Thursday, October 27, 2016

PLURALISME DAN PERSAMAAN AGAMA


Golongan pluralisme agama membawa ideologi yang menjurus kepada persamaan antara agama. Maka dengan sebab itu, toleransi antara agama perlu dilakukan kerana mereka beranggapan bahawa semua kepercayaan yang menyuruh membuat kebaikan adalah merupakan agama dan semua agama menuju ke arah satu jalan yang sama iaitu menuju kepada Allah dan keselamatan hidup di akhirat walaupun dengan jalan serta pendekatan yang kelihatan berbeza antara satu sama lain.

Golongan yang berfahaman bahawa semua agama pada dasarnya adalah sama mendakwa kononnya mereka merujuk kepada ayat 62 Surah al-Baqarah dan ayat 69 Surah al-Ma’idah. Bagi mencapai maksud tafsiran yang sebenar-benarnya, kita mesti merujuk kepada kitab-kitab tafsir yang muktabar seperti al-Tabari, Hamka, al-Razi, Wahbah al-Zuhaili, al-Qurtubi dan Muhammad Quraish.

Benarkah semua agama adalah sama? Golongan yang mengatakan bahawa semua agama sama sahaja sebenarnya mendokong fahaman liberalisme. Fahaman ini juga disebut sinkretisme  bermaksud satu aliran yang mendamaikan  antara ideology atau dogma yang berbeza. Pendokong fahaman liberal ini berhujjah bahawa maksud perkataan “Islam” ialah berserah diri dan taat kepada Allah. Lantaran itu, semua ajaran yang menyeru kepada perkara yang sama dikatakan sebagai menyamai dengan Islam justeru boleh dipanggil sebagai orang Islam atau Muslim.

Mereka juga mendakwa bahawa perkataan “Iman” bermaksud kepercayaan kepada Tuhan juga digunapakai kepada sesiapa sahaja yang beriman atau percaya kepada kewujudan Tuhan tanpa mengira agama apa sekalipun. Dengan pendapat ini, tidak boleh sesiapa pun mendakwa bahawa agamanya yang paling benar kerana kebenaran agama itu sendiri bersifat relatif.

Al-Attas menjelaskan:
Hanya ada satu agama wahyu yang asli dan nama yang diberikan Allah adalah Islam  dan orang-orang yang mengikuti agama ini dipuji oleh Allah sebagai yang terbaik di antara manusia. Islam bukan semata-mata sebuah  katakerja (submission), ia juga sebuah agama yang menjelskan  cara kepasrahan yang benar sekaligus menjelaskan  defiisi agama secara umum  iaitu kepasrahan terhadap Tuhan. (Nur Farhana Abdul Rahman dan Idris Zakaria, 2010).


Semua agama yang diturunkan Allah adalah Islam bermula dari zaman Nabi Adam dan Nabi Muhammad saw merupakan rasul terakhir yang menyempurnakan ajaran-ajaran sebelumnya. Pandangan Nurcholish Madjid yang menyamatarafkan ajaran Yahudi dan Nasrani dengan ajaran Islam kononnya semua ajaran berasal daripada Nabi Ibrahim sebagai asas kepada ajaran monoteisme merupakan metod pentafsiran yang secara salah dan bukan maksud Surah al-Baqarah ayat 62 dan Surah al-Ma’idah ayat 69.     

No comments:

Post a Comment