Sunday, January 14, 2018

CADANGAN MENGHARMONIKAN ANTARA BIDANGKUASA MAHKAMAH SYARIAH DENGAN MAHKAMAH SIVIL


1. Mengharmonikan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah

Konflik bidangkuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah merupakan dilema yang dihadapi antara orang Islam dan orang bukan Islam di Malaysia. Isu ini menjadi semakin parah apabila sentimen agama dan perkauman ditambah dengan emosi an sikap prasangka sesama rakyat. Isu orang bukan Islam dan orang bukan Islam perlu ditangani dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan bagi mencari kaedah penyelesaian terbaik.


Mahkamah Sivil kini tidak membicarakan pembubaran perkahwinan kepada penganut Islam sementara Mahkamah Syariah tidak mengambil kes dalam kalangan penganut bukan Islam.

Walaupun begitu, Mahkamah Sivil bukan sahaja membicarakan kes bersangkutan dengan hal ehwal kekeluargaan malahan juga dalam hal-hal yang memerlukan kepada pertimbangan hukum syara’. Wujudlah monopoli Mahkamah Sivil dalam perbicaraan kes atas alasan ia melibatkan orang bukan Islam. Ini menyebabkan keputusan-keputusan hakim tidak bersesuaian dengan hukum Islam lantaran mereka tidak terlatih dalam undang-undang Islam dan berpandukan kepada undang-undang keterangan yang tidak berlandaskan syariah.

Dalam kes anak tidak sah taraf, seseorang anak boleh dikatakan sebagai anak yang tidak sah taraf hasil daripada tiga bentuk perkahwinan:

a.     Perkahwinan sindiket

b.     Perkahwinan di Thailand atau mana-mana luarnegara yang tidak didaftarkan

c.     Perkahwinan selepas mengandung.

Kes-kes tersebut perlulah diselesaikan di Mahkamah Syariah dan bukan di Mahkamah Sivil lantaran wujudnya Akta 303 dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri. 
   

Semua enakmen pentadbiran agama Islam negeri meletakkan peruntukan bahawa Mahkamah Syariah berkuasa mendengar dan menghakimi yang melibatkan kedua-dua pihak (plaintif dan defendan) beragama Islam.

Penulis mencadangkan supaya kes-kes tertentu termasuk kes anak tidak sah taraf dibicarakan di Mahkamah Syariah dan sekiranya permohonan dikemukakan kepada Mahkamah Sivil maka hendaklah dinasihatkan kepada pemohon supaya dibawa ke Mahkamah Syariah.



2) Hakim Muslim di mahkamah sivil perlu menghormati institusi fatwa, walaupun fawa tidak mempunyai kuasa perundangan terhadap mahkamah sivil

Mahkamah Sivil perlu mendapatkan rujukan substantif di mana dalam kes anak yang tidak sah taraf ialah Undang-undang Keluarga Islam serta merujuk kepad berkenaan dengan isu pendaftaran semata-mataa pandangan ulama bagi menghormati institusi fatwa. Walaupun fatwa tidak mempunyai kuasa perundangan terhadap Mahkamah Sivil, hakim dalam membuat keputusan boleh mengambilkira hukum-hukum adat dan sensitiviti masyarakat dan apa sahaja bentuk pertimbangan bagi memastikan sistem keadilan dapat ditegakkan dengan merujuk kepada sumber-sumber selain daripada provisions atau peruntukan dalam peruntukan undang-undang.

Dalam menjalankan tugas kehakiman, seseorang hakim yang beragama Islam sewajarnya merujuk kepada Akta Undang-undang Keluarga Islam sebagai panduan kerana ia adalah perundangan spesifik untuk orang Islam sedangkan Akta 299 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 lebih kepada undang-undang umum.


Mahkamah Sivil sepatutnya memperaku keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan negeri di samping merujuk kepada Mahkamah Syariah dalam hal berkaitan dengan agama Islam.

Penulis mencadangkan agar satu akta dicadangkan di Parlimen untuk memberi kuasa perundangan terhadap fatwa yang diwartakan di setiap negeri. Tindakan tersebut bagi menjadikan fatwa sebagai rujukan yang mengikat ketetapan Mahkamah Sivil dalam isu berkaitan orang Islam. Peruntukan undang-undang negeri sepatutnya menjadi rujukan utama Mahkamah Sivil dalam menentukan penghakiman namun seksyen berkenaan tidak diberi pertimbangan sewajarnya dalam penghakiman Mahkamah Rayuan. Dalam kes yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan, mahkamah membataskan isu anak yang tidak sah taraf kepada isu pendaftaran semata-mata dan tidak melihat kepada implikasinya terhadap umat Islam di negara ini.

3. Mengharmonikan institusi fatwa negeri-negeri – seharusnya semua mufti sepakat terhdap isu nasional seperti isu nasab anak tak sah taraf – apabila fatwa perlis membenarkan, maka ia menjadi polemik

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis memuji keputusan Mahkamah Rayuan Persekutuan yang seiring dengan keputusan fatwa Perlis yang membolehkan anak yang lahir kurang dari enam bulan, dibin atau dibintikan kepada bapa biologinya. Beliau mendakwa keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan menzalimi anak tersebut terbabit dan ibubapanya sepanjang hayat mereka.

Penulis optimis bahawa isu melibatkan hal ehwal umat Islam seluruh negara boleh diseragamkan tanpa mengikut pengasingan fatwa dan mufti negeri-negeri. Keseragaman patut dilaksanakan di peringkat persekutuan meliputi kerjasama pelbagai agensi antaranya Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri. Islam negeri serta fahaman politik pentedbir negeri.

Walaubagaimanapun terdapat beberapa hambatan kerana bidangkuasa hal ehwal Islam termaktub di bawah kuasa negeri menyebabkan Muzakarah Fatwa Kebangsaan tidak dapat menyeragamlan fatwa antara mufti negeri-negeri.

Perkara ini wujud antaranya beberapa sentimen dalaman antara pentadbiran negeri dan persekutuan berkaitan peruntukan undang-undang. Namun usaha positif ke arah merealisasikan penyeragaman telah wujud di kalangan pihak yang terlibat.

Selepas ini, penulis berharap agar sesuatu fatwa baru yang ingin dikeluarkan mestilah diselaraskan terlebih dahulu di peringkat persekutuan kerana fatwa yang berbeza antara negeri akan mengelirukan umat Islam. Fatwa yang menampakkan perbezaan ialah fatwa mengenai pengharaman rokok dan vape, hukum tarian poco-poco dan sebagainya.

Ketidakseragaman fatwa antara negeri-negeri akan menjejaskan kredibiliti institusi agama an menyukarkan tindakan penguatkuasaan. 

4. Memperkasakan peranan mahkamah syariah dan fatwa

Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara. Peruntukan mengenainya diletakkan pada Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan Islam sebagai agama persekutuan diletakkan pada Perkara 3 perlembagaan. Kedudukannya lebih tinggi dari segi turutan berbanding dengan Perkara 4. Secara logiknya, setiap keputusan dalam negara mestilah berteraskan agama Islam sebagai agama persekutuan. Peruntukan meletakkan agama Islam di awal bahagian memberi makna yang besar dari segi peranan agama dan kedudukannya. Agama Islam dan undang-undang Islam adalah sebahagian dari undang-undang yang diliputi dan diiktiraf oleh perlembagaan itu sendiri. Secara ringkasnya, undang-undang Islam adalah sebahagian daripada kandungan Perlembagaan Persekutuan.

Penghakiman oleh Mahkamah Rayuan Persekutuan seolah-olah menghina sumpah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong eperti yang terdapat dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan iaitu memelihara kedaulatan Agama Islam pada setiap masa.sekiranya perana baginda dinafikan sebegini, maka peruntukan ini sekadar menjadi hiasan dan tidak memberi kesan terhadap undang-undang negara.

Mahkamah juga mempunyai tanggungjawab undang-undang, agama dan moral untuk merujuk kepada fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan.

Penulis mencadangkan agar kerajaan melalui Parlimen mengubah peruntukan ini bagi menjaga kedudukan Islam sebagai agama persekutuan seperti dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Bagi tujuan ini, Butiran 1 kepada Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda. Semua peruntukan undang-undang yang melibatkan pendaftaran dan sahtaraf anak di dalam Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957(Akta 299) yang bertentangan dengan hukum syara’ iaitu Seksyen 110 hingga 120 juga diubah serta diperhalusi untuk menyediakan pendekatan menyeluruh dalam menangani isu anak tidak sah taraf.

Kerajaan juga perlu meminda mana-mana undang-undang yang menghalang orang bukan Islam daripada diadili di Mahkamah Syariah. Peranan Mahkamah Syariah yang menegakkan keadilan serta mempertahankan kedudukan Islam dalam perlembagaan boleh mendengar daripada orang Islam dan bukan Islam. Skop keadilan tidak seharusnya dikecilkan kepada orang beragama Islam sahaja.  

Cadangan ini bukan bermaksud untuk mengislamkan orang bukan Islam tetapi untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah mentadbir perkara-perkara tertentu yang melibatkan orang Islam dan hukum syara’.

Dalam hal penjagaan anak, rujukan hakim sering dibuat kepada Seksyen 5 Akta Penjagaan Kanak-kanak 1961 yang memberi peruntukan kepada persamaan hak ibubapa ke atas anak mereka. Sedangkan dalam Seksyen 1(3)(b) akta tersebut dengan jelas menyebutkan emenganai larangan penggunaan akta tersebut kepada orang yang memeluk agama Islam. Konflik ini boleh diselesaikan dengan cara memberi ruang kepada orang bukan Islam di Mahkamah Syariah.

Bagi memartabatkan kedudukan Islam seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, kerajaan perlu meminda mana-mana undang-undang yang menjadi penghalang kepada usaha memartabatkan undang-undang Islam serta kedudukan Mahkamah Syariah.


5. Peranan jabatan kerajaan dalam melaksanakan tugasan rasmi

Dalam melaksanakan tugas, pihak jabatan kerajaan persekutuan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh menggunapakai undang-undang syariah negeri bagi menentukan hak orang Islam.

Jadual Kesembilan Senarai 2 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan undang-undang syariah negeri yang mempunyai kuasa keatas orang Islam termasuk hukum syara’ berhubung dengan soal pewarisan, perceraian, mahar dan kesahtarafan anak. Jadual tersebut turut memberi kuasa antaranya dalam isu penjagaan, amanah serta institusi khairat dalam sesebuah negeri.

Peranan ketua jabatan dalam memahami situasi serta peruntukan undang-undang perlu dalam memastikan semua amanah dapat dilaksanakan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.


6. Keputusan Mahkamah Sivil yang tidak seragam dalam kes yang serupa

Terdapat kes yang serupa dengan kes anak yang tidak sah taraf yang telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Persekutuan. Sebelum ini, Teo Beng Hock yang ditemui mati berdekatan dengan Plaza Masalam, Shah Alam mempunyai anak yang sedang dalam kandungan kekasih beliau iaitu seorang guru di Semenyih, Selangor. Keluarga mendiang Teo telah memohon supaya anak di dalam kandungan tersebut diiktiraf sebagai anak yang sah taraf. Setelah permohonan gagal daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan juga pihak berwajib lainnya, mereka telah memohon kepada YAB Perdana Menteri supaya anak berkenaan mendapat taraf anak yang sah. Jawapan daripada YAB bahawa permohonan tidak dapat diluluskan kerana ianya bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Fakta ini menunjukkan bahawa keputusan Mahkamah Sivil bercanggah sesama mereka dalam kes yang serupa. Bagaimana dengan prinsip binding precedent yang seharusnya diikuti oleh para hakim di Mahkamah Sivil.


No comments:

Post a Comment