Saturday, December 11, 2010

MASIH BELUM SEDAR

Sampai bila kita harus menjadi mangsa manipulasi, dipermain dan diperkotak-katikkan oleh orang lain. Sampai bila orang Melayu dijadikan “ayam laga” bagi mencapai niat orang yang melagakan kita itu.

Apabila orang lain memainkan isu Ketuanan Melayu sememangnya mereka tidak pernah senang dengan konsep itu walhal konsep tersebut telah banyak membantu mereka samada secara langsung atau tidak langsung.

Sewaktu di ambang kemerdekaan dan awal penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, persefahaman yang telah dicapai ialah seperti yang telah diucapkan oleh pemimpin kala itu.

Tun Tan Cheng Lok berkata,”Biarlah Negara ini diperintah oleh orang Melayu, orang China berniaga dengan aman.”

Tun V.T. Sambanthan pula berkata,”Orang India dihalau dari Burma, tidak diterima di Indonesia tetapi orang India diterima sebagai rakyat di Tanah Melayu.”

Penolakan konsep Ketuanan Melayu oleh sesetengah pihak disokong pula oleh orang Melayu sendiri dengan menyamakan “Nasionalisme Melayu” dengan “Asobiyyah” atau “Qaumiyyah”.

Strategi melagakan orang Melayu Islam di Malaysia dengan menggunakan isu Islam telah lama digunakan oleh musuh-musuh Islam seantero dunia. Atas dasar dan semangat kononnya untuk menjaga kesucian Islam maka ditiupkan semangat supaya senjata dihalakan kepada Syiah dan Ahli Sunnah, Iran dan Iraq bahkan dasar “pecah dan perintah” sangat berkesan pada era kolonialisme. Kehebatan rakyat pribumi Indonesia sebagai contoh dengan bermacam ilmu persilatan terpaksa tunduk kepada kebijaksanaan Belanda melagakan sesama bangsa tersebut.

Penjajah telah angkat kaki dan kini kaum yang didatangkan oleh penjajah menggunakan strategi pecah dan perintah setelah lama menggunakan strategi “bersama dalam kepentingan kaum” tetapi dalam senyap dan tidak kelihatan walaupun sebenarnya ketahuan.

Maka kononnya atas nama nama Islam, disebut-sebut berulangkali bahawa kekuatan Melayu tidak terletak kepada kehebatan Melaka, Hang Tuah dan adat resam Melayu. Dengan lain perkataan, jangan sebut Melayu, jangan sebut Hant Tuah tetapi sebut lah Islam sahaja. Sebut Islam betul tetapi sebut Melayu maka sesatlah perjuangan.

Melayu yang kita sanjung ialah Melayu yang Islamik. Kajian tentang Melayu lah yang telah menyedarkan kita bahawa di Alam Melayu (Nusantara) telah wujud seorang Sultan yang sanggup keluar malam demi menjaga keamanan dan keselamatan Melaka dengan menangkap pencuri di luar pengetahuan Temenggong. Kita mungkin tidak menyamakan 100% ketokohan Sultan Alauddin Riayat Shah dengan Umar al-Khattab namun ini menunjukkan bahawa pengajian Islam di Melaka sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada jiwa orang Melayu. Kedatangan penjajah telah melenyapkan Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka dan kini kaum peninggalan penjajah mempersoalkan konsep ketuanan yang telah dipersetujui.

Istana Melaka menyediakan tempat sebagai ruang perbincangan para ulama.perbincangan serta asihat yang diberikan oleh ulama meningatkan kita kepada zaman Khalifah Umar Abd Aziz. Kegemilangan pusat penyebaran dan pengajian agama Islam telah berlalu dengan kejatuhan Melaka ke tangan Portugis akibat pembelotan bangsa asing yang hanya mementingkan kedudukan mereka yang tidak pernah bersyukur dengan sikap lemah lembut dan pengorbanan penduduk asal.

Kita tidak menjadikan Hang Tuah sebagai tokoh ikutan100% untuk dicontohi oleh semua orang Melayu. Mungkin tanpa Hang Tuah pun, orang Melayu akan terus berketurunan.

Cuma pengkajian kita terhadap tamadun bangsa adalah sebagai perbandingan dan bukti menunjukkan bahawa setiap bangsa mempunyai tokoh yang mewakili imej Islam dari kalangan bangsa tersebut.

Maka berhati-hatilah kita dengan watak-watak seperti Pateh Kerma Wijaya, Si Kitul, Raja Mendeliar dan pegawai-pegawai kerajaan Melaka yang mengamalkan rasuah. Wallahu a’lam..









Friday, December 10, 2010

PERWATAKAN DALAM KISAH HANG TUAH

Mari kita lihat 5 watak dalam peristiwa Hang Tuah sewaktu dipecat dari jawatan Laksamana.

5 watak itu ialah Sultan Melaka, Pateh Kerma Wijaya, Hang Tuah, Hang Jebat dan Bendahara Tun Perak.

Pateh Kerma Wijaya mencetuskan permusuhan dgn menyebar fitnah lantaran irihati dgn keistimewaan orang lain. Beliau tidak peduli sekiranya Melaka huru-hara kerana beliau tidak taat setia kpd negara. Apa yg penting cita-cita busuknya tercapai. Ini lah jenis manusia yg tidak bertanggungjawab dan sanggup memijak kepala org lain demi mencapai cita-cita politiknya.

Watak Sultan Melaka memperlihatkan seorang yang mudah melatah serta menerima bulat-bulat berita tanpa usul periksa. Tindakan terburu-buru pemerintah seperti ini telah meletakkan Melaka dalam keadaan huru-hara. Seseorang pemerintah mesti mahir dalam membuat keputusan besar melibatkan kepentingan negara.

Hang Tuah mangsa fitnah yang tidak menyesali takdir. Seorang yg mengetuai segala hulubalang Melaka telah hilang segala pangkat kebesaran dlm sekelip mata sahaja. Beliau sedih kerana tidak dapat berbakti kpd Sultan. Tuah tidak tahu dan tidak mahu bertuankan selain Sultan Melaka. Kecewanya terubat dgn pujukan Bendahara Tun Perak bahawa kebenaran akan terserlah jua. Tuah redha jika itu takdir Tuhan.

Hang Jebat tidak setuju dgn hukuman Tuanku.Akibat penentangannya yg bersifat derhaka, ramai rakyat Melaka yg tidak berdosa menjadi mangsa kerisnya. Segala harta kerajaan diguna tanpa mengikut prosedur, kepentingan negara diketepikan hanya kerana membela seorang sahabat. Jebat tewas dalam perjuangannya namun seperti prinsipnya ''Tangan yg mencencang bahu yg memikul''.

Bendahara Tun Perak matang dan bijaksana. Tun Perak amat disegani termasuk baginda Sultan. Bukan kah Raja Muhammad tidak menaiki takhta kerana membunuh anak Tun Perak? Tun Perak tidak mengamuk namun ketokohannya menyebabkan kata-kata dan nasihatnya menjadi ikutan.

Tun Perak juga tidak setuju dgn hukuman ke atas Hang Tuah. Dipujuknya Tuah, dihantar ke hujung Melaka, disuruh mengaji ilmu agama dan yakin bahawa ''Tuah akan ada gunanya di kemudian hari untuk negeri Melaka''. Kebijaksanaan dan pandangan jauh serta holistic Bendahara menyelamatkan Melaka. Tidak mengamuk dan berdemonstrasi bukan bererti kalah. Tun Perak benar dan menang dgn strategi halusnya.

Cuba kita renung sejenak, mungkin wujud 5 watak ini sepanjang sejarah manusia. Sejarah tetap relevan sebagai bahan renungan bagi tujuan perbandingan.wallahu a'lam..