Wednesday, March 21, 2012

TIP AMALAN PEMAKANAN SIHAT


Orang yang bermotivasi tinggi ialah orang yang sihat. Tak gitu? Salah satu cara untuk menjaga kesihatan ialah mengamalkan tip pemakanan yang sihat. Islam amat mementingkan makanan yang bersih, segar, berkhasiat dan sudah tentu halal kerana makan dan minum dalam Islam ialah untuk meneruskan kehidupan dan berupaya untuk beribadah kepada Allah s.w.t. apa gunanya tubuh yang kuat dan sihat tapi tak mampu beribadat kepadaNya. Jelas, ibadat khusus seperti solat adalah kekuatan minda dan bukannya kekuatan tubuh atau fizikal semata-mata.

1. Makan makanan yang halal dan pastikan sumber memperolehinya juga halal.

Allah s.w.t. menjadikan makanan halal dan mengharamkan makanan yang haram sudah pasti mengandungi hikmah yang tersendiri samada disedari mahupun tidak disedari oleh manusia sendiri. Anda adalah apa yang anda makan. Oleh itu, jelas makanan membentuk keperibadian.

Bukti-bukti saintifik selaras dengan perkembangan ilmu manusia telah membuktikan secara aqliyah bahawa makanan yang diharamkan oleh Islam memudaratkan manusia. Sebaliknya makanan yang halal mampu membina kesihatan tubuh, kecerdasan aqal, kestabilan emosi dan kehebatan spiritual.

Banyak makanan halal yang diciptakan Allah dan sebenarnya sedikit sahaja makanan yang diharamkan. Mengapa manusia masih mahu memilih makanan dan minuman yang diharamkan sedangkan pilihan makanan yang halal berlambak-lambak.

Kajian sains menunjukkan bahawa kuman yang terdapat dalam binatang khinzir tidak mati walaupun dipanaskan pada takat suhu didih air.

2. Mulakan makan dengan bacaan “Bismillah” dan sudahi dengan “Alhamdulillah”.

Semua aktiviti manusia adalah untuk beribadah kepada Allah s.w.t. makan dan minum sekiranya dilakukan dalam rangka ibadah akan mendapat pahala daripada Allah. Membaca basmalah dan mengucapkan alhamdulillah dapat mengelakkan aktiviti makan disertai oleh syaitan yang sentiasa ingin menjauhkan manusia daripada mengingati Allah.

Ianya juga bermaksud mengingatkan manusia bahawa makan adalah untuk beribadat kepada Allah agar manusia mendapat kekuatan melaksanakan tanggungjawab kepada Allah.

Hadis Nabi s.a.w. menyebutkan mengenai syaitan gemuk yang makan bersama orang yang tidak makan secara Islam sedangkan syaitan kurus lantaran tidak berpeluang makan bersama orang yang saleh. Perbuatan yang disebutkan nama Allah menyekat penglibatan syaitan dalam amalan manusia.

3. Tidak makan dan minum sambil berdiri, berjalan atau berbaring.

Islam telah menetapkan adab yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam termasuk dalam adab makan dan minum. Makan sambil berdiri, berjalan atau berbaring menyebabkan makanan tidak dapat diproses dengan baik secara semulajadi sepertimana yang diperlukan oleh tubuh. Hal ini membawa kepada amalan pemakanan yang tidak sihat dan sekiranya diamalkan secara berterusan akan memudaratkan tubuh.


4. Amalkan puasa pada Hari Isnin dan Khamis.

Puasa Isnin dan Khamis dapat memberi kerehatan kepada alat penghadaman di dalam perut. Banyak penyakit berpunca daripada perut iaitu pengambilan makanan yang berlebihan. 2 hari dalam seminggu dapat membersihkan perut dan menyucikan usus yang dapat meningkatkan kesihatan.

Amalan puasa sunat Isnin dan Khamis digalakkan oleh Rasulullah s.a.w.

5. Tidak memakan makanan yang terlalu panas atau terlalu sejuk.

Islam menganjurkan kesederhanaan sehingga makanan yang terlalu panas ataupun terlalu sejuk seperti baru keluar dari peti ais tidak elok untuk kesihatan.

6. Kurangkan makanan berlemak, berminyak dan berkolesterol.
Tubuh kita memerlukan lemak, minyak dan kolesterol namun sekiranya ia diambil secara berlebihan akan memudaratkan tubuh. Tidak mengambil langsung makanan berlemak, berminyak juga tidak baik maka Islam menganjurkan kesederhanaan atau disebut wasatiyyah sesuai dengan ajaran Islamn yang suci.

7. Kurangkan makanan mengandungi garam dan gula yang tinggi.

Kalau tubuh tidak ada garam dan tidak ada gula pun tidak boleh. Berlebihan pengambilan gula dan garam juga mendatangkan bahaya kepada tubuh. Yang paling bijak ialah mengambil secara seimbang.

8. Amalkan makan buah-buahan atau minum jus buah-buahan pada awal pagi.

Terdapat petua orang-orang tua dulu iaitu mulakan makan benda-benda yang belum bermasak pada awal pagi. Khasiatnya akan dirasai oleh mereka yang mengamalkannya.

9. Biasakan makan makanan atau minum minuman berasaskan kekacang dan bijirin.

Makanan jenis ini adalah sumber protein dan bahan terbaik untuk mencerdaskan minda. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang cerdas. Otak yang cerdas tidak akan ada pada tubuh badan yang tidak cergas atau tidak sihat. Pepatah Arab menyebutkan “Al-aql al-salim fi al-jism al-salim.”

No comments:

Post a Comment