Monday, September 2, 2013

DOA PERSARAAN PENGETUA




الحمد لله الذي هدانا لهذا وماكنا لنهتدي لولا أن هدانا الله ، والصلاة والسلام على سيد الأنام بلغ الرسالة 
ونصح الأمة وكشف الغمة .

Ya Allah, Ya Karim Ya Wadud,
                                             
Setinggi-tinggi kesyukuran kami rafakkan kepada-Mu kerana telah mengizinkan kami untuk berada dalam Majlis Perhimpunan Khas Sempena Persaraan Puan Hajjah Rohayah binti Hj Bajuri, Pengetua SMK Dato Mohd Yunos Sulaiman pada pagi yang tenang dan syahdu ini.

Ya Allah, Ya fa’allul lima yurid,

Kami amat bersyukur dalam ruang yang diberi untuk melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih warga pendidikan Daerah Pontian khususnya sekolah kami atas persaraan Pengetua yang dikasihi. Sesungguhnya rasa terharu tak dapat kami sembunyikan atas komitmen serta sumbangan besar beliau dalam memartabatkan profesion keguruan dan mengangkasa kualiti pendidikan.  

Ya Ghaniyyu, Ya Hamid, Ya Mubdi’a, Ya Mu’id,

Segala puji-pujian hanya untuk Mu atas nikmat kurnia menganugerahkan kepada kami seorang pengetua yang berjiwa besar dan punyai wawasan yang jauh demi memajukan agama, bangsa dan negara. Jasa dan bakti yang beliau taburkan bukan saja sewaktu menjawat jawatan Pengetua tetapi bermula sejak melalui liku-liku kehidupan sebagai seorang insan bergelar pendidik. Tangan yang menggoncang buaian mampu mengharumkan nama sekolah sewangi kasturi dengan sentuhan kasih seorang ibu, menegur dengan kelembutan, menasihat dengan belaian, melarang dalam senyuman, marahnya kerana kasihan namun tangisnya tidak kedengaran.   

Sesungguhnya, seluruh warga sekolah sangat terhutang budi dan berasa bangga dipimpin oleh seorang pengetua yang begitu mengambil berat terhadap masa depan guru serta anak didik yang sangat dikasihi.

Ya Allah, Ya Qawiyyu,Ya Matin ,

Kurniakanlah kami jiwa dan hati yang sentiasa mengenang jasa orang yang telah berbakti dan berkorban untuk melihat kemajuan sekolah kami. Anugerahkanlah kami kekuatan untuk mengekalkan usaha murni dan suci demi kelangsungan dan kesinambungan kejayaan yang telah dicapai oleh sekolah kami di bawah pimpinan dan bimbingan beliau  yang berwibawa .

Ya Allah, Ya Wahab, Ya Razaq,

Panjangkanlah usia beliau dengan kesihatan dalam iman dan Islam, semoga dapat terus menyumbang idea, buah fikiran dan pandangan yang bernas demi kemajuan pendidikan dalam meniti usia persaraan. Moga kami dapat mencontohi tanggungjawab, komitmen, kewibawaan dan kegigihan Puan Hjh Rohayah mengurus institusi pendidikan. Engkau lindungilah keluarganya, kaum kerabatnya dan orang-orang yang dikasihinya sebagaimana beliau melindungi kami selama ini tanpa rasa jemu.

Ya Allah, Ya zal fadhli wal Ihsan,

Sesungguhnya yang datang akan pergi, yang patah akan tumbuh kembali, setiap yang bermula pasti ada akhirnya, setiap pertemuan akan ada perpisahan, namun kurniakanlah kami pengetua yang juga penyayang selepas persaraan Puan Hjh Rohayah nanti.

Ya Allah, jadikanlah pertemuan ini, pertemuan yang diberkati dan dirahmati, dan jadikanlah perpisahan kami selepas ini sebagai perpisahan yang Engkau pelihara daripada segala bahaya dan keburukan.

ربنا آتنا في الدنيا حسنة وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار والحمد لله رب العالـمين

No comments:

Post a Comment