar keputusan peperiksaan kini dikongsi bukan sahaja oleh ibubapa malahan pihak Pengetua sekolah yang barangkali menjadi kayu ukur kenaikan pangkat mereka dalam profession perguruan seterusnya, Pegawai Pelajaran Daerah lantaran keputusan akan dibandingkan antar daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri yang bisa menaikkan tekanan darah apabila keputusan negeri dilakarkan dalam powerpoint di Putrajaya.

Semua akan menanti keputusan ‘kuda lumba’ yang berlari hingga ke garisan penamat. Demikian kehidupan pada hari ini. Anak-anak menjadi harapan dan kadangkala sebagai penjaga maruah kepada ibubapa yang berjawatan hebat-hebat.

Saya pernah mendengar ceramah sewaktu bertugas di BTN yang disampaikan oleh Allahyarham Prof Datuk Dr Yunos Mohd Noor. Beliau digelar “Father of Counseling” di Malaysia. Datuk telah menceritakan kalau tidak silap saya, anak bongsu beliau telah lulus SPM dengan mendapat Gred 3 pada masa itu. Keesokan paginya, beliau yang sedang menjawat jawatan Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya memberitahu rakan-rakan(colleague),

”Today I am the happiest father in the world”

Rakan-rakan bertanya,”Why?”

Jawabnya: “My son lulus SPM”

“Macamana result?” Rakan ingin tahu.

“Dia dapat Gred 3” Jawabnya.

Rakan hairan, “You tahu tak sistem peperiksan di Malaysia ini?”

Dr Yunos jawab,” Tahu. I sangka dia akan gagal tapi rupa-rupanya dia lulus. Itu sebab I gembira pasal dia lulus juga akhirnya”

Kata Dr Yunos anak Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dapat Gred 3. “Boleh tuan-tuan bayangkan?”, Tanya beliau kepada kami yang tertarik dengan kisah pengalamannya itu.

Sebagai maklumat tambahan, anak-anak Dr Yunos yang lain iaitu abang-abang dan kakak-kakaknya telah berjaya dalam bidang masing-masing.

Diringkaskan cerita, anak tersebut akhirnya telah berjaya mendapat tender kerajaan bernilai berjuta-juta ringgit maknanya menjadi usahawan yang berjaya.

Kita tidak mahu kisah seorang murid Tahun 6 suatu ketika dulu yang sebelum membunuh diri meninggalkan sepucuk surat kepada ibubapanya dengan menulis,”Along tahu along bodoh. Biarlah along pergi supaya mak dan ayah tidak malu dengan keputusan along.” Kisah ini dimuatkan dalam sebuah buku yang ditulis oleh rakan saya yang kajiannya bagi memperolehi ijazah Ph.D berkaitan dengan kecerdasan pelbagai terdiri dari lapan bentuk kecerdasan. Hari ini orang sudah bercakap tentang EQ, SQ, kecerdasan muzik, kecerdasan sukan dan sebagainya. Program-program motivasi sekarang juga sudah menitkberatkan hal ini.

Kelayakan akademik masih sangat perlu untuk melakukan satu perkara yang saya sangat tidak suka iaitu menggredkan murid atau membezakan pencapaian sesama mereka. Kalau ilmu itu untuk kegunaan mendapat kepentingan ekonomi sahaja maka fahaman ‘utilitarianisme’ tidak dapat menyelesaikan masalah manusia.

Kata-kata seperti “ What Harvard Business School did not teach you” namun telah berjaya menghasilkan usahawan hebat membuktikan kehidupan adalah universiti terbaik kepada manusia.

Berusahalah anak-anak untuk cemerlang dalam apa sahaja peperiksaan. Allah Taala menyuruh kita menggunakan akal dan budi untuk berjaya dalam hidup. Ingatlah! Bill Gates pernah dibuang dari universiti dan hari ini Bill manusia antara paling kaya di dunia.

Tapi sayugia diingatkan..tidak mudah menjadi seperti Bill Gates. Bill tidak lulus dari universiti tetapi dia ada ilmu dan kepakaran yang tidak diajar di universiti. Wassalam.







Wednesday, December 2, 2009

MENGAJAR AGAMA DAN TAULIAH

Saya pada mulanya tidak berminat untuk menulis berkenaan dengan tauliah mengajar agama atau bercakap tentang agama di khalayak ramai atau depan khalayak 20 orang atau di mana-mana sahaja dalam negara beringin rendang (cerita P. Ramlee dah).

Saya tidak senang kerana apabila saya menatap ada lah blog tu..seolah-olah isu ini dipermain-mainkan.

Ada beberapa aspek yang boleh kita lihat saya rasa...saya yang masih belum memiliki ijazah Ph.D namun kalau ada rezeki itulah hajat walaupun dengan ijazah Ph.D tu nanti tak lah dapat menjanjikan kemewahan hidup sepertimana rakan-rakan yang telah menempa nama sebagai Prof Madya dan lain-lain..

Kita jangan melihat kepada aspek sehala sahaja walaupun jalan sehala di beberapa tempat di negara kita dapat mengamankan jalanraya daripada traffic jammed (dengan izin).

Mula-mula kita lihat aspek penangkapan oleh JAIS dulu. JAIS dari segi undang-undang berhak melakukan penangkapan kerana ada proviso (peruntukan undang-undang) lantaran Dr Asri mengajar tiada tauliah. JAIS benar dan ada hak untuk mendakwa sebab itu tiada siapa dapat menafikan perkara itu. Cuma yang disebut ialah apa motif penangkapan itu? Sengaja memasang perangkap kerana Dr Asri bukan orang PKR?

Cuna kita lihat YB Mohd Sabu pernah didakwa atau lagi sedap perkataan dituduh berkhalwat. YB Mat Sabu (nama glamour) tidak dapat menafikan pertuduhan berkhalwat. Mahkamah pula tidak membuat pertuduhan yang lain-lain (faham ya lanjutan daripada kaum Adam dan Hawa kalau dah berdua dalam bilik yang tertutup dan terlindung daripada pandangan ramai). Soalnya adakah YB Mat Sabu berada hanya berdua dalam bilik hotel yang disebut dalam mahkamah atau tidak? Jawabnya ya. Adakah beliau melakukan yang lain-lain? Itu kita tidak tahu namun berada berdua dengan bukan muhrim adalah satu kesalahan syar'ie. Katanya nak hantar ubat. Salahkah nak hantar ubat? Tak salah. Ubat boleh ditinggalkan di kaunter hotel misalnya.

Saya nak sebut yang ini. Kata YB Mat Sabu,"Saya sebenarnya terperangkap." Siapa yang pasang perangkap? Kalau betul insiden ini dirancang bagi tujuan memerangkap dan menajtuhkan serta mencemar nama baik YB maka YB telah terperangkap! Apa nak buat ah nak terkena! Berhati-hatilah supaya tidak terperangkap. Musuh memang tidak berhenti untuk mencari kesempatan. Bukankah Islam telah mengajar supaya kita mengelakkan diri dari fitnah? Kes YB Mat Sabu telah selesai. Alhamdulillah, yang patut menjadi pengajaran kepada kita ialah jangan melanggar peraturan. Yang salah tetap salah!
.
Berbalik kepada cerita Ustaz Asri (Dr). Mungkin JAIS memasang perangkap. Katalah begitu. Kononnya JAIS di bawah kerajaan PKR. Jadi perangkap JAIS mengena. Soal perangkap tidak dapat diterima olah mahkamah. Benarkah begitu? Apa yang menjadi 'bisnis' mahkamah, adakah sesuatu peraturan itu telah dilanggar atau tidak. Bolehkah JAIS memanggil atau menelefon Dr Asri menasihatkan atau meminta beliau mengisi borang memohon tauliah terlebih dahulu sebelum melakukan intipan demi intipan dan berakhir dengan penangkapan? Itu urusan JAIS kerana mereka telah memilih jalan itu yang juga tidak salah.

Saya juga tidak mehu menyentuh samada Dr Asri sengaja melanggar peraturan yang telah sedia diketahuinya memandangkan beliau adalah mantan Mufti Perlis. Apa yang saya nak sebut ialah perkara yang berlaku setelah itu.

Kesilapan Dr Asri ialah beliau mudah melatah. Maklumlah orang muda sheikh..Sepatutnya beliau meminta maaf walaupun beliau tidak bersalah kerana padang berlainan maka belalangnya pun lain sikit..janganlah mengunakan kata-kata seperti "ini sengaja untuk menjatuhkan reputasi saya","saya memilik Ph.D" dan kalau Dr mengambil pendekatan berdiam diri, rasanya masyarakat umum akan lebih menghormati dan menyanjungi Dr. yang memang berilmu dan mempunyai pemikiran kritis sesuai dengan imej tajdid yang Dr bawa.

Ada pula orang yang cuba mengaitkan kononnya penangkapan Dr Asri kerana beliau penganut dan berniat unmtk menyebar fahaman Wahabi di Malaysia. Pandangan serta perangai serupa ini mungkin biasa dalam masyarakat Melayu iaitu suka menambah-nambah. Inilah kadang-kadang punca perpecahan dan pergaduhan Melayu.

Ini disebabkan sebelum itu, Persatuan Peguam Syar'ie Malaysia telah menghantar memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong agar menimbangkan sekiranya ada cadangan daripada mana-mana pihak untuk melantik Dr Asri sebagai YDP Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Sebenarnya penangkapan Dr Asri dan memorandum yang dihantar adalah dua perkara yang berbeza.

Dr Juanda Jaya pula mengatakan ijazah Ph.D yang dimiliki tidak perlu tauliah lagi. Sepatutnya katalah lepas ini kita isi borang. Dalam borang berkenaan ada ruangan untuk kelulusan. Kalau ada Ph.D dua pun tulislah. Saya bukan mengalan atau mengolok kerana guru saya yang juga rakan arwah abah saya, Prof Dr Abdul Fatah Haron Ibrahim sewaktu belajar di India seorang pakar kajian ajaran sesat UKM dan juga penyelidik yang diiktiraf oleh JAKIM mempunyai ijazah Ph.D dan Juga D.D. (Doctor Of Divine). Rasanya Dr Fatah juga namanya tersenarai dalam senarai penceramah JAKIM. Kalau tidak sudah lama Dr Fatah ditangkap!

Saya mengkagumi ijazah Ph.D yang dimiliki namun isilah borang. Saya tidak setanding dengan Dr Asri mahupun Dr Juanda Jaya. Saya mantan Pengarah Biro Tatanegara Johor. Nasib kita serupa iaitu BTN juga diharamkan mengadakan ceramah dan menganjurkan kursus di Selangor. Setelah saya melepaskan jawatan Pengarah BTN Negeri, saya juga mengikuti kursus-kursus Training Of Trainers (TOT), saya mengikuti semula ceramah dan LDK BTN yang saya juga pernah terlibat sewaktu mesyuarat dan taklimat program. Saya lalui itu semua sama seperti penceramah dan fasilitator BTN yang lain. Apabila diperakukan oleh BTN, saya mula dijemput sebagai penceramah. Dan sewaktu saya di Akademi Kenegaraan, Putrajaya, saya berusaha agar semua bekas Pegawai BTN mengikuti dan memenuhi segala syarat supaya mereka tidak ketinggalan dalam menyumbang khidmat memberikan ceramah dan LDK. Janganlah ego sheikh..kadangkala yang di luar menyemarakkan api.

Janganlah kita memikirkan diri kita sahaja namun hormatilah juga bidangkuasa orang lain. kalau kita hormat kepada orang lain, insya Allah kita juga akan dihormati.

Ada satu blog diberi komen oleh pengunjungnya bahawa biarkan sahaja fahaman Syiah, Muktazilah, Khawarij dan mazhab-mazhab aqidah yang lain dari Ahli Sunnah wal Jamaah diajar di Malaysia. Ini pandangan main-main atau apa ni. Kalau fahaman Komunis dibiarkan diajar di negara kita bersetujukah anda? Mereka akan berkata pula fahaman Komunis lain sementara ini fahaman yang juga Islam. Dah banyak sangat kepandaian hingga memandai-mandai, Syiah ada banyak mazhab, ada yang dekat dengan Ahli Sunnah, namun apa tanggungjawab kerajaan ialah memastikan apakah umat Islam di Malaysia sudah mencapai tahap kematangan yang tinggi hingga mampu berhadapan dengan kepelbagaian mazhab yang akhirnya akan mencelarukan umat Islam yang cetek keilmuannya.

Apapun saya hargai niat murni Dr Asri untuk membawa minda tajdid supaya umat Islam di Malaysia seharusnya mengikuti sesuatu ajaran atau amalan dengan bersandarkan nas Qur'an dan Hadith bukan secara ikut membuta-tuli. Jihad ini memerlukan masa lantaran latarbelakang kefahaman agama dalam kalangan rakyat masih ada ruang-ruang untuk peningkatan. Semoga kita semua akan bersatu mendaulatkan Islam yang sedang dicabar oleh musuh-musuh Islam. Wassalam.






DOAKAN YANG BAIK SAHAJA

Lebih 1,000 rakyat Kelantan yang menggelarkan diri mereka Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan berhimpun di pekarangan pejabat Menteri Besar di Kota Darul Naim semalam.

Perhimpunan itu bertujuan menyerahkan memorandum mendesak Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan jawatan. Ini berikutan isu doa Nik Abdul Aziz supaya Allah memusnahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO.

Utusan Malaysia melaporkan perhimpunan tersebut.

Kita hormati hasrat sebahagian rakyat Kelantan yang mahukan Tuan Guru melatak jawatan. Mereka punya alasan tersendiri untuk berbuat demikian. Tetapi janganlah sehingga kita katakan rakyat Kelantan yang berhimpun itu tidak akan masuk syurga. Tidak masuk syurga hanya kerana mereka melawan ulamak. Melawan cakap ulamak bermakna melawan Islam sebab ulamak adalah pewaris Nabi.

Saya pernah menulis di dalam blog peribadi saya ini sedikit masa dulu bahawa saya pernah bertanya kepada seorang penceramah terkenal bergelar Datuk sewaktu saya mengambil beliau di lapanganterbang Senai untuk dibawa berceramah Maulid al-Rasul di Masjid Jamik Pekan Nanas. Beliau menyebut,” I swear that Nik Aziz is an ulamak but he is not a good politician.” Maksudnya beliau lebih cenderung agar Nik Aziz menjadi full time ulamak daripada menjadi seorang ahli politik.

Salah satu ‘kerja’ utama ulamak ialah berdoa. Ini sebenarnya bukan kerja seorang ulamak tetapi berdoa adalah tuntutan Allah kepada setiap manusia beriman. Berdoa menunjukkan ciri kelemahan manusia yang tidak dapat melakukan sesuatu melainkan dengan izin Allah.

Semua orang dituntut berdoa. Namun umat Islam pun tahu ada orang yang doanya makbul dan ada yang sia-sia sahaja berdoa. Namun berdoa adalah ibadah. Kita selalu minta orang alim atau orang yang kuat amalan salehnya iaitu abid suoaya mendoakan kita berjaya samada dalam pelajaran atau apa sahaja aktiviti kehidupan kita.

Saya pernah minta Dato’ Nooh Gadot waktu itu Mufti Kerajaan Negeri Johor mendoakan saya bila saya membayar bayaran ‘car wash’ kereta beliau di Taman Nong Chik, Johor Bahru.

Saya selalu mohon abah doakan saya supaya saya selamat dalam pekerjaan saya dan kehidupan.

Begitu besar peranan doa dalam kehidupan. Nabi s.a.w. mendoakan penduduk Taif dan Allah perkenankan akhirnya anak cucu mereka menerima Islam hingga kini.

Allah menyuruh kita berdoa yang baik-baik. Doakan yang baik-baik bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain. Doa supaya diampunkan dosa-dosa kita dan saudara-saudara Islam kita.

Kadangkala kita buat solat hajat dan pastinya mendoakan saudara kita umat Islam di Palestin, Afghanistan, Bosnia Herzegovina, Ambon, Aceh dan mana-mana bahagian dunia ini yang ada umat Islam.

Jadi mengapa kita doakan supaya jiran kita ditimpa bala oleh Allah Taala? Bukankah bala kalau diturunkan bukan sahaja akan mengenai musuh yang ada dalam negara bahkan dengan kita sekali yang ada di tempat tersebut? Sebab itu Allah perintahkan supaya Rasul-rasul terdahulu berserta pengikut baginda meninggalkan tempat atau negeri berkenaan sebelum Allah menurunkan bala.

Apa yang patut menjadi renungan kepada kita semua dalam isu Nik Aziz mendoakan kecelakaan orang lain (kalau boleh saya sebutkan begitu) ialah pandangan orang Islam awam dan juga orang bukan Islam terhadap institusi ulamak dan peranan doa.

Apakah boleh kita katakan kepada orang lain, “Kalau kau tak tolong aku, aku doakan kau tak selamat dan perniagaan kau akan rugi.” Ataupun ,”Kalau kau tak bagi apa yang aku minta, tunggulah bala dari Allah ke atas kau.”

Ini menunjukkan bahawa (kalau yang becakap begitu adalah saya), seolah-olah saya confident doa saya makbul. Jadi jaga-jagalah kamu. Ini dikhuatiri akan menanam sifat takbur dalam diri saya.

Pandangan orang juga akan berlaku begini. Saya sendiri tidak dapat menunjukkan contoh sebagai seorang Muslim yang baik (ini saya akui sendiri) bagaimana pula saya akan mendoakan supaya orang lain tidak selamat.

Alangkah baiknya kalau kita doakan begini:

“Ya Allah Ya Tuhan kami! Engkau berilah hidayah kepada pemimpin-pemimpin negara ini supaya mereka dapat menegakkan syariat Islam yang mungkin kami sendiri tidak mampu dan tidak terdaya untuk melakukannya. Jadikanlah kami sebagai penolong kepada kebenaran tanpa mengira siapa yang melakukannya.”

Amin Ya Rabb al-Alamin...!

Tuesday, December 1, 2009

TUAN GURU DAN MACHIAVELLIAN?

Saya muatkan tulisan yang tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia untuk rujukan dan sumbangsaran semua. Ini juga boleh menimbulkan perbincangan kalau boleh bukanlah polemik kerana kita sayangkan ulamak. Sejarah negara mengaitkan peranan ulamak sebagai golongan yang celik dalam membangkitkan semangat nesionalisme menentang penjajah demi menuntut kemerdekaan negara.

Nik Aziz bagaikan seorang Machiavellian

KISAH Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam beberapa minggu lepas semakin seronok untuk diamati. Dalam satu perbincangan antara ahli dalam kelompok Kelab Penyelidikan Politik Malaysia (KPPM), yang diadakan baru-baru ini, salah seorang ahli kami mengemukakan idea bahawa semakin hari Nik Aziz semakin mendekati pemikiran (dan tindakan) menyerupai Machiavellisme.

Sewaktu diminta menjelaskan lebih lanjut, sahabat itu menyatakan bahawa dalam menggenggam kekuasaan dan memastikan kuasa itu berterusan, seorang pengamal kaedah itu akan menggunakan apa sahaja alat kuasa - malah agama sekalipun. Kepada pengikut Machiavelli, agama bukanlah kemuncak ketaatan dan tujuan seseorang, tetapi kekuasaan. Agama hanyalah alat untuk mencapai kekuasaan.

Semua ahli lain agak terpegun dengan penjelasannya. Seterusnya rakan tersebut memetik hujah penulis tersohor Indonesia, Gunawan Mohamed dalam blognya caping.wordpress.com di bawah artikel bertajuk Cesare, kerana kata sahabat itu tidak ada banyak bezanya antara Paus (pope) dan seorang ulama dalam mencintai kuasa.

Tulis Gunawan, "Sang Paus tak peduli. Ia tak mendengarkan apa yang dikatakan orang ramai tentang dirinya. Ia mengukuhkan takhta kepausan, dan untuk itu segala cara ditempuh." Sebab itu apabila dibandingkan kekuasaan seorang ulama dengan seorang paus nampak tiada kalah bandingnya apabila Paus dalam kisah Cesare cuba menghalalkan semua tindakannya atas nama agama.

Kisah bagaimana Nik Aziz cuba menyelamatkan menantunya yang sedang disiasat, hinggakan Ahli jawatankuasa Pas Pusat termasuk Presiden terpaksa turun berjumpa dan menasihatinya adalah bukti kukuh bahawa kaedah itu sedang berlangsung.

Apabila suatu perkara dianggap tidak kena dengan pandangan Menteri Besar Kelantan yang juga seorang ulama, maka ulama itu mengugut untuk mendoakan kecelakaan contohnya dalam isu tuntutan royalti minyak di Kelantan.

Apabila ditegur pihak lain bahawa selaku ketua eksekutif pentadbiran tertinggi sebuah negeri tidak boleh menerima tajaan (untuk tujuan apa sekalipun) apatah lagi pihak penajanya diragui sebagai mempunyai kepentingan tertentu dalam perbadanan negeri, Nik Aziz mencemuh pandangan tersebut dengan menyatakan bersedia untuk menerima tajaan lagi pada tahun hadapan.

Bagaimana menilai Machiavelli? Gunawan Mohamed cuba menjawabnya. Tulisnya, "...salahkah Machiavelli? Hegel memuji pemikir politik Italia dari abad ke-16 itu dalam hal "kesadarannya yang tinggi tentang hal-hal yang nescaya dalam membentuk sebuah negara". Semuanya harus bisa diperalat, juga agama.

Machiavelli mengambil teladan dari Numa Pompilius yang memimpin Roma: untuk menjinakkan sebuah masyarakat yang ganas dengan cara yang damai. Numa memakai agama sebagai "penopang yang paling perlu dan pasti bagi tiap masyarakat yang beradab" (caping.wordpress.com).

Nampaknya dalam penilaian Gunawan, kaedah Machiavelli sekalipun nampaknya boleh dihalalkan sekiranya matlamatnya betul, katakan dalam kes Roma adalah untuk negara. Tetapi dalam kes kerajaan dan pentadbiran Nik Aziz di Kelantan, tidak nampak kes menantu dan tajaan itu menjurus kepada kepentingan negeri.

Dengan itu, Gunawan menyimpulkan, "...bagi Machiavelli dorongan pertama bukanlah dorongan relegius, bukan untuk mendekatkan diri kepada kebaikan yang kekal, melainkan dorongan politik: berkuasa dan melahirkan ketertiban. Nilai-nilai yang dianjurkan Tuhan tak penting kecuali untuk itu."

Kepada kami di Kelab Penyelidikan Politik Malaysia, dalam isu Nik Aziz hampir-hampir kami dapat rumuskan bahawa ia sudah terang lagi bersuluh, kesilapannya jelas kelihatan di pihak menteri besar itu. Namun siapalah kami untuk memberikan justifikasi dan hukuman. Mungkin hukuman terbaik adalah hukuman politik yang datangnya empat tahun sekali.

Namun siapa yang dapat menduga, dengan kesalahan sebesar Gunung Atlas sekalipun, pengikut tuan guru masih lagi sanggup membutakan mata dan memekakkan telinga.

Umar Zain

Setiausaha, Kelab Penyelidikan Politik Malaysia

p/s: Nabi s.a.w. bersabda maksudnya, Dua golongan umatku kalau baik kedua-duanya maka akan baiklah umatku iaitu golongan umarak (pemimpin) dan ulamak (alim dalam hukum-hakam Islam).

WARGA PEKAN NANAS MEMELUK ISLAM

Alhamdulillah pada Hari Tasyrik 12 Zulhijjah, seorang warga Pekan Nanas beragama Hindu Encik Samoya a/l Alimulem bersama anaknya Anandan telah memeluk Islam. Encik Samoya, 67 tahun telah memeluk Islam dengan menggunakan nama Muslim, Muhammad bin Abdullah dan mendaftar di Pejabat Agama Islam Daerah Pontian dengan anaknya Anandan 30an disambut dengan gembira oleh ahli-ahli kariah Masjid Jamik Pekan Nanas, Pontian.

Hari Raya Qurban tahun ini menyaksikan Encik Samoya telah meninggalkan 'amalan' harian beliau sebagai penjaga kuil Jalan Sawah berhampiran asrama SMK Dato' Mohd Yunos Sulaiman, Pekan Nanas.

Hidayah telah mengetuk pintu hati Encik Samoya dan Anandan untuk menjejaki langkah seorang lagi anak Samoya iaitu Hishamuddin yang telah terlebih dahulu meninggalkan agama warisan nenek moyang mereka demi mendapat keredhaan Allah.

Bertuah lah kita yang mengenali Islam sejak lahir hasil keimanan ayah dan ibu kita.

Teringat juga pesanan abah ketika hidup, kadang-kadang manusia terlalu merancang seolah-olah berkuasa menentukan hala tuju hidup kita tetapi terlupa sejenak untuk berdoa kepada Allah Taala.

Maka janganlah kita mendoakan yang tidak baik untuk orang lain sebaliknya marilah bersama-sama kita kita mendoakan kesejahteraan umat manusia di sekeliling kita. Rasulullah s.a.w. mendoakan penduduk Taif walaupun baginda telah dibaling dengan batu serta dilontar dengan kata-kata penghinaan oleh penduduk Taif. Nabi s.a.w. kasihankan penduduk Taif kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang tidak mengetahui.

Hari Raya Qurban mengajak kita supaya mengorbankan sifat-sifat keji dan berkasih-kasihan kerana Allah kepada manusia sejagat.

Musuh-musuh Islam tidak perlu mengusik tempat-tempat ibadah dan kitab al-Qur'an selain dijaga oleh Allah Taala, umat Islam dilalaikan oleh mereka supaya menjauhi amalan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Allah Akbar wa li Allah al-Hamd. Wassalam.