Sewaktu awal remaja saya mendengar seorang Ustaz berceramah, katanya di Kahirah terdapat Universiti al-Azhar namun di luar bangunan al-Azhar, tiada jauh bezanya dengan kota seperti Paris, London dan mungkin juga kalau nak disamakan seperti tempat kita di Kuala Lumpur.
Apa maksudnya mungkin kita dapat membuat telahan iaitu pemandangan yang dapat kita tonton ialah pesta pembukaan aurat dengan fesyen pakaian mengikut trend Barat, corak pergaulan yang tidak Islamik dan sebagainya. Tidak menjadi kesalahan kalau kita melihat kebanyakan kereta di sana ialah kereta Peugeot dari Perancis mungkin sebagai peninggalan Napoleon Bonaparte yang pernah menyerang Teluk Abukir dan kereta Fiat dari Itali sebagai lambang pemodenan Mesir yang telah jauh meninggalkan kehebatan Fir’aun di dalam arkib.
Sewaktu membantu melaksanakan program Biro Tatanegara kepada mahasiswa Malaysia di Mesir pada tahun 90an, kami menginap dan melaksanakan program di Cairotel. Seorang “cashier” (dengan izin) wanita bernama Nirmin begitu mesra melayani urusetia bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya iaitu Kedutaan Malaysia dan Pejabat MSD.
Pengarah MSD waktu itu secara bergurau menyuruh saya menanyakan samada Nirmin sudah berkahwin atau belum. Saya yang masih bujang kala itu pun bertanya berapa hantaran pada kebiasaannya bagi meminang seorang gadis Mesir. Beliau menyebutkan dengan suatu angka dan Pengarah MSD mengajar saya supaya menyebut”Ghal awi” maksudnya “Tinggi sangat harganya”.
Pengarah tersebut pun menyuruh saya bertanyakan agama gadis itu namun kemudiannya kami mengambil keputusan agar tidak bertanyakan soalan itu dikhuatiri akan menimbulkan sensitiviti. Lantas ustaz yang berasal dari Pahang itu memaklumkan kepada saya bahawa nama “Nirmin” dikongsi secara bersama oleh wanita Islam juga Kristian. Makna yang tersirat ialah nama sahaja belum tentu melambangkan agama seseorang di bumi yang hebat dengan kisah Fir’aun yang mengaku Tuhan akhirnya dibinasakan Allah lantaran keangkuhannya.
Ikatan batin antara rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dengan Dunia Arab telah melalui proses yang sangat lama. Selain mengaji di Masjidil Haram, puluhan ribu umat Melayu yang sudah diIslamkan termasuk oleh kalangan pedagang Arab menjadikan Kota Kaherah sebagai destinasi pencarian ilmu-ilmu Islam hingga sampai ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah.
Tokoh Universiti al-Azhar mengenali pemimpin Malaysia dan system pendidikan pengajian agama di Malaysia diiktiraf oleh mereka sebagai tempat persediaan untuk menimba ilmu agama yang sangat luas di bumi Nabi Yusuf itu.
Hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah kita selama ini diajar oleh ulama keluaran al-Azhar atau pun ustaz yang mendapat didikan dari pengajar yang dianugerahkan ijazah universiti pertama dalam Dunia Islam tersebut.
Mungkinkah apa yang berlaku sekarang di Kaherah bukan sekadar permulaan transformasi politik malah transformasi penghayatan Islam juga? Sama-sama lah kita menunggu dengan penuh keinsafan di samping mendoakan kesejahteraan serta keselamatan anak-anak kita di sana.
No comments:
Post a Comment