Wednesday, September 18, 2013

CARA PENJAJAH MELEMAHKAN ORANG MELAYU




Champa: Kerajaan Melayu yang hilang
Sejak jatuhnya Kerajaan Melayu Melaka ke tangan Portugis pada 24 Ogos 1511, Raja-raja Melayu dan para penyokong telah melancarkan serangan demi serangan terhadap penjajah. Orang-orang Melayu tidak pernah mengalah termasuk serangan ke atas kapal-kapal Belanda yang dilakukan oleh orang-orang Bugis. Dua “tentera Salib” yakni Portugis dan Belanda gagal mematikan semangat jihad perwira Melayu menentang penjajah kafir.  

British yang mengambil alih Tanah Melayu daripada Belanda telah mengkaji kekuatan dan kelemahan orang Melayu lalu mereka mendapati adalah tidak mudah bagi British untuk menguasai Alam Melayu secara bersendirian seperti gagalnya dua kuasa besar sebelum ini.
 
Syair Siti Zubaidah- Perang China hanya tinggal dalam kenangan
Agenda yang berkesan ialah dengan cara mengimport gerakan yang boleh melemahkan orang Melayu Islam. Nam Tien adalah gerakan yang boleh digunakan untuk memenuhi agenda ini. Kejayaan orang Cina Dai-Viet merampas dan menguasai tanah milik orang Melayu Champa sehingga hilang seluruh bumi Melayu Champa yang kini dikenali sebagai Vietnam oleh perampas tanah orang Melayu di sana menyebabkan British bertindak membawa masuk orang Cina ke Tanah Melayu. Mereka dibawa masuk melalui gerakan kongsi gelap. Rancangan jahat British dan orang Cina telah menyuburkan gerakan kongsi gelap bagi menguasai ekonomi dan seterusnya merampas tanah orang melayu secara kekerasan dan pembunuhan senyap.

British adalah dalang semua ini di sebalik pembunuhan dan rampasan tanah serta lombong bijih timah dan emas milik orang melayu. Gerakan komunis dan kongsi gelap berterusan sehingga sebelum merdeka, selepas merdeka dan pada zaman moden ini menerusi parti politik, NGO-NGO dan gangsterisme. Gerakan Komunis, NGO-NGO dan parti politik cina kiasu adalah sebahagian daripada gerakan Nam Tien (Menjajah ke Selatan) ini.
Keagungan Kerajaan Islam Fatani musnah akibat dasar pecah dan perintah British

Sejarah penjajahan bumi Champa oleh orang Dai-Viet, penjajahan bumi Patani oleh orang Cina Thai melalui kumpulan kongsi gelap yang bersekongkol dengan pihak British di Thailand untuk menjajah bumi Patani diteruskan di Tanah Melayu melalui PKM dan parti DAP.

Kita seharusnya melupakan semua ini sebaliknya bersatu padu untuk terus mengekalkan keamanan di negara kita nan tercinta. Biarlah sejarah menjadi pengajaran paling bermakna kepada kita semua.

Tuesday, September 17, 2013

CHIN PENG DI MANA?


Meninggal dunia dalam buangan namun tetap dalam perjuangan asal
Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuat keputusan kerajaan tidak akan mempertimbang sebarang permintaan daripada anggota keluarga Chin Peng untuk mengebumikan mendiang di Malaysia. Sebaliknya, Ketua PKM yang meninggal dunia di Bangkok pada Hari Malaysia yang ke 50, sebuah negara yang ingin dijatuhkan sejak dari muda hingga usia tuanya akan diingati sebagai pemimpin pengganas yang terlibat melakukan pelbagai kekejaman terhadap rakyat dan serangan ke atas pasukan keselamatan.

Chin Peng dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada kira-kira 6.20 pagi kerana sakit tua, sebulan sebelum tarikh ulang tahun ke 89 kelahirannya iaitu pada 21 Okt, 1924.

Keputusan kerajaan berdasarkan kepada sejarah lampau kezaliman yang menunjukkan kebencian yang bersangatan terhadap orang Melayu. Hanya kebijaksanaan pemimpin seperti Tun Razak yang berjaya melumpuhkan gerakan komunis sekiranya tidak mereka akan menghapuskan terus orang Melayu di negara ini kerana dendamnya kepada orang Jepun yang didakwa kononnya memihak kepada orang Melayu dengan layanan yang baik menurut sangkaan buruk mereka.
 
Sikap chauvinis melampau masih bertakhta di hatinya langsung tidak boleh dipercayai
Kebenciannya kepada pemimpin dan orang Melayu membawa kepada keengganan menjadi warganegara Malaysia. Walaupun dilahirkan di sini dia tidak layak mendapat tempat di mana-mana bahagian di Tanah Melayu. Maksud penyokong mendiang hanyalah untuk menyakitkan hati rakyat Malaysia dengan sombongnya untuk menunjukkan bahawa kerajaan Melayu akhirnya terpaksa tunduk kepada kehendak mereka. Tambahan pula disokong oleh sebahagian orang Melayu demi survival politik mereka dengan membawa alasan tidak perlu berdendam kerana ianya kisah silam dan mengajak orang Melayu memaafkan komunis kononnya sebagaimana orang Melayu dapat memaafkan bekas penjajah maka ruang kemaafan yang sama juga harus diberikan kepada pengganas komunis yang telah melakukan kekejaman seperti membunuh, merogol dan sebagainya. Penjajah seperti Jepun dan British telah meninggalkan negara ini dan dalam konteks mengisi kemerdekaan, bangsa-bangsa tersebut telah menjadi rakaniaga melalui hubungan diplomatik yang baik. Berbeza dengan PKM yang tidak pernah padam niat perjuangan mereka untuk memerintah Tanah Melayu sejak dulu hingga kini.
 
Perjuangannya tidak disokong Republik Rakyat China
Kebijaksanaan Tun Razak berjumpa dengan Chou En Lai supaya memberi pengiktirafan kepada Kerajaan Malaysia dan tidak menyokong gerakan bawah tanah PKM telah melumpuhkan niat busuk Chin Peng. Tawaran yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia sebelum ini agar pengganas PKM menyerah diri dan akan diampunkan telah tidak diterima oleh Chin Peng dan dia sanggup tidak menjadi warganegara. Ini sudah lebih dari cukup untuk kita menolak jasad ataupun abu mayatnya daripada berada dalam ruang keharmonian negara yang selama ini menjadi agenda perjuangannya untuk merosakkan apa yang telah kita bina.

Maka idea menyamakan PKM dengan bekas penjajah seperti Jepun dan British tidak dapat diterima kerana skop keganasan yang telah dilakukan. Kebumikanlah di mana sahaja kalau benar Chin Peng pejuang Komunis yang diiktiraf dunia dan tidak perlu dikebumikan di Malaysia hanya dengan tujuan untuk “memadankan” muka rakyat Melayu Malaysia. Kita tidak izinkan bumi bertuah ini menyimpan abu Chin Peng..

BUDAYA SYIAH DALAM MASYARAKAT MELAYU



Ada sarjana yang mengatakan bahawa Kerajaan Syiah sudah lama bertapak di Alam Melayu

Budaya Syiah yang boleh dikesan dalam masyarakat Alam Melayu sehingga kini dapat dilihat dari 3 aspek seperti berikut:

  • Penghormatan terhadap keluarga Rasulullah (Ahlul Bait)
  • Ritual (upacara agama)
  • Penulisan sastera Melayu klasik

Penghormatan terhadap Ahlul Bait

Orang Melayu meletakkan penghormatan yang sangat tinggi terhadap golongan Ahlul Bait.

Menurut Syiah, golongan Ahlul Bait hanya berlegar kepada Nabi Muhammad s.a.w., Sayyidina Ali, Fatimah, Hasan dan Hussin dan keturunan Hussin sahaja kerana Hussin telah berkahwin dengan puteri raja Farsi.

Pada mulanya, Syiah Imam 12 dan Syiah Ismailiyyah Batiniyyah hanya mengiktiraf anak-anak Hussin yang berketurunan Farsi sahaja sebagai Ahlul Bait dan layak menjadi imam. Kedua-dua kumpulan Syiah ini berpecah kemudiannya kerana berselisih pendapat dalam menentukan jawatan imam selepas kematian Jaafar al-Sadiq, imam ke 6 mereka.

Konsep Imam 12 dalam kepercayaan Syiah
Keturunan Hussin bin Ali bertebaran ke Alam Melayu dan mereka dapat dikenali lantaran pangkal nama mereka bermula dengan perkataan sayyid ataupun syarif. Cara penghormatan orang Melayu ini selari dengan ajaran Syiah yang mengutamakan Hussin sebagai punca nasab imam-imam Syiah selepasnya.

Di Singapura contohnya, golongan tersebut dianggap sebagai wali dan ahli keramat, tangan mereka dicium sewaktu bersalaman dan mereka dikaitkan dengan kemampuan luarbiasa seperti menyembuhkan penyakit yang ganjil.
 
Apakah Habib Noh keturunan Hussain bin Ali
Salah satu cara ajaran Syiah masuk ke dalam pemikiran orang Melayu ialah melalui ajaran tarekat yang disampaikan oleh tokoh-tokoh tasawwuf yang datang ke alam Melayu mulai abad ke 12 Masihi.

Golongan berketurunan sayyid ini telah menghubungkan ajaran tarekat mereka kepada nasab imam-imam Syiah sebagai wali bagi ajaran mereka.

Hubungan sanad ajaran tarekat mereka bersambung kepada Musa al-Kazim, Jaafar al-Sadiq sehingga kepada Ali bin Abi Talib.

Orang Melayu telah menjadikan pendakwah dari Hadhramaut ini sebagai tempat rujukan mereka dalam bidang agama Islam.

Perkahwinan yang berlaku antara keturunan Arab dengan anak-anak raja Melayu telah melahirkan keturunan beberapa raja di alam Melayu seperti Brunei, Johor, Kelantan dan Perlis.    

Ritual agama

Perayaan pertama dalam Syiah ialah memukul dan mengelar badan sempena memperingati kematian Hussain bin Ali di Karbala. Perayaan ini tidak pernah diajar dalam Islam dan ianya muncul kembali pada zaman Kerajaan Fatimiyyah di Mesir yang menyambut tarikh ini sebagai Hari Berdukacita dengan mengadakan beberapa jenis makanan dan juga para penyair membacakan syair-syair sedih.
 
Adakah ini ajaran Islam?
Kerajaan Bani Buwaiyh di bawah pemerintahan Muiz al-Daulah juga menyambut perayaan yang sama.
 
Puak Syiah bakal menguasai dunia?
Di Alam Melayu pula, acara ini disambut dengan nama Tabut Hassan dan Hussain seperti yang dilaporkan disambut di Pariaman dan Padang.

Di Jawa dan Makassar pula, bubur Asyura atau Suro menjadi lambang hari Perkabungan. Sultan Agung Hanjokro Kusumo Mataram telah menukarkan tahun Saka-Jawi serta menyesuaikannya dengan Tahun Hijrah dan menamakan bulan pertama dengan nama Suro.      

Seorang pujangga Minang, Baginda Malim telah mengarang Buku Syair Hikayat Hussain berperang dengan Raja Yazid dan syair tersebut telah dinyanyikan pada 10 Muharam.
Berasal dari Farsi?

Persembahan Boria masih lagi menjadi hiburan dalam masyarakat Melayu. Faisal Tehrani menulis:

Boria adalah satu bentuk persembahan untuk mengenang kekejaman yang menimpa cucunda Rasulullah s.a.w. di Karbala. Boria dibawa masuk oleh askar-askar yang berkhidmat dalam rejimen Syarikat Hindia Timur Inggeris yang berfahaman Syiah. Mereka ditempatkan di negeri-negeri Selat termasuk Pulau Pinang. Askar-askar upahan dalam kalangan India Muslim ini akan diberi cuti sepuluh hari dalam bulan Muharam untuk meratapi kematian Sayyidina Hussain.

Antara budaya Syiah yang meresap masuk ke dalam Alam Melayu ialah pembacaan kisah-kisah maulid Nabi yang dilakukan dalam kalangan pengikut Sufi sejak abad ke 19 Masihi. 
 
Rasulullah s.a.w. tetap menjadi ikutan umat Islam
Maulid Barzanji yang sering menjadi bacaan dalam majlis maulid dan cukur jambul sudah sebati dalam budaya masyarakat Melayu. Perayaan maulid Nabi telah dimulakan pada zaman Bani Buwaiyh yang berfahaman Syiah yang berkuasa dalam Kerajaan Bani Abbasiyyah.

Amalan ratib dan tahlil arwah yang diamalkan oleh masyarakat Melayu juga merupakan hasil pengaruh Syiah. Dalam tahlil, bacaan al-Fatihah ditujukan kepada Nabi dan roh simati. Amalan tersebut menjadi tradisi penganut Syiah sejak zaman berzaman.

Masyarakat Melayu membaca ayat 33 Surah al-Ahzab yang diyakini oleh orang Syiah sebagai bukti keturunan Ali dan Fatimah sebagai maksum.

Ada juga dalam kalangan orang Melayu yang mengamalkan ratib Samman yang berbunyi, “al-Hasan thumma al-Hussain ibnu Ali, Fatimah Ya Aini.” Perkara ini juga terdapat dalam doa-doa Melayu dan juga jampi mantera dalam kalangan bomoh tradisional.

Sastera Melayu Klasik

Pengaruh Hindu-Buddha yang pernah menjadi pegangan orang Melayu telah memberi kesan kepada sastera Melayu klasik.
 
Hikayat MuhammadAli Hanafiah dibacakan kepada tentera Melaka bagi menaikkan semangat menentang Portugis
Kemasukan Islam dari Arab menerusi Farsi telah memungkinkan pengaruh Syiah dan Farsi mencorak pemikiran masyarakat Melayu. Ini dibuktikan melalui beberapa karya Melayu-Islam tradisional. Antara karya-karya terebut ialah Hikayat Nabi Muhammad, Hikayat Ali Kahwin atau Hikayat Fatimah, Hikayat Nabi Mengajar Ali, Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, Nazam Ratap Fatimah,  Hikayat Amir Hamzah dan lain-lain. Hikayat-hikayat tersebut telah mempromosikan keagungan Ali, Fatimah, Hasan, Hussain serta pahlawan-pahlawan Syiah. Fenomena ini turut mempengaruhi sastera dan kepercayaan orang Melayu.



  










Monday, September 2, 2013

DOA PERSARAAN PENGETUA




الحمد لله الذي هدانا لهذا وماكنا لنهتدي لولا أن هدانا الله ، والصلاة والسلام على سيد الأنام بلغ الرسالة 
ونصح الأمة وكشف الغمة .

Ya Allah, Ya Karim Ya Wadud,
                                             
Setinggi-tinggi kesyukuran kami rafakkan kepada-Mu kerana telah mengizinkan kami untuk berada dalam Majlis Perhimpunan Khas Sempena Persaraan Puan Hajjah Rohayah binti Hj Bajuri, Pengetua SMK Dato Mohd Yunos Sulaiman pada pagi yang tenang dan syahdu ini.

Ya Allah, Ya fa’allul lima yurid,

Kami amat bersyukur dalam ruang yang diberi untuk melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih warga pendidikan Daerah Pontian khususnya sekolah kami atas persaraan Pengetua yang dikasihi. Sesungguhnya rasa terharu tak dapat kami sembunyikan atas komitmen serta sumbangan besar beliau dalam memartabatkan profesion keguruan dan mengangkasa kualiti pendidikan.  

Ya Ghaniyyu, Ya Hamid, Ya Mubdi’a, Ya Mu’id,

Segala puji-pujian hanya untuk Mu atas nikmat kurnia menganugerahkan kepada kami seorang pengetua yang berjiwa besar dan punyai wawasan yang jauh demi memajukan agama, bangsa dan negara. Jasa dan bakti yang beliau taburkan bukan saja sewaktu menjawat jawatan Pengetua tetapi bermula sejak melalui liku-liku kehidupan sebagai seorang insan bergelar pendidik. Tangan yang menggoncang buaian mampu mengharumkan nama sekolah sewangi kasturi dengan sentuhan kasih seorang ibu, menegur dengan kelembutan, menasihat dengan belaian, melarang dalam senyuman, marahnya kerana kasihan namun tangisnya tidak kedengaran.   

Sesungguhnya, seluruh warga sekolah sangat terhutang budi dan berasa bangga dipimpin oleh seorang pengetua yang begitu mengambil berat terhadap masa depan guru serta anak didik yang sangat dikasihi.

Ya Allah, Ya Qawiyyu,Ya Matin ,

Kurniakanlah kami jiwa dan hati yang sentiasa mengenang jasa orang yang telah berbakti dan berkorban untuk melihat kemajuan sekolah kami. Anugerahkanlah kami kekuatan untuk mengekalkan usaha murni dan suci demi kelangsungan dan kesinambungan kejayaan yang telah dicapai oleh sekolah kami di bawah pimpinan dan bimbingan beliau  yang berwibawa .

Ya Allah, Ya Wahab, Ya Razaq,

Panjangkanlah usia beliau dengan kesihatan dalam iman dan Islam, semoga dapat terus menyumbang idea, buah fikiran dan pandangan yang bernas demi kemajuan pendidikan dalam meniti usia persaraan. Moga kami dapat mencontohi tanggungjawab, komitmen, kewibawaan dan kegigihan Puan Hjh Rohayah mengurus institusi pendidikan. Engkau lindungilah keluarganya, kaum kerabatnya dan orang-orang yang dikasihinya sebagaimana beliau melindungi kami selama ini tanpa rasa jemu.

Ya Allah, Ya zal fadhli wal Ihsan,

Sesungguhnya yang datang akan pergi, yang patah akan tumbuh kembali, setiap yang bermula pasti ada akhirnya, setiap pertemuan akan ada perpisahan, namun kurniakanlah kami pengetua yang juga penyayang selepas persaraan Puan Hjh Rohayah nanti.

Ya Allah, jadikanlah pertemuan ini, pertemuan yang diberkati dan dirahmati, dan jadikanlah perpisahan kami selepas ini sebagai perpisahan yang Engkau pelihara daripada segala bahaya dan keburukan.

ربنا آتنا في الدنيا حسنة وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار والحمد لله رب العالـمين