Sunday, April 10, 2011
PENDIDIKAN AL-QUR’AN
TV3 telah menyiarkan dokumentari mengenai masalah sosial iaitu buang anak. Laporan menyebutkan bahawa seorang anak luar nikah lahir dalam setiap 17 minit di negara kita. Seorang doktor di Johor Bahru pernah berceramah dengan fakta bahawa masalah pembuangan bayi di daerah tersebut telah meningkat hinggakan statistik pembuangan bayi dikira secara harian bukan lagi dengan mingguan ataupun bulanan.
Saya ambil contoh masalah “buang anak di tepi jalan” sebagai antara gejala yang nampaknya semakin membimbangkan kita. Masalah penyalahgunaan dadah masih menghantui kita dengan anggaran dalam setiap 35 minit muncul seorang penagih baru sebagai tambahan kepada bilangan penagih sedia ada.
Kerajaan kita telah menyedari perlunya pembangunan dan kemajuan negara tidak hanya ditumpukan kepada aspek pembangunan material semata sebaliknya ia mesti dibangunkan secara holistik seperti dalam cabaran keempat wawasan 2020 iaitu bagi melahirkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika. Inilah acuan kemajuan kita yang tidak menjadikan negara Barat sebagai suri teladan dalam mencapai Wawasan 2020.
Fenomena yang menakutkan ini sepatutnya membawa kita supaya menyedari akan pentingnya kita kembali kepada Pendidikan al-Qur’an dalam membentuk Keluarga Sejahtera.
Syeikh Abu Hamid Al-Ghazali ketika membahaskan mengenai peranan ibubapa dalam pendidikan menyebutkan:
“Ketahuilah bahawa anak kecil merupakan amanah bagi kedua ibubapanya. Hatinya yang masih suci merupakan permata alami yang bersih dari pahatan dan bentukan. Dia sedia diberi pahatan apapun dan condong kepada apa saja yang ditunjukkan kepadanya. Jika dibiasakan dan diajarkan kebaikan, maka dia akan tumbuh dalam kebaikan dan berbahagialah kedua ibubapanya di dunia dan Akhirat, juga setiap pendidik dan gurunya. Akan tetapi jika dibiasakan keburukan dan dibiarkan sebagaimana binatang ternak, nescaya akan menjadi jahat dan binasa. Dosanya pun ditanggung oleh guru dan walinya. Maka hendaklah ibubapa memelihara, mendidik dan membina serta mengajarinya akhlak yang baik, menjaganya dari teman-teman jahat, tidak membiasakannya bersenang-senang dan tidak pula menjadikannya suka kemewahan, sehingga akan menghabiskan umurnya untuk mencari hal tersebut bila dewasa.”
Pendidikan al-Qur’an dapat kita ertikan sebagai pendidikan bagi menguasai kemahiran membaca al-Qur’an, dengan sebutan dan tajwid yang betul, memahami kandungan al-Qur’an seperti hukum halal dan haram, pengajaran dari kisah umat terdahulu yang tujuan akhir pendidikan al-Qur’an ialah meletakkan al-Qur’an sebagai panduan dan rujukan utama dalam setiap spektrum kehidupan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment