Tuesday, September 17, 2013

BUDAYA SYIAH DALAM MASYARAKAT MELAYU



Ada sarjana yang mengatakan bahawa Kerajaan Syiah sudah lama bertapak di Alam Melayu

Budaya Syiah yang boleh dikesan dalam masyarakat Alam Melayu sehingga kini dapat dilihat dari 3 aspek seperti berikut:

  • Penghormatan terhadap keluarga Rasulullah (Ahlul Bait)
  • Ritual (upacara agama)
  • Penulisan sastera Melayu klasik

Penghormatan terhadap Ahlul Bait

Orang Melayu meletakkan penghormatan yang sangat tinggi terhadap golongan Ahlul Bait.

Menurut Syiah, golongan Ahlul Bait hanya berlegar kepada Nabi Muhammad s.a.w., Sayyidina Ali, Fatimah, Hasan dan Hussin dan keturunan Hussin sahaja kerana Hussin telah berkahwin dengan puteri raja Farsi.

Pada mulanya, Syiah Imam 12 dan Syiah Ismailiyyah Batiniyyah hanya mengiktiraf anak-anak Hussin yang berketurunan Farsi sahaja sebagai Ahlul Bait dan layak menjadi imam. Kedua-dua kumpulan Syiah ini berpecah kemudiannya kerana berselisih pendapat dalam menentukan jawatan imam selepas kematian Jaafar al-Sadiq, imam ke 6 mereka.

Konsep Imam 12 dalam kepercayaan Syiah
Keturunan Hussin bin Ali bertebaran ke Alam Melayu dan mereka dapat dikenali lantaran pangkal nama mereka bermula dengan perkataan sayyid ataupun syarif. Cara penghormatan orang Melayu ini selari dengan ajaran Syiah yang mengutamakan Hussin sebagai punca nasab imam-imam Syiah selepasnya.

Di Singapura contohnya, golongan tersebut dianggap sebagai wali dan ahli keramat, tangan mereka dicium sewaktu bersalaman dan mereka dikaitkan dengan kemampuan luarbiasa seperti menyembuhkan penyakit yang ganjil.
 
Apakah Habib Noh keturunan Hussain bin Ali
Salah satu cara ajaran Syiah masuk ke dalam pemikiran orang Melayu ialah melalui ajaran tarekat yang disampaikan oleh tokoh-tokoh tasawwuf yang datang ke alam Melayu mulai abad ke 12 Masihi.

Golongan berketurunan sayyid ini telah menghubungkan ajaran tarekat mereka kepada nasab imam-imam Syiah sebagai wali bagi ajaran mereka.

Hubungan sanad ajaran tarekat mereka bersambung kepada Musa al-Kazim, Jaafar al-Sadiq sehingga kepada Ali bin Abi Talib.

Orang Melayu telah menjadikan pendakwah dari Hadhramaut ini sebagai tempat rujukan mereka dalam bidang agama Islam.

Perkahwinan yang berlaku antara keturunan Arab dengan anak-anak raja Melayu telah melahirkan keturunan beberapa raja di alam Melayu seperti Brunei, Johor, Kelantan dan Perlis.    

Ritual agama

Perayaan pertama dalam Syiah ialah memukul dan mengelar badan sempena memperingati kematian Hussain bin Ali di Karbala. Perayaan ini tidak pernah diajar dalam Islam dan ianya muncul kembali pada zaman Kerajaan Fatimiyyah di Mesir yang menyambut tarikh ini sebagai Hari Berdukacita dengan mengadakan beberapa jenis makanan dan juga para penyair membacakan syair-syair sedih.
 
Adakah ini ajaran Islam?
Kerajaan Bani Buwaiyh di bawah pemerintahan Muiz al-Daulah juga menyambut perayaan yang sama.
 
Puak Syiah bakal menguasai dunia?
Di Alam Melayu pula, acara ini disambut dengan nama Tabut Hassan dan Hussain seperti yang dilaporkan disambut di Pariaman dan Padang.

Di Jawa dan Makassar pula, bubur Asyura atau Suro menjadi lambang hari Perkabungan. Sultan Agung Hanjokro Kusumo Mataram telah menukarkan tahun Saka-Jawi serta menyesuaikannya dengan Tahun Hijrah dan menamakan bulan pertama dengan nama Suro.      

Seorang pujangga Minang, Baginda Malim telah mengarang Buku Syair Hikayat Hussain berperang dengan Raja Yazid dan syair tersebut telah dinyanyikan pada 10 Muharam.
Berasal dari Farsi?

Persembahan Boria masih lagi menjadi hiburan dalam masyarakat Melayu. Faisal Tehrani menulis:

Boria adalah satu bentuk persembahan untuk mengenang kekejaman yang menimpa cucunda Rasulullah s.a.w. di Karbala. Boria dibawa masuk oleh askar-askar yang berkhidmat dalam rejimen Syarikat Hindia Timur Inggeris yang berfahaman Syiah. Mereka ditempatkan di negeri-negeri Selat termasuk Pulau Pinang. Askar-askar upahan dalam kalangan India Muslim ini akan diberi cuti sepuluh hari dalam bulan Muharam untuk meratapi kematian Sayyidina Hussain.

Antara budaya Syiah yang meresap masuk ke dalam Alam Melayu ialah pembacaan kisah-kisah maulid Nabi yang dilakukan dalam kalangan pengikut Sufi sejak abad ke 19 Masihi. 
 
Rasulullah s.a.w. tetap menjadi ikutan umat Islam
Maulid Barzanji yang sering menjadi bacaan dalam majlis maulid dan cukur jambul sudah sebati dalam budaya masyarakat Melayu. Perayaan maulid Nabi telah dimulakan pada zaman Bani Buwaiyh yang berfahaman Syiah yang berkuasa dalam Kerajaan Bani Abbasiyyah.

Amalan ratib dan tahlil arwah yang diamalkan oleh masyarakat Melayu juga merupakan hasil pengaruh Syiah. Dalam tahlil, bacaan al-Fatihah ditujukan kepada Nabi dan roh simati. Amalan tersebut menjadi tradisi penganut Syiah sejak zaman berzaman.

Masyarakat Melayu membaca ayat 33 Surah al-Ahzab yang diyakini oleh orang Syiah sebagai bukti keturunan Ali dan Fatimah sebagai maksum.

Ada juga dalam kalangan orang Melayu yang mengamalkan ratib Samman yang berbunyi, “al-Hasan thumma al-Hussain ibnu Ali, Fatimah Ya Aini.” Perkara ini juga terdapat dalam doa-doa Melayu dan juga jampi mantera dalam kalangan bomoh tradisional.

Sastera Melayu Klasik

Pengaruh Hindu-Buddha yang pernah menjadi pegangan orang Melayu telah memberi kesan kepada sastera Melayu klasik.
 
Hikayat MuhammadAli Hanafiah dibacakan kepada tentera Melaka bagi menaikkan semangat menentang Portugis
Kemasukan Islam dari Arab menerusi Farsi telah memungkinkan pengaruh Syiah dan Farsi mencorak pemikiran masyarakat Melayu. Ini dibuktikan melalui beberapa karya Melayu-Islam tradisional. Antara karya-karya terebut ialah Hikayat Nabi Muhammad, Hikayat Ali Kahwin atau Hikayat Fatimah, Hikayat Nabi Mengajar Ali, Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, Nazam Ratap Fatimah,  Hikayat Amir Hamzah dan lain-lain. Hikayat-hikayat tersebut telah mempromosikan keagungan Ali, Fatimah, Hasan, Hussain serta pahlawan-pahlawan Syiah. Fenomena ini turut mempengaruhi sastera dan kepercayaan orang Melayu.



  










No comments:

Post a Comment