Monday, November 2, 2009

ROKOK HARAM?

SECARA teorinya 1 Januari ini akan bermulalah langkah terbaru kerajaan bagi mengekang tabiat buruk yang kian bersarang dan bercambah dalam kalangan masyarakat iaitu merokok.

Ketika ini, banyak saranan disuarakan bagi menyokong usaha berkenaan. Antaranya, menaikkan harga rokok sehingga menjadi RM30 sekotak.

Walaupun mendapat banyak bantahan, cadangan itu dilihat sebagai satu lagi usaha bersungguh-sungguh untuk memberitahu rakyat mengenai bahaya rokok.

Apa yang nyata, sungguh sukar untuk menyedarkan masyarakat mengenai bahaya rokok. Ramai yang tahu tetapi buat-buat tidak tahu akan bahaya merokok.
Tanggapan bahawa "merokok pun bukannya kena apa-apa" merupakan suatu pernyataan yang angkuh dan cuba mendustakan kebenaran.

Hatta bagi seorang yang 'pakar' merokok pun tidak boleh menafikan bahaya tabiat ini. Bahkan ia lebih tidak berperi kemanusiaan kerana sanggup 'berseronok' sendirian dan membiarkan kesannya ditanggung oleh orang-orang di sekitar. Kesan perokok pasif ini telah dibuktikan dengan begitu meluas dalam jurnal-jurnal perubatan antarabangsa.

Statistik semasa menunjukkan angka yang kian membimbangkan walaupun pelbagai usaha berterusan diterapkan dalam masyarakat. Contohnya, kajian yang dijalankan di sebuah negeri di Malaysia menunjukkan 15 peratus daripada 1.1 juta penduduknya adalah perokok.

Angka ini bersamaan dengan 167,100 orang dan apa yang lebih menakutkan ialah peningkatan yang agak tinggi dikenal pasti dalam kalangan mereka yang berumur 13 hingga 18 tahun.
Dan kita percaya angka-angka yang sama juga ditunjukkan di negeri-negeri lain jika kajian dibuat.

Seperkara yang mungkin paling berkesan yang belum dilakukan oleh kerajaan ialah mewartakan fatwa haram merokok seperti yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan 1995.

Walaupun ia dilihat sebagai berat dan mempunyai pelbagai implikasi ekonomi dan perundangan, namun alternatifnya pasti ada. Pewartaan ini menggambarkan kesepakatan semua pihak yang merasakan adalah menjadi tanggungjawab bersama membasmi tabiat merokok. Ia bukan hanya tanggungjawab Kementerian Kesihatan yang bermati-matian memeranginya sedangkan tidak dipedulikan oleh pihak lain.

Masih ramai dalam kalangan masyarakat termasuk juga golongan berilmu yang berselindung di sebalik 'makruhnya' hukum merokok sedangkan kenyataan tersebut merupakan suatu yang telah tamat tempohnya.

Juga para penjual yang tidak nampak salahnya menjual rokok kerana pengharamannya tidak diwartakan.

Entah dari mana perkataan makruh merokok ini diperoleh pun tidak diketahui melainkan diwarisi secara turun-temurun oleh mereka yang mencari alasan untuk terus kekal dengan tabiat yang tidak mendatangkan faedah ini.

Walhal, jelas sekali berdasarkan fakta dan kajian terkini terbukti akan mudaratnya bukan sahaja mengatasi manfaat bahkan ia tiada sedikit pun manfaat selain khayalan-khayalan yang boleh direka-reka.

Kesepakatan antara penemuan-penemuan perubatan serta prinsip-prinsip dalam agama yang menjadi panduan dan membawa kesejahteraan umatnya sewajarnya menjadi paksi yang lebih kukuh berbanding alasanalasan berdasarkan tanggapan yang langsung tiada meritnya dalam apa jua bidang ilmu.

Persepsi merupakan suatu yang penting dalam menggalak atau mencegah sesuatu perlakuan.
Jika hanya sekelompok masyarakat yang menganggap perbuatan merokok ini menjijik dan merosakkan tetapi majoriti masih belum menukar paradigma lama yang menganggap ia adalah masalah individu, maka selama itulah ia akan berlarutan sebagai masalah kronik dalam masyarakat.

Dengan pewartaan haramnya merokok dan disebarkan melalui media secara lebih terbuka dan berkesan, persepsi akan mula diubah dengan lebih mudah berbanding dengan kaedah-kaedah berlembut seperti menaikkan harga sedikit demi sedikit, menambah senarai kawasan larangan merokok dan kempen-kempen yang selama ini dijalankan.

Mereka yang menghisap rokok akan dilihat sebagai melibatkan diri dengan perbuatan haram yang terang-terangan.

Penjual di kedai-kedai akan mengawal jualan atau menutup ruangan menjual rokok di premis-premis mereka.

Guru-guru, pensyarah dan ustaz akan lebih mudah mengkategorikannya dan secara jelas mengubah persepsi masyarakat betapa salahnya merokok kerana kemudaratannya bukan sahaja kepada diri sendiri bahkan lebih parah pada orang lain. Maka apakah lagi halangannya, wartakan sahaja.

Atau adakah kita masih mahu berhati-hati dan tidak mahu dilihat ekstrem agama kerana menggunakan halal dan haram bagi mengubah tabiat manusia?

Isu yang memudaratkan orang ramai ini sebenarnya bukan isu agama semata-mata. Apa kata tambahkan lagi kawasan larangan merokok daripada senarai sedia ada kepada seluruh tempat yang ada dalam lingkungan peta Malaysia.

Dr. Irfan Mohamad
Pensyarah Kanan Perubatan ORL
Pusat Pengajian Sains Perubatan
Universiti Sains Malaysia

Sunday, November 1, 2009

BERDOA ADALAH IBADAH

Dalam Surah Fussilat ayat 51, Allah menyebutkan bahawa manusia apabila mendapat nikmat lupa untuk berdoa tetapi apabila ditimpa kesusahan memohon doa kepada Allah. Sepatutnya manusia yang beriman memanjatkan doa kepada Allah Taala samada di waktu senang mahupun di waktu susah.

Contoh manusia yang sentiasa mengingati Allah di kala mendapat nikmat yang sangat banyak ialah Nabi Allah Sulaiman a.s. Baginda adalah Nabi, Rasul, Raja dan memiliki kekayaan. Baginda bukan sahaja memerintah manusia bahkan juga memerintah golongah jin. Nabi Ayyub a.s. pula merupakan contoh manusia yang sentiasa berdoa kepada Allah di kala suka dan di waktu duka.

Makbulnya doa adalah hak Allah s.w.t. namun sebagai hambaNya marilah kita berusaha supaya doa kita diterima Allah dengan mengamalkan beberapa perkara antaranya:

1. Pastikan makanan dan minuman serta pakaian kita datang dari sumber yang halal. Ada hadis menyebutkan doa seorang yang makanan dan pakaiannya haram, Allah tidak akan memperkenankan doanya.

2. Membersihkan dan menyucikan diri kita zahir dan batin. Membersihkan diri dengan berwuduk dan menyucikan batin dengan berzikir dan beristighfar.

3. Membanyakkan pujian kepada Allah Taala kerana hanya Allah sahaja yang memperkenankan doa hambaNya. Kita memuji dengan menggunakan nama-nama yang terkandung dalam Asma'ul Husna.

4. Jangan lupa berdoa dengan membaca selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.n

5. Mencari waktu yang hening untuk berdoa seperti sepertiga malam.

6. Kalau boleh berdoa dengan mengunakan doa yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w. (ma'thur). Namun tidak ada salahnya berdoa dengan menggunakan bahasa kita sendiri.

6. Mintalah doa kepada Allah yang sepadan dengan kita dan jangan meminta sesuatu yang tidak masuk akal.

Manakala golongan yang tidak ditolak doanya oleh Allah Taala:

1. Ibubapa yang mendoakan kesejahteraan anak-anaknya.

2. Doa orang yang dizalimi atau teraniaya.

3. Doa pemimpin yang adil.

4. Orang yang berjuang pada jalan Allah (Fi Sabilillah) contohnya para pendakwah.

5. Orang-orang yang sedang berpuasa.

6. Anak-anak yang saleh dan salehah yang mendoakan kesejahteraan kedua ibubapa mereka.

Hanya Allah Maha Berkuasa memakbulkan doa.

PROPOSAL KAJIAN

TOKOH ULAMAK SILAM NEGERI SELANGOR
DATO’ HJ MAHMAD MUHTAR BIN HJ MAHMAD SALLEH


Nama Datuk Hj Mokhtar Salleh atau di dalam kad pengenalan Hj Mahmad Muhtar bin Mahmad Saleh tidak dapat dipisahkan daripada sejarah perkembangan sekolah-sekolah agama di bawah tadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sebagai bekas guru agama sekembalinya dari menamatkan pengajian di Deoband, India dan kemudiannya bertugas di ibupejabat jabatan agama dalam bidang pelajaran setelah menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Syariah Universiti al-Azhar untuk jangkamasa yang agak panjang, sudah pasti di sepanjang karier beliau, tumpuan serta usaha bagi mengangkat martabat sekolah-sekolah agama sentiasa menjadi agenda kerja beliau.

Beliau memulakan karier di jabatan agama sebagai Setiausaha Pelajaran (SUP), Jabatan Ugama Islam Selangor (JUIS) iaitu nama lama jabatan sebelum dipinda kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan kemudian jawatan tersebut ditukarkan kepada nama Penolong Pengarah Pelajaran sesuai dengan perkembangan semasa itu. Tempoh berkhidmat secara khusus dalam bidang pelajaran Agama Islam yang agak lama pada tahun-tahun 70an dan 80an telah membawa kepada pencapaian dan peningkatan taraf sekolah-sekolah agama baik dari segi perkembangan fizikalnya mahupun kualiti guru-gurunya serta pengiktirafan sijil-sijil keluaran JAIS oleh beberapa universiti Islam luarnegara seperti al-Azhar, Madinah, Morocco dan sebagainya. Pengiktirafan terhadap usaha beliau ini telah dirakamkan di dalam Wikipedia, sebuah ensaiklopedia bebas:
Mokhtar Salleh
Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.
Datuk Haji Mokhtar Salleh merupakan seorang Penolong Pengarah di Bahagian Pelajaran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Malaysia. Dalam tempoh perlantikannya antara 21 September 1970 dan 16 Oktober 1984, beliau bertanggungjawab untuk memperkenalkan dan menyelaraskan bidang akademik dan kokurikulum bagi semua sekolah di bawah JAIS.
Datuk Mokhtar berhasrat untuk menubuhkan dua buah sekolah agama di dalam setiap daerah Selangor untuk menjimatkan perbelanjaan pendidikan yang diagihkan kepada sekolah-sekolah JAIS.
Tanggagaji guru-guru agama JAIS juga menjadi agenda beliau dalam memperjuangkan nasib dan kebajikan mereka. Perjuangan ini menjadi satu kenyataan namun sepertimana yang disebutkan dalam biodata penganugerahan Tokoh Guru Jabatan Agama Islam Selangor yang diterima beliau, “Tanggagaji beliau sendiri tidak ada siapa yang memperjuangkannya.”
Ringkasnya, dalam jangkamasa dua dekad beliau memperjuangkan sekolah-sekolah agama sebagai Penolong Pengarah Pelajaran dan usaha-usaha beliau berterusan apabila beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang pertama dari kalangan ‘orang dalam’ iaitu dari kalangan pegawai JAIS sendiri. Sebelum itu, jawatan Pengarah JAIS disandang oleh mereka dari kalangan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), bekas majistret dan lain-lain lagi.
Sebaik sahaja dilantik ke jawatan Pengarah JAIS, beliau telah memaklumkan bahawa beliau bertekad untuk memberi tumpuan kepada bidang pendidikan dan dakwah di Negeri Selangor sebagaimana yang dilaporkan di dalam akhbar. Jawatan Pengarah JAIS yang disandang telah menempatkan beliau sebagai Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan kesempatan ini digunakan bagi melibatkan rakan-rakan beliau di dalam MAIS sebagai Ahli Majlis bagi tujuan memperjuangkan sekolah-sekolah agama terutamanya aspek pengiktirafan sijil-sijil keluaran JAIS. Antara rakan-rakan yang dilantik sebagai Ahli Majlis Agama Islam Selangor ialah Datuk Hj Zainal Abidin bin Abd Kadir dan Datuk Dr Hasan Ali.

Selain daripada melaksanakan tugas-tugas pentadbiran sebagai Penolong Pengarah Pelajaran dan Pengarah JAIS, beliau juga semasa hayatnya telah menyumbangkan khidmat bakti sebagai Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor. Kelulusan dan kelayakan akademik beliau sebagai pemegang Ijazah Sarjana Syariah dari Universiti al-Azhar sebenarnya melayakkan beliau untuk memegang jawatan Kadi atau Mufti namun beliau memilih jawatan Setiausaha Pelajaran waktu itu. Keilmuan beliau dalam bidang syariah Islamiyyah dan fatwa disalurkan melalui penglibatan di dalam Majlis Fatwa Negeri Selangor.

Sejak dari zaman muda lagi, beliau telah mengajar di masjid-masjid dan memenuhi undangan berceramah di seluruh Negeri Selangor. Kegigihan beliau mengajar berdasarkan kitab-kitab lama dan baru di masjid-masjid diteruskan hinggalah beliau semakin uzur dan tidak dapat meneruskan aktiviti tersebut lantaran keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Di sepanjang perjalanan karier beliau sebagai Pengarah JAIS, beberapa isu telah timbul yang menuntut penyelesaian dan ketegasan daripada pihak berkuasa agama negeri. Isu-isu seperti anti hadis oleh kumpulan serta penyokong Kassim Ahmad, isu Jemaah al-Arqam dan Aurad Muhammadiyyah, kes pemakaian purdah oleh siswi universiti dan dibuang oleh pihak pentadbir, isu tafsiran terhadap konsep mati syahid ekoran Peristiwa Memali, konsep Negara Islam adalah merupakan antara beberapa isu berbangkit bertepatan dengan era yang diberi nama “Zaman Kebangkitan Islam” atau “The Rising Tide Of Islam.” Kerajaan Persekutuan juga pada masa yang sama telah menubuhkan beberapa institusi Islam seperti Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam dan lain-lain sesuai dengan tuntutan umat yang telah meningkat kesedaran menghayati Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap. Pada masa ini juga, Jemaah al-Arqam telah mengeluarkan kenyataan mencabar supaya Jabatan-jabatan Agama Islam Negeri diserahkan kepada mereka kerana mendakwa pengurusan mereka (al-Arqam) lebih berkesan daripada yang telah dilaksanakan oleh jabatan-jabatan agama Islam negeri-negeri.

Kehidupan yang menyiksakan sewaktu zaman penjajahan Jepun pastinya tidak dapat dilupakan oleh mereka yang telah melaluinya. Satu aspek yang menarik untuk dikaji ialah latarbelakang tokoh ini dalam perjalanan serta pengembaraannya mencari ilmu sampai ke luarnegara. Bermula dari kembara ilmunya ke sekolah pondok di utara tanahair, pengalaman menuntut ilmu di India serta belajar di perantauan di peringkat pasca-siswazah di Kahirah bersama anak dan isteri adalah liku-liku pencarian ilmu yang menuntut darjah kesabaran yang tinggi. Motivasi kendiri untuk belajar tanpa jemu merupakan antara sisi kehdupan yang boleh dijadkan panduan kepada generasi terkemudian.

Di dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan pula, kegiatan beliau sebagai Yang Dipertua Persatuan Ulamak Malaysia Negeri Selangor dan Pengerusi PEYATIM telah menambahkan jasa beliau dalam kegiatan kemasyarakatan.

Anugerah yang beliau perolehi seperti Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor, Tokoh Guru Jabatan Agama Islam Negeri Selangor dan Tokoh Kolej Islam Darul Ehsan (KISDAR) sebagai bukti pengiktirafan Kerajaan Negeri Selangor terhadap jasa dan sumbangan beliau kepada pembinaan keilmuan dan tamadun di Negeri Selangor.

Maka kajian atau penulisan terhadap sumbangan serta pengorbanan tokoh ini dalam memperjuangkan syiar Islam wajar dihayati dan dijadikan penyuntik semangat kepada generasi terkemudian.
Al-Fatihah.




















KATA PENGANTAR

PRAKATA

SALASILAH KETURUNAN

PENDIDIKAN
Pendidikan Sistem Pondok
Pengajian di India
Pengajian di Mesir

KELUARGA

PENGALAMAN KERJAYA
Guru Agama JAIS
Penolong Pengarah Pelajaran JAIS
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor
Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)
Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor

PEMIKIRAN DAN PANDANGAN
Buletin JAIS/MAIS
Fatwa dan pemikiran
Anti hadis Kassim Ahmad
Peristiwa Memali
Aurad Muhammadiyah

ANUGERAH DAN TAULIAH
Pingat DSSA dan PPT
Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor
Tokoh Guru JAIS
Tokoh Kolej Islam Darul Ehsan (KISDAR)

SUMBANGAN TERHADAP PERKEMBANGAN PELAJARAN AGAMA ISLAM DI NEGERI SELANGOR
Perkembangan sekolah-sekolah agama
Perjuangan penyelarasan tanggagaji guru-guru Agama Negeri Selangor
Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Agama JAIS oleh Universiti al-Azhar dan Morocco
Perkembangan Maahad Tahfiz
LEPAI

SUMBANGAN TERHADAP PERKEMBANGAN DAKWAH DI NEGERI SELANGOR
Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, Masjid Negeri Selangor
Aktiviti dakwah Negeri Selangor

AKTIVITI KEMASYARAKATAN
Yang Dipertua Persatuan Ulamak Malaysa (PUM) Cawangan Selangor
Pengerusi PEYATIM

PERIBADI DAN SIFAT UTAMA
Berani menyuarakan pandangan
Tegas dalam prinsip
Menerima pandangan daripada cendekiawan muda

LAMPIRAN KERATAN AKHBAR/MAJALAH/PENERBTAN

BIBLIOGRAFI
BIODATA PENULIS

DOA UWAIS AL-QARNI

Rasulullah s.a.w. telah berpesan kepada Saidina Umar dan Saidina Ali:
Akan lahir di kalangan tabiin, seorang insan yang doanya sangat makbul, namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir pada zaman kamu."

Tabiin maknanya satu kumpulan insan yang tidak sempat berjumpa dengan Nabi s.a.w. tetapi sempat berjumpa dengan sahabat Nabi sahaja. Kalau orang itu sempat berjumpa dengan Nabi, orang itu dipanggil sahabat. Kalau orang itu lahir ke dunia setelah Nabi wafat tetapi sempat berjumpa dengan sahabat Nabi, orang itu dipanggil tabiin. Maka Uwais al-Qarni yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w. dari kalangan tabiin iaitu sempat berjumpa dengan sahabat Nabi sahaja.

Siapakah Saidina Umar dan Saidina Ali? Mereka berdua adalah antara orang-orang yang telah disenaraikan "al-Mubasyirun bil Jannah" iaitu mereka sudah djamin masuk syurga.

Nabi berkata kepada dua oang bakal ahli syurga itu,"Pada zaman kamu akan lahir seorang insan yang doanya sangat makbul. Kamu berdua pergilah cari dia. Dia akan datang dari ara Yaman dan dibesarkan di Yaman. Kalau berjumpa dengannya, minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua."

Banarlah kata Nabi, Uwais al-Qarni telah muncul pada zaman Saidina Umar dan Saidina Ali. Mereka tunggu dan mencari qabilah-qabilah yang datang dari Yaman ke Madinah. Akhirnya mereka bertemu dengan Uwais al-Qarni. Pada pandangan mata biasa, tidak mungkin dia orang yang Nabi maksudkan. Ini kerana pada pandangan orang yang datang bersamanya, menganggapnya sebgai seorang yang mempunyai akal yang tidak sempurna. Tetapi orang tidak tahu dia ada keistimewaan tersendiri.

Asal-usul Uwais al-Qarni

Dia asalnya mempunyai penyakit sopak sejak lahir. Badannya piutih kerana penyakit yang tidak disukai orang. Walaupun berpenyakot sopak, beliau seorang yang saleh, terlalu mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia berusaha untuk mendapat keredaan ibunya sementara bapanya telah meninggal dunia sejak dia masih kecil lagi.

Pada satu hari, ibunya memberitahu Uwais bahawa dia ingin sangat pergi menunaikan ibadat haji. Ibunya menyuruh supaya usahakan agar dia dapat dibawa ke Mekah. Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan membawa ibunya kerana pada zaman itu, kebanyakan orang pergi haji dari Yaman ke Mekah, mereka menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang d atasnya "Haudat." Haudat ini seperti sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, sewa da perbelanjaan haudat ini sangat mahal. Uwais tidak mampu menyediakannya, unta dia tidak miliki dan untuk menyewanya pun dia tidak mampu.

Ibu Uwais bertambah uzur dan dia berkata kepada anaknya,"Anakku, mungkin ibu sudah tidak lama lagi bersamamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji."

Uwais mendapat satu ilham. Dia pun pergi membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan telah habis menyusu. Dibinanya sebuah pondok kecil di atas sebuah "Tilal" iaitu sebuah tanah tinggi. Lembu itu pun diletakkan di dalam pondok.

Apa yang Uwais lakukan? Pada setiap petang, Uwais mendukung anak lembu itu naik ke atas tanah tinggi (Tilal). Pada keesokan paginya, dia dukung anak lembu itu turun untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya pada setiap hari. Ada ketikanya, dia mendukung anak lembu itu mengelilingi bukit tempat dia beri lembu itu makan. Perbuatannya itu menyebabkan orang kata dia gila.

Pada pandangan biasa, dengan kedua tangannya. memang pelik Uwais ini. Apa tidaknya! Buatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari usung lembu, petang bawa naik, pagi bawa turun bukit.

Apa sebenarnya niat Uwais? Lembu yang betat asalnya 20kg selepas enam bulan, berat lembu itu akan meningkat kepada 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais sudah menjad kuat. Latihan demikian telah menyebabkan Uwais mampu mengangkat lembu seberat 100kg dengan turun dan naik bukit dengan mudah sahaja.

Selepas lapan bulan, telah sampai musim haji. Perbuatannya itu adalah sebagai persediaan untuk membawa ibunya mengerjakan haji. Makna Qarni ialah tanduk. Perbuatan mendukung anak lembu itu menyebabkan Uwais digelar Uwais al-Qarni.

Uwais memangku ibunya dari Yaman ke Mekah dengan kedua tangannya. Di belakang badannya, diletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung, apatah lagi ibunya yang beratnya cuma di sekitar 50kg sahaja. Uwais mendukung dan memangku ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, sesampai sahaja di Mekah, mendukung ibunya di Padang Arafah, mengerjakan tawaf dan saie dengan begitu mudah sekali. Dia seterusnya mendukung ibunya kembali semula ke rumah mereka di Yaman dari Mekah.

Setelah sampai di rumah mereka di Yaman, ibunya bertanya,"Uwais, apa yang kamu doa sepanjang kamu berada di Mekah?"

"Saya berdoa agar Allah ampunkan dosa-dosa ibu." jawab Uwais.

Ibunya bertanya lagi, "Bagaimana pula dengan dosa kamu?"

"Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga, cukuplah ibu redha dengan saya maka saya juga akan masuk syurga." jawabnya.

Ibunya berkata lagi,"Ibu mahu kamu berdoa supaya Allah sembuhkan sakit sopak kamu itu."

Kata Uwais,"Saya keberatan untuk berdoa seperti apa yang ibu minta kerana sopak ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, semacam saya tidak bersyukur dengan pemberian Allah."

Ibunya menambah,"Kalau nak masuk syurga, kena taat perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa seperti apa yang ibu suruh."

Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan seraya berdoa supaya Alah sembuhkan penyakit sopak seperti perintah ibunya. Takutkan masih ada dosa pada dirinya, dia berdoa,"Ya Allah kerana ibuku menyuruh berdoa sembuhkan sopak pada badanku ini, Engkau tinggalkan sedikit sahaja."

Allah s.w.t. sembuhkan penyakit sopak serta-merta kecuali tinggal sedikit satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Kalau pada Nabi, baginda ada tanda Khatam Nubuwwah iaitu tanda kenabian, tanda pada Nabi bersinar. Tanda tompok putih pada Uwais sebab dia minta pada Allah supaya jangan buang semuanya kerana sopak adalah anugerah Allah. Nabi sebut tanda ini kepada Saidina Umar dan Saidina Ali. Nabi kata, tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih (sopak). Kalau berjumpa dengan tanda itu, dialah Uwais al-Qarni.

Tidak lama selepas Uwais berdoa sedemikian, ibunya pun meninggal dunia. Uwais telah menunaikan semua perintah ibunya. Beliau menjadi orang yang paling tinggi martabat di sisi Allah.

Saidina Umar dan Saidina Ali menunaikan wasiat Nabi s.a.w. supaya berjumpa dengan Uwais al-Qarni yang sangat makbul doanya hinggakan penyakit sopaknya dapat sembuh hanya dengan doa. Nabi s.a.w. berpesan supaya Uwais mendoakan agar Allah ampunkan dosa-dosa Saidina Umar dan Saidina Ali. Maka doa yang paling utama ialah doa minta Allah ampunkan dosa-dosa kita. Doa Uwais sangat makbul kerana sangat taatkan ibunya.

Saidina Umar menawarkan jawatan kepada Uwais tetapi dia lebih suka menjadi orang biasa sahaja. Itulah Uwais al-Qarni, orang yang sangat terkenal di langit tetapi tidak terkenal di dunia.

(Sedutan ceramah guru saya Prof Dato' Dr Haron Din).


















BERUSAHA UNTUK KHUSYUK DALAM SOLAT

Khusyuk dalam solat sangat dituntut seperti Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Mukminun ayat 1-2 dan Surah al-Baqarah ayat 238. Sedarlah kita bahawa solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di Akhirat oleh Allah s.w.t. berbanding amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka akan dihitung pula amalan yang lain.

Untuk kita berusaha supaya dapat khusyuk dalam solat, amalan berikut elok diamalkan oleh kita semua yang menunaikan solat.


1. Menjaga makanan dan minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya berasal dari punca atau sumber yang halal tanpa syubhah.

2. Kita anggapkan saat-saat kematian kita hampir tiba dan solat yang akan kita dirikan merupakan solat terakhir dan kita akan lakukan solat secara yang terbaik.

3. Mendirikan solat di awal waktu atau sekurang-kurangnya di pertengahan waktu supaya tidak melakukan solat secara tergopoh-gapah kerana mengejar masa yang hampir habis.

4. Membaca dengan baik (Husnul Qari'ah), berusaha untuk memahami erti bacaan dalam solat termasuk ayat-ayat al-Qur'an yang dibacakan terutama Surah al-Fatihah, maksud gerakan dalam dan makna bacaannya. Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang tersirat yang patut difahami oleh orang yang melaksanakannya.

5. Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha menumpukan kepada solat dengan penuh konsentrasi bagi menimbulkan kesedaran bahawa Allah memerhatikan solat kita.

6. Rasa malu (haya') kepada Allah dan rasa takut (khauf) kepada kekuasaan Allah semasa melakukan solat.

7. Berharap serta yakin bahawa Allah menerima solat dan amalan kita.

8. Menghadirkan hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan keduniaan yang boleh mengganggu serta tidak bekaitan dengan solat.

9. Membesarkan Allah serta merasakan kehebatan Allah dalam solat.

10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang boleh melekakan kita semasa solat.

11. Melaksanakan solat bejemaah.

12. Mengambil wuduk dengan sempurna.

13. Mengurangkan pergerakan anggota seperti tangan, kaki dan sebagainya yang tidak perlu. Mata ditumpukan ke tempat sujud dan ketika membaca tasyahhud kita melihat anak jari.

14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun solat bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.

15. Tidak solat dengan memakai pakaian yang mempunyai gambar, warna-warna yang melampau, pakaian yang mempunyai tulisan, lukisan dan lain-lain kerana dikhuatiri mengganggu khusyuk solat orang lain ketika berjemaah.

Sayugia diingatkan, syarat khusyuk yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri seseorang terhadap Allah. Oleh itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan memperkuatkan iman.

Imam al-Ghazali menyebut orang yang tidak khusyuk dalam solat adalah sia-sia belaka kerana solat mencegah perbuatan fahsya' dan munkar.

Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perbuatan keji dan munkar.

Saidina Ali karramallahu wajhah begitu khusyuk dalam solat hingga apabila dicabut panah di betisnya, baginda tidak terasa apa-apa kesakitan. Saidina Umar al-Khattab pernah berkata: "Khusyuk itu bukan tundukan kepala, tetapi khusyuk itu di dalam hati."

Maka saya menyeru diri saya dan semua sahabat agar kita dapat sama-sama mempertingkatkan kualiti solat demi mencapai mardhatillah.





FIR'AUN HANYA MANUSIA BIASA

Dalam al-Qur'an dirakamkan kisah Nabi Musa dengan kedurhakaan Fir'aun. Nabi Musa diperintahkan Allah untuk berdakwah kepada bapa angkatnya sendiri iaitu manusia biasa yang mengaku dirinya Tuhan.

Fir'aun dan bala tenteranya telah mengejar Nabi Musa dan pengikutnya. Sesampai sahaja di Laut Merah, Nabi Musa kebingungan dan tidak tahu berbuat apa-apa. Baginda hanya menyerahkan kepada Allah Taala. Tentera Fir'aun semakin menghampiri.

Turun wahyu dari Allah Taala. Nabi Musa diperintahkan supaya memukulkan tongkat baginda ke air dan dengan kuasa Allah Taala Laut Merah terbelah. Nabi Musa dan pengikut baginda melintasi laut tersebut. Fir'aun dan tenteranya turut melintas untuk mengejar Nabi Musa tetapi akhirnya dia ditenggelamkan ke dalam Laut Merah akibat kedurhakaannya.

Terbelahnya Laut Merah membuktikan mukjizat Nabi Musa alaihis salam. Kisah ini bukan sahaja disebut dalam al-Qur'an tetapi juga disebut dalam kitab samawi yang lain.

Semua yang diceritakan dalam al-Qur'an benar belaka. Kajian saintifik zaman moden membuktikan kejadian yang benar dari segi dalil aqli sahaja namun ianya tetap benar walaupun tanpa kajian saintifik.

Al-Qur'an bukan sebuah kitab sejarah seperti kitab sejarah yang lain. Namun dalam al-Qur'an terdapat kisah-kisah umat terdahulu untuk dijadikan iktibar kepada umat terkemudian.

Saya ingin menarik perhatian kepada penemuan yang telah ditemui oleh seorang arkeologi, Ron Wyatt. Untuk selanjutnya boleh layari www.wyattmuseum.com. Beliau mendakwa telah terjumpa beberapa bangkai roda kereta tempur di dasar Laut Merah pada akhir tahun 1988. Mungkinkah itu roda kereta tempur Fir'aun yang tenggelam ketika mengejar Nabi Musa alaihis salam? Wyatt dan pasukannya juga menjumpai tulang-tulang manusia dan juga tulang-tulang kuda. Hasil ujian yang dilakukan oleh Stockholm University terhadap sisa tulang-temulang tersebut mendapati struktur dan rangka manusia berusia sekitar 3500 tahun yang lalu. Pandangan ahli sejarah menyebutkan bahawa peristiwa pengejaran Fir'aun berlaku sekitar zaman itu. Cuma hati-hati kerana Wyatt turut membawa petikan-petikan dari kitab Bible. Kita cuma mengambil iktibar daripada penemuannya sahaja sebagai seorang ahli arkeologi atau ahli kaji purba dan bukan aqidah Wyatt.

Di antara bangkai roda kereta kuda tersebut, ada sebuah roda yang jejarinya dibuat dari emas. Mungkin ini bangkai roda kereta yang ditunggangi Fir'aun.

Allah meninggalkan tanda di dasar Laut Merah untuk menjadi pengajaran kepada manusia.





BURUNG PIPIT BANTU PADAMKAN API YANG MEMBAKAR NABI IBRAHIM

Pada zaman purba, nama negara Babylon sangat terkenal. Dalam matapelajaran sejarah, kita mengenali nama Raja Nebuchadnezar yang telah membina Taman Tergantung Babylon yang disenaraikan sebagai antara tujuh benda ajaib di dunia kategori zaman purba. Mungkin Raja Nebuchadnezar ialah Raja Namrud yang disebutkan dalam al-Qur'an.

Negara Babylon dianugerahkan Allah dengan nikmat tanah yang luas dan subur. Hasil petanian yang banyak menjadikan negara tersebut makmur dan sejahtera. Bangsa Babylon ini merupakan bangsa yang awal mencapai ketamaddunan yang tinggi. Raja yang memerintah Babylon ialah Raja Namrud bin Kan'an. Namun segala nikmat pemberian Allah ini tidak disyukuri oleh mereka dan kaum ini mengamalkan kepercayaan menyembah berhala.

Nabi Ibrahim diutus oleh Allah untuk berdakwah kepada kaum Babylon ini. Baginda menyeru ayahnya Azar seorang pembuat patung berhala dan keluarganya supaya menyembah Allah tetapi seruan dan ajakan Nabi Ibrahim tidak langsung diendahkan oleh mereka.

Baginda telah pergi ke istana Raja Namrud berdakwah kepada raja serta pembesar-pembesar namun seruan baginda itu ditolak mentah-mentah oleh mereka.

Menjadi tradisi rakyat Babylon iaitu pada setiap tahun, mereka akan mengadakan perayaan besar-besaran. Pada hari perayaan itu, mereka akan berhimpun di satu tempat keramaian yang besar dan meninggalkan tempat pemujaan berhala.

Setelah semua kaum Babylon keluar dan sibuk dengan perayaan mereka, Nabi Ibrahim alaihis salam pun mula menjalankan rancangan baginda. Baginda masuk ke tempat penyembahan berhala dan memecahkan semua patung berhala dengan menggunakan sebilah kapak kecuali sebuah patung berhala yang paling besar. Baginda pun menggantungkan kapak tadi di leher patung yang paling besar itu.

Apabila kaum Babylon pulang semula ke tempat penyembahan berhala, mereka terkejut melihat semua 'tuhan' mereka hancur berkecai. seorang telah berkata:"Ini pastinya perbuatan Ibrahim. Mari kita cari dia".

Mereka mencari Nabi Ibrahim dan berjaya menangkap baginda. Raja Namrud mahu supaya Nabi Ibrahim dibawa ke hadapan orangramai supaya menjadi saksi atas perbuatan jenayahnya.

Raja Namrud bertanya:"Kamukah yang telah memecahkan semua patung-patung itu?"

Nabi Ibrahim menjawab: "Bukan aku yang memecahkan patung itu tetapi patung yang paling besar itulah yang melakukannya".

Raja Namrud semakin marah terasa seolah-olah Nabi Ibrahim mempersendakannya.

Lalu Namrud berkata:"Bukankah patung besar itu tidak boleh bergerak jadi bagaimanakah ia boleh melakukannya?"

Nabi Ibrahim menempelak:"Kalau begitu mengapa kamu semua menyembah patung yang tidak terdaya melakukan apa-apa. Tidakkah kamu boleh berfikir?"

Kemarahan Namrud tidak dapat dibendung lagi. Dia merasa sangat terhina kerana seorang raja besar sepertinya diperlakukan sebegitu rupa oleh seorang rakyat biasa. Namrud seterusnya mengeluarkan perintah supaya Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup.

Setelah satu timbunan kayu api yang besar tersedia, api pun dinyalakan. Nabi Ibrahim diikat dan diletakkan di atas pelontar lalu dicampakkan ke dalam api yang sedang marak itu.

Ketika Nabi Ibrahim dibakar, burung-burung yang berterbangan juga menyaksikan peristiwa tersebut. Ada seekor burung pipit yang berasa kasihan melihat baginda yang dibakar hidup-hidup itu. Burung pipit itu mahu menolong Nabi Ibrahim.

Burung pipit itu terbang mencari air. Ia menyedut dan menyimpan air tersebut di dalam paruhnya yang kecil itu. Burung-burung lain kehairanan melihat perlakuan burung pipit.

"Wahai pipit! Apa yang engkau mahu lakukan?" tanya burung-burung yang lain.

"Aku mahu membantu Nabi Ibrahim. Aku mahu padamkan api yang membakar Nabi Ibrahim," jawab burung pipit.

"Macam mana kamu mahu padamkan api itu? Kamu tidak mampu membawa air yang banyak. Paruh yang kamu ada itu kecil. Sia-sia sahaja usaha kamu itu," kata burung yang lain pula.

Walaubagaimanapun, burung pipit tidak berputus asa dan meneruskan usahanya untuk membantu Nabi Ibrahim. Lalu ia membawa air yang disimpan di dalam paruhnya itu ke arah api yang marak. Dengan izin Allah, api yang marak itu semakin berkurangan. Itu ahaja yang ia mampu lakukan untuk membantu Nabi Ibrahim. Walaupun sedikit sahaja pertolongannya, burung pipit tetap berpuashati. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu Nabi Ibrahim.

Setelah kayu-kayu itu menjadi bara, maka orangramai menghampiri unggun api yang telah menjadi bara. Burung pipit itu merasa gembira. Keyakinan burung pipit terhadap kekuasaan Allah semakin kuat dan ia terbang dengan rasa kesyukuran.

Rakyat Babylon terkejut apabila mendapati Nabi Ibrahim keluar dengan selamat tidak melecur sedikit pun.

Demikianlah burung pipit yang kecil itupun mahu berbakti membantu Nabi Ibrahim dalam batas keupayaannya sendiri. Apatah lagi kita manusia yang diberikan akal dan jasmani yang lebih hebat daripada burung pipit. Tidak mahukah kita memberikan sedikoit sumbangan terhadap Dakwah Islamiah demi menegakkan agama tercinta ini?